31 December, 2009

Gerhana Bulan:Tanda Kebesaran Allah S.W.T

Gerhana Bulan

Rakyat Malaysia akan berpeluang untuk menyaksikan fenomena gerhana bulan separa dari pukul 1.17 pagi hingga 5.28 pagi pada 1 Januari ini.
Secara amnya, gerhana bulan akan berlaku ketika fasa bulan penuh dan pada masa yang sama bulan melintasi bayang bumi seperti yang ditunjukkan dalam rajah.
Menurut kenyataan Agensi Angkasa negara (Angkasa), fenomena gerhana tersebut akan bermula dengan fasa penumbra ( P1 ) pada pukul 1.17 pagi waktu Malaysia. Biasanya Gerhana Bulan berlaku pada pertengahan bulan hijri. Dan berlaku pada waktu malam

Kita berpeluang untuk menyaksikan siaran langsung gerhana bulan separa di laman web www.angkasa.gov.my pada awal pagi 1 Januari 2010 pukul 1.17 hingga 5.28 pagi.

Hukum Solat Gerhana

Ulama telah bersepakat tentang hukum sunat muakkad bagi melaksanakan solat sunat gerhana. Hukum sunatnya adalah sama dengan hukum solat dua hari raya. Solat sunat gerhana pula hanya dilakukan di tempat berlakunya gerhana. Jika saudara kita di satu tempat seperti Afrika Utara mengetahui ramalan akan berlakunya gerhana matahari separuh pada 29 Safar 1428, tetapi gerhana tersebut tidak berlaku d Malaysia, maka umat Islam di Malaysia tidak disunatkan untuk melakukan solat gerhana.

Dalil Pensyariatan

Hukum solat sunat gerhana adalah berdasarkan dalil dari

(1) Surah Fussilat, ayat 37,

لاَ تَسْجُدُواْ لِلشَّمْسِ وَلاَ لِلْقَمَرِ وَٱسْجُدُواْ لِلَّهِ ٱلَّذِي خَلَقَهُنَّ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Maksudnya “Janganlah kamu sujud kepada matahari dan jangan pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah”.

(2) Hadis riwayat Imam Muslim yang maksudnya;

“Sesungguhnya kedua-dua matahari dan bulan adalah daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, tidak berlaku gerhana kerana kematian atau kerana hidupnya seseorang, apabila kalian menyaksikan fenomena gerhana tersebut maka solatlah dan berdoalah”

Menurut Imam Ibrahim al-Baijuri, antara hikmah berlakunya fenomena gerhana ialah sebagai peringatan kepada golongan penyembah matahari dan bulan bahawa kedua-dua matahari dan bulan adalah makhluk yang tunduk dan patuh pada kekuasaan Allah. Jika kedua-duanya adalah tuhan sebagaimana dakwaan mereka, nescaya akan menjaga dirinya daripada kekurangan, lalu mengapakah cahayanya boleh hilang seketika?

Tatacara Sebelum Melaksanakan Solat Sunat Gerhana

1. Sunat mandi terlebih dahulu.
2. Tidak disunatkan memotong kuku atau bercukur kerana waktu yang sempit.
3. Sunat juga memakai pakaian yang biasa (pakaian harian), bukan pakaian yang cantik-cantik seperti solat sunat istisqa’ (minta hujan).

Waktu Disunatkan Solat Sunat Gerhana

Waktunya bermula ketika berlakunya gerhana dan berakhir dengan hilangnya gerhana tersebut dan keadaan menjadi seperti sedia kala. Begitu juga tidak diharuskan menambah ruku’ menjadi tiga bagi satu rakaat sekalipun gerhana berlaku panjang, atau memendekkan ruku’ menjadi satu bagi satu rakaat sekalipun gerhana sudah berlalu. Jika gerhana berlalu dan hilang sedang kita masih dalam keadaan bersolat maka dikira sah. Jika gerhana berlaku pada waktu yang ditegah padanya kita bersembahyang, maka dengan sebab gerhana kita disunatkan bersembahyang dan makruh pula meninggalkannya jika kita melihat fenomena gerhana. Ini adalah pendapat di sisi mazhab kita.

Beberapa Peringatan

1. Tidak perlu azan dan iqamah untuk memanggil jemaah menunaikan solat gerhana tetapi cukup dengan sekadar ucapan : ( الصِّلاَةُ جَامِعَةً )

2. Sunat menyaringkan suara pada bacaan Fatihah dan surah ketika solat sunat gerhana bulan. Bagi solat sunat gerhana matahari pula disunatkan memperlahankan suara pada bacaan Fatihah dan surah.

3. Disunatkan mandi untuk solat gerhana, seperti hendak solat Jumaat.

4. Sunat menyampaikan khutbah (dua khutbah seperti khutbah Jumaat) selepas solat sunat gerhana walaupun gerhana sudah hilang.

5. Sunat menyampaikan khutbah (seperti khutbah hari raya tetapi tidak disunatkan bertakbir 9 atau 7 kali berturutan pada mukaddimah khutbah).

6. Isi khutbah hendaklah menyuruh para jemaah agar bertaubat daripada maksiat, bersedekah, berbuat kebajikan, banyak berdoa, beristighfar dan berzikir, memerdekakan hamba, berpuasa, mengingatkan manusia supaya tidak lalai, jangan leka dengan dunia dan sebagainya.

7. Jika dilakukan berseorangan atau jemaah hanya daripada kalangan wanita, maka tidak perlu khutbah (tetapi harus memberi tazkirah kepada jemaah wanita).



PANDUAN RINGKAS SOLAT GERHANA & KHUTBAHNYA

Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Bulan
أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى
Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Taala.”

Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Matahari
أُصَلِّى سُنَّةَ الْكُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى
Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Taala.”

Cara & Bilangan Rakaat

Terdapat 3 cara melaksanakan solat sunat gerhana iaitu;

i. Yang terlebih sempurna ialah dilakukan 2 rakaat dengan setiap rakaat 2 ruku’ dan 2 qiyam yang dipanjangkan bacaan surah dan tasbihnya pada kedua-dua rakaat (Kesimpulannya: jumlah ruku’, qiyam dan sujud adalah sebanyak 4 kali dalam dua rakaat solat sunat gerhana). Ini adalah cara yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. bersama para sahabatnya dan melibatkan masa yang amat panjang. Kadar panjang bacaan surah ialah surah al-Baqarah (286 ayat) dalam qiyam pertama, sirah Aali Imran (200 ayat) dalam qiyam kedua, surah al-Nisa’ (176 ayat) dalam qiyam ketiga, dan surah al-Ma’idah (120 ayat) dalam qiyam keempat). Kadar panjang tasbih ialah sekadar bacaan 100 ayat dalam ruku’ dan sujud pertama, sekadar bacaan 90 ayat dalam ruku’ dan sujud kedua, sekadar bacaan 70 ayat dalam ruku’ dan sujud ketiga, dan sekadar bacaan 50 ayat dalam ruku’ dan sujud keempat.

ii. Yang lebih sempurna dilakukan 2 rakaat dengan 2 kali ruku’ dan 2 kali qiyam, dengan tidak dipanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat. Ini adalah cara yang sederhana dan tidak memakan masa yang lama.

ii. Sekurang-kurangnya 2 rakaat seperti solat sunat biasa. Ini adalah cara dan bilangan rakaat yang paling minimum dan melibatkan tempoh yang singkat.

Huraian Cara Kedua (Sederhana Panjang)

Berikut adalah huraian cara solat gerhana dalam tempoh yang sederhana iaitu sekitar 30-40 minit berdasarkan pengalaman menunaikan solat gerhana bulan pada hari Selasa 15 Syaaban 1428 bersamaan 28 Ogos 2007 lalu. Turut dicadangkan bacaan surah-surah pilihan daripada juzuk ke-30 yang lebih dikenali di kalangan masyarakat kita dengan ’ayat-ayat lazim’.

(Rakaat Pertama)
1. Takbiratul Ihram.
2. Membaca doa iftitah.
3. Membaca Isti’azah. (أَعُوْذُ بِالله مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ)
4. Membaca surah al-Fatihah.
5. Membaca surah dalam qiyam pertama. Dicadangkan membaca surah surah al-Baqarah (ayat 1-25) atau surah al-A’laa (19 ayat).
6. Ruku’ (pertama) dan membaca tasbih (100 kali tasbih).
7. Iktidal dan qiyam kedua, membaca surah al-Fatihah dan surah. Dicadangkan membaca surah al-Baqarah (ayat 26-48) atau surah al-Ghaasyiyah (26 ayat).
8. Ruku’ (kedua) dengan membaca tasbih (90 kali tasbih).
9. Iktidal.
10. Sujud (pertama) dan membaca tasbih (100 kali tasbih).
11. Duduk antara 2 sujud (sunat dipanjangkan tempohnya).
12. Sujud (kedua) dan membaca tasbih (90 kali tasbih).
13. Berdiri ke rakaat kedua.

(Rakaat Kedua)

1. Qiyam ketiga dan membaca surah al-Fatihah.
2. Membaca surah. Dicadangkan membaca surah al-Baqarah (ayat 49-61) atau surah al- Syams (15 ayat).
3. Ruku’ (ketiga) dan membaca tasbih (70 kali tasbih).
4. Iktidal dan qiyam keempat, membaca surah al-Fatihah dan membaca surah. Dicadangkan membaca surah al-Baqarah (ayat 62-74) atau surah al-Zalzalah (8 ayat).
5. Ruku’ (keempat) dengan membaca tasbih (50 kali tasbih).
6. Iktidal.
7. Sujud (ketiga) dan membaca tasbih (70 kali tasbih).
8. Duduk antara 2 sujud (sunat dipanjangkan tempohnya).
9. Sujud (keempat) dan membaca tasbih (50 kali tasbih).
10. Membaca tasyahhud akhir.
11. Memberi salam & imam bangun menyampaikan dua khutbah.

RUJUKAN

Abdul Karim Zaidan, Ensiklopedia hukum wanita dan keluarga, Kajian mendalam masalah wanita & keluarga dalam perspektif syariat Islam. Pustaka Dini.
al-Dimyāti al-Bakri, Abū Bakr bin ‘Uthmān bin Muhammad Shattā, Hāshiyat i‘ānat al-tālibin, 1995, Beirut: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, jil. 1, hlm. 448.
Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Zād al-ma‘ād fi hady Khayr al-‘ibād, 1994, Cet. ke-27, Beirut: Mu’assasat al-Risālah, jil. 1, hlm. 450-456.
Ibn Qudāmah, Muwaffaq al-Din Abū Muhammad ‘Abd Allah bin Ahmad bin Muhammad bin Muhammad bin Qudāmah, al-Mughni, 1992, Cet. ke-2, Kaherah: Hajar li al-Tibā‘ah wa al-Nashr wa al-Tawzi‘ wa al-I‘lān, jil. 3, hlm. 321-333.
al-Nawawi, Yahyā bin Sharaf, al-Azkār, 1991, cet. ke-3, Madinah: Maktabat Dār al-Turāth & Damsyik: Dār Ibn Kathir, hlm. 291-293.
al-Nawawi, Yahyā bin Sharaf, al-Majmū‘, t.th, Jeddah: Maktabat al-Irshād, jil. 5, hlm. 50-68.
al-Shāfi’i, Taqiy al-Din Abū Bakr bin Muhammad al-Husayni al-Husni al-Dimashqi, Kifāyat al-akhyār fi hall qhāyat al-ikhtisār, 1991, Beirut: Dār al-Khayr, hlm. 151-152.

Doa Memohon Keselamatan Terhadap Diri,Anak-anak,Keluarga dan Rumahtangga dari Kejahatan Manusia,Binatang dan Bala Bencana

DOA MEMOHON KESELAMATAN TERHADAP DIRI, ANAK-ANAK, KELUARGA DAN RUMAHTANGGA DARI KEJAHATAN MANUSIA, BINATANG DAN BALA BENCANA


إِنَّ رَبِّيَ اللَّهُ هُوَ الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمُ ،مَا شَاءَ اللَّهُ كَانَ وَمَا لَمْ يَشَأُ لاَ يَكُونُ لاَ حَوْلَ ،وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ ،أَشْهَدُ أَنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ،وَأَنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَاطَ بِكُلِّ شَيْءٍ عِلْمًا،أَعُوذُ بِالَّذِي يُمْسِكُ السَّمَاءَ أَنْ تَقَعَ عَلَى الأَرْضِ إِلاَّ بِإِذْنِهِمِنْ شَرِّ كُلِّ دَابَّةٍ رَبِّي آخِذٌ بِنَاصِيَتِهَا إِنَّ رَبِّي عَلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ


Maksudnya : Sesungguhnya Tuhanku, tiada Tuhan yang sebenarnya yang berhak disembah melainkanNya, ke atasNya aku bertawakkal, dan Dialah Tuhan yang memiliki arasy yang agung, .Apa sahaja yang dikehendakinya tentu akan berlaku, dan apa yang tidak dikehendakinya tidak akan berlaku.Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan izin Allah yang maha tinggi lagi maha agung.Aku bersaksi bahawa Allah maha berkuasa atas segala sesuatu dan pengetahuanNya meliputi segala sesuatu.Aku memohon perlindungan kepadaNya yang maha berkuasa menahan langit dari jatuh ke atas bumi melainkan dengan izinNya, aku memohon perlindunganNya dari kejahatan segala makhluk yang bergerak di muka bumi yang berada di bawah kuasaNya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus.

( Riwayat al-Baihaqiy dalam Dala`il al-Nubuwwah no 3046, al-Matalib al-Aliyyah no 3490 , Ithaf al-Khiarat no 6087 , Bughyat al-Bahith no 1052)


Kelebihan & KhasiatMenurut riwayat dari al-Tabaraniy dalam Kitab al-Du’a dari Abdullah bin Ahmad bin Hanbal bahawa telah mengadu seorang sahabat kepada Abu Darda` r.a bahawa kebakaran sedang berlaku pada kawasan rumahnya.Abu Darda menafikannya.Kemudian datang lagi seorang mengadu hal yang sama lalu ditolak olehnya lagi sehinggalah orang yang dketiga tetapi tetap dinafikannya.Kemudian datanglah orang yang ke empat memberitahu bahawa apabila api itu hampir dengan rumahnya ia terpadam sendiri.Abu Darda r.a telah menjelaskan bahawa dia mendengar Nabi s.a.w bersabda: “Sesiapa yang mengamalkan doa ini dibacakan pada waktu pagi dan petang, dia tidak akan melihat sebarang perkara yang tidak disenanginya menimpa diri, anak-anak, pasangan dan rumahnya

SMT4YOU 3 bulan pertama

SMT4YOU sudah memasuki bulan ke empat semenjak posting pertama iaitu pada 090909 (9 September 2009) yang bertajuk 12 beradik hilang pergantungan. Sehingga sekarang hit yang capai oleh SMT4YOU baru mencecah 1955 hit. Kelembapan hit mungkin disebabkan bebrapa faktor publisiti dan kandungan. Oleh itu ahli jamaah dan AJK disarankan menyumbangkan idea demi kemajuan blog ini supaya ianya setanding dengan blog-blog popular yang sedia ada di alam siber ini.

Selamat tahun baru Masehi 2010

18 Disember 2009 yang lalu kita umat Islam telah menyambut tahun baru Hijrah 1431. Pada 15 Muharam 1431 esok masyarakat dunia menyambut tahun baru Masehi 2010 pulak.

Ustaz Alias Abdul Rahim

SMT telah mendapat pengganti ustaz Haji Mohd Zakuan Tak iaitu ustaz Alias yang telah melaporkan diri sebulan yang lalu. Semoga dengan kehadhiran Ustaz Alias akan menambahkan lagi jumlah kegiatan dan aktiviti surau.

Kalendar baru Hijrah

InsyaAllah jika urusan dapat diselesaikan segera, ahli jamaah surau akan mendapat kalender hijrah dari SMT sebagai penghargaan kepada kesetiaan ahli jamaah yang teru-menerus menymbang kepada kemakmuran surau. Pihak SMT masih belu dapat menentukan masa yang sebenarnya pengagihan kalender ttetapi dijangka awa Januari 2010.

15 December, 2009

HSBB Percubaan

Kira-kira 122 kediaman di Bangsar, Taman Tun Dr. Ismail, Subang Jaya dan Shah Alam kini terlibat di dalam percubaan perkhidmatan runcit HSBB, yang merupakan sebahagian daripada rancangan progresif Syarikat kita untuk menawarkan perkhidmatan komersial jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) di empat kawasan ini sebelum akhir suku pertama 2010.
Percubaan perkhidmatan ini akan memberi peluang kepada TM untuk menguji sistem, proses, metodologi pemasangan gentian dan sebagainya dengan perancangan untuk menawarkan pengalaman perkhidmatan pelanggan yang dipertingkatan apabila perkhidmatan komersial ditawarkan pada akhir suku tahun pertama 2010. Para penguji beta tersebut sedang mengalami dan menikmati akses rangkaian berkelajuan 15Mbps yang disertakan dengan perkhidmatan tiga serangkai (‘triple play’) merangkumi Suara, Video dan Data yang berkaitan yang bakal digabungkan bagi melengkapi pakej runcit komersial HSBB yang akan diumumkan oleh TM tidak lama sebelum tarikh pelancarannya nanti. Baru-baru ini, TM juga telah selesai menjalankan dua kajian pengguna untuk menentukan komposisi dan harga pakej runcit HSBB yang terbaik yang akan merangkumi perkhidmatan asas dan tambah nilai.
Menurut Dato’ Zam Isa, “Saya ingin memberi jaminan kepada kesemua pelanggan awal yang berminat bahawa pakej runcit HSBB yang akan diperkenalkan tidak lama lagi adalah menarik dari segi nilai dan pada harga yang berpatutan. Ini kerana kami ingin menggalakkan seramai mungkin pelanggan awal di keempat-empat kawasan tersebut untuk melanggani perkhidmatan ini. Kami berharap pengalaman positif mereka akan menjadi pengesahan kepada seluruh negara apabila HSBB ditawarkan di kawasan mereka kelak.”
HSBB menjanjikan kelajuan akses rangkaian (kelajuan port) yang lebih pantas dari kelajuan terpantas Jalur Lebar untuk Masyarakat Umum (BBGP) yang kini ditawarkan pada kelajuan sehingga 4Mbps oleh perkhidmatan sedia ada TM, Streamyx. HSBB juga mensasarkan prestasi rangkaian yang menyeluruh dan unggul, termasuk lebar jalur antarabangsa – berdasarkan pelaburan TM dalam pelbagai sambungan dasar laut, termasuk rangkaian kabel Asia-America Gateway (AAG), yang baru diaktifkan pada 10 November 2009.
“Memandangkan bahawa pemasangan infrastuktur gentian sambungan akhir di Malaysia masih baru diperkenalkan dan keadaan sensitif semasa pemasangan gentian ke rumah (Fiber-to-the-Home – FTTH) yang memerlukan darjah ketepatan yang tinggi, masa pemasangan di premis dianggarkan memakan masa dari 6 hingga 8 jam kerana ia melibatkan kajian tapak, penggerudian, kerja-kerja jerejak, pemasangan paip, kerja-kerja elektrik dan akhirnya konfigurasi peralatan. Ini pengalaman biasa yang dilalui oleh semua syarikat telekomunikasi di seluruh dunia yang terlibat dalam perlaksanaan FTTH,” jelas Dato’ Zam.
Sehingga kini, TM telah memasang infrastruktur persediaaan HSBB untuk 143,000 premis dengan sasaran melengkapkan sejumlah 150,000 premis sebelum akhir 2009. Sebelum akhir 2009, TM juga menjangka akan melengkapkan kerja-kerja naik-taraf fizikal sepenuhnya di empat ibu sawat utama di Taman Tun Dr Ismail, Subang Jaya, Shah Alam dan Bangsar. Kerja-kerja akses gentian fizikal kini sedang berlangsung di 44 daripada 95 ibu sawat di seluruh negara yang dirancang untuk diliputi oleh perlaksanaan perkhidmatan awal HSBB.
Sehingga akhir 2012 – berdasarkan kelengkapan fasa pertama projek nasional HSBB yang dipersetujui dengan Kerajaan – kira-kira 1.3 juta premis di seluruh negara akan mendapat akses ke perkhidmatan HSBB. Kawasan-kawasan tersebut yang dipilih sebagai Zon 1, yang akan diberi perkhidmatan tersebut termasuklah Lembah Klang, Iskandar Malaysia dan kawasan industri yang penting di seluruh negara.
Sehingga kini, perbelanjaan modal TM dari suku keempat 2008 sehingga 30 Oktober 2009 adalah RM1.4 bilion, merangkumi akses sambungan akhir, perlaksanaan IP teras dan penambahan kapasiti rangkaian antarabangsa. TM telah menerima pembayaran balik kerajaan untuk kerja-kerja ini, yang selari dengan komitmen yang dinyatakan di bawah perjanjian PPP.

10 December, 2009

Warga TM sekalian,

Tahun 2010 pasti menarik bagi kita semua! Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi yang akan dilancarkan pada Mac tahun depan, sering disebut-sebut di kalangan masyarakat di seluruh negara. Pemacu utama masa depan Syarikat kita ini akan meningkatkan daya hidup digital dengan menyediakan ‘High definition TV’, sembang secara langsung tanpa gangguan menerusi video, e-pendidikan, e-kerajaan, muat turun filem dan muzik yang laju serta pelbagai lagi.
Sebagai Warga TM, sudah tentu kita berbangga menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini dan menyaksikan Syarikat kita menjadi tumpuan ramai di peringkat nasional. Memandangkan saat-saat ini amat bermakna bagi kita semua, kami ingin menjemput anda semua untuk menyertai peraduan “Namakan Projek HSBB”.
Anda cuma perlu ikuti tiga langkah mudah ini:
Fikirkan nama sama ada dalam Bahasa Malaysia atau Inggeris yang paling sesuai sekali dengan personaliti dan janji yang berkaitan dengan jenama kita tanpa menyebut Streamyx. Cadangkan nama yang mencerminkan gaya hidup masa kini dan juga membolehkan warga Malaysia mempunyai tanggapan berlainan mengenai TM.
Sediakan rasional bagi setiap nama yang dikemukakan.
Hantar melalui e-mel kepada gcc@tm.com.my selewat-lewatnya pada jam 5:00 petang, Jumaat, 11 Disember 2009.
Hantarkan seberapa banyak penyertaan yang anda mahu dalam Bahasa Malaysia atau Inggeris dan menangi dua tiket melancong ke pulau Bali yang indah. Anda mungkin menempa nama dalam sejarah kerana memberikan nama kepada projek yang bersejarah ini!
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila hubungi Nurul Aina Nadzir di 03-22401154. Ingatlah bahawa tarikh tutup peraduan ini adalah pada jam 5:00 petang, Jumaat 11 Disember 2009. Jangan lengahkan masa dan hantarkan penyertaan anda sekarang!

Kami menungu penyertaan anda!

Bagi pihak Group Marketing
Komunikasi Korporat Kumpulan
Telekom Malaysia Berhad

08 December, 2009

Mencari anak yang hilang



Gambar anak, Aiman Amanina berumur 16 tahun. Telah keluar dari rumah semenjak 11 Nov 2009. Dipercayai ada sekitar KL.

Wassalam.

Rahim
019-2881788

04 December, 2009

Kelas Bahasa Arab

Kuliah zohor di SMT memang mendapat sambutan yang hebat setiap kali ia di adakan. Kuliah di adakan adalah berdasarkan kitab-kitab rujukan yang muktabar dan dianalisa oleh ustaz-ustaz yang kenali umum berwibawa dan komited dengan tradisi keilmuan. Ada cadangan dari jamaah supaya di adakan kelas bahasa Arab bagi mendalami ilmu agama dengan lebih berkesan. Cadangan yang rasanya munasabah ialah dua kali sebulan. Mengambil kesempatan kehadiran ustaz Alias yang baru sahaja mengetuai unit agama menggantikan ustaz Mohd Zakuan yang pencen, disarankan kelas ini di pimpin oleh beliau. Semoga cadangan para jamaah ini bakal menjadi kenyataan. Mungkin pihak surau terpaksa menggantikan dua slot kuliah biasa dengan slot kelasbahasa Arab ini. Walaubagaimanapun terpulang kepada kebijaksanaan AJK dalam menguruskan cadangan ini supaya menjadi kenyataan.

03 December, 2009

Puan Zaleha Shaari kembali ke Rahmatullah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh & Salam Sejahtera
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Dukacita dimaklumkan bahawa salah seorang anggota TM iaitu Pn. Zaleha Shaari, Penolong Pengurus di Bahagian Consumer Sales Kuala Lumpur telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 26hb. November 2009 disebabkan oleh penyakit Kanser Colon yang telah dikesan 4 bulan lalu.

Pemergian arwah merupakan satu kehilangan besar kepada CSKL khususnya dan TM secara amnya. Marilah sama-sama kita hadiahkan pahala bacaan al-Fatihah dan mendoakan agar rohnya sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman. Insya Allah, AL-FATIHAH.


Send by
GROUP HUMAN CAPITAL MANAGEMENT