29 June, 2011

Permulaan Solat Lima Waktu

KIBLAT UMAT ISLAM...kaabah dibina oleh Nabi Adam as dengan bantuan malaikat dan umat Islam mempercayai Kaabah berada betul-betul di bawah singgahsana Allah swt.
Bulan Rejab mencatat dua peristiwa sedih dalam sejarah perjalanan hidup Rasulullah saw (juga dikenali sebagai ‘Aam al Huzni).

Dua peristiwa sedih itu ialah kematian isteri kesayangan, Siti Khadijah ra dan bapa saudaranya, Abu Talib.

Khadijah ra banyak berkorban harta benda dan wang ringgit bagi membantu berdakwah mengembangkan syiar Islam. Selepas Siti Khadijah ra meninggal dunia disusuli pula kematian Abu Talib yang begitu rapat dengan Baginda saw.

Abu Talib adalah orang yang sangat dihormati dan disegani di kalangan bangsa Arab menyebabkan orang kafir Quraisy tidak berani mengganggu Rasulullah saw.

Pemergian dua insan yang disayangi itu amat dirasakan Baginda saw. Selepas itu, pergerakan dakwah baginda saw di kota Makkah sering mendapat gangguan daripada orang kafir Quraisy.

Baginda saw mendapat tentangan, ejekan serta mendapat ancaman. Rasulullah saw akhirnya memutuskan untuk berhijrah ke Taif, tetapi malangnya di Taif juga Rasulullah saw turut menerima ejekan dan cacian daripada penduduk di sana.

Maka Rasulullah saw kembali semula ke Makkah. Penderitaan ditanggung Rasulullah saw ketika itu cukup berat dan melihatkan keadaan Baginda saw itu, Allah swt memerintahkan Jibril as membawanya menjalani peristiwa Israk Mikraj.

Peristiwa menakjubkan itu berlaku pada malam 27 Rejab tahun ke-11 kerasulan Baginda saw. Ia memberi hikmah dan pelajaran kepada Baginda saw, sekali gus menjadi cerminan buat umatnya pada masa akan datang.

Sememangnya peristiwa Israk dan Mikraj amat sukar dimengertikan. Namun ia membuktikan keagungan dan kekuasaan Allah swt yang menguasai seluruh alam ini termasuk langit dan bumi.

Hikmah yang terkandung di dalamnya perlu direnungi dengan teliti agar dapat memberi nilai tambah dalam kehidupan umat Islam untuk meningkatkan ketakwaan dan peningkatan ibadah kepada Allah swt.

Peristiwa itu dicatatkan di dalam al-Quran Surah Al-Isra’ ayat 1 yang bermaksud: “Maha Suci Allah yang menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Menurut ulama, Israk dan Mikraj Nabi Muhammad saw itu adalah pergerakan roh dan jasadnya sekali. Ia bukannya satu mimpi, tetapi realiti di mana perkara berkenaan termasuk salah satu daripada mukjizat yang Allah swt kurniakan kepada Baginda saw.

Justeru, tidak mustahil bagi Allah swt untuk ‘membenarkan’ tubuh badan Rasulullah saw ‘menembusi’ tempat yang terlalu jauh di langit dengan melainkan dengan kehendak-Nya.

Israk bermakna perjalanan Nabi Muhammad saw pada suatu malam dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin dalam tempoh semalaman saja.

Jelas dengan kekuasaan Allah swt, Dia berkuasa ‘membenarkan’ Baginda saw diangkat ke langit untuk bertemu-Nya dalam masa yang teramat singkat.

Sebelum itu, dada Rasulullah saw dibedah oleh malaikat Jibrail as dan Mika’il as. Hati Baginda saw dicuci dengan air zamzam kemudian dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya.

Selepas pembedahan itu, bermulalah Israk Baginda saw dengan menaiki sejenis binatang iaitu yang dinamakan Buraq.

Menurut sarjana, kecepatan Buraq itu membolehkan Nabi Muhammad saw pergi antara dua tempat hanya dengan sekelip mata.

Dalam sebuah hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra katanya: Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Aku didatangi Buraq iaitu seekor binatang yang berwarna putih rupanya, panjang (tinggi) lebih besar dari keldai, tetapi lebih kecil dari baghal. Ia merendahkan tubuhnya sehinggalah perut Buraq mencecah bumi.”

Baginda saw bersabda lagi: “Tanpa membuang masa, aku terus menunggangnya, ia melangkah kakinya dengan cepat sejauh penghabisan mata memandang sehinggalah sampai ke Baitulmaqdis.”

Semasa perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa itu, Rasulullah saw diiringi Malaikat Jibrail as dan Israfil as.

Apabila tiba di tempat tertentu iaitu tempat yang mulia dan bersejarah, malaikat Jibril as mengarahkan Rasulullah saw bersolat dua rakaat antaranya di Thaibah (Madinah) iaitu tempat Rasulullah saw melakukan hijrah, Bukit Tursina serta Baitul-Laham yakni tempat Nabi Isa as dilahirkan.

Selepas itu, Rasulullah saw turun ke langit dunia semula seterusnya ke Baitulmaqdis dengan menunggang Buraq pulang ke Makkah pada malam yang sama.

Baginda saw kemudian naik pula ke langit sampai ke Sidratul Muntaha sehingga ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah swt dengan melalui tujuh lapis langit.

Selepas itu Baginda saw kembali semula ke Makkah. Bagi umat Islam, peristiwa terbabit membawa misi penting iaitu bermulalah kewajipan melaksanakan perintah menunaikan solat.

Ia menjadi permulaan mukjizat Rasulullah saw yang menjadi salah satu Rukun Islam.
Daripada Anas katanya: “Nabi Muhammad saw bersabda yang bermaksud: “...(Selain dari apa yang aku saksikan semasa aku dibawa Israk dan Mikraj pada malam itu), maka Allah swt fardukan (atasku) dan atas umatku lima puluh sembahyang... lalu aku memohon kepada-Nya (supaya dikurangkan lagi bilangan sembahyang itu yang telah pun dikurangkan sehingga tinggal lima sahaja); maka Allah swt berfirman yang bermaksud: ‘Sembahyang fardu (sehari semalam) itu tetap lima (dari segi bilangannya) dan ia juga tetap lima puluh (dari segi pahalanya); keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti.’” (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam ‘pengembaraan’ luar biasa itu juga Rasulullah saw menyaksikan banyak perkara dahsyat terutama balasan yang diterima manusia akibat melakukan kemungkaran di dunia.

Antaranya Nabi Muhammad saw melihat wanita digantung dengan rambutnya dan otak di kepalanya mendidih kerana tidak mahu melindungi rambutnya daripada dilihat lelaki lain.

Wanita yang digantung dengan lidahnya dan tangannya dikeluarkan daripada punggung, minyak panas dituangkan ke dalam kerongkong kerana mereka suka menyakiti hati suami.

Ada wanita digantung buah dadanya dari arah punggung dan air pokok zakum dituang ke dalam kerongkongnya kerana perempuan itu menyusui anak orang lain tanpa keizinan suaminya.

Kemudian, wanita yang memotong badannya sendiri dengan gunting dari neraka akibat mereka suka memasyurkan diri supaya orang melihat perhiasannya.

Begitulah antara seksaan yang menimpa wanita ketika peristiwa Nabi Muhammad saw melakukan Israk dan Mikraj. Ia membuatkan Rasulullah saw berasa sangat sedih setiap kali mengenangkan peristiwa berkenaan.

Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Md Saad, berkata sebelum Nabi Muhmmad saw melakukan Israk dan Mikraj hati Baginda saw dibersihkan menunjukkan bahawa hati adalah elemen penting dalam kehidupan manusia.

“Untuk menerima satu tanggungjawab besar seseorang itu perlu memiliki hati yang bersih dan bersemangat kental.

“Pembentukan individu hebat tidak cukup sekadar membabitkan pengetahuan, kemahiran, fizikal semata-mata, tetapi memerlukan kepada pembentukan hati yakni jiwa dan rohani,” katanya.

Beliau berkata kehilangan dua insan yang menjadi tulang belakang kepada Baginda saw sudah tentu memberi kesan psikologi yang mendalam.

“Pada tahun ke-11 kerasulan Nabi Muhammad saw, Baginda saw menghadapi dua musibah akibat kehilangan dua insan paling berjasa dan disayanginya.

“Dalam melalui kehidupan apatah lagi melaksanakan pelbagai amanah dan tanggungjawab bermacam dugaan terpaksa dihadapi.

“Melalui peristiwa Israk dan Mikraj, ia bukan sekadar perjalanan untuk berlibur, tetapi Rasulullah saw menerima satu tanggungjawab besar untuk dilaksanakan Baginda saw dan umatnya iaitu fardu solat,” katanya.

Rahimi berkata secara analoginya perjalanan itu boleh dikatakan sebagai satu bentuk lawatan sambil belajar yang dilalui Baginda saw.

“Sesuatu perjalanan tidak dinafikan boleh membangkitkan kegembiraan dalam jiwa seseorang.

“Tetapi apa yang dilalui baginda saw ialah setiap langkah dalam perjalanan itu mengandungi unsur pengajaran, pemberitahuan bahkan petunjuk kepada baginda saw melaksanakan amanah dakwah,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan riwayat permohonan untuk mengurangkan kuantiti solat yang diwajibkan ke atas umat ini bukanlah dilakukan berdasarkan kehendak Baginda saw sendiri, tetapi berdasarkan nasihat beberapa orang rasul terdahulu.

“Nasihat itu mungkin timbul daripada kesedaran mereka mengenai karakter umat akhir zaman ini dan Baginda saw sendiri dapat menjangkakan keadaan umatnya sendiri.

“Jadi, permohonan itu adalah tanda kasih sayang Baginda saw kepada kita sebagai umatnya. Jika Baginda saw tidak memohon kelonggaran itu sudah tentu ramai kalangan umat Baginda saw berhadapan dengan kemurkaan Allah swt disebabkan gagal memenuhi kewajipan yang menjadi tiang agama itu,” katanya.

Rahimi berkata peristiwa Israk dan Mikraj menguji umat Islam sama ada percaya atau tidak kepada Baginda saw.

“Ujian seumpama ini melahirkan dua kelompok manusia iaitu kelompok pertama yang beriman dengan Rasulullah saw setelah mereka yakin terhadap kebenaran peristiwa yang berlaku selepas mereka mengemukakan persoalan bertujuan mengukuhkan fakta yang disampaikan kepada mereka.

“Kelompok kedua pula ialah mereka yang semakin jauh dalam kesesatan apabila mendustakan perkhabaran yang disampaikan kepada mereka oleh Nabi Muhammad saw,” katanya.

16 June, 2011

Anak Jadi Inspirasi Bapa Mithali

MENCARI NAFKAH...tanpa mengenal erti penat dan lelah bapa tetap berusaha mencari rezeki buat keluarganya.

KELUARGA sakinah. Itu harapan setiap keluarga yang mahukan kehidupan mereka sentiasa berada dalam lembayung rahmat dan pemeliharaan Allah swt.

Bapa adalah tunjang kepada sebuah keluarga di mana faktor kepemimpinannya memberi kesan langsung dalam melahirkan keluarga bahagia yang merangkumi keupayaan mereka mendidik, memberi perlindungan, kasih sayang serta menyara perbelanjaan keluarga.

MOHON KEMAAFAN...anak perlu sentiasa mendoakan kesejahteraan bapanya dan segera memohon maaf jika melakukan kesilapan.

KASIH SAYANG...bapa bertanggungjawab mencorakkan masa depan anak.

Namun, bukan mudah seorang bapa menjalankan tanggungjawab mendidik keluarga tanpa ilmu keibubapaan apatah lagi di zaman siber yang penuh cabaran.

Anak-anak di zaman siber pintar dan cerdik, justeru bapa perlu memahami cita rasa anak-anak kerana sebarang perlakuan mereka akan menjadi contoh.

Dalam soal solat dan kehidupan seharian, bapa perlu ada ilmu agama. Bayangkan jika bapa tidak menunaikan solat, bagaimana dia mengharapkan anaknya akan sembahyang.

Cabaran pendidikan di zaman siber memang rumit dan si ayah perlu mempunyai kemahiran jati diri dan iman yang kuat bagi memastikan anak-anak tidak hanyut ke lembah hina.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci bersih. Ibu bapalah bertanggungjawab mencorakkan anak itu menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis riwayat at-Tirmizi bermaksud: “Tidak ada sesuatu pemberian yang lebih baik daripada seseorang ayah kepada anaknya selain daripada budi pekerti yang baik.”

Firman Allah swt yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarnya ialah manusia dan batu (berhala),” (Surah at-Tahrim ayat 6).

Bapa mithali sentiasa menggunakan kesempatan melakukan perkara terbaik buat keluarganya. Bahkan anak merekalah yang menjadi inspirasi untuknya berusaha mencari sebuah kehidupan sempurna.

Tekanan dan keletihan seharian mencari nafkah pastinya akan hilang apabila pulang melihat keriangan wajah anak serta layanan mesra isteri.

Bagi bapa yang tidak bertanggungjawab pula mereka menganggap anak dan isteri sebagai bebanan dan ‘menyesakkan’ hidupnya.

Mereka biasanya lebih gemar berada di luar rumah bersama rakan.

Anak-anak lebih mengagumi bapanya yang bersifat memahami serta menghormati keperluan mereka. Kisah Lukman al-Hakim boleh dijadikan contoh dalam mendidik anak.

Beliau menerapkan pendidikan menyeluruh kepada anaknya mencakupi asas ibadat, akidah, akhlak serta dakwah. Beliau berkata: “Wahai anakku, sesungguhnya jika ada amalan engkau (baik atau buruk) seberat biji sawi yang tersembunyi dalam batu atau di langit atau di bumi, nescaya didatangkan (dibalas) Allah swt juga. Sesungguhnya Allah swt Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

“Wahai anakku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah orang (membuat) yang makruf (baik) dan laranglah (membuat) yang mungkar (haram) serta bersabarlah di atas cubaan yang menimpamu. Sesungguhnya demikian itu pekerjaan yang dicita-citakan. (Surah Luqman ayat 16-17).

Ibu bapa perlu sentiasa memanjatkan doa dengan penuh harapan agar anak mereka hidup dalam kesempurnaan. Sudah pasti impian itu dikabulkan Allah swt kerana tiada benteng dan hijab menghalangnya.

Bagi memantapkan kefahaman Islam di kalangan anak, bapa sebagai pemimpin keluarga berperanan mewujudkan persekitaran agama di dalam rumah seperti memupuk anaknya minat membaca.

Dalam mendidik anak, bapa perlu mempunyai sifat sabar dan tidak sesekali bertindak kasar. Terdapat beberapa perkara boleh diusahakan bersama antaranya memperbanyakkan berdoa kepada Allah swt dengan bertawajuh pada dinihari.

Bapa perlu mengetahui wang ringgit yang dibelanjakannya itu adalah nafkah paling afdal dan paling agung pahalanya di sisi Allah swt.

Ketinggian ilmu saja tidak menjamin seseorang bapa mampu mendidik anaknya kerana ia perlu juga kepada kemahiran dan hikmah.

Rasulullah saw adalah contoh ikutan terbaik yang menjelaskan kepada kita erti sebenar dalam memupuk suasana bahagia dalam rumah tangga.

Baginda saw bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku.” (Riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).

Budaya kemesraan dalam pergaulan dengan anak-anak perlu dipupuk sejak kecil lagi kerana dibimbangi apabila sampai ke tahap umur matang kelak mereka berasa tidak selesa untuk berkomunikasi atau berkongsi masalah yang dihadapinya.

Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, berkata ramai ibu bapa lepas tangan dengan mengatakan bahawa anak ditakdirkan Allah swt sama ada menjadi anak baik atau jahat.

“Persepsi ini salah sama sekali dan jelas bertentangan maksud hadis Rasulullah saw yang bermaksud: “Anak-anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka ibu bapanyalah yang menjadikannya sama ada Yahudi, Majusi atau Nasrani. (Hadis riwayat Bukhari).

“Ada segelintir ibu bapa menuding jari menyalahkan pihak kerajaan seratus peratus dalam hal ini padahal hakikatnya kerajaan tidak bertanggungjawab sepenuhnya dalam mendidik anak secara langsung.

“Peranan pendidikan dan pengasuhan anak-anak sebenarnya terletak di bahu ibu bapa yang menerajui institusi keluarga ke arah keharmonian dan kebahagiaan sejati,” katanya.

Beliau berkata Islam memandang institusi keluarga sebagai tapak melahirkan serta mencorakkan ummah yang berkualiti.

“Bidang pendidikan menjadi teras kepada matlamat ini. Walaupun kini anak dihantar ke sekolah untuk mendapatkan pendidikan secara formal namun mereka masih lagi tidak mampu untuk mendidik jiwa anak-anak.

“Walaupun banyak masa dihabiskan di sekolah, namun ilmu yang diterima tidak lagi berupaya menyemai keimanan yang teguh. Justeru, Islam menganggap bahawa pendidikan di rumah adalah tapak yang kukuh untuk membina jasmani, mental dan rohani anak,” katanya.

Dr Engku Ahmad Zaki berkata walaupun Rasulullah saw sibuk menjalankan tanggungjawabnya menyampaikan risalah Islam namun baginda masih dapat meluangkan waktu menghidup serta meraikan detik indah bersama keluarga tercinta.

“Rasulullah saw begitu akrab dan melayan mesra anak, isteri, sahabat taulan, jiran tetangga dan orang kebanyakan.

“Janganlah pula kesibukan kerja seharian semakin bertambah dijadikan alasan seorang bapa untuk tidak bermesra dengan anaknya,” katanya.

Beliau berkata dalam hal berkenaan Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarganya (isteri dan anak-anaknya) dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku. (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).

“Baginda menggesa umatnya supaya bersopan santun, berlemah lembut dan bertawaduk. Sifat itu wajib diamalkan setiap masa dan ketika di dalam rumah antara sesama suami isteri dan antara anak-anak dengan kedua-dua ibu bapanya.

“Sebagai ketua keluarga, bapa perlu memainkan peranan lebih kreatif dan proaktif dalam membentuk sebuah keluarga bahagia,” katanya.

Beliau berkata Rasulullah saw menunjukkan teladan baik terhadap keluarganya sebagai seorang suami, bapa dan ketua keluarga.

“Dalam hal ini, Saidatina Aisyah ra pernah berkata: Rasulullah saw sering menjahit bajunya sendiri, menampal kasutnya yang sudah carik dan melakukan segala tugas lain di rumah.

“Jelas kehidupan Rasulullah saw tidak pernah mengatakan tugas di rumah adalah tugas mutlak kaum wanita sahaja.

“Janganlah pula seorang suami membebankan dan menyerahkan kesemua urusan rumah tangga kepada isterinya seorang diri kerana pengurusan rumah tangga adalah tanggungjawab bersama,” katanya.

Dr Engku Ahmad Zaki berkata ibu bapa dan anak perlu bersama-sama mencipta suasana damai dan kebahagiaan.

“Jangan dibiarkan sama sekali bibit pertengkaran dan perbalahan mewarnai keceriaan sesebuah keluarga. Kalau boleh selesaikan dengan serta merta kerana jika dibiarkan akan mengakibatkan masalah lebih parah lagi.

“Pernah berlaku pertengkaran kecil di zaman khalifah Umar Al-Khattab ra di mana seorang isteri dalam sebuah keluarga amat bencikan suaminya. Masalah itu sampai kepada pengetahuan Umar lalu beliau memanggil suami isteri itu bagi menyelesaikan sengketa mereka.

“Setiap rumah hendaklah dibina bertunjangkan kepada dasar cinta dan kasih sayang yang suci bukannya kebencian dan persengketaan.

“Kebahagiaan dalam kekeluargaan adalah sebahagian daripada pengertian yang diungkapkan di dalam al-Quran sebagai al-Falah yang membawa maksud kejayaan, kebahagiaan, ketenteraman dan kesejahteraan abadi,” katanya.

10 June, 2011

Solat Dhuha Gamit Rezeki

ISLAM memandu umatnya untuk hidup di dunia ini dengan syariat yang serba lengkap meliputi keseluruhan aspek penghidupan termasuk dalam usaha mencari sumber rezeki.

Kita sebagai mukmin diminta sentiasa mengekalkan tahap usaha yang gigih dan cekal dalam mengusahakan sesuatu.

Panjatkan doa kepada Allah swt supaya dipermudahkan usaha pencarian sumber hidup.

Namun, jangan kita meremehkan pendekatan paling berkesan dan menjadi amalan umat Islam terdahulu untuk melancarkan kurniaan nikmat Allah swt kepada kita, iaitu mengamalkan solat Dhuha.

Solat Dhuha boleh menjadi senjata paling ampuh yang disediakan Allah swt buat setiap hamba-Nya menjemput rezeki.

Sebenarnya solat Dhuha adalah petunjuk yang ditinggalkan Rasulullah saw kepada umatnya.

Dikatakan baginda saw selalu melakukan solat Dhuha ketika berada di rumah mahu pun ketika dalam perjalanan. Malah, solat Dhuha boleh dilakukan di mana saja dan tidak tertakluk di masjid semata-mata.

Solat Dhuha boleh dilaksanakan dalam jumlah antara dua hingga dua belas rakaat.

Ini yang ditunjukkan Rasulullah saw dalam satu pernyataan baginda yang katanya, “ Allah swt yang Maha Mulia lagi Maha Agung menyatakan “ Wahai anak Adam. Cukuplah Aku dengan melakukan empat rakaat solat Dhuha pada pagi hari, maka Aku pasti mencukupi keperluan mu pada akhir hayatmu. ” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Ya’la) ”

Walaupun tujuan solat Dhuha didirikan adalah untuk memohon kurniaan rezeki, tetapi kita perlu bersihkan diri daripada segala daki dosa dengan bertaubat.

Bersabdaa Rasulullah saw yang bermaksud: “Solat Dhuha itu mendatangkan rezeki dan menjauhkan kemiskinan dan tidak ada orang yang memelihara solat kecuali orang yang bertaubat.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Jadi antara solat Dhuha dan taubat seseorang hamba saling berkait rapat. Lantaran itu barulah solat Dhuha boleh menjadi ‘magnet’ yang menarik rezeki kurniaan Allah swt kepada kita.

Sumber rezeki yang dilimpahi Allah swt apabila kita mendirikan solat Dhuha itu bukanlah semata-mata dalam bentuk material sebagaimana anggapan sesetengah golongan.

Rezeki kurniaan Allah swt luas ruang lingkupnya. Mungkin kita dikurniakan nikmat dalam bentuk kedamaian hidup walaupun berpendapatan kecil dan sederhana saja.

Mungkin dengan isteri yang cantik lagi solehah bersama-sama kurniaan anak yang sihat sejahtera juga adalah bentuk rezeki yang Allah swt berikan kepada kita.

Dalam satu lagi hadis Nabi saw bersabda, “Sesiapa yang mengerjakan solat Dhuha dua rakaat, dia tidak dicatat dalam kelompok orang yang lupa. Sesiapa yang mengerjakan solat Dhuha empat rakaat, dia dicatat sebagai orang yang kuat beribadah. Sesiapa yang mengerjakan solat Dhuha enam rakaat pada hari itu segala keperluannya dicukupi Allah swt. Sesiapa yang mengerjakan solat Dhuha lapan rakaat, Allah swt memasukkannya ke dalam golongan yang tunduk serta menghabiskan seluruh waktunya bagi beribadat. Sesiapa yang mengerjakan solat Dhuha dua belas rakaat, Allah swt membangunkan baginya sebuah istana indah dalam syurga. Tidak ada dalam sehari semalam kecuali Allah swt pasti memberikan anugerah serta sedekah kepada hamba-Nya.” (Hadis riwayat at-Tabrani dan Abu Daud)

Terbukti bahawa rezeki adalah satu kurniaan Allah melalui mekanisme solat Dhuha.

Ini kerana pengamalnya diberikan pelbagai dimensi rezeki dalam spektrum yang lebih membahagiakan seperti ganjaran pahala di sisi Allah swt di akhirat kelak selain Allah menjadikan kita sebagai insan soleh.

Rasulullah saw ada menerangkan kepada kita bahawa orang yang selalu mengamalkan solat Dhuha selain dimurahkan rezeki dan dilancarkan segala urusan dia juga mendapat layanan cukup istimewa ketika di akhirat nanti.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Dalam syurga, terdapat pintu yang bernama Ad-Dhuha. Apabila hari kiamat tiba, ada seseorang menyeru, “Mana orang yang mendirikan solat Dhuha? Inilah pintu kamu. Masuklah ke dalam syurga dengan iringan rahmat Allah.” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Sampai begitu sekali Allah swt layan hamba-Nya yang beramal dengan solat Dhuha ketika hidupnya di dunia ini. Kita mesti sedar bahawa permohonan supaya dipermudahkan rezeki Allahswt itu hendaklah disusuli dengan tindakan dan usaha kerja keras.

Solat Dhuha saja kemudian berdoa kepada Allah swt semata-mata, tidak mengubah apa-apa kepada rezeki. Ini kerana Allah swt hanya mengubah nasib seseorang apabila mereka berusaha mengubahnya terlebih dulu.

Hal ini seharusnya diamalkan secara maksimum dan usaha yang termampu. Melalui kombinasi solat Dhuha, sentiasa berdoa dan berusaha gigih, lambat-laun, Allah swt pasti mencurahkan rezeki yang melimpah ruah kepada kita.

Justeru, bekerjalah kita dengan sekuatnya untuk mencari sumber rezeki yang halal lagi diberkati di samping bertawakal dan seimbangkan dengan amalan solat Dhuha.

02 June, 2011

Doakan Kesejahteraan Guru/Sifu

MESRA...guru perlu sentiasa mendampingi pelajar bagi mengetahui masalah mereka.

TIDAK kiralah gelaran yang diberikan kepada guru sama ada cikgu, ustaz, ustazah atau profesor sekalipun, mereka adalah golongan pendidik yang berperanan mencurahkan ilmu kepada anak bangsa.

Bermula dari taman asuhan kanak-kanak, sekolah rendah, menengah hinggalah ke peringkat universiti, sumbangan pendidik ternyata tiada tolok bandingan.

BERKORBAN...antara cabaran yang guru hadapi ketika bertugas jauh di kawasan pedalaman.

SUMBER INSPIRASI...guru adalah tulang belakang kepada kejayaan anak didiknya.

MENJANA INSAN CEMERLANG...didikan sempurna pasti melahirkan generasi hebat dan unggul.

Namun tidak dinafikan, ibu bapa sebenarnya adalah guru ‘paling berpengaruh’ kerana mereka mampu mempengaruhi tindakan, karakter dan tindak-tanduk anak mereka.

Profesion guru adalah amanah dan kerjaya yang amat mulia di sisi Allah s.w.t. Terdapat hadis Rasulullah saw yang menyarankan manusia menjadi pendidik atau golongan menuntut ilmu.

Mungkin ada sebahagian guru yang pernah mendidik kita sudah pergi mengadap Ilahi. Maka sebagai ‘produk’ hasil didikan mereka, berdoalah selalu untuk kesejahteraan mereka.

Tugas tarbiah yang dilaksanakan seorang guru meletakkan mereka pada kedudukan tinggi. Pengorbanan masa dan tenaga mereka mencurahkan ilmu kepada kita dikira sebagai ibadah.

Bagi pelajar pula, mereka dituntut keluar mencari ilmu kerana setiap kaki yang melangkah bermula dari rumah ke sekolah dan kembali semula ke rumah turut dikira sebagai ibadah.

Tugas menyampaikan ilmu perlu dilaksanakan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah kerana ia jihad yang paling tinggi dan dituntut Islam.

Firman Allah swt yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.” (Surah al-Nahl ayat 125)

Peranan guru dalam mendidik masyarakat amat luas pengertiannya. Mereka menyampaikan ilmu akidah dan keimanan untuk serta menghubungkan manusia dengan Penciptanya.

Guru juga menjadi pembimbing paling akrab. Jadi mereka perlu menggunakan kesempatan untuk meluaskan ilmu yang dimiliki itu dengan perkara meliputi fardu ain dan fardu kifayah.

Malah, guru berupaya mendidik anak bangsa menjadi individu berperibadi mulia.

Jadikanlah nasihat dan bimbingan berguna Lukman Al-Hakim menerusi ayat al-Quran yang bermaksud: “Wahai anakku! Dirikanlah solat (sembahyang) dan suruhlah berbuat baik serta cegahlah kemungkaran dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpa kamu, sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.” (Surah Luqman ayat 17)

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Setiap kamu adalah penjaga (pemimpin) dan setiap kamu ditanya berkaitan dengan tanggungjawab kamu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Gejala sosial di kalangan remaja adalah barah yang perlu ditangani secara bersama antara ibu bapa dan guru di sekolah supaya ia tidak terus merebak dalam masyarakat.

Guru bertanggungjawab menanamkan anak didik mereka dengan asas akidah Islam dan keimanan kepada Allah. Jadi seorang guru perlu menonjolkan sahsiah Islam bagi memungkinkan anak didik mereka mudah ‘tertarik’ dengannya.

Mereka perlu menjadi penyelesai masalah, bersifat ceria, berfikiran terbuka, bercakap sopan, mudah mesra dengan sesiapa saja dan tidak lokek ilmu.

Seorang guru tidak boleh berasa jemu dan mudah berputus asa dalam mengesan potensi anak didiknya selain berusaha mencari pendekatan terkini dalam menjayakan matlamat pendidikan untuk melahirkan pelajar dan masyarakat berilmu, beriman bagi tujuan pembangunan agama, masyarakat serta negara.

Mereka perlu menggalas cabaran sebagai pemimpin bagi menyempurnakan akhlak di kalangan anak didik mereka di sekolah. Jika ilmu yang dicurahkan itu diamalkan secara berterusan, mereka tetap menerima pahala itu walaupun sudah meninggal dunia.

Nabi Muhammad saw bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang anak Adam itu mening�gal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak soleh yang mendoakannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baginda menegaskan, menuntut ilmu adalah kewajipan bagi setiap individu dan hendaklah diajarkan kepada orang lain walaupun satu ayat.

Malah, bayangkan begitu beruntung sekali mereka yang dalam usaha mencari ilmu kemudian meninggal dunia, mereka dianggap sebagai mati syahid.

Tema Hari Guru pada tahun ini iaitu Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara menyeru seluruh warga pendidik supaya memperbaharui niat dalam memberi sumbangan kepada anak bangsa sehingga mampu melahirkan individu kreatif, inovatif, berwawasan dan berkualiti.

Seorang pendidik hebat semestinya mahukan anak didik mereka mendapat pendidikan dan kemahiran mengurus diri dengan sempurna berlandaskan kehendak Islam dengan bersungguh-sungguh.

Saidatina Aisyah ra berkata: “Sesungguhnya Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud: ‘Sesungguhnya Allah swt menyukai sekiranya seseorang melakukan sesuatu perbuatan secara itqaan atau bersungguh-sungguh (sempurna).’” (Riwayat al-Baihaqi)

Setiap warga pendidik perlu berasa bangga pekerjaan yang sedang mereka lakukan kini adalah amanah yang cukup besar dan tinggi nilainya.

Keikhlasan seorang insan bergelar guru melihat anak didikannya berjaya cemerlang dalam kehidupan bukannya angan-angan kosong.

Pengarah Urusan Tahsin Al-Quran Training Centre, Mohd Nasir Rustam berkata, guru perlu bertindak sebagai pendidik yang perlu sentiasa memenangi hati pelajarnya.

“Apabila memilih untuk menjadi pendidik, mereka wajib mendalami isi hati anak didik mereka. Perkembangan masalah sosial yang kian meruncing sekarang berpunca daripada pengaruh rakan sebaya sekeliling mereka.

“Maka guru perlu bijak menyesuaikan diri dengan setiap pelajarnya. Mendidik pelajar tidak boleh berasaskan nafsu amarah semata-mata dan mempunyai perasaan dendam kerana mereka perlu didekati secara psikologi,” katanya.

Beliau berkata, Rasulullah saw sendiri berdakwah melalui pendekatan berhikmah dan ia dapat diterima semua peringkat.

“Rasulullah saw tidak pernah sesekali mengamalkan tarbiah secara mengherdik, mengata tetapi menggunakan pendekatan dari hati ke hati.

“Seorang guru perlu menghormati dan menganggap pelajarnya seperti anak atau adik mereka sendiri.

“Di sini perlu wujudnya keikhlasan dalam memberi tumpuan dan didikan supaya anak didik mereka berjaya melakukan perubahan besar dalam hidup,” katanya.

Beliau berkata, cabaran besar menanti warga pendidik iaitu bersama-sama berusaha mewujudkan jurang lebih rapat antara guru dan pelajar supaya mereka merasakan ada hubu�ngan akrab yang terjalin.

“Bagi pelajar yang keras hati dan degil, guru perlu menggunakan kesempatan dan kemahiran mereka berhubung dengan lebih kerap, belanja mereka makan dan merancang program pendek bercuti bersama-sama.

“Insya-Allah, jika niat kita ikhlas kerana Allah, pasti Allah permudahkan segala urusan dan usaha kita lakukan. Guru perlu bersedia menjadi insan yang mampu memberi buah fikiran serta tempat mengadu masalah,” katanya.

Mohd Nasir berkata, pelajar yang membawa masalah di sekolah biasanya datang daripada keluarga yang bermasalah.

“Guru tidak boleh mengambil keputusan terburu-buru apabila berhadapan dengan pelajar sebegitu. Mereka tidak suka dipaksa, maka langkah terbaik buat mereka adalah beri mereka peluang dan masa untuk berubah,” katanya.

Beliau berkata, setiap orang perlu sentiasa mendoakan kesejahteraan guru mereka walaupun mereka tidak lagi mengajar.

“Kalau ada antara kita pernah melakukan kesilapan dan keterlanjuran terhadap guru, mereka perlu berjumpa dan memohon maaf.

“Ini penting kerana setiap kejayaan yang kita kecapi hari ini sudah pasti berpunca daripada didikan yang dicurahkan kepada kita. Jangan sesekali berasa riak dengan apa yang kita miliki sekarang jika ia tidak mendapat keberkatan,” katanya.