24 December, 2010

Pilih Isteri Beriman Kepada Allah swt

SAAT BAHAGIA...perkahwinan adalah ikatan suci yang mengharapkan pasangan memperbaiki kekurangan masing-masing.
WARISAN...kelahiran zuriat meramaikan umat Nabi Muhammad dan meninggikan syariat Allah di dunia ini.
Tiada yang lebih membahagiakan buat seorang suami selain dikurniakan isteri yang solehah.

Allah berfirman yang bermaksud: "Maka wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara dirinya (kehormatannya) ketika suaminya tiada, oleh kerana Allah memelihara (mereka)". (Surah an-Nisaa' ayat 34)

Pernikahan menyingkap segala-galanya. Kelebihan dan kekurangan saling diimbangi dan ditampung bersama hingga mewujudkan keserasian dalam perkahwinan mereka buat selama-lamanya.

Isteri adalah orang penting bagi seorang suami hingga apa saja situasi yang berlaku sama ada ketika berada dalam kesusahan, kebuntuan atau kegembiraan isteri tempat bercerita, mengadu dan meluahkan segala-galanya.

Sebelum mengambil keputusan menyunting pasangan untuk dijadikan teman hidup, seorang lelaki perlu membuat pilihan tepat supaya perkahwinan yang dibina berkekalan.

Malah, keluarga pihak wanita perlu menyegerakan perkahwinan apabila anak mereka dilamar lelaki yang berakhlak mulia, sudah berkemampuan dan dilihat mampu memikul tanggungjawab sebagai isteri.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Apabila kamu didatangi sesiapa yang kamu boleh menerima agamanya dan akhlaknya, kamu mesti membenarkannya mengahwini anak perempuan kamu. Jika kamu tidak berbuat demikian, nescaya satu fitnah besar berlaku di bumi serta menjadi keburukan dan kerosakan yang berleluasa".

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, beliau berkata: Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Wanita dinikahi kerana empat perkara: hartanya, kedudukannya atau keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka, pilihlah yang baik agamanya nescaya engkau beruntung".

Hadis berkenaan adalah panduan kepada seorang lelaki untuk membina rumah tangganya. Maka lelaki perlu cari dan memilih wanita yang mempunyai asas agama dalam membentuk kebahagiaan dalam rumah tangga.

Terbukti, wanita yang menjadi idaman setiap lelaki adalah yang mempunyai akhlak yang terpuji, berbudi bahasa, lembut pertuturannya, memelihara kehormatannya, bertanggungjawab terhadap urusan rumah tangga serta menjalinkan hubungan baik dengan semua orang di sekelilingnya.

Terus terang dikatakan setiap lelaki mempunyai penilaian berbeza mengenai 'kecantikan' yang dimiliki seorang wanita. Kecantikan sebenarnya bermula dari dalaman iaitu mempunyai keimanan serta melakukan perbuatan baik.

Janganlah sesekali menjadi wanita yang lengkap memiliki kecantikan, tetapi digunakan untuk tujuan maksiat dan kemungkaran.

Islam mengajar umatnya supaya berhati-hati dalam soal mencari pasangan hidup kerana ia menentukan kebahagiaan.

Nabi pernah ditanya mengenai sebaik-baik wanita, Baginda bersabda yang bermaksud: "Iaitu yang taat apabila diperintah, yang menyenangkan apabila dipandang serta menjaga diri dan harta suaminya". (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Menerusi hadis berkenaan, Rasulullah memberi keutamaan agar memilih calon isteri yang menjaga kehormatan dirinya serta harta suaminya.

Perwatakan lemah-lembut dan penyayang memang tidak dapat dipisahkan daripada wanita. Peranan mereka sebagai ibu berjaya mendidik serta melahirkan anak yang cemerlang di dunia dan akhirat.

Calon isteri terbaik mungkin dapat dipilih berdasarkan kepada aspek kesuburannya. Ia perlu diteliti supaya kelak isteri mampu melahirkan anak yang ramai.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Kahwinlah dengan gadis perawan kerana mereka itu lebih manis bibirnya, lebih subur rahimnya dan lebih reda dengan yang sedikit". (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Tanda atau 'bayangan' kesuburan itu boleh diperhatikan melalui keadaan ibu atau adik-beradiknya yang sudah berkahwin. Jika keluarganya ramai peluang untuk melahirkan zuriat yang ramai lebih cerah.

Rasulullah turut menganjurkan supaya lelaki memilih wanita yang masih dara (belum berkahwin) kerana jika ada memilih janda umpamanya mungkin cenderung untuk membandingkan antara suami dan bekas suaminya dulu.

Memilih calon isteri dari kalangan kaum keluarga seperti sepupu pula tidak digalakkan bagi memelihara zuriat, menghindari penyakit atau kecacatan disebabkan keturunan.

Sabda Baginda lagi: "Berkahwinlah dengan orang asing (tidak mempunyai tali persaudaraan) dan janganlah mengahwini kaum kerabat sendiri supaya boleh mengelak kelahiran anak yang lemah dan tidak sihat".

Kelahiran zuriat yang soleh dan solehah bakal membentuk generasi yang dapat meninggikan syariat Allah serta memakmurkan dunia ini.

Justeru, peranan wanita amat besar kepada pembangunan ummah dan masyarakat dalam membina tamadun dunia.

Islam menetapkan peraturan yang mana antara lelaki dan perempuan itu mesti bersesuaian dari segi kecerdasan, kemahuan dan tingkah lakunya supaya bertambah kuat pertalian jodoh di antara kedua-duanya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Perempuan itu pakaian kamu dan kamu pakaian perempuan". (Surah al-Baqarah ayat 187)

Maka 'pakaian' itu perlu bersesuaian dengan badan orang yang memakainya.

Kemudian tidak halal bagi seseorang lelaki menikahi wanita penzina. Namun larangan berkenaan 'mansuh' apabila wanita yang pada awalnya seorang penzina, tetapi sudah meninggalkan perbuatan lamanya dan bertaubat.

Menurut Abdullah bin Abbas: "Awalnya zina akhirnya nikah, awalnya haram akhirnya halal." (Diriwayatkan Ibnu Abi Syaibah).

Allah berfirman yang bermaksud: "Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu dan memperbaiki (dirinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". (Surah an-Nur ayat 5)

Kesimpulannya, dalam membuat pilihan calon isteri bukan satu perkara remeh kerana hakikatnya suami yang bakal menjaga urusan dan hal ehwal rumah tangga.

Lelaki perlu menunjukkan kebijaksanaan mereka dengan memilih wanita yang mempunyai ciri-ciri yang baik dan berpegang kepada agama Allah supaya urusan rumah tangga kelak berlangsung dengan baik, terancang serta terurus.

Amalkan bacaan doa seperti: "Ya Tuhan kami, berilah kami isteri-isteri dan anak-anak yang menggirangkan hati kami, dan jadikanlah kami imam (ikutan) bagi orang-orang yang bertakwa". (Surah al-Furqan ayat 74)

Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Md Saad, berkata perkahwinan adalah ikatan amanah iaitu setiap pasangan perlu menunaikan tanggungjawab masing-masing.

"Apabila seseorang lelaki baik mengambil keputusan mengahwini seorang perempuan yang kurang baik, jadi dia bertanggungjawab untuk memperbaiki kekurangan isteri yang dikahwininya.

"Perkara ini memang boleh terjadi kerana walaupun kita sering mendengar bahawa 'jodoh di tangan Tuhan' tetapi kita perlu ingat manusia adalah makhluk yang diberikan kemampuan untuk berusaha mendapat sesuatu.

"Berdasarkan pertimbangan yang berbeza-beza pada setiap individu, tidak mustahil seorang itu mendapat pasangan yang kurang baik, tetapi manusia masih lagi boleh melakukan perubahan terbaik dalam hidupnya," katanya.

Beliau berkata Rasulullah memberi keutamaan kepada aspek agama dalam pemilihan isteri.

"Tetapi ada tiga kriteria lain yang disebutkan baginda iaitu kecantikan, keturunan serta harta yang tidak boleh diketepikan.

"Baginda berpesan jika kamu memilih atas dasar agama maka ia membawa lebih kebaikan. Kerana itu, ulama fiqh membincangkan kriteria pemilihan itu secara lebih meluas dalam skop 'kafaah' atau kufu iaitu boleh diambil kira, tetapi tidak jadikan sebagai keutamaan.

"Sifat pemalu yang menjadi fitrah bagi wanita Muslimah mestilah dikekalkan, tetapi bukan bermakna mereka langsung tidak boleh bergaul dengan orang lain," katanya.

Rahimi berkata Islam melihat ikatan perkahwinan sebagai sesuatu yang sangat suci dengan memberi perhatian kepada proses praperkahwinan supaya kekal sepanjang hayat.

"Antara ruang yang diberikan kepada lelaki ialah boleh melihat wanita yang bertujuan untuk dijadikan isteri (bukan memandang untuk tujuan berseronok).

"Namun begitu, syariat menetapkan panduan dan batas tertentu yang hanya boleh melihat tapak tangan dan muka. Ia lebih kepada ilmu yang disebutkan Imam Syafie sebagai ilmu firasat," katanya.

Menurutnya jika salah seorang dari pasangan pernah melakukan kesalahan seperti berzina dengan bekas kekasihnya kemudian berkenalan dan berkahwin pula dengan individu yang baik peribadinya, seseorang itu perlu bertaubat daripada kesalahan lama dan berusaha untuk mencari seseorang yang dapat membantu memperbaiki dirinya.

"Ia membuka ruang lebih luas bagi mendapatkan pasangan baik dengan syarat taubatnya adalah taubat nasuha," katanya.

10 December, 2010

Larangan Dalam Berpacaran

SIAPA sangka kita akan bertemu jodoh dengan seseorang yang sebelum ini tidak pernah dikenali.

Malah, dalam sekelip mata si dia sudah menjadi isteri kita.

Itulah dinamakan jodoh yang Allah s.w.t kurniakan kepada seseorang. Zaman datuk nenek moyang kita, kebanyakan menyerahkan kepada ibu bapa untuk memilih jodoh, tiada istilah bercinta atau mengurat.

Berbeza kini, zaman siber memberi pilihan kepada anak-anak memilih pasangan sendiri. Pasti setiap pasangan ada cerita menarik detik awal perkenalan sehingga diijab kabulkan.

Jika menuntut di menara gading, pastinya banyak kenangan manis bagi pasangan bertemu jodoh.

Ada yang bermula dengan meminjam nota pelajaran sehingga menerbitkan perasaan yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.

Ada sebahagian yang 'kuat' jodohnya sejak zaman persekolahan, walaupun banyak pilihan di kampus, si dia tetap menjadi pasangan ke jenjang pelamin.

Begitulah hebat tarikan kasih sayang antara lelaki dan wanita. Setiap pertemuan itu pastinya dari 'mukadimah' cinta iaitu mengurat.

Tetapi, apakah Islam membenarkan umatnya melakukan perbuatan mengurat?
Cinta itu sebagai permulaan (mukadimah) kepada perkahwinan. Tidak menjadi kesalahan mengurat jika ia membawa kepada kebaikan.

Contohnya, seorang lelaki mahu menyampaikan hasrat hatinya terhadap wanita yang dirasakan layak menjadi teman hidupnya, seni mengurat perlu ada.

Tetapi, dari sudut berbeza, mengurat mungkin membawa keburukan jika berlaku perkara yang bertentangan dengan agama iaitu perzinaan.

Akibat berzina amat buruk kerana melanggar hukum Allah. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu sangat keji dan jalan yang amat jahat". (Surah al-Israak ayat 32)

Justeru, apabila keluar dari rumah, agama menyuruh kita menutup aurat selain memelihara diri daripada keghairahan seks yang boleh membawa kepada zina.

Islam tidak menyekat fitrah manusia untuk sayang menyayangi, cuma kita dilarang jika bibit-bibit kasih sayang itu membawa kepada kemaksiatan.

Islam tidak pernah menghalang memikat atau mengurat, tetapi perlu ada seninya dan tidak melanggar batas kesusilaan antara lelaki dan wanita.

Jika seorang lelaki itu berminat terhadap seorang wanita dan mahu menjadikan teman hidup, mereka perlu berjumpa dengan wali untuk meminang.

Menjadi satu kesilapan jika terus bertemu wanita pilihannya tanpa bertemu ibu bapanya.

Kita dianjurkan mendirikan solat istikharah untuk meminta Allah perteguhkan keputusan yang ada atau petunjuk membuat keputusan yang belum ada.

Mereka yang bersolat istikharah tidak akan kecewa kerana solatnya bukan saja mencari petunjuk Allah dalam membuat keputusan yang belum pasti, tetapi meminta diperteguhkan hati melaksanakan keputusan yang pasti.

Selepas keputusan dibuat, teguhkan azam dan terus bertawakal sebelum menguruskan lamaran dengan memilih wakil yang baik untuk meminang.

Jika bersedia, bawalah keluarga berjumpa dengan wali perempuan untuk mengenali calon menantu serta menyatakan hasrat dengan lebih jelas.

Selepas kedua-duanya bersetuju, barulah dijalankan upacara peminangan. Selepas bertunang, haram bagi seorang wanita itu dipinang lelaki lain.

Sepanjang masa pertunangan, mereka boleh mengenali di antara satu sama lain. Ketika itu barulah dapat dirasakan keserasian sebelum majlis perkahwinan.

Sentiasa beringat bahawa bertunang bukan 'lesen' melakukan perbuatan maksiat kerana mereka belum sah sebagai suami isteri.

Ini bagi memelihara zuriat yang bakal lahir nanti. Inilah indahnya Islam mengaturkan perjalanan hidup umatnya.

Percintaan dalam Islam ialah hubungan cinta yang disuburkan selepas perkahwinan sehingga ke akhirnya. Tanda sebuah perkahwinan itu dizahirkan melalui hubungan suami isteri diisi penuh tanggungjawab dan kasih sayang, membentuk anak yang soleh dan solehah serta taat kepada perintah Allah.

Jadi berdoalah untuk mendapatkan keredaan Allah semata-mata dan tidak sesekali berdasar godaan nafsu dan keduniaan.

Jika masih 'berat' bertemu jodoh, jangan bersangka buruk kepada Allah. Ini pastinya satu ujian yang mengandungi 1001 hikmah.

Barangkali Allah mahu selamatkan mereka daripada mendapat pasangan tidak sesuai. Tetapi, usaha perlu dipertingkatkan agar Allah permudahkan urusan kita.
Jangan membuat keputusan tidak berkahwin selama-lamanya kerana ia bertentangan dengan fitrah dan syariat agama.

Nabi Muhammad s.a.w memberi panduan melamar seorang wanita adalah dengan melihat calon mengikut aturan yang ditetapkan syarak.

Dari Anas bin Malik, beliau berkata, Mughirah bin Syu'bah berkeinginan untuk menikahi seorang perempuan. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: "Pergilah untuk melihat perempuan itu kerana dengan melihat itu akan memberikan jalan untuk dapat lebih membina kerukunan antara kamu berdua".

Lalu dia melihatnya, kemudian menikahi perempuan itu dan dia menceritakan kerukunannya dengan perempuan itu. (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Sebelum berkahwin pasangan diharuskan melihat dan berkenalan. Menurut riwayat Muslim dari Abu Hurairah bahawa Nabi pernah bertanya kepada seseorang yang akan menikahi seorang wanita: "Apakah engkau telah melihatnya?" Ia menjawab: "Belum:. Baginda bersabda: "Pergi dan lihatlah dia".

Meskipun sudah berkenalan, seseorang itu dilarang berpacaran berdasarkan ayat Quran yang menegah daripada berlakunya perzinaan.

Berpacaran bukanlah perkara yang tepat bagi mengenal pasangan. Mereka boleh mendapat maklumat daripada orang hampir dengannya seperti sahabat baiknya.

Minta penilaian daripada orang tua dan keluarga sebab mereka yang 'jatuh cinta' tidak melihat kekurangan pasangannya, bau busuk pun dikatakan wangi.

Jangan sesekali mengambil kesempatan terhadap pasangan walaupun mereka memberi isyarat berminat kepada kita.

Berikan pujian dengan ikhlas dan jujur terhadap sikap serta personaliti mereka. Jadikan mereka mempercayai kepada keikhlasan kita supaya mereka dapat berkongsi suka duka atau luahan emosi.

Janganlah bersikap keterlaluan sehingga menimbulkan pergaduhan atau rasa tidak senang kepada pasangan. Berusahalah untuk mencuci hati daripada perasaan negatif.

Untuk menjadikan semua orang di sekeliling kita berasa senang dan sayang kepada kita, bersihkan hati dengan menjaga ibadah seperti solat, membaca al-Quran, memaafkan orang lain, meminta maaf jika melakukan kesalahan, banyakkan bersedekah dan sentiasa memikirkan hal yang positif.

Dilahirkan sebagai lelaki, kita perlu banyak belajar mengenal kerenah wanita terutama menjaga perasaan, kehendak, pemikiran dan kesukaan mereka.

Cuba elakkan mencari kelemahan dan kesilapan kecil yang ada pada bakal pasangan. Apatah lagi bertindak mengutuk atau memalukan bakal mereka.

Pasangan pastinya akan tertarik kepada jika kita mengasihinya bukan kerana harta, wajah atau keturunannya.

Cari ruang untuk sentiasa mewujudkan suasana yang gembira yang dalamnya ada terselit kisah lucu.

Apa yang paling penting, carilah bakal bakal pasangan yang sekufu, setara dan sepadan dengan kita. Kehidupan yang lalui adalah 'medan' untuk terus memperbaiki diri dan belajar sesuatu perkara yang baru.

14 October, 2010

Neraka Untuk 7 Anggota

ALLAH menyediakan tujuh pintu neraka jahanam. Menurut ulama, tujuh pintu neraka itu disediakan untuk salah satu daripada anggota tubuh kita iaitu mata, telinga, lidah, perut, tangan, kemaluan dan kaki.

Mata adalah pemberian Allah yang amat besar dan tidak terkira nilainya. Dengan mata, kita dapat menyaksikan tanda-tanda kebesaran Allah supaya kita lebih bertakwa.

Mata yang dianugerahkan bukan untuk melihat wanita yang bukan mahram, wanita seksi, memandang keaiban sesama masyarakat atau menghina saudara Muslim yang serba kekurangan.

Telinga hendaklah dipelihara daripada mendengar umpat keji, percakapan kotor atau perkara bidaah. Gunakan telinga untuk mendengar bacaan ayat suci al-Quran dan kalimah Allah atau untuk menuntut ilmu agama.

Lidah hendaklah digunakan untuk berzikir, memuji kebesaran Allah serta menyampaikan kebenaran kepada sesama manusia dan menyeru ke jalan Allah.
Lidah juga perlu digunakan bagi menyampaikan ilmu agama dan bukan untuk memfitnah sesama sendiri.

Jika kita tidak menjaga lidah secara lisan, ini amat buruk risikonya kerana boleh menyebabkan berlaku perkara tidak diingini. Akibatnya, boleh menjerumus ke neraka.

Dusta adalah ibu segala dosa dan perbuatan itu boleh mendatangkan pertengkaran dan menjejaskan kewibawaan dan kepercayaan masyarakat kepada kita.
Perut. Memelihara perut amat penting. Kita perlu mengelak daripada mengisi dengan makanan haram.

Perut juga jangan diisi berlebihan kerana perbuatan itu boleh mendatangkan kemudaratan seperti membekukan hati, melemahkan badan dan membuatkan kita malas untuk beribadat.

Justeru, Islam menggalakkan kita bersikap sederhana apabila menghadapi makanan dan mengisi perut dengan rezeki yang halal.

Kemaluan. Ia perlu dipelihara daripada perkara yang haram.

Tutup aurat dan jauhkan daripada menonton filem lucah yang menaikkan nafsu syahwat.

Bahaya menanti kita jika gagal mengawal nafsu yang akhirnya membawa kepada perkara maksiat, mencabul kehormatan, rogol dan perbuatan yang dilaknat Allah.

Tangan. Anugerah Ilahi ini perlu dipelihara dan digunakan untuk perkara kebaikan seperti menolong orang, mencari rezeki halal, menentang segala kezaliman, menulis perkara yang baik umpamanya menulis ilmu pengetahuan dan panduan untuk masyarakat, bukan menulis kejahatan orang atau memfitnah sesama Muslim.

Kaki. Gunakan untuk menuju jalan yang diredai Allah, bukan untuk menjejaki tempat maksiat seperti disko, kelab malam, rumah urut dan tempat perjudian.
Gunakan untuk ke masjid bagi berjemaah, meramaikan majlis kenduri dan segala macam bentuk kebaikan. Maka, gunakan kaki untuk melangkah ke syurga.

27 September, 2010

Ego Dendam Punca Masalah Hati

PERNAHKAH kita sampai ke tahap langsung tidak merasa bersalah dan menyesal melakukan dosa atau jenayah?

MUSNAH...manusia yang mati hati hanya memikirkan kepentingan diri sendiri dan sanggup membiarkan orang lain menderita.
BAHAYA...manusia yang hatinya mati tidak takut atau malu melakukan jenayah dan dosa. Jika itu yang berlaku, awas kerana semua itu adalah tanda hati terlalu 'berkarat' dan mati.

Hati yang mati itu sama seperti jasad yang tidak bernyawa. Jika dipukul, ditepuk dan dicubit berkali-kali pun, ia tidak akan mendatangkan kesan.

Perjalanan hidup yang diatur hanya mengikut kemahuan syahwat sendiri. Orang yang mati hatinya tidak dapat membezakan perbuatan baik dan buruk.

Bahkan, ada berbangga mereka bercerita perbuatan maksiat yang mereka lakukan seperti rogol-bunuh-bakar, berzina, menipu, rasuah dan berbuat zalim kepada orang lain.

Tidak hairanlah jika ada golongan yang sanggup membunuh sesama manusia, ayah menodai anak kandungnya sendiri, ibu mendera anak sehingga mati serta pelbagai perbuatan terkutuk lain tanpa rasa berdosa.

Daripada hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim: Ingatlah! Sesungguhnya dalam jasad (manusia) ada segumpal darah. Jika baik, baiklah seluruh jasadnya. Jika ia rosak, maka rosaklah jasad seluruhnya. Ingat! Itulah hati.

Setiap dosa dan maksiat yang dilakukan maka akan tumbuh satu titik hitam dalam hati mereka.

Perkara itu jelas digambarkan melalui hadis Rasulullah yang bermaksud: "Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Jelas sekali perwatakan golongan yang hati mati itu melalui sikapnya yang kejam, kasar dan tidak berperikemanusiaan.

Abdullah bin Abbas berkata: "Kebaikan itu mendatangkan sinar pada wajah, cahaya di hati, kelapangan dalam rezeki, kekuatan badan dan perasaan cinta di hati.

"Sedangkan dosa itu mendatangkan kesuraman pada wajah, kegelapan di hati, kelemahan badan, kekurangan rezeki dan kebencian di hati manusia".

Sifat pendendam antara punca kepada masalah hati. Mereka sentiasa tidak puas hati ibarat meminum air di lautan; walau banyak yang diminum, ia tetap tidak habis.

Sikap ego yang bersarang dalam hati menjadi ibu sifat mazmumah yang membuatkan seseorang tidak tenang.

Begitu juga dengan rakan atau orang di sekeliling kita. Jika kita berkawan dengan orang soleh, pasti dia membawa kita mengingati Allah manakala orang jahil kepada kesesatan.

'Kematian' hati juga boleh dilihat apabila seseorang itu sedih orang lain mengatasi kehebatannya.

Mereka akan memastikan tidak ada yang boleh lebih daripadanya. Ini menambah sifat dendam yang memalapkan cahaya imannya.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati. (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi).

Jangan menjadikan ketawa keterlaluan sebagai cara menzahirkan perasaan gembira kerana boleh membawa kepada beku dan matinya hati.

Jika hati mati, syaitan mudah membawa kita ke lembah hina.

Sementara itu, antara mazmumah utama yang menghilangkan bahagia di hati ialah sifat pemarah.

Ego pula membuatkan golongan seperti ini memiliki sifat pantang dicabar. Allah mengunci mati hati dan pendengaran mereka dan penglihatan mereka ditutup.

Pemilik hati mati pasti menolak kebenaran dari Allah dan suka melakukan kezaliman terhadap sesama makhluk.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka jahanam kebanyakan dari jin dan manusia. Mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah). Mereka mempunyai mata, tetapi tidak digunakan untuk melihat (tanda kekuasaan Allah). Mereka mempunyai telinga, tetapi tidak gunakan untuk mendengar (ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. (Surah al-Araaf ayat 179).

Ketahuilah apabila hati menjadi keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan.

Perunding Motivasi dan penceramah, Mohd Zawawi Yusoh, berkata hati yang mati akan menghilangkan rasa ketuhanan dalam diri seseorang.

"Sebab itu, mereka tergamak melakukan pelbagai jenayah dan salah laku yang bertentangan dengan agama akibat hati yang tidak ada tindak balas terhadap kebaikan.

"Jika terus membiarkan diri bergelumang dengan maksiat ia akan menjadi penghalang utama amalan tidak diterima Allah," katanya.

Mohd Zawawi berkata hati juga mempunyai beberapa sifat antaranya hati keras, degil dan berat untuk melakukan amal kebaikan.

"Hati mati paling dahsyat kerana membuatkan manusia hilang sifat kemanusiaan dan belas ihsan. Tidak hairan ada sanggup merogol anak atau adik sendiri, membunuh dengan kejam atau mendera isteri dan kanak-kanak.

"Rezeki haram menyumbang 'kematian' hati. Ia juga melahirkan individu yang berpenyakit," katanya.

Beliau berkata, makanan hati adalah ilmu. Imam al-Ghazali menyatakan apabila seseorang itu tidak mendengar majlis ilmu selama tujuh hari, hatinya menjadi keras.

"Justeru, didiklah diri supaya cintakan majlis ilmu, istiqamah membaca al-Quran, mengamalkan zikir setiap solat selain berkawan dengan orang beragama yang dapat mendorong kita berada di landasan agama yang benar," katanya.

Beliau berkata, orang yang banyak dosa doa mereka tidak diterima malah akan merosakkan.

"Hati orang yang banyak dosa pasti merasa sempit selain segala masalah yang dihadapi tidak dapat diselesaikan," katanya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata." (Surah al-Zumar ayat 22).

Mohd Zawawi berkata, bagi meleburkan hati yang keras, sentiasa bertaubat, bersolat lima waktu secara berjemaah dan kerap melakukan qiamulail.

"Matinya hati adalah bencana dan malapetaka besar yang bakal menghitamkan seluruh kehidupan," katanya.

01 September, 2010

Al-Quran Panduan Lengkap Manusia

SEORANG guru yang mengajar di sebuah sekolah rendah memberitahu dia terkejut apabila mendapati ramai muridnya tidak tahu membaca al-Quran.

Malah, dalam beberapa kes, ada murid yang tidak tahu membaca al-Fatihah pun. Apabila diminta mengikut apa yang dibaca, ia mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menghabiskan surah berkenaan.

Ketandusan atau buta al-Quran di kalangan generasi muda bukan lagi satu rahsia kerana mereka lebih mengagungkan perkara lain berbanding kitab suci itu.

Ramai remaja boleh menghabiskan bacaan novel percintaan atau romantik karya penulis terkenal dalam tempoh beberapa hari, tetapi mengambil masa bertahun menghabiskan 30 juzuk al-Quran. Lebih malang, ada yang tidak menghabiskan sehingga usia menginjak dewasa. Apabila berkahwin dan mempunyai anak-anak, lahirkan generasi buta al-Quran. Bayangkan jika fenomena ini berterusan, apa yang akan terjadi kepada generasi akan datang. Sesuatu perlu dilakukan bagi menyelesaikan kekalutan ini kerana al-Quran adalah kalam Allah yang memberi panduan untuk dunia dan akhirat.

Sempena Ramadan ini, penuhkan waktu yang kosong dengan membaca al-Quran atau belajar daripada mereka yang mahir supaya jiwa tidak kosong dan gersang.

Al-Quran bukan bacaan biasa kerana di dalamnya terhimpun pelbagai 'khasiat' dan terapi yang boleh menjadikan seseorang itu tenang kerana lidah tidak sunyi memuji Allah. Bulan ini, al-Quran diturunkan kepada umat manusia sebagai panduan untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi Muhammad s.a.w.

Al-Quran diturunkan secara berperingkat selama 23 tahun sehingga menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad. Al-Quran adalah bukti kenabian Nabi Muhammad dan menjadi bukti ia bukannya ucapan atau ciptaan Nabi Muhammad sendiri. Allah berfirman yang bermaksud: "Orang-orang yang Kami turunkan Kitab kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itulah yang beriman dengan Kitab itu; dan sesiapa yang mengingkarinya, mereka itulah orang yang rugi." (Surah al-Baqarah ayat 121) Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad dalam pelbagai bentuk. Nabi Muhammad diwahyukan melalui mimpi yang benar (al-Rukya al-Sadiqah). Malaikat memasukkan wahyu itu ke dalam hatinya. Nabi tidak melihat sesuatu pun, tetapi merasa bahawa ia sudah berada di dadanya.

Kemudian malaikat menjelmakan dirinya kepada Nabi menyerupai seorang lelaki yang mengucapkan kata-kata kepadanya. Selain itu, wahyu juga turun kepada Nabi dalam satu keadaan seperti bunyi loceng (Salsalah al-jaras). Cara itulah yang amat berat Nabi rasakan. Kadang kala kening Nabi berpeluh walaupun wahyu itu turun pada musim dingin. Malah, unta baginda juga terpaksa berhenti dan duduk kerana berasa amat berat. Zaid bin Tsabit meriwayatkan: "Aku adalah penulis wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah. Aku lihat Rasulullah ketika turunnya wahyu itu seakan-akan diserang demam yang kuat dan peluhnya bercucuran seperti permata. Selepas turunnya wahyu, barulah Baginda kembali seperti biasa." Bagi yang mengamalkan al-Quran, kehidupan mereka pasti bahagia.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya al-Quran ini menunjukkan (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan (amalan) yang soleh; sesungguhnya untuk mereka itu pahala yang besar." (Surah al-Israk ayat 9) Al-Quran mengandungi pelbagai mukzijat jika difahami sepenuhnya. Tidak hairanlah, generasi sahabat menjadi ahli Quran.

Al-Quran merubah kehidupan umat Arab ketika itu daripada jahiliah kepada bertamadun. Sebagai contoh, Saidina Umar al-Khattab yang bengis dan membenci Rasulullah, menerima Islam apabila dibacakan ayat al-Quran.

Justeru, dalam bulan Ramadan ini kita dituntut untuk bertadarus al-Quran bagi menghayati pengajaran dan kesuciannya. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya." Pensyarah Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Saupi Man, berkata nuzul Quran yang diraikan setiap tahun itu sebenarnya sejarah penurunan al-Quran yang Allah turunkan sekali gus ke Luh Mahfuz.

"Penurunan al-Quran sekali gus ke Luh Mahfuz itu hanya Allah saja mengetahui tempatnya. "Manakala sejarah penurunan al-Quran kepada Nabi Muhammad dilakukan secara beransur-ansur selama 23 tahun supaya umat Islam ketika itu lebih memahami. "Selain itu, Nabi Muhammad dapat mengajak umatnya mengikuti segala perintah al-Quran sedikit demi sedikit berdasarkan peristiwa yang berlaku," katanya.

Beliau berkata amat tidak wajar ada kalangan umat Islam terus membiarkan diri mereka tidak berusaha mendalami al-Quran.

"Tidak patut sama sekali ada yang boleh menghabiskan bahan bacaan santai seperti novel berulang kali, tetapi enggan atau tidak tahu membaca al-Quran sehingga membiarkan diri mereka 'buta al-Quran.' "Sifat sedemikian patut diubah dalam usaha membina umat yang dalam semua lapangan kehidupan berpandukan al-Quran," katanya.

13 August, 2010

Ramadan Bukan Pesta Makan

AHLAN wa sahlan ya Ramadan! Pastinya umat Islam sangat menantikan kedatangan Ramadan al mubarak yang penuk keberkatan. Hari ini masuk hari ketiga kita mengharungi Ramadhan 1431 ini.

BERSEDERHANA...amalkan berbuka secara sederhana kerana ia dapat melatih fizikal dan spiritual dalam membentuk akhlak terpuji.

BERTADARUS...amalan bertadarus al-Quran adalah seorang membaca al-Quran manakala yang lain mendengar serta menyemaknya.

Dengan datangnya bulan penuh keberkatan ini, maka usah dibiarkan ia berlalu pergi tanpa sebarang perubahan dalam diri kita. Andai kata Ramadan kali ini yang terakhir buat kita, moga ia menjadi pembela kita di akhirat kelak dan kita jadikannya Ramadhan yang terbaik dari Ramadhan2 yang lalu. Gunakan peluang yang terbuka luas ini untuk bertaubat dan kembali kepada fitrah kerana manusia tidak terlepas daripada melakukan dosa.

Daripada Abu Hurairah, Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Setiap amal yang dilakukan anak Adam adalah untuknya dan satu kebaikan dibalas sepuluh kali ganda bahkan sampai tujuh ratus kali ganda. Allah berkata: "Kecuali puasa, itu untuk-Ku dan Aku yang langsung membalasnya. Orang yang berpuasa mendapatkan dua kesenangan iaitu kesenangan ketika berbuka puasa dan kesenangan ketika berjumpa dengan Tuhannya. Sesungguhnya, bau mulut orang berpuasa itu lebih harum daripada aroma kasturi.” (Hadis diriwayatkan Bukhari dan Muslim) Malaikat juga merendahkan sayapnya bagi menghitung pahala berganda yang dijanjikan Allah kepada hamba-Nya yang sentiasa taat serta mengisi waktunya dengan beribadat.

Begitulah istimewanya puasa berbanding dengan ibadat lain kerana ia perlu dilakukan dengan penuh keikhlasan. Ramadan adalah salah satu daripada empat bulan yang dianggap mulia oleh kaum Muslimin disebabkan pelbagai peristiwa agung berlaku antaranya peristiwa penurunan kitab suci al-Quran kepada Nabi Muhammad s.a.w serta berlakunya malam lailatul qadar. Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar; mudah-mudahan kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah ayat 183). Ibadah puasa diwajibkan kepada manusia supaya mereka dapat mengawal nafsu daripada makan, minum dan bersetubuh pada siang hari selain bagi tujuan kerehatan. Hikmahnya adalah untuk mendidik rohani, jasmani, budi pekerti dan nafsu. Ramadan juga adalah proses penilaian diri yang selama ini hanya banyak memikirkan kesibukan dunia. Sememangnya hidup manusia tidak lari dari cabaran dan ujian daripada Allah. Sedar ataupun tidak, manusia yang lemah ini sentiasa diperangi dengan godaan hawa nafsu. Kesan nafsu tidak terkawal, pasti mempengaruhi roh kita sama ada berbentuk harta benda, kekuasaan, pangkat, pengikut yang ramai serta ingin menjadi ternama. Apabila nafsu dibiarkan tanpa didikan, ia akan menghasut manusia memusuhi larangan Allah dan melakukan maksiat. Justeru, apakah persiapan kita menghadapi Ramadan terakhir ini? Pertamanya, lengkap diri dengan ilmu pengetahuan dan ulang kaji amalan yang perlu dilakukan ketika beribadat.

Berapa ramai orang yang berpuasa, tetapi secara terang melakukan maksiat? Semua itu berlaku akibat mereka tidak menjaga adab berpuasa. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Berapa ramai orang yang berpuasa, mereka tidak mendapat apa-apa daripada puasa mereka kecuali lapar dan dahaga.” Berpuasa tidak hanya berlapar dahaga siang hari saja, malah kita dituntut menjaga anggota daripada melakukan maksiat. Berpuasa memerlukan kesabaran yang tinggi. Sifat tamak, gelojoh, makan berlebihan tidak boleh diamalkan kerana ia bertentangan dengan matlamat Ramadan. Jauhkan diri daripada mendengar umpatan, fitnah dan kata kotor. Berwaspada ketika berbicara kerana bimbang boleh mengurangkan pahala puasa seperti mencerca, membuka dan menceritakan keaiban orang lain, memaki serta mengeluarkan kata-kata kesat. Pergaulan yang baik perlu dilakukan terutama terhadap isteri, anak, jiran tetangga, rakan dan seluruh manusia yang mempunyai hubungan dengan kita. Tidak hairanlah, apabila tiba Ramadan, ia mengembalikan semula hubungan persahabatan dalam masyarakat kerana mereka akan bertemu di masjid ketika solat jemaah.

Jadi amalan berkenaan sepatutnya dihidupkan pada setiap masa dan tidak hanya berlaku ketika Ramadan dan diterukan selepas Ramadhan. Inilah masa jika kitaa mahu melipat ganda pahala dengan bersedekah, bertadarus al-Quran, solat Tarawih, beriktikaf, mengawal nafsu serta perangai, menghidupkan ibadah dan menjaga pancaindera daripada melakukan maksiat. Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan Universiti Malaya (UM), Rahimi Md Saad berkata, ramai mendakwa mereka berpuasa, tetapi masih melakukan perkara sumbang dan maksiat.

“Puncanya, mereka berpuasa sekadar menjalankan rutin apabila tiba bulan Ramadan saja. Orang lain berpuasa, mereka pun ikut berpuasa tanpa memahami fadilatnya.

“Golongan ini amat rugi, walaupun berpuasa, tetapi hakikatnya mereka hanya mendapat pengalaman lapar dan dahaga,” katanya.

Beliau turut meminta umat Islam di negara ini jangan menjadikan Ramadan sebagai ‘pesta’ makanan. “Apabila makan dengan ­ba­nyak ketika berbuka, bagaimana mahu menghidupkan malam Ramadan dengan beribadah kerana pasti tubuh letih? “Secara biologinya, binatang seperti penguin, anjing laut, singa laut turut berpuasa pada musim tertentu. Jelas berpuasa satu keperluan selain memberi rehat pada tubuh,” katanya.

Mengulas berkaitan ada golongan yang melakukan ibadat dengan bersungguh-sungguh pada bulan Ramadan kerana ingin merebut fadilat tertentu, Rahimi berkata, ia tidak salah kerana Allah sudah sediakan semua itu buat hambaNya. “Umat Nabi Muhammad agak singkat umurnya berbanding umat nabi lain. Maka, Allah sediakan peluang dan kesempatan kita mengumpul amalan seperti mana yang disediakan buat umat terdahulu. “Peluang itu adalah untuk merebut malam lailatulqadar. Namun perlu diingat, hubungan kita dengan Allah bukan perlu dijaga hanya pada Ramadan saja. Jangan jadikan Ramadan sekadar bulan ‘mencuci dosa’,” katanya.

Sepanjang malam pada bulan Ramadan, lakukan solat Taarawih, membaca al-Quran, berzikir dan sembahyang tahajud bagi menjaga hati supaya jangan mati dan terus beku.

“Antara amalan digalakkan pada sepuluh hari terakhir Ramadan ialah solat tahajud, tadarus al-Quran, zikir, dan doa, panjangkan bacaan di dalam solat sunat yang dilakukan, zikir yang ma’thur (diajar oleh Nabi saw) dan mintalah apa yang dihajati kerana Allah sangat hampir dengan hamba-Nya pada malam berkenaan,” katanya.

Wallahu'alam

05 August, 2010

KEMBARA RAMADHAN 1431 ANJURAN BERSAMA SURAU MENARA TELEKOM & KELAB TM IP ( CAWANGAN MENARA TM ) - 07 OGOS 2010 ( SABTU ) @4.00PAGI

Muslimin & Muslimat, warga TM sekelian,
Dimaklumkan bahawa SMT dengan kerjasama Kelab TM IP ( cawangan Menara TM ) akan menganjurkan Program Qiamulail sempena kedatangan Ramadhan 1431/2010 yang akan dipimpin oleh Ust Drs Amran Sharif ( tenaga pengajar di SMT ) dan diikuti dengan Kuliah Suboh oleh Ust Alias Abd Rahim ( Pegawai Agama TM ) pada Sabtu ini – 07/08/10@4.00 pagi – di Surau Menara TM, Jalan Pantai Baharu, KL.
Keterangan lanjut sila hubungi Sdr Jailani Hashim @ 013-3401935

Semua Muslimin & Muslimat adalah dijemput hadir.

Terima kasih & Wassalam,

Radzuan Bin Mohamad
Pengerusi SMT
24 Sya’aban 1431

http://smt4you.blogspot.com

22 July, 2010

Merebut Kelebihan Ramadan

BULAN depan, umat Islam di seluruh dunia akan meraikan ketibaan Ramadan, bermakna ketibaan bulan puasa yang sentiasa di tunggu setiap tahun.

Ramadan mempunyai pelbagai hikmah yang tiada terdapat di bulan lain kerana Allah memberi ganjaran berlipat ganda bagi mereka yang melakukan ibadat puasa, membaca al-Quran dan solat Tarawih.

Sempena kehadiran Ramadan, Yamani Angle Sdn Bhd menerbitkan buku, Ramadan Tiba Lagi yang ditulis Wan Mohd Noh Wan Hamat dan Rusnah Abu Samah.

Buku setebal 168 muka surat itu menceritakan dengan lengkap mengenai kelebihan Ramadan termasuk kaedah menentukan awal Ramadan, hukum puasa dan amalan sunat di bulan Ramadan.

Lebih menarik, buku ini memberi panduan mengenai jenis makanan yang sesuai di bulan puasa dari hari pertama hingga hari terakhir.

Ini secara tidak langsung mendidik umat Islam supaya mengawal nafsu ketika berbuka puasa bagi mengelak penyakit lain selepas Ramadan.

Kurma adalah makanan yang berkhasiat, malah ia menjadi santapan Nabi Muhammad s.a.w. Justeru, buku ini menceritakan keistimewaan buah itu dan cara mengambilnya ketika berbuka.

Puasa juga amat baik untuk kesihatan, malah ia dibuktikan secara klinikal. Dalam bab 12, penulis menceritakan kebaikan puasa terutama membantu membersihkan toksik dalam badan, menurunkan kolestrol dan tekanan darah tinggi.



Ia turut menceritakan jumlah air yang perlu diambil bagi membolehkan anda berpuasa dengan selesa sehingga waktu berbuka. Panduan mengambil vitamin turut diceritakan dalam buku ini.

Sesuatu yang menarik dalam buku ini, anda mendapat resipi Ramadan, antaranya bubur cha cha, bubur jagung, mi kari, bihun goreng Cina, mi tomyam dan laksa.
Selain itu, pelbagai hidangan air buah-buahan segar turut dimuatkan dalam buku ini.

Dalam erti kata lain, selain memberi penerangan lengkap mengenai Ramadan, puasa, solat tarawih dan panduan makanan, ia seperti koleksi 5 dalam satu untuk pembaca menghadapi ketibaan Ramadan.

TAJUK: Ramadan Tiba Lagi
PENULIS: Wan Mohd Noh Wan Hamat dan Rusnah Abu Samah
PENERBIT: Yamani Angle Sdn Bhd
HARGA: RM28 (Semenanjung) RM30 (Sabah/Sarawak)
TEBAL: 168 muka surat

25 June, 2010

Hari Kiamat Rahsia Allah swt

BERIMAN kepada hari kiamat adalah satu daripada rukun Iman yang wajib diperakukan kebenarannya, manakala mengingkarinya bererti seseorang itu terkeluar daripada Islam.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan bahawa sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang, tidak ada sebarang syak padanya, dan bahawa sesungguhnya Allah akan membangkitkan (menghidupkan semula) orang-orang yang berada dalam kubur." (Surah al-Haj ayat 7).

Maha besar kebijaksanaan dan keesaan Allah yang merahsiakan tarikh sebenar berlakunya hari kiamat. Keadaan ini untuk memastikan manusia itu sentiasa bersedia untuk menghadapi saat getir itu.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dialah sahaja; dan ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata." (Surah al-An'am, ayat 59).

Bagaimanapun, jika dilihat dalam beberapa hadis Rasulullah berkenaan hari kiamat, terdapat beberapa tanda yang dijelaskan Baginda.

Antaranya menerusi sabda Rasulullah: Dari Huzaifah al-Ghifari r.a berkata, sewaktu kami sedang berbincang, tiba-tiba datang Rasulullah kepada kami lalu bertanya: "Apakah yang kamu semua sedang bincangkan?"

Lalu kami menjawab: "Kami sedang berbincang mengenai hari kiamat." Sabda Rasulullah: "Sesungguhnya kiamat itu tidak akan terjadi sebelum kamu melihat sepuluh tanda: Dukhan (kabut asap), Dajjal, Dhab al-Ardh (binatang melata yang boleh berbicara), matahari terbit dari barat, turunnya Isa, munculnya Ya'juj Ma'juj dan tiga gerhana, gerhana di timur, barat dan Semenanjung Arab dan terakhir api yang keluar dari Yaman yang akan menghantar manusia ke Mahsyar." (Hadis Riwayat Muslim).

Hakikatnya hari kiamat itu pasti datang 'menerjah' manusia yang semakin asyik dengan keseronokan dunia yang penuh dengan helah dan tipu daya.


Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Aku diutus, sedangkan antara aku dan hari kiamat adalah seperti ini", sambil Baginda menyandingkan antara jari telunjuk dan jari tengah." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sebagai umat Islam yang beriman kepada hari Kiamat, seharusnya kita sedar bahawa semua yang berkaitan dengan perkara ghaib adalah di luar kemampuan akal manusia untuk mentafsirkannya.

Setiap sesuatu yang tidak pernah langsung dinyatakan dalam al-Quran dan hadis haruslah ditolak sekeras-kerasnya supaya keimanan kita kekal utuh.

Allah jelas menerangkan perkara berkaitan hari kiamat menerusi firman-Nya dalam al-Quran yang bermaksud: "Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?", katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia.

"(Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut." Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari Kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (Surah al-A'raf, ayat 187).

Semestinya, sesuatu yang mustahil bagi manusia membuat kiraan untuk mengetahui tarikh sebenar bila berlakunya hari kiamat.

09 June, 2010

Alam Barzakh Tempat Rehat Golongan Soleh

KEMATIAN dan kehidupan di alam barzakh sesuatu yang amat digeruni setiap masa. Malah, untuk bercakap mengenai mati pun, ramai yang kecut perut padahal setiap makhluk yang bernyawa pasti akan mati.

Bagi manusia, mereka pasti akan kembali kepada Allah dan menempuh alam kubur (barzakh) sama ada suka atau sebaliknya kerana ia adalah pasti.

Kematian dan kehidupan di alam kubur adalah proses kehidupan manusia. Apabila tiba ajalnya, kita akan dijemput Allah untuk menjadi tetamunya di alam barzakh.

Hakikatnya, barzakh adalah alam ghaib dan tidak boleh dilihat pada pandangan mata biasa malah telinga manusia tidak dapat mendengar apa yang berlaku di alam itu.

Buku ini membawa pembaca mengembara dari penghujung kehidupan dunia yang seronok dan penuh kenikmatan menempuh alam barzakh yang penuh misteri, seksa dan ngeri.

Sebaliknya bagi mereka yang membawa bekalan amal soleh, alam barzakh adalah suatu tempat rehat sementara menunggu berpindah ke alam akhirat untuk perbicaraan di mahkamah Allah sebelum dimasukkan ke syurga atau neraka yang kekal abadi.

Penulis, Ahmad Hassan lulusan bidang Syariah dan Undang-Undang Universiti Al-Azhar, Mesir memang berpengalaman dalam bidang penulisan. Beliau kini dalam proses menterjemahkan secara lengkap tafsir 30 juzuk al-Quran.

Beliau menggunakan bahasa yang mudah dan jelas sehingga membaca bab demi bab terasa menyeronokkan apatah lagi mengenai alam yang selama ini tidak pernah kita tengok atau huni melainkan selepas mati.

Rujukan daripada al-Quran, hadis Nabi Muhammad s.a.w dan kitab karangan ulama menguatkan hujah yang disampaikan dalam buku ini.

Buku ini perlu dibaca umat Islam yang mahu membersihkan diri daripada perbuatan dosa dan kelak menjadi penghuni kubur dalam keadaan reda.

Kesimpulannya, buku ini mampu memberi keinsafan kepada pembaca kerana sebagai manusia yang kerdil, kita perlu bersiap sedia sepanjang masa kerana kematian akan datang tanpa di duga.

Amat malang mereka yang belum insaf dan bergelumang dosa kerana berpendapat apabila umur muda, hari kematian masih jauh. Ingatlah, kematian tidak mengira usia malah jika ditakdirkan mati, ia tidak bertangguh walaupun sesaat.

INFO
TAJUK: Minggu Pertama di Alam Kubur
NAMA PENULIS: Ahmad Hasan Mohd Nazam
HARGA: Semenanjung Malaysia (RM22) Sabah/Sarawak (RM24)
PENERBIT: Yamani Angle Sdn Bhd
CETAKAN MUKA SURAT: 220 muka surat

27 May, 2010

SOLAT JUMAAT DI SURAU MENARA TM ( SMT ) PADA 28/05/2010 - CUTI HARI WESAK

Dimaklumkan bahawa Solat Jumaat akan diadakan seperti biasa di Surau Menara TM ( SMT ) pada cuti umum Hari Wesak ini iaitu pada :



28/05/2010 ( bersamaan 14 Jamadilakhir 1431 )

Khatib & Imam nya ialah Ustaz Hj Zainal Mokhtar Md Lazim dan Bilalnya pula ialah Sdr Mohd Rusdi Husin.

Tajuk khutbah ialah : Muafakat Jiwa ( teks keluaran JAWI ).



Untuk makluman semua, pihak SMT telah mengadakan Solat Jumaat pada cuti cuti umum berikut :

1. 27/11/09 – Hari Raya Haji ( x berjaya kerana Jemaah 40 orang tidak mencukupi, oleh itu telah bersolat Zohor ),

2. 18/12/09 – Maal Hijrah ( Alhamdulillah, berjaya kerana Jemaah lebih kurang 60 orang ),

3. 25/12/09 – Krismas ( Alhamdulillah, berjaya kerana Jemaah lebih kurang 50 orang ),

4. 01/01/10 – Tahun Baru ( Alhamdulillah, berjaya kerana Jemaah lebih kurang 80 orang ),

5. 26/02/10 - Maulidur Rasul ( Alhamdulillah, berjaya kerana Jemaah lebih kurang 120 orang ).



Oleh yang demikian, saya mewakili seluruh AJK SMT menjemput semua Muslmin untuk sama sama kita datang ke SMT untuk bersolat Jumaat khasnya bagi mereka yang bekerja pada hari tersebut & juga mereka mereka yang tinggal berhampiran dengan kawasan di sini.

Sila war warkan kepada rakan taulan & mereka yang tidak berkesempatan untuk membaca e mail ini.



InsyaAllah, pihak SMT akan mengadakan Solat Jumaat seperti biasa kiranya ia jatuh pada cuti umum & perkara ini akan dimaklumkan pada semua Jemaah dari masa ke semasa.



Wallahu’Alam & terima kasih pada semua.

Wassalam.



Saya yang menjalankan amanah,



Radzuan Bin Mohamad

Pengerusi SMT

http://smt4you.blogspot.com



P please consider the environment before printing this email

18 May, 2010

Reda Ibu Bapa Jamin Hidup Berkat

SETIAP manusia sentiasa mendambakan kehidupan bahagia apatah lagi ketika usia senja.

Alangkah nikmatnya kehidupan hari tua di samping orang tersayang selepas puas membanting tulang membesarkan zuriat pada usia muda. Malah, jiwa seorang warga tua dilihat lebih sensitif daripada kanak-kanak kecil. Hati mereka mudah tersentuh dan tersinggung jika hasrat mereka tidak dipenuhi anak-anak. Keadaan ini fitrah manusia yang boleh dilihat seolah-olah kembali ke zaman kanak-kanak apabila usia lanjut. Namun, amat menyedihkan akhir-akhir ini media sering melaporkan warga tua diabaikan zuriat sendiri dan terpaksa hidup merempat dan menagih simpati orang lain.

Ini berlaku kerana hilangnya rasa tanggungjawab dan prihatin anak yang lebih mementingkan kerjaya lantas berpendapat tugas menjaga orang tua sesuatu yang membebankan.

Kajian mendapati, pada 2004 terdapat kira-kira 1.66 juta warga tua di Malaysia dan menurut unjuran yang dibuat, peratus warga tua akan terus meningkat kepada 7.3 peratus pada tahun ini dan 9.5 peratus menjelang 2020. Pada 2020, jangka hayat lelaki diunjurkan 75.4 tahun dan wanita 80.4 tahun. Berbuat baik dan berbakti kepada orang tua adalah amalan mulia. Ini bersandarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w ketika menjawab pertanyaan Ibn Mas’ud r.a, bermaksud: “Aku pernah bertanya Rasulullah s.a.w: Apakah amalan yang paling utama? Baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua-dua orang tua. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah.” (hadis riwayat Muslim).

Di dalam al-Quran, Allah menjelaskan berbuat baik terhadap orang tua amat penting sehingga martabatnya diletak selepas akidah (tidak menyekutukan Allah). Firman Allah yang bermaksud: “Dan Tuhanmu perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa, jika seorang daripada mereka atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ah", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Isra’, ayat 23). Ini membuktikan tingginya martabat ibu bapa dalam Islam sehingga mengingkari perintahnya dan mengasari mereka walaupun dengan berkata ‘ah’ cukup untuk melabelkan si anak sebagai derhaka. Bayangkan jika si anak mencederakan orang tuanya, pasti dosanya lebih besar.

Sebagai anak soleh, kita wajib menjaga air muka dan maruah ibu bapa. Sesungguhnya setiap tingkah laku dan pertuturan kita mencerminkan maruah dan harga diri orang tua.

Amat besar dosa anak yang tidak menjaga maruah dan air muka ibu bapa. Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As bahawa Rasulullah bersabda, bermaksud: “Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca orang tuanya. Sahabat Baginda bertanya: Wahai Rasulullah, adakah akan berlaku seorang lelaki memaki hamun kedua dua orang tuanya? Rasulullah menjawab: Ya. Seorang lelaki yang memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga jika seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya.” (hadis riwayat Bukhari).

Islam tidak pernah sekali-kali memutuskan hubungan anak dengan ibu bapa mereka meskipun si anak sudah memeluk Islam. Firman Allah yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, janganlah engkau taat kepada mereka, kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 8).

Seperkara lagi yang perlu menjadi ingatan setiap anak bahawa keredaan Allah itu mempunyai kaitan rapat dengan keredaan kedua-dua ibu bapa. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Keredaan Allah ada dalam reda kedua-dua ibu bapa dan kemurkaan-Nya ada dalam kemurkaan kedua-duanya.” (Hadis riwayat al-Tabrani). Justeru, berhati-hatilah terhadap setiap pertuturan dan setiap inci tingkah kita agar ia tidak mengguris perasaan mereka yang memadamkan keredaannya. Sesungguhnya, keberkatan hidup seorang anak akan lebih menyinar jika disertai dengan doa dan restu ibu bapa mereka. Bagi mereka yang masih diberi kesempatan untuk berbakti kepada ibu bapa, rebutlah peluang itu sebelum ajal menjemput mereka.

Jika tidak berpeluang menabur bakti kepada orang tua, memadai berdoa kepada Allah agar roh mereka di tempatkan bersama golongan yang beriman. Selain itu, jagalah ikatan silaturahim dengan rakan ibu bapa agar kebaikan akan terus dinikmati orang tua.

Jangan lupa melakukan kebaikan seperti bersedekah, membaca al-Quran atau berzikir untuk dihadiahkan kepada ibu bapa yang meninggal dunia.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Apabila mati anak Adam, maka putuslah amalannya kecuali daripada tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat dan anak soleh yang mendoakan untuknya.” (hadis riwayat Muslim)

07 May, 2010

Taati Allah Ubat Gelisah

KEHIDUPAN pasti ada cabaran, suka dan duka. Tidak bernama kehidupan tanpa cabaran, ia ibarat warna-warni yang menghias diri.

INGAT ALLAH...amalan membaca al-Quran dapat melahirkan individu yang bersih jiwanya.
TENANG...hati akan tenteram jika setiap masa berzikir memuji nama serta kebesaran Allah.

Namun, seberat mana masalah yang menimpa, jangan mudah berputus asa. Rahmat dan nikmat Allah sentiasa meliputi kita. Sebenarnya tujuan Allah menyakitkan adalah bagi menyembuhkan, begitu juga Allah menyempitkan adalah untuk meluaskan. Hebatnya perancangan Allah bagi menguji hamba-Nya.

Ketandusan hati adalah penyakit yang amat ketara dalam masyarakat kita hari ini. Ramai susah hati, gelisah, gundah-gulana walaupun memiliki segala-galanya, harta dan kuasa.

Hakikatnya, kebahagiaan dan ketenangan bukan terletak kepada kemewahan, harta benda atau kuasa kerana manusia yang kaya-raya hidup tidak senang, takut, runsing dan tidak tenteram. Mengapa?

Apabila hati dikuasai iman dan takwa, akan lahirlah kebaikan. Namun, apabila hati dikuasai nafsu, amal yang muncul adalah keburukan.

Tidak hairanlah apabila seseorang itu mengalami kegelisahan akan melakukan apa saja di luar batasan akal manusia. Ia berlaku kerana gagal mengawal perasaan serta tidak melihat Allah sebagai Yang Maha Kuasa dan Maha Esa.

Demikian juga halnya dengan penyakit seperti dengki, dendam dan iri hati yang semuanya berpunca daripada kegelisahan dan tiada ketenangan dalam hati mereka.


Pelbagai usaha yang dilakukan dalam mencari ketenangan jiwa. Ada antara mereka yang mencari ketenangan jiwa itu dengan melancong, bersukan, yoga atau melukis.

Ada juga memilih jalan 'songsang' seperti berhibur di kelab malam, minum arak atau mengambil dadah.

Apabila manusia berasakan Allah begitu dekat dengannya walaupun dibebani dengan masalah, mereka akan segera mendapatkan ketenangan dengan membaca al-Quran, berzikir, bersolat dan melihat keindahan alam ciptaan Allah. Inilah ubat ketenangan.

Allah berfirman yang bermaksud: "(Iaitu) orang yang beriman dan tenteram hatinya dengan mengingati Allah. Ingatlah (bahawa) dengan mengingati Allah itu, tenteramlah segala hati. (Surah al-Ra'd ayat 28).

Hati orang yang beriman itu akan sentiasa tenang dan tenteram kerana mereka mengingati Allah. Tidak kira walau mereka ditimpa malapetaka, mereka segera insaf dan melihat kembali kesilapan yang dilakukan agar ia dapat diubah.

Kesenangan hati itu adalah kebahagiaan yang sebenarnya. Dengan itu, Islam amat menitikberatkan tanggungjawab menunaikan solat lima waktu lima kali sehari semalam kerana dengan bersembahyang manusia dapat membersihkan hati dan jiwa.

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, sembahyang itu tempat ketenangan jiwa dan kesenangan hatinya. Jadi, orang yang mengerjakan sembahyang lima kali sehari semalam seolah-olah mereka mengingati Allah siang, malam, pagi dan petang.

Dengan bersembahyang, hati terasa sedang mengadu serta merintih kepada Allah. Hal berkenaan dijelaskan Rasulullah, bahawa dengan sembahyang, hati orang beriman dan bertakwa sudah terhibur.

Baginda bersabda yang maksudnya: "Di antara kesenangan dunia yang aku sukai ialah wanita, wangi-wangian dan penenang hatiku adalah sembahyang". (Hadis riwayat Al-Nasa'ei).

Itulah bezanya orang yang bersembahyang dengan orang yang meninggalkannya. Maka jangan sesekali kita rasa berat mengerjakan solat kerana ia ternyata memberikan banyak manfaat.

20 April, 2010

Wajah Direnung 70 Kali Sehari

MEMANG tiada siapa pun dapat menduga bila saat kematian mereka akan tiba. Sebab itu ramai yang masih leka dan tiada persediaan 'menanti' saat kematian mereka.
Allah berfirman yang bermaksud: "Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali." (Surah al-Anbiyak ayat 35)

Alam barzakh menjadi tempat persemadian sebelum manusia dibangkitkan pada hari akhirat dan kematian adalah dugaan bagi menilai keimanan selepas berpisah dengan insan tersayang.
Tahukah kita bahawa malaikat maut sentiasa merenung serta melihat wajah seseorang itu 70 kali dalam sehari? Andainya manusia sedar hakikat itu, nescaya mereka tidak lalai mengingati mati.
Oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak dapat melihat kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan malaikat Izrail.

Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa. Maka berkata Izrail: 'Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa.'"

Justeru, tidak hairanlah, jika ramai manusia yang masih mampu lagi bergelak sakan dan bersenang-lenang seolah mereka tiada masalah yang perlu difikirkan dalam hidup. Takdirnya esok hari terakhir Allah 'pinjamkan' nyawa kepada kita untuk bernafas di muka bumi ini adakah kita sudah cukup bekalan bagi menghadapi dua fasa berikutnya iaitu alam barzakh dan alam akhirat?

Tiada seorang pun di dunia ini dapat menggambarkan bagaimana perasaan dan pengalaman mereka menghadapi saat kematian. Ajal tidak mengenal sesiapa sama ada mereka itu tua, muda, sihat, kaya atau miskin.

Rasulullah s.a.w juga menjelaskan dalam hadisnya bahawa kesakitan ketika hampir mati itu seperti ditetak 100 kali dengan pedang tajam atau seperti dikoyak kulitnya dari daging ketika hidup-hidup. Bayangkanlah betapa sakit dan dahsyatnya saat menghadapi kematian.

Maka amat beruntunglah sesiapa yang matinya dalam keadaan khusnul khatimah (kebajikan). Salman Al-Farisi meriwayatkan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: "Perhatikanlah tiga perkara kepada orang yang sudah hampir mati itu. Pertama: berpeluh pada pelipis pipinya; kedua: berlinang air matanya dan ketiga: lubang hidungnya kembang kempis.

"Manakala jika ia mengeruh seperti tercekik, air mukanya nampak gelap dan keruh dan mulutnya berbuih, menandakan menandakan azab Allah sedang menimpa dia." (Hadis riwayat Abdullah, al-Hakim dan at-Tarmizi)

Kematian 'menjemput' manusia secara perlahan-lahan atau beransur-ansur mulai daripada jasad, hujung kaki kemudian ke paha.

Bagi orang kafir pula, apabila nyawanya hendak dicabut Izrail, wajahnya akan menjadi gelap dan keruh dan dia mengeruh seperti binatang yang disembelih. Itu pula tanda azab yang diterimanya disebabkan dosa dan kekufuran mereka.

Al-Qamah bin Abdullah meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Bahawa roh orang mukmin akan ditarik oleh Izrail dari jasadnya dengan perlahan-lahan dan bersopan sementara roh orang kafir pula akan direntap dengan kasar oleh malaikat maut bagaikan mencabut nyawa seekor khimar."

Allah juga turut menimpakan seorang Muslim yang berdosa itu dengan kekasaran ketika mereka menghembuskan nafasnya yang terakhir sebagai kaffarah dosanya.

Seorang yang sedang sakit tenat, menjadi rahmat yang tinggi nilainya kerana Allah masih memberi peluang supaya mereka sedar akan kesilapan yang mereka lakukan selama hidup di dunia. Maka waktu itu mereka masih berpeluang bertaubat dari dosa dan kesilapan.
Begitu juga halnya dengan orang mati mengejut disebabkan kemalangan.
Ia memberi pengajaran dan peringatan kepada mereka yang masih hidup supaya berhati-hati dan tidak lalai berusaha untuk memperbaiki diri.

Justeru, bagi mereka yang masih diberikan nikmat kehidupan perlu sentiasa mengambil iktibar terhadap segala yang berlaku.

Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Warisan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid, berkata umat Islam dilarang mengaitkan kematian seorang Muslim itu dengan tanda tertentu.

"Itulah yang menyebabkan umat Islam semakin mundur kerana terlalu banyak mempercayai perkara khurafat dan tahyul.

"Jika ada kematian seperti kemalangan contohnya kita ditegah untuk bertanya kepada waris apakah perbuatan ganjil yang dilakukan sebelum kematiannya," katanya.

Dr Mahmood Zuhdi berkata tiada siapa pun dapat mengelak daripada mati melainkan Allah dan kematian tetap akan datang tepat pada masanya.

"Apabila sampai ajal seseorang, umat Islam digalakkan memberi nasihat kepada keluarga si mati supaya bertenang dan banyakkan bersabar.

"Islam menegah amalan keterlaluan seperti menjerit dan meratapi kematian," katanya.

Beliau berkata bagi mereka yang masih hidup peluang perlu dimanfaatkan dengan memperbaiki keadaan diri yang ternyata banyak melakukan kesilapan dan kesalahan.
"Tiada daya atau usaha yang boleh menyelamatkan kita daripada kematian.

"Kematian menjadikan hati manusia menjadi sedih serta berpisah dengan keluarga tercinta. Hanya amalan soleh saja akan membawa kita bertemu Allah," katanya.

08 April, 2010

Hidup Sihat Cara Nabi saw

Setiap manusia pasti risau dengan keadaan kesihatan mereka apabila mencapai satu tahap umur kemudian hari. Pada zaman sekarang penyakit tidak mengenal usia malah usia seawal setahun pun boleh diserang penyakit berbahaya.

Manusia sentiasa menginginkan kesihatan terbaik supaya mereka dapat menjalani kehidupan dengan sempurna. Bukan sekadar kesihatan fizikal malah menuntut kesihatan rohani dan sosial. Kesihatan yang baik akan menghasilkan badan sihat, emosi seimbang, jiwa dan rohani tenang yang menjadi penyumbang kepada kebahagiaan dan kesejahteraan hidup. Buku 365 tip sihat gaya Rasulullah ini merumuskan panduan gaya hidup sihat yang berlandas konsep kesihatan Islami yang diajar Rasulullah (saw) kepada kita 1,400 tahun dulu.

Panduan yang terkandung dalam buku ini tidak menimbulkan kesan negatif baik dalam jangka pendek mahupun panjang. Jika diamalkan, ia berupaya menghasilkan keputusan menakjubkan. Bagi mendapatkan tahap kesihatan terbaik dan awet muda, beberapa amalan penting perlu dilakukan sesuai dengan apa yang nabi anjurkan kepada kita. Ini termasuk perlunya kepada perilaku pintar, menjaga pemakanan, menjalani ibadat dengan sempurna, berdoa, melalui perubatan serta hidup dalam persekitaran sihat. Segala penerangan di dalam buku ini adalah hasil kajian daripada hadis Nabi Muhammad saw, petua pengamal perubatan Islam dan petua daripada ahli herba.

Antara tip menarik yang diutarakan di dalam naskhah ini adalah cara Nabi tidur.

Seperti yang kita ketahui nabi tidur dengan mengiring badannya ke kanan manakala tangan kanan menyokong kepala.

Dengan mengiring badan ke kiri ketika tidur dikhuatiri menekan perut yang akhirnya akan mengganggu proses pencernaan malah ia turut menekan jantung hingga mempengaruhi kemampuan jantung untuk mengepam darah.

Apabila badan jika sihat kita mampu melaksanakan segala perintah Allah dengan sempurna tanpa sebarang gangguan. Petua dalam buku ini disusun kemas tanpa penerangan yang panjang lebar. Jadi penjagaan kesihatan adalah aspek yang perlu ada dalam kehidupan seharian sebagai seorang Muslim.

>Info
Tajuk: 365 Tip Sihat Gaya Rasulullah
Penulis: Dr Mohammad Ali Toha
Penerbit: PTS Millenia Sdn Bhd
Cetakan: Pertama
Harga: RM10.90 (Semenanjung) RM12.90 (Sabah dan Sarawak)
Muka surat: 138 muka surat

31 March, 2010

Nafsu Perlu Diurus Dengan Sempurna

Oleh Mohd Fadly Samsudin

NAFSU buas dan nafsu binatang adalah sebahagian ungkapan yang kerap digunakan bagi menggambarkan betapa nafsu itu apabila gagal dikawal dengan iman maka ia pasti akan memburukkan keadaan.

MUDAH DIDAPATI...elak menonton bahan lucah kerana ia menggelapkan hati serta menyebabkan ketagihan.

GEJALA SOSIAL...elak terbabit dalam aktiviti tidak sihat.Ungkapan terbabit juga mempunyai kaitan rapat dengan perilaku seks. Benar, terlalu banyak kes seperti suami yang 'makan luar', isteri gemarkan 'pucuk muda', ustaz menodai pelajar, pensyarah paksa pelajar buat oral seks dan remaja belasan tahun ditangkap ketika asyik memadu kasih.

Amat luar biasa perkembangan itu kerana kegilaan nafsu seks semakin hebat melanda kebanyakan orang di sekeliling kita.

Demikianlah nafsu jahat, apabila berada di tahap tinggi, ia tidak lagi mengenal sesiapa di hadapannya. Apa yang pasti dia dapat melunaskan hajat jahatnya.

Nafsu yang gagal dikawal sentiasa mendesak untuk melakukan perkara yang luar biasa. Bahan lucah pula sekarang berlambak-lambak dan amat mudah didapati. Masalah suka melihat gambar dan video lucah juga antara penyumbang terbesar kepada gejolak nafsu sehingga berlakunya zina di sana sini. Pernahkah kita terfikir kenapa ramai kanak-kanak perempuan dirogol? Ini kerana golongan berkenaan amat mudah diperdaya selain membuktikan perogol berada pada tahap tidak mampu lagi melawan nafsu sehingga tergamak menodai kanak-kanak sebaya dengan adik atau anak mereka sendiri. Jelas membuktikan tahap bahaya zina sekarang sangat meruncing sehingga virus itu mampu membunuh iman. Zina, seperti perkara lain yang boleh membangkitkan syahwat seksual adalah sama dengan dadah atau kegilaan orang ramai mengejar harta benda. Ia boleh membawa seseorang menjadi lupa segala-galanya. Sebagaimana hadis Rasulullah yang bermaksud: "Sekiranya anak Adam itu mempunyai dua lembah dipenuhi emas, nescaya sudah tentu mereka akan inginkan yang ketiga, dan tidak disumbatkan ke dalam perutnya kecuali tanah (mati)". (Riwayat al-Bukhari). Dorongan ingin hidup berpasangan sememangnya naluri semula jadi yang dianugerahkan Allah kepada seluruh manusia. Namun, cara dan tindak tanduk yang tidak diiringi dengan akal dan iman boleh melunturkan pegangan apabila berdepan dengan ujian terbabit. Individu lain pula tidak boleh mendabik dada jika mereka tidak pernah diuji sedemikian rupa. Jadi berhati-hatilah dengan percakapan serta tindak tanduk kita kerana tidak mustahil Allah akan memberikan pula dugaan itu kepada kita pada bila-bila masa. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan orang yang menjaga kemaluannya kecuali terhadap isteri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela; barang siapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang yang melampaui batas. (Surah al-Mukminun ayat 5 hingga 7). Ada sesetengah mereka menerima hubungan seksual sebelum kahwin itu sebagai satu perkara biasa dalam kehidupan. Maka amat beruntung dan bertuah sekali buat remaja yang tidak pernah terjebak atau jauh sekali mendekati zina. Semua tahu berzina adalah satu dosa besar yang boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan kelak. Mereka yang kini menjadi tunangan orang sekalipun bukan tiket bagi memadu kasih kerana syaitan sentiasa akan 'menyerang' mereka sehingga tertewas. Kejahatan yang pernah dilakukan walaupun dengan 'ringan-ringan' ketika bercinta akan memberi kesan buruk selepas mereka mendirikan rumah tangga serta kepada zuriat yang bakal mereka lahirkan.

Tidak hairanlah ia berpotensi melahirkan suami curang, isteri berzina dengan lelaki di tempat kerja dan anak yang berzina.

Persoalan mengenai remaja yang berdepan dengan dilema selepas terjebak dengan kegiatan hina ini menjadi antara topik utama yang sering diterima menerusi ruangan soal jawab agama. Bahana itu menjadi tamparan hebat buat semua, tetapi fokus kepada pendidikan perlu dibuat daripada awal. Memang benar syaitan cukup bergembira dapat menewaskan manusia. Tiada jaminan khas meskipun orang itu bergelar ustaz, sudah beristeri, belajar dalam bidang agama sekalipun jika mereka gagal tewas dengan godaan yang satu itu. Bagi mencapai taubat yang sebenar, setiap individu perlu mempunyai kesedaran yang bukannya didesak dari luar kerana keinsafan itu terbit daripada ilmu dan iman. Seseorang perlu bertaubat nasuha supaya tidak mati dalam keadaan yang sangat hina dan keji. Malah pada zaman Rasulullah, datang seorang lelaki dan berbicara dengan baginda mengenai perihal keinginannya untuk berzina.

Sahabat lain ingin membunuhnya kerana sangat marah lantaran sikap kurang ajar yang dipamerkan lelaki berkenaan kepada baginda. Namun, Rasulullah tetap tenang dan bertanya kepada pemuda itu: "Sukakah kamu jika orang berzina dengan ibumu? Sukakah kamu jika orang berzina dengan adikmu? Sukakah kamu jika orang berzina dengan isterimu? Sukakah kamu jika orang berzina dengan anakmu? Pemuda itu marah dan menjawab tidak suka sama sekali. Rasulullah berkata yang bermaksud: "Begitu jugalah orang yang kamu ingin berzina itu, dia adalah seorang anak, seorang ibu, seorang adik, seorang isteri lalu Nabi letakkan tangannya yang mulia di dada lalu berdoa untuk hamba Allah berkenaan. Pemuda itu sangat terharu dengan nasihat yang diberikan Rasulullah. Sebelum itu dia sangat mahu berzina, tetapi sekarang tiada yang lebih yang dibencinya selain daripada perkara terkutuk itu. Cerita zina yang berlaku pada akhir zaman ini dianggap biasa bagi mereka yang hilang pedoman. Umat Islam sama ada lelaki atau wanita memang sedang dilanda lemah kawalan nafsu syahwat.

Dengan menyedari setiap dosa yang dilakukan nescaya hati pasti terdetik mahu bertaubat. Allah pasti membantu mereka yang membulatkan tekadnya untuk berubah. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilannya yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya ( Surah an-Nisa ayat 17). Kita perlu sentiasa benar-benar berharap Allah akan pasti mengampunkan dosa yang pernah dilakukan. Firman Allah yang bermaksud: "Hai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah az-Zumar ayat 53).

Dengan kata lain, setiap pasangan yang masih segar dalam percintaan perlu menghindarkan diri daripada apa saja keadaan yang boleh membawa kepada zina. Segera lenyapkan apa juga cara yang boleh membangkitkan perasaan berahi termasuk ingin dibelai manja, berjalan berpimpin tangan serta berpelukan. Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zain, berkata nafsu perlu diurus tadbir dengan sempurna dalam memenuhi keperluan serta kehendak manusia.

"Hawa nafsu hadir dalam dua bentuk iaitu sederhana dan memuncak. Jika ia dalam keadaan memuncak, ia tidak lagi berpaksi kepada kawalan akal, hati dan roh sebenar.

"Sebab itu, manusia tidak boleh sesekali memandang remeh terhadap pelaksanaan ibadat. Ia perlu dilakukan dengan sempurna supaya dapat menghalang daripada melakukan maksiat," katanya.

Mengulas mengenai keadaan orang melakukan ibadat namun masih melakukan maksiat, Zamihan berkata ibadat yang mereka lakukan itu tidak ubah seperti lakonan kerana ia dilakukan dengan sambil lewa.

"Solat bertujuan mencegah manusia daripada melakukan perkara mungkar, jika mereka masih 'tegar' melakukan maksiat bermakna ibadat itu tidak dihayati sepenuhnya.

"Orang yang beramal dengan sempurna sudah pasti mendapat keberkatan dan terhindar daripada melakukan maksiat. Solat itu barangkali dilakukan hanya buat tatapan orang ramai saja," katanya.

Beliau berkata, Allah memberi jaminan jika manusia mengawal selia kualiti solat dengan baik ia akan memberi kekuatan dalaman. "Jadi, setiap manusia yang pernah tersilap langkah mereka perlu kembali bertaubat dan berazam tidak mengulangi kesilapan lalu," katanya.

Zamihan berkata, manusia perlu menunjukkan tahap kesabaran tinggi jika diuji hebat untuk melakukan maksiat. "Penting kepada kita untuk menjaga kehormatan diri kerana dosa silam tidak akan padam dan sentiasa berlegar-legar di ruang minda kita.

"Tiada gunanya mengecapi 'kemanisan' maksiat kerana ia hanya bersifat sementara, tetapi kesan dosa membuatkan seluruh hidup manusia dibelenggu perasaan bersalah walaupun sudah taubat," katanya.

24 March, 2010

Manusia Hilang Moral, Masyarakat Kacau

Oleh Mohd Fadly Samsudin

JIKA dikira, sudah berapa nyawa kanak-kanak terkorban angkara 'makhluk' Allah yang memang tidak layak lagi digelar manusia kerana tergamak melakukan tindakan luar kewarasan akal.

Kes penderaan secara kejam sehingga membunuh kanak-kanak tidak berdosa sememangnya mengundang marah orang ramai apatah lagi perasaan mereka yang mempunyai pertalian darah dengan mangsa korban.

Itu belum lagi kisah seperti kes rogol, liwat dan penderaan seksual kanak-kanak oleh golongan bernafsu binatang yang pernah tercatat antara tragedi hitam angkara perbuatan 'laknat' yang sukar dimaafkan.

Penderaan meninggalkan kesan amat mendalam dalam diri mangsa, malah tiada ubat untuk merawat kesan trauma dialami mereka, tambahan pula pada usia yang masih mentah. Media massa sememangnya memandang besar isu ini dan sebab itu ia sering dilaporkan sebagai tajuk utama berita. Namun semakin luas liputan diberikan semakin menjadi-jadi pula seorang demi seorang didera. Lebih memilukan, kes penderaan yang berlaku sekarang tidak hanya meninggalkan kesan lebam, patah atau trauma semata-mata, malah kini ia lebih tragis kerana berakhir dengan kematian. Bulan lalu, kanak-kanak berusia tiga tahun, Syafiah Humairah Sahari mencatat satu lagi sejarah hitam di negara ini apabila kanak-kanak semuda itu yang barangkali masih pelat percakapannya didera sehingga meninggal dunia. Allahyarham dilaporkan mengalami pendarahan otak serta mengalami kerosakan buah pinggang, akibat dihentak dan diterajang cukup-cukup oleh manusia bertopeng syaitan itu. Hasil bedah siasat mendapati arwah mengalami kecederaan teruk pada bahagian kulit kepalanya yang terkoyak akibat dipijak. Maha Suci Allah! Semoga si pelaku mendapat ganjaran setimpal dengan apa yang dilakukannya.

Manusia semakin kejam! Tidak dapat digambarkan bagaimana kanak-kanak berkenaan dipukul dan disepak terajang. Bagaimana mereka hendak mempertahankan diri sedangkan pendera adalah seorang lelaki dewasa yang 'kuat', tetapi tewas kepada rasukan syaitan. Boleh dikatakan ibu bapa kini tidak senang duduk kerana sering risau dengan pergerakan anak mereka kerana mereka sebenarnya terancam.

Lebih memburukkan keadaan, kebanyakan kes seumpama ini dilakukan mereka yang dikenali seperti rakan emak mangsa, bapa saudara atau sepupu. Nauzhubillah! Sifat marah contohnya, jika gagal dibendung dan dibiar menguasai diri pasti akan memburukkan keadaan.

Penyakit panas baran akan membawa seseorang itu ke dunia yang penuh dengan dosa. Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: "Neraka dilapisi oleh hal yang menyenangkan (hawa nafsu manusia), sedangkan syurga dilapisi hal yang tidak disukai manusia." (Hadis riwayat Bukhari) Kemarahan akan membutakan akal sehingga mendorong seseorang memukul sesiapa saja tanpa pertimbangan yang waras yang akhirnya membawa padah seperti kematian. Dr Muhammad Qutub menyatakan jahiliah abad ke-20 atau jahiliah moden adalah sifat yang mungkin berlaku dalam masyarakat lain pada zaman apa pun apabila mereka mempunyai beberapa ciri.

Antaranya tidak ada iman kepada Allah, tiada pelaksanaan hukum menurut apa yang diturunkan Allah, hadir pelbagai perkara thaghut yang mengajak manusia tidak beribadah dan tidak taat kepada perintah Allah serta sikap menjauhkan diri daripada agama Allah sehingga penyelewengan menjurus kepada nafsu manusia. Mungkin itulah yang sedang berlaku dalam masyarakat kita yang langsung tidak mengendahkan larangan serta melanggar syariat Allah s.w.t secara jelas. Dalam suasana ibu bapa yang sibuk kerjaya masing-masing membuatkan mereka kurang masa yang berkualiti untuk dihabiskan bersama anak-anak. Namun atas faktor kesempitan dan kos sara hidup tinggi membuatkan mereka tiada pilihan selain terpaksa 'berjuang' bersama suami mencari rezeki tambahan. Walau sesibuk mana sekalipun ibu atau bapa dengan kerjaya masing-masing, anak tidak sepatutnya dipinggirkan. Mungkin sekarang ramai yang menggaji dan mengupah pengasuh untuk menjaga anak mereka, tetapi anak sebenarnya lebih memerlukan perhatian daripada kedua ibu bapa mereka sendiri.

Dunia kini sudah berubah kerana jika dulu mereka berani melepaskan anak bermain di taman permainan, tetapi keadaan itu tidak boleh lagi dilakukan kerana setiap orang yang berada di sekeliling kita boleh diragui tindak-tanduknya. Satu perkara menarik untuk dikongsi bersama adalah di United Kingdom di mana penderaan kanak-kanak memang tidak kedengaran kerana mereka cukup memandang berat isu berkenaan. Contohnya, jika kanak-kanak bawah 12 tahun ditinggalkan tanpa pengawasan orang dewasa di rumah, ia satu kesalahan yang boleh didenda.

Malah, jiran juga memainkan peranan utama sekiranya mereka terdengar tangisan kanak-kanak lain daripada biasa, mereka akan segera menghubungi polis untuk menyiasat apa yang berlaku dalam rumah berkenaan. Menurut Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (Istac) dan pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid, perangai jahiliah kembali melanda masyarakat kita dalam bentuk yang lebih moden.

"Jika dulu jahiliah diukur dengan masyarakatnya yang menyembah berhala namun kini kita masyarakat dihambat dengan kehidupan penuh dengan kebendaan.

"Memang benar perilaku golongan yang sanggup membunuh, mendera serta merogol ini melambangkan sifat kemanusiaan yang semakin menipis," katanya.

Beliau berkata akibat desakan material itu manusia hidup dalam kekacauan yang akan membawa kehancuran.

"Masalah penderaan ini adalah berpunca daripada beberapa sebab antaranya masalah anak yang tidak sah taraf menyebabkan mereka hilang rasa tanggungjawab untuk menjaganya. "Kemudian, mereka mempunyai anak sendiri namun akibat tekanan dan desakan hidup, mereka menganggap anak adalah bebanan," katanya.

Mahmood Zuhdi berkata sebagai jalan penyelesaian masyarakat perlu membangunkan kembali nilai moral yang sering dilupakan.

"Masyarakat perlu mengamalkan kesederhanaan dan tidak terlalu membayangkan nilai kebendaan yang akan memisahkan mereka jauh daripada landasan yang diredai.

"Dalam dunia yang serba pantas ini tuntutan material terlalu diagungkan sehingga melupakan adat, kesopanan yang Islam anjurkan," katanya.

Institusi kekeluargaan pastinya akan kekal luhur jika agama menjadi tunjang utama dengan mengabdikan sepenuh tanggungjawab untuk memberi kebahagiaan kepada keluarga tercinta. Selain itu, pendedahan kepada kemahiran keibubapaan perlu dipertingkatkan agar masyarakat kita sentiasa terdedah dengan program khusus serta peranan sebenar mereka dalam melahirkan rakyat yang seimbang rohani serta emosinya. Islam terbukti berjaya mengatur kehidupan umatnya dengan lengkap. Jika zaman silam kita hidup dipenuhi dengan dosa dan noda, jadi kita perlu kembali semula ke pangkal jalan dengan melakukan 'penghijrahan' kepada kehidupan baru yang lebih baik. Dengan keperibadian tinggi serta jiwa yang sihat saja dapat menghadapi segala kesulitan. Keperibadian yang memiliki roh agama pasti mampu menghadapi setiap masalah yang datang menimpa.

24 February, 2010

Campur Arak Untuk Sedapkan Masakan

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendedahkan bahawa ada sebilangan kopitiam di negara ini menggunakan arak dalam hidangan di premis mereka.

Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim, Amri Abdullah berkata, selain mencampurkan arak dalam masakan, ada juga kopitiam yang menjual arak kepada pelanggan.

“Ada pengusaha yang guna arak atau wain dalam masakan untuk tambahan rasa, ada juga yang menjual arak di premis, sedangkan masing-masing meletakkan logo halal.

“Inilah yang berlaku apabila ada pihak lain yang keluarkan sijil dan logo halal selain Jakim, pasti ada yang tak kena dalam operasi mereka tanpa kita sedar,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Sama sama lah kita mengingati satu sama lain dalam perkara ini. Hati hati bila berkunjung ke tempat tempat seperti ini. Jangan ambil mudah sahaja.

Dipetik dari Kosmo ! ( 24/02/2010 )

19 February, 2010

SOLAT JUMAAT DI SMT PADA 26/02/2010 - CUTI MAULIDUR RASUL saw

Assalamu Alaikum wbt semua,

Dimaklumkan bahawa Solat Jumaat akan diadakan seperti biasa di Surau Menara TM ( SMT ) pada cuti umum Maulidur Rasul ini iaitu pada :

26/02/2010 ( bersamaan 12 Rabiulawal 1431 )
Khatib & Imam nya ialah Ustaz Zainal Mokhtar Md Lazim dan Bilalnya pula ialah Sdr Mohd Rusdi Husin.
Tajuk khutbah ialah : Kasih Kekasih ( teks keluaran JAWI ).
Disamping itu Tazkirah Jumaat akan disampaikan oleh Ustaz Alias Abdul Rahim ( Pegawai Agama TM ).

Untuk makluman semua, pihak SMT telah mengadakan Solat Jumaat pada cuti cuti umum berikut :
1. 27/11/09 – Hari Raya Haji ( x berjaya kerana Jemaah 40 orang tidak mencukupi, oleh itu telah bersolat Zohor ),
2. 18/12/09 – Maal Hijrah ( Alhamdulillah, berjaya kerana Jemaah lebih kurang 60 orang ),
3. 25/12/09 – Krismas ( Alhamdulillah, berjaya kerana Jemaah lebih kurang 50 orang ),
4. 01/01/10 – Tahun Baru ( Alhamdulillah, berjaya kerana Jemaah lebih kurang 80 orang ).

Oleh yang demikian, saya mewakili seluruh AJK SMT menjemput semua Muslmin untuk sama sama kita datang ke SMT untuk bersolat Jumaat khasnya bagi mereka yang bekerja pada hari tersebut & juga mereka mereka yang tinggal berhampiran dengan kawasan di sini.
Sila war warkan kepada rakan taulan & mereka yang tidak berkesempatan untuk membaca e mail ini.

InsyaAllah, pihak SMT akan mengadakan Solat Jumaat seperti biasa kiranya ia jatuh pada cuti umum & perkara ini akan dimaklumkan pada semua Jemaah dari masa ke semasa.

Wallahu’Alam & terima kasih pada semua.
Wassalam.

Saya yang menjalankan amanah,

Radzuan Bin Mohamad
Pengerusi SMT

Maulidur Rasul saw - Pemimpin Agung Sepanjang Zaman

Koleksi buku Rasulullah SAW

Oleh MOHD. ROSLAN MD. ISA
celan82@gmail.com

SAMBUTAN Maulidur Rasul adalah antara cara mengingati sirah Nabi Muhammad SAW, begitu juga dengan persoalan Hijrah baginda Rasulullah dari kota Mekah ke kota Madinah, Israk Mikraj dan lain-lain.

Seperti kelaziman, umat Islam di Malaysia akan menyambut hari sempena keputeraan Rasulullah SAW pada 12 Rabiulawal setiap tahun.

Bulan Rabiulawal mencatat pelbagai peristiwa penting dalam sejarah tamadun Islam antara yang terbesar adalah kelahiran Nabi Muhammad SAW, pelantikan Nabi sebagai Rasul junjungan selain wafatnya Rasulullah SAW yang dikebumikan di Madinah Al-Munawwarah pada bulan yang sama.

Untuk itu, beberapa penulis juga teruja menulis buku bagi berkongsi rasa gembira mereka bersama pembaca, sekali gus menghayati aspek ilmu dan mengenali sejarah perjalanan hidup seorang nabi.

Mereka membincangkan aspek penulisan buku-buku agama dan berkongsi rasa cinta mereka kepada Rasulullah pada pertemuan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) baru-baru ini.

"Saya melihat peribadi Nabi Muhammad daripada aspek seorang pahlawan. Seperti pesan Saidina Ali, jika orang melihat wajah Nabi Muhammad pasti berasa gerun dan takut akan kehebatan wajah nabi.

"Namun jika tinggal lama dengan Nabi Muhammad orang itu berasa sayang dan kasih kepadanya," ujar penulis buku Muhammad bin Abdullah, Peribadi Seorang Pahlawan, Abdul Hakim Ahmad.

Abdul Hakim, menggalakkan pembaca menterjemah semangat pahlawan itu bagi menentukan masa generasi akan datang dan memastikan syiar Islam terus terbela.

Manakala menurut penulis buku, Jejak Bisnes Rasul, Prof. Emeritus Dr. Mohamed Sulaiman, bagi menghayati strategi bisnes cara Nabi Muhammad kami mencari pelbagai maklumat bagi memberi panduan dalam aspek mengurus bisnes.

"Metodologi mengumpulkan 40 strategi ini berdasarkan tiga sumber iaitu, al-Quran, sunnah, strategi dakwah dan taktik peperangan yang diambil daripada Fikah Sirah," ujarnya yang juga Pensyarah di Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, UIAM.

Penulis bersama buku itu, Aizuddinur Zakaria, mengangkat semangatnya sebagai anak muda mahu berkongsi ilmu melalui buku ini, dan mahu mengaplikasikan apa yang dipelajari semasa di kuliah ke lapangan pekerjaan.

"Bagi saya pembaca boleh membaca resume Muhammad bin Abdullah yang kami permudahkan supaya ia nampak segar dan pembaca dapat menjadikannya panduan dalam urusan kehidupan dan mengikut sunnah Nabi Muhammad," katanya.

Pertemuan singkat antara penulis pada hari itu juga menemukan Imran Yusuf penulis buku Bagaikan Khadijah di Hati Rasullullah.

"Kami berusaha memberi model dalam hubungan kekeluargaan bagi menjadikan isteri nabi sebagai contoh tauladan dan panduan berguna bakal pengantin serta elok dijadikan hadiah untuk bakal pengantin," katanya.

Mereka semua menjadikan buku Biografi Muhammad bin Abdullah sebagai panduan asas dan terbitan buku tulisan Prof. Datuk Dr. Zulkifli Mohd Yusoff dan Prof. Madya Dr. Nor Naemah Abd. Rahman itu berjaya memberi ilmu sepenuhnya berkenaan peribadi seorang nabi dan memeriahkan lagi diskusi berkenaan junjungan besar yang dikasihi umat Islam, Muhammad bin Abdullah, pesuruh Allah.

Lantaran itu, pelbagai informasi akan disiarkan setiap hari pada laman web http://www.pts.com.my bagi menggalakkan khalayak mengenali Nabi Muhammad melalui buku-buku bermanfaat dan mudah dibaca. Juga bagi memberitahu informasi yang barangkali sudah dilupai dan ia sebagai suis pengingat bagi menghayati perjuangan Nabi Muhammad menyebar syiar Islam.

Laman mikro, http://www.pts.com.my/maulud diwujudkan bagi memudahkan pembaca melihat dan seterusnya membeli buku-buku berkaitan peribadi Nabi Muhammad SAW.

Ada berkenaan biografi Muhammad, jejak bisnes, jeneral perang, kisah isteri beliau, beriman kepada Rasul, tips sihat cara Rasul dan sebagainya.

Semoga laman mikro ini membantu memberi fakta yang betul untuk rujukan pembaca dan seterusnya merancakkan sambutan Maulidur Rasul bagi tahun 1431 Hijrah dan seterusnya.

Semoga sambutan kali ini akan lebih bermakna dengan kita membaca dan meneladani perjalanan hidup seorang Nabi yang membawa rahmat seluruh alam

12 February, 2010

Antara Kalimah dan Suruhan Allah

Antara kalimah dan suruhan Allah

Oleh Roslan Ibrahim dan Mohd Fadly Samsudin
rencana@hmetro.com.my

MINGGU lalu, ibu kota riuh rendah dengan umat Islam memegang sepanduk dan berarak selepas solat Jumaat untuk menyatakan kekesalan terhadap usaha penerbitan Herald mahu menggunakan kalimah Allah.

Malah, lebih ganas ada sanggup membaling bahan letupan sehingga beberapa gereja di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan terbakar.

Memang, isu kalimah Allah membakar perasaan umat Islam menyebabkan ramai bangun dan mengadakan protes bagi memelihara kesucian Islam.

Hakikatnya, umat Islam berhak menyatakan pendirian itu bagi mengelak pihak tertentu menyalahgunakan istilah itu untuk mengabui dan mempengaruhi umat Islam.

Jika melihat dalam perspektif yang lebih luas, kalimah Allah adalah istilah yang digunakan dalam al-Quran, tetapi bagi penganut Kristian di Sabah dan Sabah, mereka turut menggunakan istilah itu.

Cuma, isu ini menjadi hangat apabila penerbitan berkala Herald mahu menggunakan istilah itu dalam majalah mereka dengan menggunakan saluran perundangan.

Namun, apakah Islam mengajar umatnya membakar tempat ibadat agama lain semata-mata mahu memelihara istilah Allah padahal Islam tidak mengajar kepada kekerasan dan keganasan.

Tidak perlu menuding jari kepada sesiapa berkaitan kes membakar gereja itu, tetapi hakikatnya kita tidak perlu sampai ke tahap itu untuk membuktikan kita cintakan Islam.

Ini kerana yang lebih penting daripada istilah dan kalimah Allah itu ialah apakah umat Islam sudah mengikut suruhan dan perintah Allah.

Yang mana lebih penting antara kalimah Allah dan suruhan serta perintah Allah? Kadangkala kita sedih melihat kefahaman umat Islam mengenai agama yang mereka anuti.

Ramai umat Islam yang berpuasa, tetapi berapa ramai yang menunaikan solat? Bersembahyang itu adalah tiang agama malah Nabi Muhammad s.a.w menerima perintah solat terus daripada Allah tanpa perantaraan malaikat.

Apakah umat Islam berpuasa sekadar mengikut atau pak turut, orang lain orang, aku pun puasa tetapi mereka tidak langsung memahami erti puasa sebenar.

Akhirnya, apabila berbuka puasa, orang lain sibuk mencari kurma atau manisan lain, mereka tidak sabar untuk mencari rokok.

Begitu juga dengan suruhan lain seperti menunaikan zakat dan mengerjakan haji.

Ramai yang mampu mengeluarkan zakat, tetapi berapa banyak yang melakukan suruhan Allah yang termaktub dalam Rukun Islam itu? Ada yang sengaja buat-buat lupa untuk menunaikan kewajipan itu dan hanya melakukan perbuatan itu apabila terpaksa berbuat demikian.

Ramai yang berkemampuan untuk menunaikan haji di Makkah, tetapi tidak ramai mahu berbuat demikian.

Ramai umat Islam lebih rela menghabiskan wang melancong ke Eropah atau Amerika Syarikat daripada melabur saham akhirat menunaikan haji.

Mereka memberi pelbagai alasan bagi mengelak menunaikan haji, antaranya belum sampai seru dan umur masih muda.

Tetapi, apabila timbul isu kalimah Allah yang mahu digunakan agama lain, mereka sibuk dan sanggup memprotes, tetapi sanggup menipu diri sendiri apabila membabitkan suruhan Allah.

Jika ditakdirkan kita memenangi protes untuk menentang penerbitan Herald menggunakan kalimah Allah, adakah kita sudah berpuas hati sedangkan rekod menunjukkan ramai umat Islam masih melakukan maksiat dan ingkar suruhan Allah? Penceramah, Zahazan Mohamed, berkata situasi umat Islam masa kini perlu diperbetulkan. Mereka perlu menonjolkkan imej yang baik dan cantiknya Islam kepada penganut agama lain, bukan dengan membakar gereja.

Beliau berkata, dakwah paling terbaik adalah merujuk kepada akhlak serta budi pekerti mulia.

"Ini pasti memberikan justifikasi berbeza jika kita melakukan tindakan yang 'lari' daripada apa yang dicanang dalam ajaran Islam," katanya.

Zahazan menyifatkan usaha yang dipamerkan umat Islam perlu berterusan dan tidak sesekali menggadai nilai akidah yang dipegang umat Islam.

"Tuntutan seumpama ini pasti akan berlarutan kepada perkara lain di kemudian hari yang menyebabkan keadaan kacau bilau serta huru hara.

"Cukuplah sekali perkara ini berlaku dan semoga tidak ada pihak lain yang cuba merenggangkan hubungan antara kaum dan agama di negara ini," katanya.