23 September, 2011

Puasa Enam Bulan Syawal

SELEPAS berlalunya Ramadan, Syawal kini masih berbaki beberapa hari saja untuk melangkah ke Zulkaedah.

Rata-rata umat Islam di negara ini meraikan Syawal dengan mengadakan rumah terbuka dan ziarah menziarahi.

Namun, Ramadan yang dilalui selama sebulan mendidik jiwa umat Islam terus beribadat kepada Allah tanpa mengira waktu.

Puasa enam hari pada bulan Syawal satu ibadat hasil kesinambungan Ramadan. Hukumnya sunat seperti puasa sunat lain.

Namun, ada yang kurang memahami beberapa perkara berkaitan puasa enam Syawal.

Antaranya, adakah puasa enam Syawal perlu dilaksanakan secara berturut-turut atau sebaliknya.

Menurut pandangan mazhab Shafie dan Hanafi, cara paling afdal berpuasa berturut-turut selepas Aidilfitri pertama.

Namun, ia bukan rukun atau syarat terhadap ibadat puasa enam Syawal ini malah ganjaran sunat tetap diperoleh sekalipun dilakukan berselang-seli asalkan dilakukan enam hari dalam bulan Syawal.

lni berdasarkan hadis Rasulullah saw bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, dia seolah-olah berpuasa sepanjang tahun. (Riwayat Muslim dan lain-lain)

Sabda Rasulullah saw: “Barang siapa berpuasa enam hari selepas Aidilfitri, maka dia mencukupi setahun. Barang siapa mengerjakan satu kebajikan maka baginya sepuluh kali ganda. (Riwayat Ibn Majah, al-Baihaqi, Ahmad dan lain-lain).

Berdasarkan hadis-hadis itu, mengerjakan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal seperti berpuasa sepanjang tahun.

Ini kerana sebulan puasa Ramadan itu menyamai puasa sepuluh bulan dan puasa enam pula menyamai dengan dua bulan. Jika dicampurkan sepuluh bulan dengan dua bulan, maka genaplah setahun.

Rasulullah saw bersabda: “Berpuasa sebulan (disamakan) dengan sepuluh bulan puasa, dan berpuasa enam hari selepasnya (disamakan) dengan dua bulan puasa, maka kedua-duanya itu (jika dicampurkan) genaplah setahun. (Riwayat al-Darimi).

Persoalan lain ialah mana perlu didahulukan antara puasa qada Ramadan dan puasa enam Syawal. Perlu diingatkan bahawa mengqada puasa Ramadan adalah wajib yang perlu dilunaskan.

Ia hutang manusia kepada Allah tetapi sesiapa yang uzur sehingga tidak berdaya mengerjakan puasa, mereka tidak diwajibkan mengqada puasa yang ditinggalkan itu tetapi wajib membayar fidyah sebagai ganti puasa yang ditinggalkan.

Allah swt berfirman: “Dan wajib atas orang-orang yang tidak berdaya (berpuasa kerana keuzuran dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan kepada orang miskin.” (Surah al-Baqarah: Ayat 184).

Dalam mengerjakan qada puasa Ramadan, ulama menyatakan orang yang meninggalkan puasa tanpa keuzuran, perlu menyegerakan mengqada puasa itu.

Bahkan sebahagian ulama berpendapat tidak diharuskan melakukan puasa sunat termasuk puasa enam Syawal selagi tidak selesai mengqada puasa Ramadan.

Bagaimanapun, bagi mereka yang meninggalkan puasa kerana keuzuran yang dibenarkan syarak seperti perempuan haid atau nifas, diharuskan bagi mereka mengerjakan puasa enam Syawal dahulu sekalipun mereka masih mempunyai puasa qada Ramadan.

Perkara itu mungkin berlaku disebabkan mereka berada di akhir Syawal dan mungin tidak sempat menghabiskan puasa enam Syawal.

Mengutamakan puasa qada Ramadan lebih baik jika mempunyai waktu yang cukup bagi menghabiskan puasa qada Ramadan dan puasa enam Syawal dalam bulan Syawal.

Bagi persoalan mengenai niat puasa qada dan puasa sunat secara serentak,
berlaku khilaf di kalangan ulama. Sebilangan ulama menyatakan harus diniatkan dan ditunaikan puasa qada Ramadan dan puasa sunat enam Syawal secara serentak.

Namun, kebanyakan ulama berpendapat jika dapat memisahkan puasa itu iaitu melakukan puasa qada Ramadan dan puasa enam Syawal pada hari yang berlainan adalah lebih baik berbanding berpuasa serentak.

Berikut keterangan dan langkah-langkah yang boleh dijadikan panduan mengenai puasa serentak ini:

1. Selesaikan puasa qada Ramadan dulu sebelum berpuasa enam Syawal. Ia lebih baik dengan mengutamakan puasa qada Ramadan yang wajib sebelum berpuasa sunat.

Firman Allah swt: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amalan kebaikan bagi) keampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang berbuat kebajikan.” (Surah ali-Imran ayat 133).

2. Jika tidak mampu melaksanakan puasa qada Ramadan dan puasa enam Syawal berasingan di bulan Syawal, kita harus mendahulukan puasa enam Syawal.

Ini kerana puasa enam Syawal hanya boleh dikerjakan pada bulan Syawal sedangkan puasa qada Ramadan boleh dikerjakan selepas bulan itu.

3. Jika tidak mampu melaksanakan puasa enam Syawal dan qada Ramadan secara berasingan disebabkan keuzuran, maka puasa secara serentak antara puasa enam Syawal dan qada Ramadan adalah yang terbaik.

06 September, 2011

Ikut Tertib Sambut Aidilfitri

BERSALAMAN...musim perayaan adalah peluang terbaik bagi seluruh ahli keluarga berkumpul dan saling bermaafan-maafan jika pernah melakukan kesalahan.

SYUKUR, selepas sebulan menunaikan ibadat puasa, kita meraikan Aidilfitri Selasa lalu dalam suasana penuh kenikmati dan menjadi manusia baru yang lebih bertakwa.

Aidilfitri adalah anugerah Allah swt kepada hamba-Nya yang mencapai kemenangan selepas berjaya menghindarkan diri daripada godaan nafsu.

MERIAH...berkunjung dari rumah ke rumah yang diamalkan masyarakat kampung perlu diteruskan dan dijadikan contoh golongan yang tinggal di bandar.

MARHABAN...aktiviti yang boleh dijalankan bagi mengumpulkan jiran tetangga bersama-sama dalam satu majlis untuk mengeratkan lagi permuafakatan dalam sebuah institusi.

Meskipun hak penilaian dan pemberian ganjaran itu milik Allah swt, kita pasti dapat merasakan kesannya jika amalan itu diterima.

Latihan yang dijalankan selama tempoh sebulan itu diharap diteruskan dengan harapan ia diterima Allah swt sebagai amalan soleh.

Aidilfitri perlu diraikan dengan penuh kesyukuran dan meriah namun tidaklah keterlaluan. Amalan kunjung mengunjung memang menjadi tradisi masyarakat di negara ini bagi merapatkan kembali hubungan sesama insan.

Dari Abi Hurairah ra berkata: Nabi Muhammad saw bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah swt dan hari akhirat janganlah ia menyakiti jirannya, dan barang siapa yang beriman kepada Allah swt dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barang siapa yang beriman kepada Allah swt dan hari akhirat hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Dalam suasana hari raya ini, amalan kunjung mengunjung amat digalakkan dalam Islam sebagai merapatkan hubungan ukhwah dan persaudaraan sesama umah.

Namun, amat menyedihkan kerana amalan kunjung mengunjung kurang diamalkan generasi muda yang lebih selesa memerap di rumah sama ada bermain “video game” berceloteh dalam “facebook” atau menonton televisyen.

Lebih malang, ada kurang berminat pulang ke kampung halaman kerana sudah bergelar warga kota padahal di kampung, kedatangan Syawal amat dinanti-nantikan.

Apa yang tidak kena dengan generasi muda Islam di negara ini?

Kebiasaannya, di pagi Syawal, pagi-pagi lagi anak sudah dikejutkan dari tidur. Perasaan tidak terucap tatkala mendengar seruan takbir dari masjid yang memecah hening pagi.

Di sesetengah kampung mereka lebih selesa berjalan kaki beramai-ramai dari rumah masing-masing menuju ke masjid. Apabila selesai solat sunat hari raya, sebuah demi sebuah rumah jiran tetangga dikunjungi.

Itu antara rentetan dan kenangan lama suasana berhari raya di kampung yang sentiasa membangkitkan suasana ceria dan penuh kemesraan bagi menyuburkan jalinan ukhuwah sesama masyarakat kampung.

Itulah kelebihan dan hikmah berziarah di mana Islam kerana ia memberi peluang kepada sesiapa saja sama ada keluarga, sahabat handai mahu pun jiran tetangga bertemu dan bertanya khabar.

Bagi mengembalikan semula amalan ziarah menziarahi, ibu bapa perlu menekankan pentingnya amalan kunjung mengunjung kepada anak-anak supaya mereka tidak bersikap mementingkan diri sendiri.

Pohonlah kemaafan kepada mereka yang pernah kita lukai malah sifat memaafkan kesalahan orang lain juga adalah amalan yang sangat mulia di sisi Allah swt.
Menjadi lumrah manusia, sudah pasti ada salah silapnya namun segeralah memohon kemaafan dan jangan biarkan perasaan sombong membaluti diri.

Daripada Abdullah bin Mas’ud ra daripada Nabi saw bersabda yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang terdapat di hatinya seberat zarah daripada sifat sombong.”

Justeru, kemurnian dan kesucian Aidilfitri perlu disemarakkan dengan sebaik mungkin supaya tidak timbul soal perpecahan, persengketaan dan sikap individualistik di kalangan masyarakat kita.

Pegawai Agama Masjid Putra Nilai, Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanafi, berkata bagi menambah baik amalan ziarah pada musim perayaan umat Islam perlu meneladani serta mencontohi amalan ziarah Nabi Muhammad saw.

“Kebaikan yang dilakukan pada bulan Ramadan perlu dipamerkan secara berterusan pada bulan-bulan berikutnya".

“Pada zaman kanak-kanak dulu kita sentiasa menantikan baju dan duit raya. Kini tiba pula giliran kita meraikan golongan kanak-kanak dengan cara memberi duit raya, menghadiahkan baju raya kepada ibu bapa tercinta kerana itulah bukti kita sebagai hamba Allah swt yang taat,” katanya.

Beliau berkata, beberapa faktor negatif ketika menyambut hari raya perlu dielakkan seperti pembaziran makan minum, berhias berlebihan serta menghabiskan masa menonton televisyen.

“Apabila pergi berziarah pastikan kita menjaga adab berziarah iaitu hanya bercakap hal berfaedah, tidak menyakiti hati tuan rumah serta menjaga batasan aurat".

“Perkara yang sering kita lepas pandang adalah pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Selain itu, ada juga anak muda mengambil kesempatan memperkenalkan buah hati masing-masing kepada ibu bapa mereka,” katanya.

Mohd Fakhrurrazi berkata perkara seumpama itu tidak berakhir di situ saja kerana selepas itu mereka mengambil peluang keluar berduaan ke pusat hiburan.

“Mereka sangkakan itulah di katakan hari raya. Kalau inilah anggapan masyarakat, berwaspadalah kerana itu seolah-olah meniru gaya masyarakat barat,” katanya.

Beliau berkata amat tidak wajar sekali jika ada kalangan generasi muda pada hari ini menunjukkan rasa kurang minat pulang berhari raya ke kampung.

“Jika pulang sekalipun, mereka lebih gemar menonton televisyen di rumah sepanjang hari tanpa mempedulikan saudara mara yang datang berkunjung".

“Maka ibu bapa perlu memandang serius perkembangan tidak sihat berkenaan kerana ia akan menyebabkan anak mereka nanti mengamalkan sikap mementingkan diri sendiri serta kurang mesra dengan orang ramai,” katanya.

Mohd Fakhrurrazi berkata ibu bapa perlu memaklumkan kepada anak mereka tujuan berziarah itu adalah untuk mengenali saudara mara, jiran tetangga atau sesiapa saja dengan lebih rapat lagi.

“Fahami tujuan dan kepentingan ziarah sebagaimana yang diterangkan oleh Nabi Muhammad saw iaitu apabila kita menerima tetamu mereka perlu diberi layanan mesra dan sempurna supaya dapat kita beroleh seribu rahmat dan menjauhkan dari seribu kecelakaan,” katanya.

Beliau berkata kawasan perumahan di bandar perlu menghidupkan semula amalan ziarah seperti masyarakat di kampung.

“Aktiviti seperti marhaban atau baraan boleh dijalankan bersama-sama jiran tetangga bagi melaksanakan tuntutan agama yang menuntut umatnya saling bermuafakat, mendoakan antara sesama mereka dan bermaaf-maafan.

“Nabi Muhammad saw bersabda, iman seseorang Islam itu bergantung kepada kasih sayang saudaranya yang lain. Inilah hikmah jika dapat menyemarakkan amalan kunjung mengunjung,” katanya.

Mohd Fakhrurrazi berkata mereka yang menghulurkan kemaafan dan perdamaian lebih bertakwa dan Allah swt pasti mengangkat darjat mereka.

“Kita tidak boleh memaksa orang lain menghulurkan kemaafan terlebih dahulu. Lantas doakan mereka memperoleh hidayah supaya pertelingkahan dan persengketaan itu dapat segera diselesaikan".

“Ingat pesan Nabi saw, mereka yang memutuskan silaturahim lebih dari tiga hari tidak akan menghidu bau syurga,” katanya.

Wallahu'alam