30 March, 2011

Pembuka Pintu Berkat

GOLONGAN ASNAF...tiada yang lebih menggembirakan apabila dapat membantu golongan kurang bernasib baik.

SETIAP manusia sudah dijamin rezekinya oleh Allah swt. Ia tidak hanya dikatakan sebagai wang ringgit tetapi pengertiannya amat luas sekali merangkumi kesihatan yang baik, ketenteraman jiwa, keturunan, isteri dan anak yang baik.

Ada yang runsing dan sering mempertikaikan masalah rezeki yang dimiliki. Mereka merungut kerana sudah bertungkus-lumus mencari rezeki namun kehidupan masih tidak berubah.

BANTU KELUARGA TERDEKAT...sedekah yang dihulurkan kepada keluarga atau saudara terdekat dapat merapatkan hubungan kekeluargaan.

REZEKI...selagi mempunyai kekuatan untuk bekerja lakukan dengan tekun disamping bersyukur dengan nikmat pemberian Allah swt.

Sebagai hamba Allah swt yang beriman, anggaplah semua itu dugaan serta cabaran untuk menjadikan diri lebih kuat dan cekal berusaha.

Teruskan berusaha kerana setiap kejayaan pastinya memerlukan kerja keras tanpa berputus asa melaksanakannya.

Bersikap reda dan bertawakal supaya Allah swt memberkati segala yang kita lakukan. Sesungguhnya Allah Maha Pemberi dan Pemurah atas rezeki untuk hamba-Nya.

Semua yang berlaku atas izin-Nya. Ketika seorang hamba berprasangka buruk kepada Allah swt, maka keburukanlah yang diterima.

Jika mereka bertawakal kepada Allah swt maka Allah swt pasti mencukupkan keperluannya. Allah swt berfirman yang bermaksud:

“Barang siapa yang menyerahkan diri kepada Allah, maka Allah akan mencukupkannya (memelihara). Sesungguhnya Allah menyampaikan urusan-Nya. Sesungguhnya Allah mengadakan qadar (takdir) bagi setiap sesuatu.” (Surah at-Taalaq ayat 3).

Namun tahukah kita sikap memberi atau bersedekah mempunyai kelebihan dalam urusan pencarian harta. Malah ia membuka pintu rezeki lebih luas kepada mereka yang melakukannya.

Amalan bersedekah penyubur kebaikan serta melipat gandakan rezeki sese�orang hamba. Allah swt berfirman yang bermaksud:

“Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah, seperti sebutir benih yang tumbuh menjadi tujuh tangkai, pada tiap tangkai ada seratus biji, dan Allah melipat gandakan bagi siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (kurniaan-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Baqarah ayat 261).

Tidakkah kita merasa tertarik dengan janji Allah swt berikan itu? Tidak dinafikan, semua orang mahu hidup senang; mempunyai rumah yang luas dan selesa, berkereta mewah, memakai pakaian cantik dan bercuti ke luar negara .

Namun dalam erti kata sebenar, kehidupan kita tidak berstatus kerana ada kalanya kita berada di atas dan begitulah sebaliknya. Tujuan kita hidup bukan untuk memenuhi nafsu tetapi kita perlu melihat kekurangan dan kesengsaraan orang lain.

Jika Allah swt ‘memberi’ pinjaman kekayaan kepada kita maka gunakan kesempatan itu untuk melihat segala yang berlaku di sekeliling. Sebenarnya masih ada lagi yang memerlukan perhatian dan bantuan.

Justeru jalankan amanah kekayaan yang Allah swt kurniakan itu bagi membantu golongan memerlukan. Dalam rezeki Allah swt itu terdapat hak orang lain yang perlu dimanfaatkan.

Bersifat individualistik melambangkan seorang itu tidak berhati perut, sukar didekati dan orang ramai tidak menghormatinya. Walaupun memberi dalam kuantiti sedikit tetapi sedikit itulah keberkatannya.

Alangkah baik jika pendekatan mencari rezeki sambil menyumbang diterapkan dalam diri kita. Sabda Rasulullah saw:

“Tidaklah harta itu berkurang disebabkan oleh sedekah.” (Riwayat Muslim).

Beri setakat mana termampu dulu kerana sumbangan sekecil itu menjadi pembersih harta kita. Sedekah orang yang kurang hartanya lebih besar ganjarannya.
Rasulullah saw bersabda:

“Sedekah yang paling utama adalah menggembirakan fakir dan dikeluarkan dalam keadaan sedikit harta. (Riwayat Ahmad).

Allah swt berfirman:

“Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Surah al-Baqarah ayat 262).

Apabila bersedekah, kita mesti iringi dengan perasaan gembira dan tidak boleh menyesal. Jika tidak mampu menyumbang harta, setidak-tidaknya berusaha menyumbang tenaga dan fikiran bagi mengajak orang sekeliling melakukan kebaikan.

Rasulullah saw berbual dengan sahabat, maksudnya:

“Pada setiap Muslim tuntutan untuk bersedekah”, sahabat berkata: Bagaimana jika tidak mampu? Nabi menjawab: “Berusahalah dengan kedua tanganmu untuk hasilkan perkara bermanfaat dan bersedekahlah.

Sahabat bertanya: Bagaimana jika masih tidak mampu? Nabi menjawab: “Carilah orang yang sangat memerlukan bantuan (dan bantulah sama ada dengan tenaga atau ditunjukkan kepada yang mampu).

Sahabat bertanya: Bagaimana jika masih tidak mampu? Nabi menjawab: “Ajaklah orang lakukan perkara kebaikan dan larang mereka dari kemungkaran.

Sahabat bertanya lagi: Bagaimana jika masih tidak mampu? Nabi menjawab: “Janganlah kamu lakukan perbuatan buruk, ia juga satu sedekah (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Seelok-eloknya, galakkan diri bersedekah kepada ahli keluarga yang miskin dan memerlukan sebelum melaksanakannya kepada orang lain.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“Sedekah kepada orang miskin mendapat satu pahala, namun apabila diberi kepada yang punyai pertalian (kerabat), dua pahala iaitu satu sedekah dan satu lagi adalah merapatkan hubungan.” (Riwayat At-Tirmidzi).

Bersedekah boleh meringan�kan bebanan orang lain dan menyelamatkan kita daripada api neraka. Rasulullah saw bersabda:

“Sedekah itu menghapuskan kesalahan seperti air memadamkan api.” (Hadis Riwayat At Tirmidzi).

Justeru, beberapa perkara perlu diambil perhatian demi kesempurnaan amalan sedekah antaranya barang yang disedekahkan mestilah baik. Tidak wajar sama sekali barang yang disedekahkan itu kita sendiri tidak tergamak menggunakannya.

Allah swt melarang bersedekah dengan benda yang tidak baik kerana bersedekah adalah ibadat dan tanda mensyukuri nikmat Allah swt.

Kemudian sesuatu yang disedekahkan mesti halal.

Sunat jika bersedekah dengan benda atau barang yang disukai dan disayangi tidak kira ia banyak atau sedikit. Allah swt berfirman yang bermaksud:

“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Surah Ali-Imran ayat 92).

Jangan sesekali bersedekah kemudian mengungkit, merungut dan menyakiti hati orang yang menerima kerana perbuatan itu haram serta merosakkan amalan sedekah.
Pegawai Pengurusan Dakwah Munirah Care, Muhammad Khusairi Abdullah, berkata galakan kepada umat Islam bersedekah perlu supaya umat Islam terbela.

“Sedekah yang diberikan secara sembunyi lebih afdal. Perbuatan ini lebih dekat kepada keikhlasan kerana menjauhkan diri daripada riak hingga merosakkan amalan.

“Penumpuan perlu diberikan kepada lapan golongan asnaf yang layak menerima zakat. Mereka terdiri daripada golongan fakir, miskin, amil, muallaf, riqab (hamba yang menebus dirinya secara ansuran), al-gharimin (orang yang menanggung hutang dan tidak mampu menyelesaikannya), fisabilillah (berjuang di jalan Allah) serta ibnu sabil (musafir yang terputus bekalannya di perantauan).

“Setiap kali bersedekah pastikan niat kita ikhlas kerana Allah swt. Jika kita menderma hanya sekadar untuk mendapat pujian, nama atau pangkat ia tidak memberi sebarang makna,” katanya.

Beliau berkata, sedekah membuatkan seorang Muslim mendapat pelbagai nikmat dan kesan kehebatan sedekah itu dapat dirasai ketika berada di dunia lagi.

“Orang yang istiqamah bersedekah atau berinfak hartanya mudah menerima ilmu Allah, terhindar daripada penyakit, jiwa sentiasa tenteram dan menghapuskan sifat bakhil yang bersarang dalam diri.

“Tidak kira siapa kita sama ada kaya atau kurang hartanya mesti berusaha dan bersedia untuk bersedekah. Umpamanya jika kita mempunyai wang RM10 tidak mengapa jika bersedekah sebanyak RM1 kerana yang penting keikhlasan itu mendapat nilaian istimewa daripada Allah,” katanya.

Beliau berkata ganjaran kepada mereka yang bersedekah cukup besar kerana apa saja yang mereka infak itu pahala terus diterima secara berkekalan.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Apabila mati anak Adam maka terputuslah amalannya kecuali tiga, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya untuknya.”

“Dari hadis berkenaan membuka peluang untuk kita mendapatkan bekalan sebelum mata tutup buat selamanya. Jika kita sedekahkan al-Quran atau sejadah untuk kegunaan jemaah di masjid, selagi mana ia digunakan maka pahala tetap sampai kepada kita. Begitu juga apabila memberi makan, minum dan pakaian kepada anak yatim maka sudah tentu ganjarannya cukup besar,” katanya.

17 March, 2011

Sentiasa Mengingati Mati

MATI itu pasti menjemput manusia! Nabi Muhammad saw sendiri sering menasihatkan para sahabat supaya sentiasa mengingati mati.

Kita perlu yakin ada kehidupan kedua selepas kematian yang membuatkan kita sentiasa berusaha menyiapkan diri sebaik mungkin untuk menghadapinya.

Kematian sememangnya amat 'perkasa' sehinggakan seorang raja yang paling berkuasa sekalipun tidak terlepas daripada kematian jika tiba ketikanya.

Kematian juga bukan titik akhir bagi kehidupan tetapi ia satu perpindahan di mana bagi seorang yang banyak melakukan kebaikan ketika hayatnya kematian adalah pintu gerbang untuk memasuki hidup baru yang lebih indah.

Ramai yang melihat mati sebagai malapetaka yang merampas nikmat hidup lalu mereka memilih jalan hidup yang suka berhibur sebelum tiba saat kematian.

Ada yang mengatakan selagi masih hidup inilah masa untuk mencuba semua perkara termasuk perkara mungkar. Ada juga golongan yang Allah kurniakan memiliki usia yang panjang.

Namun pada pandangan Islam, hidup yang makmur dan berjaya adalah apabila orang itu cemerlang dalam ibadah, peribadi dan keluarga, hidup bermasyarakat, ilmu dan harta.

Itulah sebabnya orang Islam yang yang berumur panjang tetapi tidak produktif ketika hayatnya adalah sama seperti orang yang berumur pendek.

Terdapat sebuah kisah berkenaan cucu kesembilan Nabi Muhammad saw yang bernama Ai al-Hadi di mana pada satu hari, beliau melawat seorang yang sakit tenat.

Raut wajah pesakit itu jelas menunjukkan kegelisahannya. Ai al-hadi berkata kepadanya, "Sebenarnya saudara kurang jelas dengan kelebihan kematian, lalu berasa takut dengannya.

"Beritahu saya, apabila ada kotoran melekat di badan sehingga saudara berasa tidak selesa, apa tindakan saudara seterusnya? Adakah saudara akan mandi ataupun biarkan saja? Pesakit itu menjawab, "lebih baik saya mandi dan bersihkan diri."

Ali al-Hadi berkata, "ketahuilah, kematian itu seperti bilik mandi. Itu peluang terakhir kita membersihkan diri bagi menghilangkan segala kekotoran dan keburukan.

Apabila kematian menjemput saudara sekarang saudara pasti bebas daripada semua derita dan kepedihan. Saudara akan bahagia selama-lamanya selepas ini."

Selepas mendengar penjelasan Ali al-Hadi itu, pesakit berkenaan berubah menjadi ceria di mana wajahnya yang gelisah menjadi damai. Kemudian dia menutup mata dengan tenang, menyerah diri kepada kematian sambil mengharap kasih sayang Allah swt.

Justeru, selagi kita bernafas, Allah swt sentiasa membuka peluang seluas-luasnya kepada kita untuk menyucikan diri. Peluang itu wujud dalam bentuk taubat bersungguh-sungguh dengan menyesali perbuatan buruk dan berazam memperbaiki diri.

Nabi Muhammad saw mengajar kepada kita satu doa: "Ya Allah, aku memohon kepada-Mu keampunan atas dosa-dosa yang aku sedari dan dosa-dosa yang tidak ku sedari, dosa-dosa yang aku ketahui serta yang tidak ku ketahui."

Wallahu'alam

Tajuk: Indahnya Kematian
Penulis: Bisri M DJaelani
Penerbit: PTS Millenia Sdn Bhd
Cetakan: Pertama
Harga: RM17.00 (Semenanjung) RM19.00 (Sabah dan Sarawak)
Muka Surat: 212 muka surat

09 March, 2011

Kekuatan Umat Islam Teras Kestabilan

HAK EKSKLUSIF....penggunaan kalimah Allah adalah hak mutlak Islam.
SEBAGAI seorang Muslim, kita pasti mahukan Islam terus kekal terpelihara daripada ancaman yang mampu ‘menyelinap’ secara sedar atau sebaliknya.

Pluralisme agama contohnya, mempunyai kesan terhadap agama kerana fahamannya menyimpang daripada asas Islam.

ISU SENSITIF...orang ramai membanjiri pekarangan mahkamah untuk mengikuti keputusan kes Lina Joy Jailani yang mengaku murtad apabila memeluk agama Kristian Katolik.

MODAL INSAN...konsep 1Malaysia melahirkan masyarakat bersatu padu, memiliki sifat kemanusiaan, bekerjasama dalam memajukan negara.

FADHLAN...saran umat Islam mendalami al-Quran berserta terjemahannya sebagai usaha membendung serangan pemikiran pluralisme agama.

Kewujudannya adalah kesinambungan rancangan orang kafir menyesatkan umat Islam. Dalam konteks di Malaysia yang hidup berbilang agama dan bangsa, kita perlu memahami antara satu sama lain, berbincang serta berdialog dengan cara paling murni.

Itulah yang dilaksanakan sarjana Islam yang terbilang terdahulu. Prinsip Islam adalah isu yang perlu ditangani dengan ilmu bukannya bersifat fanatik atau mempunyai kepentingan politik.

Umat Islam wajib beriktikad bahawa hanya Islam diterima Allah. Ia berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mencari selain Islam sebagai agamanya, maka sama sekali tidak diterima daripadanya dan dia di akhirat nanti termasuk dalam kalangan mereka yang rugi”. (Surah Ali-’Imran, ayat 85).

Dalam konteks di Malaysia, fahaman pluralisme agama itu amat berbahaya kerana ia boleh menghakis kemurnian aqidah umat Islam dan membuka ruang kepada perbuatan syirik atau kufur.

Pluralisme agama datang secara halus serta dengan ‘imej’ Islam moden. Maka, tidak hairan ada umat Islam terpedaya dengannya tanpa menyedari ia menyesatkan.

Ia boleh membawa kacau bilau dan kesesatan jika tidak dibendung malah boleh mengakibatkan perselisihan faham yang akhirnya melemahkan umat Islam.

Dari sudut berbeza, pluralisme agama memberi kesan kepada sosio-politik umat Islam sejagat.

Tambahan pula, negara ini hidup dengan masyarakat berbilang kaum, bangsa dan agama. Apa yang pasti, kekuatan umat Islam menjadi teras utama kepada kestabilan dan keharmonian masyarakat di negara ini.

Jika ditinjau, terdapat beberapa isu yang dikaitkan dengan pluralisme agama di negara ini, antaranya isu murtad, penggunaan kalimah Allah, isu pengharaman senaman yoga serta kecenderungan pemimpin bukan Islam yang menggunakan ayat al-Quran dan hadis dalam ucapan mereka.

Walaupun masih di peringkat awal berbanding negara lain, masalah membabitkan akidah boleh menjadi barah berbahaya jika dibiarkan berleluasa.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya agama di sisi Allah, ialah Islam.” (Surah Ali-Imran ayat 19). Islam mengakui kewujudan agama lain tetapi sebagai Muslim kita perlu merasakan Islam lebih mulia.

Maksudnya, orang kafir boleh menganut agama mereka tetapi tidak sekali-kali agama mereka benar. Semua agama selain Islam tidak diterima Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Barang siapa mencari agama selain Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi” (Surah Ali-Imran ayat 85).

Konsep pluralisme agama ialah semua agama adalah sama dan ia berfungsi berdasarkan akal dan tafsiran individu dalam menentukan apa yang mereka yakini.

Perkara itu amat berbahaya kerana umat Islam bergerak dalam arus globalisasi dunia yang beranggapan semuanya perlu kepada kebebasan termasuk keyakinan beragama.

Tidak hairanlah generasi muda yang bersikap tiada asas agama dan gemar dengan konsep keterbukaan mudah terperangkap.

Konsep pluralisme yang menyatakan semua agama itu sama, bertentangan dengan akidah.

Jika keyakinan itu dipupuk, lama kelamaan ia boleh menyebabkan umat Islam secara tidak sedar mengiktiraf ajaran agama lain daripada Islam.

Islam menerima kewujudan agama lain dan hak mereka untuk berpegang dengan apa yang mereka yakin. Allah berfirman yang bermaksud: “Tiada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur)” (Surah al-Baqarah ayat 256).

Ayat berkenaan diturunkan kepada golongan Ansar yang mempunyai anak yang di yahudi dan di kristiankan. Selepas Islam datang, mereka memaksa anak mereka menganut ajaran Islam, maka Allah melarang berbuat demikian sehingga mereka sendiri membuat pilihan.

Bahkan umat Islam disaran melakukan kebaikan kepada bukan Islam dan tidak sesekali menzahirkan permusuhan kepada mereka.

Firman Allah (maksudnya): “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”. (Surah al-Mumtahanah, ayat 8-9).

Orang bukan Islam perlu diberi penerangan asas mengenai ajaran Islam yang berkaitan dengan hubungan serta interaksi antara penganut agama lain.

Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Fadhlan Mohd Othman berkata semua pihak termasuk bukan Islam perlu mengiktiraf kedudukan Islam sebagai agama rasmi dalam perlembagaan.

“Ini membuktikan Islam boleh diterima semua dan tidak perlu menerima fahaman baru dibangkitkan golongan pluralis walaupun kononnya untuk keharmonian.

“Hanya Islam agama yang diredai Allah dan tiada agama lain yang boleh mengatasinya. Bermakna, tiada agama yang lebih tinggi melainkan Islam,” katanya.

Fadhlan berkata, umat Islam perlu kembali kepada asas ajaran Islam sebenar agar mereka tidak mudah terpedaya dengan agenda bagi menyebarkan virus pemikiran yang boleh mengganggu gugat kemuliaan Islam.

“Saya menyarankan setiap orang Islam perlu memperbaiki serta mendalami al-Quran serta terjemahannya sehingga tamat sebagai usaha membendung serangan jahat itu.

“Mereka juga perlu mempelajari dan meningkatkan usaha mempelajari ilmu hadis dengan memilih sumber yang sahih terutama riwayat daripada Bukhari dan Muslim,” katanya.

Katanya, Islam menganjurkan masyarakat yang harmoni walaupun berbilang agama. Ia terbukti dengan terbentuknya piagam Madinah ketika di bawah pemerintahan Rasulullah s.a.w yang memberikan keadilan kepada semua pihak.

“Dalam mencapai tuntutan hidup, seluruh masyarakat perlu bersatu tanpa memikirkan perbezaan fahaman, kepercayaan, budaya dan keturunan.

“Hanya dalam soal akidah kita tidak boleh berkompromi dengan masyarakat bukan Islam.

“Walaupun kita mempunyai banyak perbezaan, jangan sesekali melakukan kezaliman atau penindasan kerana Allah menerima doa orang yang dizalimi tanpa hijab,” katanya.