28 April, 2011

Pergaulan Bebas Hampiri Zina

DUNIA semakin canggih dengan pelbagai inovasi yang dihasilkan bagi kepentingan manusia. Namun, dalam kecanggihan kehidupan hari ini, kita tidak terlepas daripada masalah akhlak dan hilangnya nilai murni.

Ramai manusia hilang arah dalam membezakan antara perkara yang baik dan jelek serta perkara yang membawa faedah atau padah.

Disebabkan manusia berlumba mengejar kehidupan dunia yang jauh dari landasan ditetapkan Allah swt.

Kes pembuangan bayi tidak berdosa dilihat semakin meruncing. Namun, segelintir anggota masyarakat belum sedar padah yang bakal diterima jika masalah berkenaan terus berlaku dalam masyarakat.

Ia menunjukkan masyarakat hari ini lebih teruk daripada masyarakat zaman jahiliah. Pada zaman jahiliah mereka hanya membunuh anak perempuan kerana malu dan menganggap golongan itu lemah serta tidak setanding dengan anak lelaki yang boleh diajar untuk berperang.

Perkara berkenaan dijelaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati. Dia bersembunyi daripada orang ramai kerana (berasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (dia beroleh anak perempuan sambil dia berfikir), adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina atau dia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.” (Surah al-Nahl, ayat 58-59)

Namun, hari ini, tidak kira anak lelaki atau perempuan, yang lahir kerana dosa ibu bapanya, maka mereka dibunuh dengan kejam serta dinafikan hak menikmati kehidupan.

Antara sebab utama berlakunya masalah itu ialah masyarakat sendiri tidak mengambil berat hubungan bebas antara lelaki dan perempuan bukan mahram.

Persepsi masyarakat hari ini menganggap hubungan bebas itu adalah cara hidup baru moden. Saban hari kita melihat gerak-geri anak muda di tengah-tengah kepesatan bandar, melakukan perkara dilarang Islam.

Berpegangan tangan, berpelukan, malah ada anak muda ini yang tidak segan
silu bercumbuan di depan khalayak ramai.

Semua itu adalah bibit permulaan dosa zina.

Sesungguhnya Allah mengingatkan kita sentiasa menjauhi perkara yang boleh membawa kepada zina. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, kerana sesungguhnya zina itu adalah fahishah (perbuatan yang keji) dan seburuk-buruk jalan (yang ditempuh oleh seseorang)” (Surah al-Isra’: ayat 32)

Fenomena terbabit sedikit sebanyak boleh diselesaikan jika setiap anggota masyarakat menjalankan tugas masing-masing dalam membanteras gejala keruntuhan moral itu.

Pihak berkuasa pula seharusnya perlu sentiasa mengingatkan golongan muda agar sentiasa menjaga tingkah laku mereka khususnya di khalayak umum.

Sikap ‘tidak mengapa’, ‘bukan keluarga kita’, ‘itu hal dia’ perlu dibuang kerana setiap individu Muslim bertanggungjawab mengajak melakukan amal makruf dan mencegah yang mungkar.

Peranan berkenaan menjadi lebih efektif jika ia mendapat sambutan pihak media. Media cetak atau elektronik seharusnya berganding bahu menyelesaikan masalah itu.

Ibu bapa berperanan besar memberi perhatian kepada anak di bawah jagaan mereka. Mereka perlu lebih bijak daripada anak-anak di mana mereka perlu kenal siapa yang berkawan dengan anaknya.

Sejak awal lagi Islam memberi garis panduan kepada ibu bapa iaitu melakukan pemisahan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan.

Didikan awal berkenaan memberi panduan bahawa lelaki tidak boleh bercampur dengan perempuan sebebas-bebasnya, walaupun dalam kalangan adik-beradik.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Perintahlah anak-anak kamu bersolat pada usia tujuh tahun. Pukullah mereka jika mereka meninggalkan solat pada usia 10 tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka”. (Hadis riwayat Ahmad)

Contoh lain, Islam memberi penerangan yang jelas bahawa lelaki dan perempuan itu tidak boleh bercampur secara bebas ialah ketika keadaan saf wanita yang hampir dengan saf lelaki ketika solat berjemaah.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Sebaik-baik saf lelaki adalah yang paling hadapan dan yang paling buruk adalah yang paling belakang. Dan sebaik-baik saf bagi wanita adalah yang paling belakang, yang terburuk bagi mereka adalah yang paling depan.” (Hadis riwayat Muslim)

Begitulah indahnya Islam yang tetap menitik-beratkan hubungan antara lelaki dan perempuan, meskipun dalam suasana yang baik (dalam masjid).

Bukan setakat menjaga hubungan antara lelaki dan perempuan saja, malah Islam turut menekankan perlunya menjaga batasan hubungan antara kaum sejenis.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Tidak boleh seorang lelaki memandang aurat lelaki lain dan tidak boleh seorang wanita memandang aurat wanita yang lain, dan tidak boleh seorang lelaki bersama dengan lelaki lain dalam satu kain (selimut) dan tidak boleh seorang perempuan bersama dengan wanita lain dalam satu kain (selimut).” (hadis Riwayat Muslim)

Sesungguhnya, dosa zina itu adalah besar. Sarjana Islam sepakat bahawa dosa zina adalah antara dosa-dosa besar (al-kaba’ir). Ibnu ‘Abbas ra pernah berkata bahawa: “Dicabut cahaya (nur) keimanan di dalam zina.” (Riwayat Bukhari dalam kitab Fath al-Bari)

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Ada tiga golongan (manusia) yang Allah tidak akan berbicara kepada mereka pada hari Kiamat dan tidak mensucikan mereka dan tidak melihat kepada mereka, dan bagi mereka seksa yang sangat pedih, iaitu; orang tua yang berzina, raja yang pendusta (pembohong) dan orang miskin yang sombong.” (Hadis riwayat Muslim)

Bagi menjaga kelangsungan identiti umat Islam pada masa akan datang, pencegahan peringkat awal dengan cara yang ditetapkan Islam, adalah lebih baik daripada pemulihan pada peringkat yang tidak dapat dibendung lagi.

Walau bagaimanapun, anak yang lahir daripada dosa zina adalah tidak berdosa sama sekali. Sesungguhnya, setiap anak Adam itu tidak sesekali mewarisi dosa kedua orang tuanya.

15 April, 2011

Syukuri Segala Nikmat Allah swt

JIKA kita sedar betapa tingginya nikmat Allah swt yang anugerahkan, nescaya tidak ada satu alasan pun untuk derhaka kepada Nya.

Sejak bangun daripada tidur sehingga tidur kembali, bahkan dalam tidur itu sendiri, semuanya itu tidak akan dapat dilakukan tanpa kuasa dan izin Allah.

Apa yang ada pada diri kita mulai dari hujung rambut hingga ke hujung kaki adalah pemberian Allah. Segala pemberian yang ada di sekeliling kita seperti keluarga, sanak saudara hingga harta benda adalah kurniaan Allah.

Tidak ada satu detik pun yang dijalani oleh seorang hamba dalam kehidupannya di dunia ini, melainkan ia berada di bawah kurniaan dan anugerah Allah.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan apa saja nikmat yang ada padamu, maka dari Allah lah (datangnya).” (Surah An-Nahl ayat 53)

Mengetahui hakikat yang agung ini, apakah yang harus kita lakukan sebagai seorang hamba lemah yang tidak memiliki daya upaya apa pun untuk mewujudkan sesuatu melainkan kerana pertolongan daripada Nya ?

Mengapa kita derhaka kepada Nya padahal setiap detik kita menikmati pemberian Nya ? Mengapa kita melalaikan Nya kerana kesombongan kita dengan mengatakan bahawa segala yang kita capai adalah kerana usaha kita belaka.

Seorang lelaki datang kepada Ibrahim bin Adham lalu berkata: “Sesungguhnya aku adalah orang yang banyak melakukan perbuatan dosa, maka nasihatilah aku!

Ibrahim berkata: “Jika kamu mahu menerima lima perkara dariku dan kamu mampu melaksanakannya, maka perbuatan maksiat apa pun tidak akan mencelakakan kamu.”

Maka orang itu berkata: “Apakah itu? Ibrahim berkata: “Jika kamu ingin bermaksiat kepada Allah s.w.t maka janganlah makan daripada rezeki Nya!”

Orang itu menjawab: “Jika begitu, dari mana aku makan kerana semua yang ada di bumi ini adalah pemberian Nya? Ibrahim berkata: “Apakah patut kamu bermaksiat kepada Allah, sedangkan kamu memakan rezeki Nya ?”

Orang itu menjawab: “Tidak, kemudian apa yang kedua? Ibrahim berkata: “Jika kamu ingin bermaksiat kepada Allah s.w.t maka janganlah kamu tinggal di bumi Nya!

Orang itu berkata: “Ini lebih besar dari yang pertama, di mana aku harus tinggal? Ibrahim berkata: “Apakah patut kamu bermaksiat kepada Allah, sedangkan kamu memakan rezeki Nya dan tinggal di bumi Nya ?”

Orang itu menjawab: “Tidak, kemudian apa yang ketiga? Ibrahim berkata, “Jika kamu ingin bermaksiat kepada Allah s.w.t maka carilah tempat di mana Allah s.w.t tidak melihatmu!”

Orang itu berkata: “Ke mana aku harus pergi, sedangkan Allah mengetahui semua yang nampak dan tersembunyi?” Ibrahim berkata: “Apakah patut kamu bermaksiat kepada Allah, sedangkan kamu memakan rezeki Nya dan tinggal di bumi Nya serta Dia melihat apa yang kamu lakukan?

Orang itu menjawab: “Tidak, kemudian apa yang keempat? Ibrahim berkata: “Jika malaikat maut datang untuk mengambil rohmu, maka mohonlah kepadanya: “Berilah aku waktu agar aku dapat bertaubat dan beramal soleh!

Orang itu berkata: “Permohonanku tidak akan dikabulkan dan mereka tidak akan menunda (kematianku). Ibrahim berkata: “Jika kamu tidak dapat menghindar daripada datangnya kematian agar dapat bertaubat dan beramal soleh maka kenapa kamu berbuat maksiat kepada Nya?

Orang itu berkata: Lalu apa yang kelima? Ibrahim berkata: “Jika di hari kiamat nanti, malaikat penjaga neraka datang untuk mengirimmu ke neraka, maka janganlah kamu menurutinya!

Orang itu berkata: “Mereka tidak akan melepaskanku dan tidak akan mengabulkan keinginanku.” Ibrahim berkata: “Jika demikian, bagaimana kamu berharap dapat selamat?

Orang itu pun berkata: “Cukuplah hal ini bagiku. Sungguh aku memohon ampun kepada Allah s.w.t dan bertaubat kepada Nya.”

Percakapan di atas adalah sebuah dialog yang dapat menggugat hati kita yang semakin beku dan keras.

Nasihat ulama mulia itu membuktikan semua nikmat di dunia ini adalah anugerah kurniaan daripada Allah. Menyedari hakikat ini, adalah menjadi kewajipan untuk kita sentiasa bersyukur kepada Allah pada bila-bila masa, di mana dan dalam keadaan apa pun.

Syukur kita adalah bentuk nikmat yang Allah kurniakan kepada kita. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan bersyukurlah kepada Allah, jika kamu benar-benar menyembah Nya.” (Surah Al-Baqarah: ayat 172)

Sesungguhnya syukur harus dilakukan dengan hati, lisan dan anggota badan. Syukur dengan hati adalah kita mengakui dan meyakini bahawa apa pun nikmat yang kita peroleh datangnya dari Allah.

Syukur dengan lisan adalah kita selalu membasahi lisan ini dengan zikir dan ucapan syukur kepada Nya. Syukur dengan anggota badan pula adalah kita menggunakan segala bentuk nikmat yang Dia anugerahkan kepada kita sebagai saranan untuk menjalankan segala perintah Nya dan menjauhi segala larangan Nya. Gunakan nikmat yang diberikan Nya untuk merealisasikan tujuan utama kita diciptakan, iaitu untuk beribadah kepada Allah s.w.t

Sesungguhnya, kebahagiaan tidaklah diukur dengan limpahan harta dunia.

Ketenangan jiwa hanya akan diraih oleh orang mukmin yang selalu bersyukur kepada Nya. Syukurilah segala nikmat Nya sekecil apa pun nikmat itu menurut kita, kerana Allah menjanjikan pahala bagi orang yang mahu bersyukur, dan mengancam dengan seksa bagi orang yang kufur.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat Ku), maka sesungguhnya azab Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim ayat 7).