27 January, 2011

Pinjam Nyawa Untuk Beramal Ibadat

BERIBADAH...gunakan baki usia yang diberikan untuk mempertingkatkan amal ibadah.

MENITI USIA...kehidupan yang diberkati tidak dinilai daripada panjang atau singkat usia seseorang tetapi berdasarkan amalan kebajikan yang mereka lakukan demi agama.

INGATLAH usia umat akhir zaman terlalu singkat iaitu sekitar 60 hingga 70 tahun saja. Jika ada yang mampu hidup lebih daripada itu maka ia dikira sebagai bonus namun jumlahnya tidak ramai.

Nabi Muhammad saw bersabda yang bermaksud: "Umur umatku antara 60 hingga 70 tahun, sedikit yang melampaui itu." (Hadis Riwayat Tirmizi).


Nabi Muhammad saw sendiri wafat ketika usia baginda 63 tahun.

Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi berkata: "Manusia tidak boleh dinilai daripada banyak bilangannya atau besar ukuran tubuhnya. Maka begitu jugalah umur manusia, tidak seharusnya dipandang daripada panjangnya (hidup) kerana kadang-kadang manusia diberi umur panjang tetapi tidak ada berkatnya. Manakala ada orang yang singkat usianya tetapi dapat berbuat banyak, melakukan pelbagai kebajikan, dan malah melakukan amal yang terbaik."

Jadi gunakan sebaiknya peluang 'pinjaman' nyawa yang Allah berikan dengan bertaubat daripada kesalahan yang dilakukan hampir setiap hari. Bagaimana sekiranya nyawa dicabut ketika kita sedang melakukan dosa dan maksiat? Nauzubillah.

Sahabat Nabi saw adalah orang yang bijak memanfaatkan umur. Mereka dididik oleh Nabi Muhammad saw supaya merancang kehidupan mereka.

Setiap Muslim perlu menggunakan kesempatan yang diberikan secara bijaksana.
Perkara paling penting adalah memberi tumpuan kepada aspek ibadah dan menjauhkan diri daripada perbuatan yang menjejaskan kualiti amalan kita.

Allah swt berfirman yang bermaksud: "Dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna." (Surah al-Mukminun ayat 3).

Berdasarkan ayat di atas setiap Mukmin yang mendapat kemenangan adalah mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya, tidak bercakap perkara yang tidak berfaedah, mengeluarkan zakat hartanya, memelihara kehormatannya, amanah, menepati janji, menjaga waktu sembahyangnya.

Rasulullah saw dan sahabat seperti Saidina Abu Bakar ra dan Umar ra hidup selama 63 tahun saja tetapi mereka gunakan sepenuhnya demi memajukan serta memartabatkan Islam.

Nabi Muhammad saw sendiri memanfaatkan 23 tahun kerasulannya untuk menyebarkan Islam. Saidina Abu Bakar ra, memegang tampuk kepemimpinan kurang tiga tahun namun berjaya memerangi pendusta, mengembalikan orang yang murtad kepada Islam, bahkan berjaya menakluk kerajaan Rom dan Parsi.

Mereka hanya diberi kesempatan menikmati umur yang tidak panjang berbanding umat terdahulu tetapi dapat memberi sumbangan cukup besar hingga nama mereka kekal abadi ke hari ini.

Ganjaran pahala yang mereka perolehi akan terus sampai meskipun mereka tiada lagi di dunia ini. Nabi Nuh as contohnya mampu hidup sehingga lebih kurang 1,000 tahun dan menjalankan kerja dakwah selama hampir 950 tahun namun hanya beberapa orang saja daripada umatnya yang menerima ajarannya.

Allah menjadikan hidup dan mati bagi menguji siapa yang baik amalannya. Jadi manusia perlu berlumba-lumba melakukan amal kebajikan.

Amal kebajikan yang di maksudkan pula tidak terhad kepada amal ibadat seperti sembahyang tetapi termasuk juga memberi nafkah dengan mencari sumber halal, membangunkan masjid, rumah kebajikan malah perkara sekecil membuang duri di jalanan juga termasuk dalam amalan yang baik.

Ukuran usia yang diberkati dan memberi manfaat itu bukan terletak kepada berapa lama seseorang itu mampu hidup tetapi dinilai daripada amalan kebajikan yang tidak putus-putus dilakukan mereka.

Sahabat yang menjadi Khalifah agung seperti Abu Bakar ra, Umar ra dan Ali ra hidup sehingga umur 63 tahun saja. Manakala Anas bin Malik ra dikurniakan usia hingga mencapai 103 tahun.

Namun mereka menggunakan usia yang diberikan itu dengan penuh kebaikan. Tidak ada gunanya juga seseorang yang panjang umurnya namun menjadi bebanan kepada orang lain.

Keberkatan usia itu pastinya membawa serta mengajak kepada perkara bermanfaat. Hamba yang diberkati umurnya akan terasa usia yang dianugerahkan kepadanya tidak mencukupi dan begitu singkat untuk beribadah kepada Allah swt.

Keinginan umur panjang yang didasari cintanya kepada dunia tidak akan membawa manfaat. Allah memberi peringatan terhadap manusia yang menginginkan umur panjang namun cintanya hanya pada kehidupan dunia.

Allah swt berfirman yang bermaksud: "Dan sesungguhnya engkau dapati mereka orang paling kuat berkehendak untuk hidup (di dunia), sehingga lebih daripada orang-orang musyrik, salah seorang mereka mengkehendaki supaya hidup seribu tahun lamanya; sedangkan dia tidak jauh daripada azab, meskipun panjang usianya; dan Allah Maha Melihat apa-apa yang mereka kerjakan." (Surah al-Baqarah ayat 96).

Cukup mendukacitakan apabila seorang itu menginginkan umur panjang tetapi umur itu digunakan untuk tujuan maksiat kepada Allah.

Perunding motivasi Human Touch Consultant, Datuk Mohd Zawawi Yusoh, berkata umur seseorang itu sama ada panjang atau singkat adalah dalam rahsia Allah swt.

"Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik manusia, yang panjang usianya dan baik amalnya. Bermakna, ada orang yang singkat umurnya tetapi dari segi kualiti amalannya cukup baik.

"Begitu juga Allah swt kurniakan orang yang panjang umurnya tetapi sepanjang usianya dia bergelumang dengan maksiat dan sudah pasti umur itu tidak diberkati," katanya.

Beliau berkata setiap Muslim perlu sematkan dalam diri tujuan utama mereka hidup di dunia adalah semata-mata untuk beribadat dan terus meningkatkan amalan kepada Allah swt.

"Kesempatan hidup di muka bumi ini hanya bersifat sementara. Cukup bererti sekali jika meninggalkan dunia ini nanti nama kita akan sentiasa dikenang dan diingati atas sumbangan dan pengorbanan yang dilakukan demi agama.

"Bagi mendapatkan keberkatan umur panjang, seseorang itu perlu menjaga kualiti ibadatnya, menjaga hubungan silaturahim sesama manusia dan banyakkan bersedekah jariah dan meninggalkan khazanah ilmu dan anak yang soleh" katanya.

Mohd Zawawi berkata bagi melengkapkan sisa kehidupan seseorang itu perlu mengatur dengan baik kehidupan seharian mereka berdasarkan fitrah kejadian manusia.

"Setiap hari yang dilalui perlu diimbangi dan dibahagi sebaiknya. Masa perlu diperuntukkan untuk melaksanakan ibadat, bersama keluarga, berehat dan berlibur mengikut aturan yang ditetapkan.

"Allah swt memperuntukkan waktu siang untuk kita keluar mencari rezeki manakala malamnya adalah waktu untuk beribadat kepada Allah swt," katanya.

Beliau berkata kesempatan hidup perlu dimanfaatkan dengan amalan yang membawa kebaikan dan kemuliaan.

"Melaksanakan solat tahajud juga adalah rahsia kejayaan bagi seorang Muslim. Solat tahajud yang dilakukan secara rutin dan khusyuk dapat menghapuskan dosa silam.

"Tidur juga perlu diberi perhatian. Tidur yang berkualiti dalam sehari lebih kurang empat jam saja dan jika tidur secara berlebihan ia akan mendatangkan pelbagai penyakit," katanya.

11 January, 2011

Perubatan Islam Tiada Jampi Mantera

BERSAMA KELUARGA....keluarga pesakit yang menjalani rawatan boleh bersama-sama membantu memberi sokongan.

AMALAN sihir terlalu luas ilmu dan perlakuannya. Ia boleh disampaikan melalui pelbagai cara termasuk makanan, minuman, angin, perbualan telefon, bersalaman, berpelukan serta pandangan mata.

Namun, ramai yang tidak terfikir ada segelintir manusia berniat jahat menggunakan khidmat bomoh atau pawang untuk melakukan penganiayaan terhadap orang lain.

BERGABUNG...sokongan pendoa, pembantu perubatan serta individu lain ketika menjalani rawatan yang menggunakan bacaan ayat suci al-Quran.

BERSELAWAT...sebelum proses rawatan majlis didahului dengan bacaan tazkirah, berzikir munajat dan serta selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.

Kaedah lain yang dikesan dalam amalan sihir ialah santau sama ada melalui tiupan angin ke dalam makanan, minuman atau mengambil barangan milik seseorang seperti gambar, rambut dan pakaian.

Sebab itu, Islam menentang keras perbuatan sihir dan tukang sihir. Orang yang mempelajari ilmu sihir, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Mereka belajar suatu ilmu yang membahayakan diri mereka sendiri dan tidak bermanfaat buat mereka." (Surah al-Baqarah ayat 102)

Rasulullah s.a.w menilai sihir sebagai salah satu daripada dosa besar yang merosakkan serta menghancurkan.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Jauhilah tujuh perkara besar yang merosak. Sahabat bertanya: 'Apakah tujuh perkara itu, Ya Rasulullah?" Jawab Nabi, iaitu: '(1) menyekutukan Allah, (2) sihir (3) membunuh jiwa yang oleh Allah diharamkan kecuali kerana hak (4) makan harta riba (5) makan harta anak yatim, (6) lari dari peperangan, (7) menuduh perempuan-perempuan baik, terjaga dan beriman'". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Islam mengharamkan perbuatan sihir atau berjumpa tukang sihir untuk mengubati penyakit yang dikenakan kepadanya atau untuk mengatasi masalah yang dihadapi.

Ibnu Mas'ud berkata: "Barang siapa ke tukang ramal, atau tukang sihir atau tukang tenung, kemudian dia bertanya dan percaya terhadap apa yang dikatakannya, maka sungguh dia kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w". (Riwayat Bazzar dan Abu Ya'la)

Bukan saja tukang sihir bahkan mereka yang percaya terhadap sihir itu juga berdosa besar.

Lebih-lebih lagi, sihir itu digunakan untuk melakukan kejahatan seperti mengganggu kebahagiaan orang dan memecahbelahkan hubungan suami isteri.

Bagi menjaga keselamatan diri dan mengubati penyakit, terdapat cara terbaik yang menurut ketetapan syariat. Jika sihir tidak memberi kesan dan tidak memudaratkan tentulah Allah s.w.t tidak akan memerintahkan kita supaya berlindung dengan-Nya daripada kejahatan sihir.

Bagi mereka yang terkena penyakit 'buatan' seperti ini, pasti akan mencari kaedah perubatan terbaik untuk pulih. Masa itu, tiada lagi difikirkan, malah sanggup berhabisan wang ringgit untuk membayar kos rawatan.

Memandangkan rawatan moden di hospital tidak dapat 'membantu' memulih penyakit terpaksalah merujuk masalah mereka kepada pengamal perubatan Islam.

Namun, bukan mudah mendapatkan rawatan berlandaskan syariat kerana ramai yang tertipu. Jadi, orang ramai perlu berhati-hati kerana ada pihak turut menggunakan al-Quran untuk mengaburi mata orang ramai.

Lihatlah latar belakang mereka yang menjalankan rawatan berkenaan terlebih dahulu dan pilih mendapatkan rawatan daripada mereka yang pakar dalam bidang perubatan serta faham hukum agama.

Elak mendapatkan rawatan daripada pihak yang mengenakan caj terlalu tinggi. Mereka bukannya mengikut tuntutan agama, tetapi hanya mahu keuntungan semata-mata.

Tindakan itu memberi gambaran yang tidak baik kepada amalan perubatan Islam dan agama kerana tersasar daripada falsafah perubatan Islam yang menekankan konsep tolong menolong.

Pengarah Pusat Perubatan Islam Seiring Syariat (PPISS), Datuk Dr Basharuddin Panjang Ahmad, berkata sihir itu adalah gabungan atau kombinasi antara iblis dan jin.

"Hukum mengamalkan sihir itu adalah haram manakala pengamalnya kufur. Sihir mendatangkan kemudaratan dan bahaya kepada manusia tanpa memberi sebarang manfaat.

"Perubatan Islam jelas menggunakan al-Quran sebagai bacaan dalam rawatan tanpa adanya jampi atau mantera yang meragukan," katanya.

Beliau berkata, di PPISS sebelum proses rawatan, diadakan majlis bacaan Al-Fatihah, beristighfar, syahadah, tazkirah ringkas, bertahmid, bertakbir, berzikir munajat dan serta selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.

"Pesakit bersama-sama perawat akan membaca beberapa surah atau potongan surah dari al-Quran dan doa.

"Rawatan berlandaskan syariat akan membaca al-Quran secara jelas tanpa berbisik-bisik selain membenarkan ahli keluarga bersama-sama ketika dirawat," katanya.

Dr Basharuddin berkata rawatan alternatif kaedah Islam bukan sahaja berperanan membentuk kesinambungan usaha rawatan moden, malah pelengkap dalam menilai serta menyelesaikan masalah atau penyakit.

"Rawatan bukan tidak terhad untuk mengubati penyakit, malah bertindak menghalang dan menilai secara menyeluruh sebab penyakit dan langkah pencegahannya," katanya.

Beliau berkata rawatan kaedah Islam mengamalkan terapi secara informasi iaitu menggabungkan bacaan doa, zikir, bacaan Al-Quran, tazkirah dan motivasi dalam rawatan.

"Sehingga kini ramai pesakit yang sembuh daripada penyakit seperti gangguan jin, saka, kencing manis, barah, masalah rumah tangga, sakit lutut, batu karang dan sebagainya.

"Asas perubatan ini bermula daripada keyakinan bukan saja melalui minda atau akal tetapi hati. Setiap manusia dianugerahkan 'kuasa' akal dan minda yang berupaya menguasai pergerakan sistem badan," katanya.

Beliau berkata ilmu perubatan Islam merangkumi kaedah moden, alternatif dan tradisional untuk memenuhi gaya kehidupan yang aman dan harmoni.

"Panduan yang digunakan dalam Islam untuk menilai dan menentukan gaya hidup yang baik itu adalah berdasarkan al-Quran dan contoh daripada Nabi Muhammad.

"Perubatan Islam mensyaratkan kita berusaha memperbaiki gaya hidup, berusaha untuk memulihkan kesihatan dan memohon keizinan daripada Allah kerana Dialah yang menyembuhkan segala penyakit.

"Di PPISS kami gabungkan sokongan pendoa, pembantu perubatan serta individu lain.

"Sebagai agama tauhid, penyembuhan penyakit melalui penggunaan ayat al-Quran dan doa yang diamalkan junjungan Nabi Muhammad s.a.w memainkan peranan penting," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kolej Islam Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah, Muhd Zainul Asri Ramli, berkata setiap perbuatan jahat yang dilakukan bagi menganiaya sesama insan pasti Allah membalasnya di dunia lagi.

"Mengamalkan ilmu sihir untuk menyakiti atau mengkhianati orang lain adalah syirik. Mereka kekal sebagai ahli neraka selagi tidak mengucap dua kalimah syahadah dan bertaubat nasuha.

"Kesedaran orang ramai berkenaan dengan tegahan Islam dalam amalan ilmu sihir ini diharap dapat membantu masyarakat kembali kepada ajaran Islam yang benar.

"Peranan ulama serta tokoh agama dalam hal kritikal ini cukup penting terutamanya menanamkan dalam hati masyarakat bahawa kaedah yang bertentangan dengan agama perlu ditinggalkan serta-merta," katanya.

Beliau berkata amalan sihir akan mewujudkan masyarakat yang lemah akhlak serta pegangan akidahnya.

"Islam mahukan umatnya berpegang teguh kepada prinsip asas syariah supaya menjalani kehidupan dengan menjaga agama, nyawa, keturunan dan harta.

"Justeru, segala perbuatan syirik dan khurafat dalam masyarakat hendaklah dibanteras," katanya.

Mengulas kaedah rawatan Islam yang terbaik, Muhd Zainul berkata orang ramai dinasihatkan jangan mendapatkan rawatan daripada pengamal yang menggunakan kaedah kemenyan, berasap, menurun atau menilik.

"Pengamal perubatan Islam dikenali sebagai 'tibb nabawi' yang mempraktikan perubatan berasaskan sumber dari al-Quran sebagai (syifa) dan Sunnah.

"Pelaksanaan perubatan Islam perlu tahu membezakan antara yang benar dan syirik. Perubatan Islam tidak sekadar membacakan ayat al-Quran atau jampi, tetapi yakin terhadap kuasa Allah," katanya.