30 December, 2011

Tamat Perkhidmatan AJK Sessi 2010/2011

As salam semua Jemaah SMT,
Adalah dimaklumkan bahawa mulai 01/01/2012, semua AJK Sessi 2010/2011 dengan resminya telah tamat perkhidmatannya dalam pengurusan SMT & oleh itu telah mengundur diri, dan diganti dan diambilalih oleh barisan AJK yang baru.
Saya selaku Pengerusi AJK Sessi 2010/2011 dan bagi pihak semua AJK dengan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua ahli jemaah yang telah memberi kesempatan kepada kami untuk berkhidmat mentadbir SMT bagi sessi tersebut.
Di kesempatan ini juga, saya & semua AJK memohon berbanyak banyak ampun & maaf di atas segala kesilapan, kekurangan & keterlanjuran kami semasa menjalankan tugas - samada sengaja ataupun tidak sengaja.
Semoga Allah swt mengampun segala dosa dosa kita serta merahmati kita semua.

Wallahu'alam & terima kasih.

Kami yang menjalankan amanah !

Radzuan bin Mohamad
Pengerusi SMT Sessi 2010/2011

Amalan Pertama Manusia Dihitung Pada Hari Akhirat

Solat adalah amalan yang mula-mula sekali dihitung pada hari akhirat kelak.

IMAM Ahmad menyatakan, jarak antara seorang lelaki dengan kekufuran adalah meninggalkan solat. Di dalam riwayat At-Tabrani pula “Siapa meninggalkan solat dengan sengaja, maka dia kafir nyata.” Tidak seperti ibadah lain, Allah swt memfardukan ibadah solat secara langsung kepada Rasulullah dalam peristiwa Israk dan Mikraj.
Antara kelebihan dan kepentingan solat dalam hidup kita ialah berpeluang berinteraksi dengan Allah swt.
Solat memelihara serta membentuk hubungan antara seseorang hamba dengan Tuhan Nya melalui kemanisan bermunajat dan menyerahkan segala urusan kepada Nya. Seperti yang diajarkan Rasulullah saw, solat bermula dengan berdiri, rukuk, ‘iktidal, sujud dan berakhir dengan salam.

Maka perbanyakkanlah berdoa memohon kepada Allah swt supaya dijauhkan daripada segala bahaya dan tipu daya syaitan. Solat memberi manusia peluang menggandakan pahala serta menghapuskan segala dosa. Kita perlu mengucapkan rasa kesyukuran tidak terhingga kerana Allah swt memberikan banyak kelebihan kepada umat Nabi Muhammad saw yang tidak terdapat pada umat sebelumnya. Daripada Abu Hurairah ra katanya : “Bahawasanya aku mendengar Rasulullah saw bertanya kepada sahabatnya, adakah kamu percaya bahawa kekotoran masih melekat pada tubuh seseorang yang mandi lima kali sehari dalam sungai yang mengalir di hadapan rumahnya?” Lalu baginda bersabda : Begitulah umpamanya kesan solat yang dikerjakan lima kali sehari. Dengan rahmat Allah swt ia dapat menghapuskan segala dosa” (Muttafaq Alaih). Allah swt berfirman yang bermaksud: “Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah swt yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat (Surah Hud ayat 114). Malah rahsia solat juga tersingkap 1,001 makna kerana ia memberi riadah kepada tubuh badan harian selain memberikan kerehatan jiwa. Maka solat menjadi salah satu cara merawat kegelisahan dan gundah gulana dalam diri manusia. Menurut riwayat Ahmad, apabila Rasulullah saw mengalami satu perkara yang mendukacitakan, Baginda mengatakan: “Berdirilah Wahai Bilal, damaikan kami dengan sembahyang.” Meninggalkan solat pula menjadikan hati manusia jauh untuk melakukan amal kebaikan malah buruk akhlaknya. Malah amalan yang mula-mula sekali dihitung pada hari pembalasan kelak ialah solat. Jika sempurna solatnya maka baiklah seluruh amalannya. Kewajipan menunaikan solat lima kali sehari semalam tidak membataskan manusia walau di mana atau dalam apa juga keadaan sekalipun. Ia perlu dilaksanakan sama ada dalam keadaan sihat, sakit, dalam peperangan, sedang bermusafir dan tidak mengira golongan sama ada kaya atau miskin. Solat tidak boleh dipandang ringan dan ia perlu kepada kesabaran dan kekuatan dalaman yang kuat. Malah seseorang yang inginkan diri mereka sentiasa menjaga serta memelihara solat perlu ada rasa tanggungjawab tinggi untuk melakukan amalan itu hanya kerana Allah swt.

Tidak boleh sesekali seseorang menggunakan cara yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti memakai susuk atau ilmu sihir bagi mendorong mereka ‘rajin’ beribadah. Pegawai Agama Masjid Putra Nilai, Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanafi berkata, bagi mereka yang menggunakan susuk atau sihir bagi menzahirkan kekuatan untuk beribadah boleh membawa implikasi besar terhadap akidah mereka. “Bahkan, jika tidak dikeluarkan susuk itu daripada tubuh badan, ia akan memudaratkan diri terutama ketika menghadapi saat nazak sakaratulmaut.“ Susuk ialah amalan memasukkan sesuatu bahan asing ke dalam badan bagi mendapatkan kelebihan sama ada secara nyata mahupun ghaib.“ Antara jenis susuk yang nyata adalah seperti susuk emas yang paling banyak digunakan untuk ilmu pengasih, susuk geliga buaya untuk tujuan pelacuran, susu beruang untuk ilmu kebal dan susuk buluh perindu untuk memerdukan suara atau menggoda,” katanya. Beliau berkata, tujuan memakai susuk itu untuk menaikkan seri wajah, hebat dalam hubungan seksual, kebal, pelaris perniagaan dan juga sebagai kekuatan tenaga termasuk mendirikan solat. “Pantang larang bagi pemakai susuk antaranya mereka tidak boleh memakan pisang emas, buah kundur, labu, makanan bercucuk seperti sate dan tidak boleh melihat cermin dalam tempoh tertentu dan dilarang menghadiri majlis pengebumian atau pergi ke tanah perkuburan. “Amalan ini masih menjadi amalan segelintir masyarakat disebabkan kedangkalan mereka. Jelas ia membawa syirik kepada Allah swt,” katanya. Mohd Fakhrurrazi berkata, terdapat banyak kes pemakai golongan muda disebabkan ibu atau nenek mereka memaksa memakai susuk sejak kecil bagi tujuan kecantikan. “Lebih malang, pemakai tidak menyedari terdapat bendasing dalam tubuh mereka sehingga membawa kepada bertahun-tahun lamanya. “Malah mereka melakukan ibadat seperti solat, puasa dan pergi menunaikan haji dalam keadaan bersusuk,” katanya.

Beliau berkata, hukum mendatangi pengamal atau menggunakan susuk adalah haram. “Hadis Nabi Muhammad saw yang bermaksud: “Sesiapa yang mendatangi, menilik nasib dan bertemu pawang atau bomoh maka dihukumkan kafir. “Kedua, menggunakan susuk atau cara amalan yang tidak dipastikan kesahihan ibadat itu sehingga terdengar ada suara ghaib menyuruh seseorang mendirikan solat dan berbuat amal kebajikan disepakati haram. “Ini berdasarkan tarjih ulama, amalan sesuatu ibadat ini tidak boleh diamalkan sehingga terdapat dalil pengharusan atau membolehkan ibadat dilakukan. “Masyarakat kita juga sering dibelenggu pengamalan ayat tertentu sehingga didatangi ‘khadam’ atau penjaga. “Hukumnya tetap haram dan membawa kepada syirik sehingga merosakkan akidah.

Terdapat kisah ketua wali sheikh Qadir al-Jailani hampir ditipu iblis yang datang dalam bentuk cahaya gilang gemilang dan memaklumkan kepadanya sudah sampai ke peringkat tertinggi sehingga tidak diwajibkan untuk bersolat. “Namun ia dihidu Sheikh Qadir dan melemparkan sepatunya dengan menyebut ‘auzubillahi mina syaitonirrojim’ supaya dapat berlindung daripada hasutan iblis yang sering memperdayakan manusia,” katanya. Mohd Fakhrurrazi berkata, bagi pesalah yang melakukan amalan khurafat itu, mereka perlulah segera bertaubat dengan sebenar-benarnya. “Pemakai susuk perlu membuang bahan yang dimasukkan itu ke dalam mana-mana anggota badan. Rawatan ini boleh didapati daripada mana-mana pengamal perubatan alternatif yang diiktiraf dan berpengalaman. “Akidah pesalah juga perlulah dibimbing semula oleh pembimbing yang diiktiraf seperti dari Jabatan Mufti negeri yang mempunyai bahagian pemantapan akidah yang mampu menjalankan tugas berkenaan. “Di sinilah hikmah mengapa kita seringkali mengulangi bacaan surah al-Fatihah memohon supaya sentiasa dibimbing ke arah jalan yang lurus,” katanya.

14 December, 2011

Penekanan Ibadah Kepada Zuriat

KELUARGA BAHAGIA...ibu bapa perlu pamerkan akhlak dan budi terpuji kepada anak yang masih dalam proses membesar kerana suasana positif itu akan meresapi ke dalam jiwa dan sanubari. Setiap pasangan suami isteri pastinya mengharapkan perkahwinan yang dibina segera dikurniakan cahaya mata bagi menjadi pelengkap hubungan kasih sayang antara mereka.

Jika berhasil, panjatkan setinggi kesyukuran kepada Allah swt kerana Dia ‘memilih’ kita untuk melaksanakan tanggung�jawab mendidik anak dalam kandungan itu supaya menjadi insan berguna.

CINTAKAN ILMU....selain berakhlak mulia pendidikan sempurna juga menjadi rahsia kepada pembentukan sahsiah diri anak soleh.

BERI NAMA BAIK...ibu bapa perlu memberikan nama anak mereka dengan makna yang indah, memberikan makna dan mudah disebut kerana nama itu doa buat anak. - Gambar hiasan

Bagi pasangan yang barangkali sudah bertahun menantikan kehadiran cahaya mata namun rezeki belum berpihak kepada mereka percayalah, itu sebahagian ujian Allah swt dan terimalah ketentuan itu dengan penuh reda.

Gunakan kesempatan yang ada untuk terus berdoa dan berusaha, moga-moga satu hari nanti Allah swt perkenankan permohonan kita menimang cahaya mata.

Ketika itu, diharapkan kita sudah bersedia menggalas amanah Allah swt itu dengan sempurna. Setiap ibu bapa mengharapkan anak mereka bukan saja dapat membantu di dunia bahkan diharap membantu ibu bapanya hingga ke akhirat.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Apabila sudah mati seorang anak Adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu: Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya.”

Sekiranya mengidamkan zuriat yang terbaik dan soleh, setiap ibu bapa mesti sentiasa berdoa kepada Allah swt yang menjadi amalan nabi dan rasul.

Allah swt berfirman yang bermaksud: “Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku seorang anak yang baik dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau sentiasa Maha Mendengar doa permohonan.” (Surah Ali-Imran ayat 38).

Dalam ayat itu, nabi dan rasul mengutamakan zuriat yang soleh dalam kehidupan mereka, walaupun zuriat itu belum dilahirkan lagi mereka berdoa kepada Allah swt.

Malah proses melahirkan anak soleh juga perlu mengambil kira adab sebelum melakukan hubungan intim bersama isteri supaya terhindar daripada gangguan syaitan.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Sekiranya seseorang di antara kamu ketika hendak mendatangi isterinya, maka hendaklah ia membaca: “Bismillah, Dengan nama Allah. Ya Allah, jauhkanlah syaitan daripada kami dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang Engkau rezekikan kepada kami.

Aspek pemberian nama kepada bayi juga perlu diberi perhatian serius. Pastikan
ibu bapa memberikan nama yang indah dan mempunyai makna yang baik selain
sedap di dengar dan mudah disebut.

Daripada Abu Darda’ ra berkata, Nabi saw bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu sekalian akan diseru pada hari kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu. Oleh demikian, elokkanlah nama-nama kamu”. (Riwayat Imam Abu Daud).

Nama yang dipanggil kepada anak itu adalah doa buat mereka dan mewakili diri serta kehidupannya. Jangan salah memberi nama sehingga membawa maksud keji, hina dan buruk maksudnya.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Berilah nama dengan nama-nama Nabi. Nama yang paling disukai oleh Allah ialah Abdullah dan Abdurrahman. Nama yang paling tepat (dengan hakikat manusia) ialah Harith dan Hammam, dan nama yang paling buruk ialah Harb dan Murrah”. (Riwayat Abu Daud, an-Nasai dan lain-lain).

Anak juga perlu diberi penekanan terhadap tuntutan ibadah kerana kesempurnaan ibadah melambangkan sifat kepatuhan serta ketaatan kepada Allah saw.

Ibu bapa juga perlu mempamerkan akhlak dan budi terpuji kepada anak-anak yang masih dalam proses membesar kerana suasana baik dan positif itu akan meresap ke dalam jiwa dan sanubari.

Soal halal haram rezeki amat mempengaruhi tindakan sikap dan tingkah laku anak. Pastikan apa saja bentuk rezeki termasuk wang, makanan atau minuman yang dibawa pulang ke rumah datangnya daripada sumber halal, terbaik lagi suci.

Malah sumber syubhah perlu dijauhi. Rezeki daripada sumber haram pastinya tidak membawa keberkatan malah ia akan menjadi darah daging yang merosakkan.

Allah swt berfirman yang bermaksud: “Wahai manusia, makanlah apa-apa di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.” (Surah Al-Baqarah ayat 168).

Mulakan langkah pertama mendidik anak dengan kembali menghayati ajaran Islam serta menghidupkan persekitaran Islamiah dalam rumah tangga.

Pegawai Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp), Roslan Che Rus berkata, ciri-ciri anak soleh antaranya taat kepada Allah swt, taat kepada ibu bapa dan menjadikan Islam sebagai pegangan.

“Jika anak soleh menjadi perhiasan kepada kehidupan di dunia dan menyejukkan mata memandang, anak toleh pula membawa maksud bertentangan.

Anak toleh ialah anak yang jahat, tidak mentaati Allah swt serta ibu bapa serta sering menimbulkan masalah kepada masyarakat selain memusnahkan kebahagiaan rumah tangga,” katanya.

Beliau berkata ibu bapa atau bakal bapa perlu sentiasa memainkan peranan mereka terutamanya menyuburkan amalan terbaik yang mampu memberikan kesan langsung kepada jiwa anak-anak untuk menjadi insan soleh dan solehah.

“Melahirkan serta memiliki anak soleh lebih penting daripada menumpukan sepenuh masa mencari dan mengumpul harta kekayaan dunia.

“Tiada gunanya sepasang suami isteri yang sudah memiliki segala-galanya, harta melimpah ruah, tetapi gagal membentuk peribadi anaknya yang diselubungi pelbagai masalah moral.

“Istilah anak toleh atau derhaka ini pastinya menghampakan impian dan harapan kedua ibu bapanya malah tidak membahagiakan kehidupan orang tuanya di dunia dan di akhirat,” katanya.

Beliau menyampaikan ceramahnya dalam program diskusi Addin yang diadakan di Dataran Milenium, Kepala Batas, Pulau Pinang, sempena Karnival Gegaria Harian Metro, baru-baru ini.

Tajuk yang dibincangkan pada malam itu ialah ‘Anak Soleh, Anak Toleh.’ Selain Roslan, perbincangan itu turut disertai Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu, Ahmad Fisol Omar dan dipengerusikan Eksekutif Agama The New Straits Times Press (M) Bhd, Zamanuddin Jusoh.

Beliau berkata, anak soleh tidak akan putus-putus mendoakan kesejahteraan
dan kebahagiaan ibu bapa mereka meskipun mereka sudah pergi menghadap Ilahi.

“Itulah yang amat diharapkan setiap ibu bapa apabila mereka sudah tiada lagi di dunia ini. Doa yang sentiasa dipanjatkan anak yang soleh itu pastinya menjadi bekalan berkekalan buat mereka.

“Nabi saw ada bersabda yang bermaksud: “Apabila mati anak Adam maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah atau ilmu yang bermanfaat atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.”

“Anak soleh bukan dapat dilahirkan secara ‘automatik’ sebaliknya bergantung kepada pendidikan yang bermula sejak daripada pemilihan calon isteri atau suami lagi,” katanya.

Roslan berkata, pendidikan sempurna adalah asas paling utama untuk melahirkan anak yang soleh selain perlu disesuaikan dengan suasana dan zaman mereka.

“Anak-anak perlu diberikan didikan sesuai dengan peringkat umur mereka dan suasana semasa di samping perlu melihat bentuk cabaran yang sedang dihadapi.

“Nabi Muhammad saw pernah bersabda, didiklah anak kamu mengikut peredaran zaman kerana anak kamu akan membesar pada zaman lain dengan cabaran berbeza dengan cabaran hari ini,” katanya.

Ahmad Faisol berkata, memiliki anak soleh bermula sejak daripada pemilihan calon pasangan lagi iaitu berdasarkan kepada empat perkara agama, kekayaan, kecantikan dan keturunan.

“Rasulullah saw menyarankan lelaki yang mahu berkahwin memilih wanita atas sebab agama kerana pastinya ia usaha awal untuk memiliki anak soleh.

“Besar kemungkinan, jika seseorang memilih pasangan yang tidak bagus sikap,
akhlak dan peribadinya kemungkinan anak yang mereka miliki mempunyai sikap sama,” katanya.

Beliau berkata, ramai pasangan melakukan kesilapan kerana hanya berdoa meminta dikurniakan anak, tetapi tidak ramai yang meminta dikurniakan anak soleh.

“Setiap pasangan perlu sentiasa berdoa supaya dikurniakan anak yang soleh.
Justeru pendidikan awal daripada ibu bapa kepada anak mereka amat penting dalam menentukan baik buruk hala tuju anak-anak.

“Nabi Muhammad saw bersabda yang bermaksud, “Setiap anak dilahirkan seperti kain putih, ibu bapanya yang mencorakkannya sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi”.

“Tidak cukup ibu bapa hanya berbangga anak mereka mampu memperoleh keputusan terbaik dalam peperiksaan kerana yang lebih penting daripada itu ialah mereka turut melakar kecemerlangan kerana menjiwai watak anak soleh,” katanya.

Ahmad Fisol berkata, bukan bermakna ibu bapa yang mempunyai anak derhaka perlu disisihkan mereka begitu saja namun anak itu perlu diberikan peluang serta bimbingan untuk berubah.

“Sebenarnya itu sebahagian ujian Allah swt kepada hambanya supaya mereka terus gigih memberi galakan serta membantu anak mereka kembali ke pangkal jalan.

“Setiap ibu bapa disarankan tidak mudah putus harapan dan semangat sebaliknya terus melaksanakan tanggungjawab dan peranan sebagai contoh ikutan kepada anak-anak,” katanya

02 December, 2011

Tukar Mazmumah Kepada Mahmudah

PERISTIWA hijrah Rasulullah saw perlu dijadikan ukuran buat diri individu Muslim kerana ia mempamerkan kesungguhan serta pengorbanan umat Islam di Makkah ketika itu yang sanggup berkorban nyawa, harta benda demi mencari keredaan Allah swt.

Walaupun sejarahnya lebih 1,000 tahun, ia tetap dikenang sebagai lambang kejayaan umat Islam. Cukupkah kita hanya berbangga menggunakan nama Islam, dilahirkan dalam keluarga Islam namun hakikatnya tidak menjiwai watak sebagai seorang Islam tulen.

DIDIK ANAK...anak perlu diberikan didikan seimbang antara keperluan dunia dan akhirat supaya dapat melahirkan generasi serta tamadun bangsa yang gemilang.

IMEJ MUSLIM SEJATI...terapkan kepada anak kecil supaya mempamerkan mutu dan kualiti sebenar Islam sebagai agama diredhai Allah.

BERUSAHA KERAS...umat yang berjaya sentiasa bekerja keras memajukan diri.

Penghijrahan utama yang perlu dilakukan adalah menukarkan sifat mazmumah kepada nilai mahmudah. Tafsiran kepada sifat terpuji dan terkeji tidak hanya berkaitan mengenai perkara ibadat tetapi menilai sikap lain terutamanya hubungan sesama manusia dan masyarakat, gerak kerja seharian, budaya serta tingkah laku.

Sebagai langkah permulaan, perbaiki kelemahan kecil yang ada dalam diri terlebih dulu sebelum melihat perkara besar. Penghijrahan perlu berlangsung secara beransur-ansur dengan membiasakan diri melakukan kebaikan kerana lama kelamaan pasti berhasil.

Solat umpamanya adalah ukuran paling tepat menggambarkan perubahan sifat seseorang. Bagi mereka yang dulunya amat memandang ringan malah begitu banyak meninggalkan solat maka ingatlah ia ibadah utama yang mengukur kejayaan seseorang di dunia dan akhirat.

Jika melaksanakan solat, sebaiknya perkemaskan untuk bersolat pada awal waktu serta dilakukan secara berjemaah. Latih diri melaksanakan solat sunat lain sebagai menampung kekurangan dalam solat wajib.

Begitu juga halnya dengan sikap; jika dulunya dianggap seorang yang kasar percakapannya sehingga pernah membuatkan orang lain terasa, perbaikilah menjadi seorang yang memiliki budi pekerti luhur dan lembut percakapannya.

Aspek kebersihan diri dan tempat tinggal perlu dikekalkan dalam suasana bersih, cantik dan selesa kerana itu adalah tuntutan dalam Islam.

Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, berkata umat Islam perlu mengingati Muharam sebagai tahun baru Hijrah yang penuh dengan kisah perjuangan Rasulullah saw dan sahabat menegakkan Islam.

“Keadaan ini jauh bezanya dengan senario umat Islam hari ini di mana mereka terhimpit dalam persaingan dunia tanpa sempadan yang amat mencabar.

Ditambah lagi dengan pengaruh kebendaan serta penghayatan nilai Islam semakin terhakis daripada kehidupan. Tidak hairanlah ada golongan manusia sudah hilang sifat hormat, semakin ramai sukakan kemungkaran dan bencikan kebaikan.

“Sudah sampai masanya umat Islam mengambil iktibar daripada peristiwa Hijrah dan peranannya dalam menjana pembinaan insan berilmu, beriman, beramal dan berakhlak,” katanya.

Beliau berkata peristiwa Hijrah mengubah ‘wajah’ sejarah kemanusiaan yang dahulunya hidup bermusuh-musuhan dan berperang sesama sendiri.

“Akhirnya, umat manusia dapat bersatu padu dan bermuafakat. Gambaran kehidupan tidak bermoral masyarakat Arab jahiliah ketika itu diceritakan sendiri Ja’afar bin Abi Talib ra sewaktu ditanya Raja Habsyah yang menyatakan pada zaman itu mereka adalah bangsa jahiliah yang menyembah berhala, memakan bangkai, mengerjakan perkara keji, memutuskan tali kekeluargaan, merosakkan tata tertib tetangga dan yang kuat menekan yang lemah.

“Rasulullah saw mengubah suasana itu dengan membawa mereka keluar daripada belenggu jahiliah kepada gaya hidup bermasyarakat, berkerajaan dan bertamadun tinggi.

“Allah swt berfirman yang bermaksud: “Kalaulah kamu belanjakan segala harta benda yang ada di bumi, nescaya kamu tidak akan dapat juga menyatupadukan antara perasaan dan hati mereka. Akan tetapi, Allah menyatupadukan mereka antara perasaan dan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Anfal, ayat 63).

“Ayat ini mengingatkan kisah perpaduan antara kaum Muhajirin dan Ansar walaupun asalnya, mereka dua puak yang bersengketa.

“Sejarah kemanusiaan menyaksikan jatuh bangunnya sesebuah bangsa bergantung kepada kekuatan rohani bukannya fizikal. Islam melahirkan personaliti cemerlang dalam sejarah tamadun manusia seperti Abu Bakar As-Siddiq ra, Umar Al-Khattab ra, Uthman bin Affan ra dan Ali bin Abi Talib ra,” katanya.

Menurutnya mereka itulah yang menyemarakkan pentas dunia dengan nilai hidup positif yang tidak ada tolak bandingnya dalam lipatan sejarah manusia.

“Ini bertepatan dengan jolokan istimewa yang Allah swt kurniakan kepada mereka sebagai umat terbaik dan umat pertengahan. Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud: Dan demikianlah (sebagaimana Kami memimpin kamu ke jalan yang benar), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil.
(Surah al-Baqarah, ayat 143).

“Hijrah bukan bermakna melarikan diri atau mahu menyerah kalah, sebaliknya salah satu koleksi nostalgia silam bagi menyedarkan umat Islam,” katanya.

Katanya, sebelum mengakhiri tahun 1432 Hijrah, setiap umat Islam perlu mengimbas kembali masa setahun yang berlalu bagi menilai ke mana ia dihabiskan.

“Saidina Umar al-Khattab ra pernah berkata; Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab oleh Allah di akhirat kelak. Ungkapan ini memberi peringatan kepada kita betapa perlunya muhasabah diri dan bagaimana ia berupaya bertindak sebagai alat persiapan yang akan menentukan kejayaan.

“Pada hari ini terdapat kelemahan melanda umat Islam termasuk kemunduran, kemiskinan, perpecahan, pertelagahan sesama sendiri.

“Ia jauh berbeza dengan jaminan Allah swt kepada umat Islam sebagai umat terbaik,” katanya.

Sheikh Muhammad al-Ghazali dalam bukunya ‘Al-Ghazwu al-Thaqafiy Yamtaddu Fi Faraghina’ menyatakan umat Islam akan gagal menunaikan risalah Islam yang diamanahkan melainkan mereka memiliki kekuatan kebendaan yang mencukupi.

“Umat Islam pasti gagal merealisasikan amanah menyampaikan Islam jika mereka masih lagi bergantung hasil makanan daripada ihsan golongan kafir dan musuh Islam.

“Justeru, umat Islam perlu bekerja keras memartabatkan kembali imej dan maruah sebagai umat yang terbaik,” katanya.

Engku Ahmad Zaki berkata dalam buku ‘Al-Tamkin Li al Ummah al Islmaiyyah’ karangan Muhammad Sayyid Muhammad Yusuf beliau menggariskan beberapa sifat utama yang mampu mengembalikan Islam pada zaman kegemilangannya.

“Antaranya, umat Islam perlu sentiasa beramal soleh, melakukan ibadat secara mutlak kepada Allah, penguasaan ilmu seimbang antara duniawi dan ukhrawi, berjihad pada jalan Allah, berdakwah serta mempunyai sifat sabar,” katanya.

Pensyarah Kuliyyah Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu Warisan Islam dan Sains Kemanusiaan, Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abdul Razak Wan Ahmad, berkata umat Islam di Malaysia perlu melakukan penghijrahan terhadap perkara asas dalam hidup.

“Berdasarkan perkembangan semasa, nilai, moral dan budaya umat Islam semakin jauh daripada landasan sebenar. Tidak mustahil aliran budaya dan agama lain terutamanya Buddha, Hindu atau Kristian akan meresap masuk ke jiwa umat Islam jika ia tidak ditangani.

“Umat Islam di negara ini berdepan tekanan besar dalam aspek akidah, syariat, ekonomi, kebudayaan dan sosial.

Lambang dan identiti Islam semakin kabur dan sukar dikesan,” katanya.

Beliau berkata hijrah utama yang perlu dilakukan sekarang ialah pemberian nama kepada anak yang baru dilahirkan.

“Ia bukan perkara kecil kerana nama membawa perwatakan sebenar dan memberi kesan kepada tingkah laku seseorang jika nama yang diberikan mempunyai maksud buruk.

“Contohnya, ada ibu bapa memberi nama anak seperti ‘Abdul Manaf’ (hamba berhala), ‘Majnun’ (gila), Hazan (dukacita). Jika bapa tersilap memilih nama, sewajarnya mereka berusaha menukar nama itu.

“Antara nama yang baik seperti nama yang dinisbahkan kepada nama Allahswt namun perlu dimulai dengan kalimah ‘Abd seperti Abdul Quddus, Abdul Halim, Abdul Fattah dan sebagainya,” katanya.

Abdul Razak berkata perkara lain yang perlu diberi perhatian serius dalam proses penghijrahan ialah memartabatkan kembali cara berpakaian.

“Apa yang berlaku hari ini nampaknya sudah jauh tersasar di mana terdapat di kalangan masyarakat tidak segan silu berpakaian menjolok mata yang membawa fitnah.

“Perubahan perlu dilaksanakan segera dengan membawa imej pemuda dan pemudi Islam yang sentiasa menjaga hubungan serta membaluti tubuh mereka dengan pakaian menutup aurat seperti yang digariskan Islam.

“Begitu juga dari aspek budaya sama ada ketika berada di rumah, pejabat atau bertemu orang lain di luar perlu ada tindakan dan perubahan.

“Masyarakat kita sebenarnya mampu menjadi warga hebat jika sentiasa membudayakan sifat rajin berusaha, kualiti kerja bermutu, kreatif dan sentiasa bermotivasi tinggi,” katanya

16 November, 2011

Empat Amalan Elak Hati Jadi ' Batu '

Seseorang yang keras hatinya akibat terlalu kotor menghitam pasti tidak lagi merasakan kemanisan dan keseronokan beribadat.

Lebih membimbangkan ialah apabila hati ke tahap tidak ‘bernyawa’ lagi (mati), pasti tiada lagi perasaan insani dalam diri mereka.

RAPATKAN HUBUNGAN...ibu bapa perlu sentiasa mengingatkan anak-anak supaya tidak sesekali meninggalkan solat dan lakukan solat berjemaah bagi menambah keberkatan.

HILANG PEDOMAN...apabila hati mati mendorong seseorang melakukan kejahatan tanpa memikirkan kesan keburukannya.

Akibatnya, mereka tidak dapat lagi membezakan antara kebaikan dan keburukan. Hatinya terpadam sifat manusia yang bertamadun, mempunyai peraturan hidup, belas ihsan dan perasaan takutkan kemurkaan Allah swt.

Melakukan kemungkaran dan kejahatan tidak sedikit pun memberi perasaan bersalah dalam diri. Maka sebab itu mereka sanggup melakukan apa saja bentuk jenayah atau kekejaman di dunia ini.

Hati ialah organ paling utama dalam tubuh manusia. Ia kelak akan menjadi penilaian terpenting Allah swt terhadap hamba-Nya. Bayangkan, setiap kemungkaran dan kejahatan menerbitkan satu titik hitam pada hati manusia jika dilakukan tanpa bertaubat.

Berdasarkan hadis Rasulullah saw yang bermaksud: “Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Allah swt berfirman yang bermaksud: “Sebenarnya ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka sudah diselaputi kotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan.” (Surah al-Muthaffifiin ayat 14)

Oleh itu, manusia perlu sentiasa menjaga hati mereka sama seperti anggota badan yang lain supaya sentiasa sihat dan mendorong mereka melakukan kebaikan.

Hati kotor dan keras perlu dibersihkan kerana kegagalan memulihkannya berfungsi dengan baik kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah swt pada hari akhirat kelak.

Allah swt berfirman bermaksud: “Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Surah az-Zumar ayat 22)

Sucikanlah ia dengan banyak mengingati Allah swt iaitu berdoa meminta keampunan daripada-Nya setiap hari serta menghitung kesilapan diri. Firman Allah swt bermaksud: “Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra’d ayat 28)

Jika seorang berasa senang, berbangga melakukan maksiat selain tiada langsung penyesalan selepas melakukan dosa, itu adalah tanda hati mereka bermasalah. Renungilah kehidupan di dunia ini pasti ada penamatnya. Sudahkah kita bersiap sedia menghadapi fasa seterusnya?

Pendakwah bebas, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid, berkata empat perkara utama yang perlu dijaga untuk memastikan hati sentiasa sihat ialah menjaga amal ibadat, sibuk mencari ilmu, berkawan dengan orang yang boleh memberi bimbingan serta banyak berdoa kepada Allah swt.

“Jika solat lima waktu tidak dijaga ia menyebabkan hati jauh daripada mengingati Allah. Ibu bapa perlu sentiasa mengingatkan anak supaya tidak sesekali meninggalkan solat.

“Begitu juga dengan tuntutan mencari ilmu, ia penting kerana amalan yang dilakukan dengan ilmu itu mempunyai kualiti dalam memastikan hati terdorong melakukan kebaikan.

“Bermohonlah kepada Allah swt untuk apa saja permintaan dan hajat kita kerana ia senjata orang mukmin selain memohon taubat supaya dosa silam diampunkan Allah swt,” katanya.

Menurutnya, hati adalah raja yang mengawal tubuh badan sama ada untuk melakukan kebaikan atau kemungkaran.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah saw
bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya di dalam tubuh (manusia) ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah seluruh tubuhnya dan jika rosak daging itu, rosaklah seluruh tubuhnya serta ketahuilah ia adalah hati. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

“Setiap Muslim perlu bermujahadah melawan nafsu kerana syaitan tidak akan berhenti menggoda dan memesongkan hati manusia daripada segenap sudut sehingga ke hari kiamat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Diskusi Addin sempena Karnival Gegaria Harian Metro di Taman Awam Kubang Gajah, Temerloh, Pahang baru-baru ini.

Turut hadir, Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood yang membincangkan topik ‘Hati Mati, Keluarga Sengsara’, Ia dipengerusikan Eksekutif Agama The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Ustaz Zamanuddin Jusoh.

Siti Nor Bahyah berkata, baik atau sebaliknya seseorang itu bergantung kepada hatinya.

“Lihat hikmah yang terdapat daripada kisah Luqman al-Hakim apabila tuannya memerintahkan supaya menyembelih seekor kambing dan membawa bahagian terbaik dan bahagian yang terburuk.

“Kemudian Luqman membawa kepada tuannya seketul hati. Berkata tuannya: “Wahai Luqman sembelih seekor kambing dan bawa seketul daging paling tidak baik.” Lalu Luqman juga membawa seketul hati.

“Ia membawa maksud baik atau tidak seseorang itu bergantung kepada hatinya. Maka bersihkan hati dengan membuang empat ‘racun’ dalam diri iaitu berlebihan dalam berbicara, berlebihan melihat sesuatu, berlebihan dalam makan dan berlebihan dalam pergaulan.

Menurutnya berlebihan dalam berkata-kata menyebabkan seseorang itu banyak melakukan dosa.

“Dalam sebuah kisah ketika Huzaifah ra bertemu Nabi saw dan meminta diberi petua kepadanya apa yang patut dia cakap supaya isterinya senang mendengar. Nabi saw menjawab: “Beristighfar dahulu sebelum bercakap.”

“Jika makanan terisi dengan banyaknya menyebabkan ia akan menjadi racun yang mengotorkan hati. Luqman al-Hakim berkata kepada puteranya: “Janganlah engkau banyak tidur dan makan. Barang siapa banyak melakukan kedua-duanya, pada hari kiamat dia miskin amal soleh.”

“Luqman memberi petua, perut sepatutnya diisi dengan satu pertiga makanan, satu pertiga minuman dan satu pertiga lagi untuk pernafasan,” katanya.

Siti Nor Bahyah mengingatkan kepada suami supaya memastikan mereka membawa rezeki halal lagi bersih kepada keluarganya.

“Kisah seorang lelaki yang bertanyakan kepada Rasulullah saw kenapa Allah swt tidak makbulkan doanya kerana dia tidak mendapat isteri dan anak yang soleh.

Rasulullah saw berkata: “Perbaiki makanan dulu (halal dan baik) nescaya doa akan dikabulkan.”

“Justeru, setiap pagi sebelum suami melangkah keluar mencari rezeki salam dan cium tangannya serta berpesan kepada suami supaya mencari rezeki yang halal kerana tidak sanggup dibakar api neraka jika ia daripada sumber haram,” katanya.

Beliau berkata, tiga ramuan atau petua yang dapat membantu menyuburkan hati ialah bermuhasabah diri, menimbulkan perasaan khauf (takut) kepada Allah swt serta banyakkan beristighfar.

“Sebagai suami, contohnya mereka perlu bertanya diri mereka adakah sudah menjaga amanah (isteri dan anak) dengan sempurna? Binalah keluarga sehingga ke syurga apabila menjadikan solat berjemaah bersama-sama sebagai amalan.

“Melakukan solat berjemaah dapat menambah keberkatan serta merapatkan hubungan kekeluargaan. Maka akan lahirlah ‘keluarga syurga’ yang diidam-idamkan.

“Melalui istighfar juga mampu membersihkan diri manusia daripada dosa. Nabi saw yang dijamin syurga sekalipun tetap meminta keampunan kepada Allah swt setiap hari,” katanya.

25 October, 2011

Haji - Badan Sihat Mudah Beribadat

MELONTAR JAMRAH...dalam keadaan bersesak-sesak jemaah memerlukan kekuatan fizikal.
BERTENAGA...golongan muda disaran menunaikan haji ketika usia muda supaya dapat menjalankan kerja haji dengan lebih sempurna. MUNGKIN ramai di kalangan golongan muda merasakan kesempatan untuk menunaikan ibadah haji tidak tercapai pada usia muda dengan alasan masih tidak memiliki sumber kewangan kukuh atau memberi laluan kepada golongan tua terlebih dulu.

Semua alasan berkenaan perlu diperbetulkan kerana ketika muda inilah masa paling sesuai melaksanakan kewajipan rukun Islam yang kelima itu.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Bersegeralah kamu menunaikan fardu haji kerana seseorang itu tidak tahu apa akan berlaku ke atasnya (mati)” (Riwayat Imam Ahmad).

Justeru, umat Islam terutama golongan muda perlu merancang sebaik-baiknya sebelum menunaikan ‘pengembaraan’ hebat mereka di Tanah Suci kelak.

Umat Islam negara ini sepatutnya berasa syukur dan bertuah sekali kerana memiliki institusi seperti Lembaga Tabung Haji (LTH) yang berpengalaman menguruskan jemaah haji setiap tahun.

Institusi berkenaan terbukti antara yang terbaik menyediakan latihan dan kursus intensif kepada bakal haji. Alasan kewangan bukan menjadi perkara utama.

Ini kerana setiap orang perlu berniat dari awal lagi untuk menunaikan ibadah haji pada usia muda melalui amalan menabung dan membuat simpanan tetap melalui sistem potongan gaji ke dalam akuan Tabung Haji.

Jangan pula kita menanggung hutang membuat pinjaman semata-mata untuk pergi mengerjakan ibadah haji atau umrah.

Perkara itu dirasakan tidak sesuai kerana memperlihatkan kelemahan kita yang terpaksa membuat pinjaman. Setiap orang perlu berazam menunaikan haji ke Tanah Suci setidak-tidaknya ketika berusia 30-an atau lebih muda lagi.

Mulai sekarang, kita perlu mempertingkatkan ilmu pengetahuan supaya ketika melaksanakan ibadah haji dalam keadaan bersedia dan berilmu bagi mendapatkan haji mabrur.

Faktor umur dijadikan ukuran utama dalam ibadah haji kerana ketika badan masih sihat, kuat dan bertenaga inilah antara perjuangan jihad kita dapat dilakukan dengan cukup sempurna.

Seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah saw, “Apakah ibadat yang paling baik. Baginda menjawab, beriman kepada Allah dan Rasul. Apa lagi kata pemuda itu, Baginda menjawab, jihad fisabilillah. Apa lagi, Rasulullah bersabda, haji yang mabrur” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Allah swt berfirman yang bermaksud: Menunaikan haji adalah kewajipan setiap manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang mampu mengadakan perjalanan menuju ke Baitullah. Dan barang siapa mengingkari (kewajipan haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam (Surah Ali’Imran ayat 97).

Sekiranya kita sudah berkemampuan menunaikan haji pada usia muda, mengapa mesti menunggu menangguhkannya? Apabila berpeluang menunaikan haji, tumpukan perhatian terhadap pelaksanaannya dengan memutuskan hubungan dengan dunia yang melalaikan.

Peliharalah hubungan baik dengan Allah swt dan menjauhkan diri daripada melakukan perkara maksiat, keji serta meningkatkan diri dengan sifat terpuji.

Imam Al-Ghazali berkata, ibadah haji adalah kemuncak ibadat dan pengabdian diri seseorang Muslim kepada Allah swt. Pengabdian itu perlu diusahakan sebaik mungkin dengan penuh bersemangat.

Penolong Pengarah Pusat al-Quran dan Ilmu Teras, Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zain berkata, kelebihan kepada golongan yang menunaikan haji ketika muda adalah mereka lebih realiti dalam menyahut seruan Allah swt dengan keadaan mampu.

“Mampu yang dinyatakan di sini adalah dari segi kekuatan jasmani kerana badan masih kuat membolehkan mereka beribadah dengan lebih selesa, tenang, tiada penyakit dan tidak terdedah kepada bahaya.

“Berbeza dengan golongan haji yang sudah tua, pergerakan mereka terbatas, menghidap beberapa penyakit, mata tidak berapa nampak dan terdedah de�ngan pergerakan fizikal seperti perlanggaran antara jemaah yang menjadi penghalang penghayatan ibadah itu,” katanya.

Zamihan berkata, beliau juga mempunyai pengalaman mengerjakan haji pada usia muda dan dapat merasai kehebatan dan kesempurnaan mengerjakan ibadah haji yang cukup luar biasa.

“Saya mengerjakan haji ketika berusia 22 tahun bersama rakan lain ketika menuntut di Jordan. Kami mengambil peluang musim cuti semester bagi melaksanakan ibadah wajib itu dengan perasaan cukup semangat dan seronok sekali.

“Tidak dinafikan, dalam usia muda sebegitu, kita sentiasa didorong dengan nafsu dan kurangnya daya tahan. Namun bagi mereka yang sudah melaksanakan ibadah haji ini sangat dihormati masyarakat, lebih-lebih lagi jika golongan muda.

“Sebab itu, jika orang muda yang sudah mempunyai kemampuan dari segi kewangan dan ilmu disarankan menunaikan haji seawal mungkin,” katanya.

Beliau berkata, antara faktor dan sebab mengapa kita menyarankan golongan muda segera menunaikan haji kerana cabaran yang perlu ditempuh jemaah haji sebenarnya cukup mencabar.

“Kerja haji seperti melontar jamrah contohnya memerlukan kekuatan fizikal kerana ketika itu jemaah saling berebut, di tambah lagi kawasan yang terhad sudah tentu menyukarkan jemaah.

“Bagi golongan muda perkara itu tidak menjadi masalah besar kerana mereka memiliki kekuatan tubuh badan yang kuat.

Sama juga halnya dengan tawaf, jemaah masing-masing bersesak-sesak dalam keadaan panas, bertembung sesama sendiri dan jika silap langkah boleh terjatuh atau rebah,” katanya.

Bagi perunding latihan dan motivasi terkenal, Ahmad Fadzli Yusof, peluang menunaikan haji pada 2001 ketika masih dalam pengajian sebagai rezeki daripada Allah swt yang ‘menjemput’ beliau menjadi tetamu-Nya.

“Ketika itu, saya berusia 23 tahun dan berada dalam tahun tiga dalam pengajian undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Saya terkejut mendapat panggilan telefon daripada pegawai Lembaga Tabung Haji (LTH) yang menyatakan saya terpilih untuk mengerjakan ibadah haji pada
tahun itu.

“Pegawai itu kemudian meminta saya hadir ke pejabat Tabung Haji bagi sesi taklimat sebelum berlepas sehari selepas itu. Ketika itu saya tengah menghadapi peperiksaan akhir di universiti.

“Situasi berkenaan memaksa saya menangguhkan peperiksaan dan mengambil peperiksaan khas selepas pulang dari Tanah Suci. Biarpun masa yang diberikan cukup singkat untuk membuat persediaan, namun Allah swt permudahkan segala-galanya dan saya bertekad tidak mensia-siakan peluang yang diberikan itu sebaiknya-baiknya,” katanya.

Ahmad Fadzli berkata, peluang menjadi tetamu Allah swt itu adalah jemputan kerajaan Arab Saudi bagi mengikuti persidangan belia Muslim peringkat antarabangsa di Jeddah.

“Alhamdulillah, saya bersama seorang lagi rakan yang ketika itu memimpin sebuah persatuan di UIAM (Quranic Youth Club) dipilih pihak universiti untuk menghadiri persidangan terbabit dan seterusnya melaksanakan ibadah haji.

“Selain wakil pelajar negara ini, persidangan itu turut disertai wakil dari 15 negara lain antaranya Turki, Mesir, Pakistan dan Indonesia,” katanya.

Ketika dalam penerbangan ke Jeddah, beliau bersama rakan lain tetap menelaah buku panduan haji diberikan pihak Tabung Haji sebagai persediaan.

“Biarpun mendapat jemputan secara ‘mengejut’ namun kami berusaha menggunakan kesempatan yang ada bagi membuat ulang kaji.

“Apa yang boleh dikongsi melalui ibadah yang berjaya dilaksanakan ini adalah mengenai keupayaan tenaga. Dalam usia 20-an ketika itu saya tidak memikirkan soal kesihatan kerana yakin masih diberikan kudrat yang kuat untuk melakukan ibadah.

“Peluang yang diberikan itu memberikan kesempatan kepada saya bertemu pelbagai lapisan masyarakat, selain dapat menziarahi kawasan menarik dan bersejarah di sana,” katanya.

Ahmad Fadzli berkata, bukan mustahil bagi golongan muda melaksanakan ibadah haji dalam usia muda asalkan mereka bersedia untuk menyimpan dan menabung bagi tujuan itu.

“Setiap orang muda perlu berniat mahu melaksanakan rukun Islam kelima ini lebih awal lagi di samping bersedia dari segi kewangan dan ilmu pelaksanaannya.

“Lakukan simpanan setiap bulan ke dalam akaun Tabung Haji sejak mula mendapat pekerjaan. Contohnya menyimpan sebanyak RM150 ketika umur 23 atau 24 tahun, insya-Allah berpeluang menunaikan haji ketika berumur 34 atau 35 tahun kelak,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman berjaya mengharungi pengembaraan selama lebih 30 hari di Tanah Suci itu ibarat proses kelahiran semula yang membina kekuatan dalaman, motivasi serta spiritual lebih mantap.

“Ibadah haji antara proses latihan yang menjadikan umat Islam insan bertanggungjawab, memiliki paradigma serta perspektif yang berbeza-beza kerana di sana mereka bakal menyaksikan umat Islam dari seluruh dunia.

“Dalam usia yang muda ini juga mereka berpeluang memberikan sumbangan idea, visi dan wawasan baru dalam kehidupan,” katanya.

20 October, 2011

Imbang Ilmu Dunia & Akhirat

GEDUNG ILMU...IQ melahirkan ramai ilmuan dan ulama di Malaysia. MELAHIRKAN masyarakat yang berpegang kepada al-Quran melalui pembudayaan ilmu antara agenda utama membawa kepada penubuhan Institut al-Quran (IQ) Terengganu kira-kira 27 tahun lalu.

Bermula sebagai Maahad Tahfiz al-Quran (MTAQ) pada 1984 dengan hanya 15 pelajar yang dibimbing lima tenaga pengajar, ia berkembang dan menjadi pilihan utama rakyat Darul Iman yang mahu mendalami al-Quran sebelum dinaikkan taraf kepada IQ Terengganu pada 2Januari 2007.

UJI MINDA...selain ilmu al-Quran, IQ turut memberi tumpuan kepada pengajian akademik.

TEKUN...IQ mendapat bimbingan pelbagai pensyarah berpengalaman termasuk dari luar negara.
Antara tokoh pernah berkhidmat di pusat pengajian ini ialah Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad yang menjadi pengasas dan pengetua pertama MTAQ dari 1984 hingga 1993.

Pengarahnya, Dr Ahmad Bazli Shafie, berkata kenaikan taraf MTAQ kepada IQ menunjukkan kerajaan negeri Terengganu memberikan sokongan padu kepada usaha murni pusat pengajian itu bagi melahirkan generasi yang berpegang kepada al-Quran.

“IQ Terengganu memulakan operasi di kampusnya sekarang di Padang Midin, Marang pada 1 Januari 2008 dengan diketuai seorang pengarah dan 65 kakitangan. Ketika itu, seramai 70 peratus kakitangan akademiknya adalah lulusan luar negara.

“Tidak dinafikan setiap tahun IQ Terengganu menerima banyak permohonan daripada mereka yang berminat untuk menuntut ilmu namun ia terpaksa ditapis kerana kemudahan yang terhad.

“Setiap tahun kita mempunyai 246 pelajar sepenuh masa merangkumi pelajar persijilan dan diploma tahfiz serta 1,500 pelajar sambilan yang mengikuti kelas pada setiap hujung minggu,” katanya ketika ditemui di pusat pengajian berkenaan, baru-baru ini.

Menyentuh mengenai program pengajian di IQ Terengganu, Dr Ahmad Bazli berkata, terdapat tiga program ditawarkan iaitu program Persijilan Syahadah, Pengajian Diploma Tahfiz wal Qiraat dan Pengajian al-Furqaan.

Bagi program Persijilan Syahadah, ia terbuka kepada pelajar lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan permohonan terbuka kepada rakyat Terengganu dan luar yang menuntut dalam aliran bahasa Arab.

Dalam program selama empat tahun ini, pelajar bukan saja memperoleh sijil melalui program Syahadah seperti Sijil Tahfiz al-Quran, Sijil Khatam dan Sijil Hafazan al-Quran, tetapi mereka juga akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia.

Melalui program ini, pelajar berpeluang melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi tempatan seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains dan Islam Malaysia (Usim), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selain luar negara antaranya Universiti Al-Azhar, Ummu al-Quran Universiti Makkah dan Universiti Madinah.

Pengajian Diploma Tahfiz wal Qiraat adalah satu pengajian untuk lepasan SPM yang dijalankan mengikut sistem semester selama tiga tahun dan mendapat kerjasama daripada Darul Quran, Kuala Kubu Bharu, Selangor yang terletak di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Dalam pengajian ini, pelajar akan dibimbing menjadi seorang hafiz dan hafizah yang mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran dengan pengambilan pertama bermula pada 1998.

Selain didedahkan dengan beberapa subjek al-Quran, pelajar juga didedahkan dengan pengajian Islam dan bahasa Arab secara sistematik.

Bagi pengajian al-Furqaan yang terbuka kepada umum, IQ Terengganu menawarkan program pengajian berterusan seperti Ulum al-Quran, tarannum, tafsir al-Quran, qiraat, bahasa Arab dan asas al-Quran selama setahun.

“Jangan terkejut jika mendapati ada antara pelajar pengajian al-Furqaan ini terdiri daripada golongan profesional termasuk guru, peguam, ahli perniagaan dan kakitangan kerajaan yang ingin menambah dan memperbaiki ilmu dalam bidang al-Quran,” katanya.

Menurut Dr Ahmad Bazli, seramai 721 pelajar berjaya memperoleh sijil tahfiz sejak pusat pengajian berkenaan beroperasi selain 300 lulusan diploma.

“Ibu bapa tidak perlu bimbang mengenai hala tuju pelajar yang menuntut di IQ Terengganu. Peluang untuk menyambung pelajaran dan kerjaya sentiasa ada yang mana ia terpulang bagaimana seseorang itu untuk merebut peluang yang ada.

“Ada antara pelajar IQ Terengganu melanjutkan pengajian mereka di institusi pengajian tinggi dalam bidang syariah, al-Quran dan Usuluddin sama ada dalam dan luar negara seperti UKM, UIAM, Usim dan Universiti al-Azhar, Mesir sebaik saja tamat pengajian di sini.

“Kebanyakan pelajar lulusan IQ Terengganu menyambung pengajian mereka dalam tiga bidang berkenaan dengan sebahagian besarnya menjadi tenaga pengajar dan imam di masjid.

“Apa yang membanggakan, ada antara pelajar ini kembali mencurahkan bakti di IQ Terengganu sebaik menamatkan pengajian mereka,” katanya sambil memaklumkan IQ Terengganu sedang mengambil beberapa langkah positif dalam usaha melahirkan tenaga akademik dan kepakaran dalam bidang pengajian al-Quran.

Menurutnya, kakitangan dan pelajar IQ Terengganu turut menjadi pilihan masyarakat untuk mengepalai majlis keagamaan terutama solat Tarawih sebagai imam dan ceramah di sekitar Terengganu.

“Permintaan itu menunjukkan pelajar IQ Terengganu mendapat kepercayaan masyarakat walaupun mereka masih dalam proses pembelajaran.

“Bagi pihak pengurusan, jemputan seumpama itu mampu melatih pelajar ini untuk menjadi lebih bertanggungjawab dan persediaan awal sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan kelak.

“Dengan jemputan berkenaan, mereka dapat mempraktikkan ilmu dipelajari dan memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya.

Pelajar program Persijilan Tahfiz, Mohd Hanafiah Abdullah, 18, berkata minat mendalam dalam bidang al-Quran menjadi puncanya memilih IQ Terengganu sebagai tempat menuntut ilmu.

“Saya selesa belajar di sini. IQ Terengganu bukan saja menekankan ilmu al-Quran semata-mata, tetapi turut memandang serius bidang akademik lain,” katanya yang menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian di Mesir dalam bidang syariah.

Rakannya, Maryam Hamidah Zulkifli, 18, pula berkata, walaupun sibuk dengan program Persijilan Tahfiz, dia masih mampu mencapai keputusan cemerlang dalam SPM apabila memperoleh 9A tahun lalu.

“Setiap hari, kami perlu menghadiri kelas hafazan al-Quran selama dua jam sebelum mengikuti pembelajaran kelas akademik lain.

“Jika dilihat secara kasar, masa yang kami ada amat terhad, tetapi ia bukan alasan untuk kita meraihkan kejayaan.

“Apa yang menariknya di IQ Terengganu adalah suasana pembelajarannya yang mesra bukan saja antara guru, tetapi sesama pelajar juga,” kata anak kedua daripada enam beradik.

Selain menyediakan program pengajian berteraskan al-Quran, IQ Terengganu tidak melupakan seni kaligrafi al-Quran.

Ditubuhkan pada 1 November 2007, Unit Kaligrafi ini diletakkan di bawah Jabatan Penyelidikan dan Penerbitan al-Quran Terengganu diketuai Penolong Pengarah Penyelidikan dan Penerbitan, Mohd Zaini Mohd Nor dengan dibantu tujuh kakitangan.

Fungsi utama unit itu ialah menyalin dan menghasilkan mushaf.

Mohd Zaini berkata, idea untuk menubuhkan unit kaligrafi timbul kerana pihaknya tidak mahu keindahan dan kehalusan seni berkenaan hilang begitu saja.

“Masyarakat terutama generasi muda kurang berminat dalam penghasilan kaligrafi yang sering kali dikaitkan dengan generasi lama atau berusia.

“Namun, siapa sangka masih ada anak muda yang mempunyai minat mendalam dalam bidang ini dan sewajarnya bakat yang mereka ada tidak dipersia-siakan.

“Mengenai perancangan unit kaligrafi ketika ini, kita berhasrat menjalankan projek menerbitkan dan mencetak Surah al-Luqman iaitu kesinambungan daripada siri Miftaah al-Furqaan sebelum ini iaitu Surah Yasin (Miftaah al-Furqaan siri ke-2) yang dilancarkan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Terengganu, Datuk Wan Ahamad Wan Muda pada 9 Julai lalu.

“Sebelum ini, kita menghasilkan Juz Amma pada 2009 dan surah Yasin pada 2010 menggunakan tenaga kerja anak muda Terengganu yang kini digunakan sebagai rujukan pelajar IQ Terengganu sendiri selain jabatan kerajaan di negeri ini,” katanya.

Mereka yang berminat untuk menimba ilmu di IQ Terengganu boleh berbuat demikian dengan menghubungi pusat pengajian itu di talian IQ Terengganu 09-6193302.

11 October, 2011

Umat Terbaik Sentiasa Seru Kebaikan

Cabaran terhadap keruntuhan moral dan budaya di kalangan umat Islam terutama golongan remaja amat merunsingkan.

Hari ini, pelbagai kebejatan dilakukan seperti pembunuhan, zina, rogol, cabul, bunuh diri, penderaan, rompakan, buang bayi dan pelbagai lagi dilakukan tanpa henti.

MAKSIAT...keruntuhan moral di kalangan remaja perlu diselamatkan supaya mereka tidak terus hanyut.

Adakah generasi hari ini tiada langsung memiliki jiwa dan roh kehebatan umat Islam terdahulu? Jika dibandingkan, generasi Islam silam melakar sejarah cukup gemilang.

Justeru, kita perlu berusaha menyelamatkan golongan berkenaan daripada terus melakukan kemungkaran. Peristiwa serta sejarah terdahulu perlu dijadikan iktibar bagi melalui kehidupan akan datang.

Allah swt berfirman yang bermaksud: “Ketahuilah kehidupan keduniaan ini hanya permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat nanti ada azab yang keras dan keampunan dari Allah serta keredaan-Nya. Dan kehidupan keduniaan ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.” (Surah al-Hadid ayat 20).
Cabaran yang dilalui menjadikan umat Islam mampu memenuhi kriteria menjadi ummah terbaik seperti dinyatakan dalam al-Quran.

Sekiranya mahu tergolong dalam kategori ‘umat terbaik’ maka mereka perlu sentiasa menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran serta beriman kepada Allah swt.

Mereka perlu dididik supaya memiliki jiwa besar, bersemangat, ikhlas, jujur, amanah, bertanggungjawab dan berintegriti bagi melahirkan generasi berkualiti.

Allah swt berfirman yang bermaksud: “Adapun buih itu, maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah membuat pelbagai perumpamaan.” (Surah Ar-Ra’d ayat 17).

Memiliki roh dan jiwa merdeka menyebabkan mereka akan sentiasa mempertahankan maruah, martabat diri serta ummah. Kegagalan mempertahankan maruah diri menjadikan mereka insan berjiwa lemah dan tidak berpendirian.

Saidina Umar Ibni Al-Khattab ra berpesan, “Didiklah anak-anak kamu, sesungguhnya mereka dilahirkan untuk zaman yang bukan zaman kamu.”

Tentu kecewa sekali apabila generasi pewaris gagal melaksanakan impian dan harapan orang terdahulu bagi mengekalkan kesinambungan kepemimpinan sedia ada.

Setiap tamadun dan bangsa mahu mencatatkan ‘rekod’ cemerlang membangunkan peradabannya bukan mencatat nama sebagai bangsa yang meruntuhkan serta merosakkan.

Masyarakat madani adalah masyarakat bertamadun, berilmu dan memiliki kehidupan bermasyarakat yang teratur. Sarjana Islam yang mengkaji mengaitkan permulaan perkembangan masyarakat madani dengan pembentukan masyarakat di Madinah.

Sebelum kedatangan Nabi Muhammad saw ke kota itu yang sebelum itu terkenal dengan nama Yathrib, masyarakatnya hidup dalam keadaan bermusuhan dan saling tindas menindas.

Kedatangan baginda berjaya menukar kehidupan masyarakat di kota Madinah kepada masyarakat berilmu, berakhlak dan bersatu padu yang menjadi permulaan kepada pembentukan masyarakat madani yang dinamakan sebagai Piagam Madinah.

Di dalam perlembagaan terbabit setiap puak dan kaum di kota Madinah perlu memberi pengakuan, janji taat setia serta berjanji menghormati hak individu lain tanpa melihat kepada perbezaan agama.

Hasilnya, Islam membawa perubahan menyeluruh dalam kehidupan sosial di Madinah kerana keupayaannya mempengaruhi serta meningkatkan kualiti kehidupan.

Didikan agama menjadi ‘penghalang’ yang berupaya menahan godaan maksiat. Kehendak nafsu sentiasa mencabar kehidupan sehingga mampu merendahkan kualiti akhlak manusia setaraf dengan binatang.

Ibnu Abbas ra meriwayatkan Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“Rebutlah lima perkara sebelum kamu didatangi oleh lima perkara lain. Masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kayamu sebelum miskin, masa lapangmu sebelum sempit, dan masa hidupmu sebelum mati” (Riwayat al-Hakim dan Ibnu Majah).

Pensyarah Kanan Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Madya Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, berkata generasi bertamadun ditegakkan dengan ilmu.

“Generasi madani cintakan ilmu dan sentiasa berusaha mendapatkannya. Jika berhibur sekalipun mereka meraikannya dalam keadaan yang dibenarkan.

“Ciri-ciri generasi madani juga dapat dilihat dari sudut jati diri mereka yang kuat dan bersikap berani. Mereka akan mempertahankan serta berbangga dengan identitinya yang mewakili sebuah bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian di program Diskusi Addin sempena Karnival Gegaria Harian Metro di Ipoh, Perak, baru-baru ini.

Program keagamaan itu menerima sambutan baik daripada umat Islam terutama warga Ipoh.

Beliau berkata tamadun sebuah bangsa itu ditegakkan di sebuah tempat yang berasaskan nama bangsa mereka.

“Di dunia ini ada pelbagai bangsa dan tamadun. Setiap bangsa yang dijadikan itu bertujuan untuk berkenal-kenalan antara satu sama lain.

Setiap bangsa mempunyai identitinya tersendiri.

“Siapa lagi yang boleh diharapkan untuk mengangkat bangsa dan budayanya sendiri melainkan mereka sendiri. Itulah amat penting sekali setiap individu menjaga identiti dan akhlak mereka,” katanya.

Mohd Ridhuan berkata Allah swt memberi peringatan kepada umat melalui peristiwa manusia terdahulu supaya mereka berfikir dan mengambil iktibar daripadanya.

“Jika akhlak sebuah generasi itu hancur maka akan lenyaplah bangsa mereka di dunia ini. Individu hebat perlu memastikan mereka melaksanakan beberapa tuntutan utama terlebih dahulu iaitu memastikan keluarga mereka dijaga dengan baik, berakhlak serta berhati bersih.

“Semua itu dapat dicapai hasil daripada sifat ikhlas mereka menjadi umat Islam. Apabila lahirnya masyarakat madani, maka mereka mengetahui yang mana satu tuntutan fardu dan sunat dan menjauhi perkara yang merosakkan,” katanya.

Beliau berkata bagi melahirkan masyarakat madani umat Islam perlu memahami agama lebih daripada budayanya selain mempertingkatkan kemahiran dan persaingan.

“Mereka perlu berusaha meningkatkan kemahiran diri dan sanggup melakukan apa saja pekerjaan. Walaupun nampak lekeh tetapi yang penting ia adalah hasil sumber halal.

“Begitu juga dengan persaingan yang kita semakin jauh terkebelakang. Umat Islam perlu bersemangat dan berani mencetuskan perubahan untuk memberikan persaingan dengan orang lain.

“Masalah umat Islam hari ini perpecahan yang semakin meruncing. Bagaimana kita boleh membantu saudara yang lain jika kita masih bertelagah antara satu dan lain. Kita perlu ingat bahawa jika keadaan itu terus kekal maka ia akan meruntuhkan bangsa,” katanya.

Mohd Ridhuan berkata kemiskinan juga menjadi masalah kepada sesebuah bangsa dan negara kerana ia akan mencetuskan pelbagai masalah sosial.

“Apabila ramai yang miskin sehingga tidak dapat makan mereka sanggup melakukan apa saja termasuk menjual akidah, maruah, sanggup membunuh atau merompak,” katanya.

Imam Masjid Negara, Ustaz Azhar Tuarno, berkata masyarakat madani adalah generasi yang tinggal di kota atau yang tinggal di luar bandar namun memiliki kemudahan sama dengan kehidupan di bandar.

“Dalam melahirkan masyarakat madani perkara yang menjadi fokus utama adalah mereka perlu mempamerkan mutu kerja mantap. Generasi madani perlu sentiasa memilih jalan yang betul. Mereka diberi pilihan sama ada untuk melakukan dosa atau pahala.

“Terdapat perbezaan nyata antara manusia dengan makhluk lain ciptaan Allah swt. Malaikat tiada pilihan selain tugasnya hanya melakukan beribadah kepada Allah,” katanya.

Beliau berkata umat Islam sudah diberi asas dan panduan iaitu al-Quran dan Sunnah sebagai pedoman bagi melayari kehidupan di dunia ini.

“Seorang penyair Arab zaman moden masyhur, Ahmad Shauqi mengingatkan umat Islam dalam rangkap syairnya, sesungguhnya bangsa-bangsa akan kekal utuh selagi akhlaknya masih utuh, jika akhlak mereka sudah lumpuh mereka pun akan lenyap.

“Sistem kekeluargaan juga begitu penting dalam melahirkan generasi madani di mana ibu bapa perlu bertindak sebagai teladan kepada anak-anak” katanya.

Azhar berkata, bagi melahirkan generasi madani umat Islam perlu bekerja keras selain menghindarkan diri daripada sifat malas yang akhirnya memberi kesan buruk kepada kehidupan mereka.

“Jangan sampai kita menjadi golongan yang merempat di bumi sendiri dan tidak berusaha mengeluarkan diri dari bebanan kemiskinan.

“Sebolehnya kita menjadi golongan yang memberi sehingga mampu mengeluarkan umat Islam daripada kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata umat Islam tidak boleh putus hubungannya dengan Allah swt dan jika mereka ingkar sudah banyak sekali peringatan yang ditunjukkan kepada hamba-Nya di dunia lagi.

“Kita perlu sentiasa sedar Allah Maha Berkuasa ke atas segala-galanya. Sebagai ingatan, Allah sudah menunjukkan kekuasaan-Nya yang tidak mampu kita hadapi seperti kejadian bencana alam seperti tsunami.

“Oleh itu, kita perlu sentiasa mengawal nafsu syahwat yang pasti mengundang bahana jika tidak diurus dengan baik. Jika kemungkaran terus juga berlaku Allah pasti akan menurunkan bala sebagai balasan ketika di dunia lagi,” katanya.

23 September, 2011

Puasa Enam Bulan Syawal

SELEPAS berlalunya Ramadan, Syawal kini masih berbaki beberapa hari saja untuk melangkah ke Zulkaedah.

Rata-rata umat Islam di negara ini meraikan Syawal dengan mengadakan rumah terbuka dan ziarah menziarahi.

Namun, Ramadan yang dilalui selama sebulan mendidik jiwa umat Islam terus beribadat kepada Allah tanpa mengira waktu.

Puasa enam hari pada bulan Syawal satu ibadat hasil kesinambungan Ramadan. Hukumnya sunat seperti puasa sunat lain.

Namun, ada yang kurang memahami beberapa perkara berkaitan puasa enam Syawal.

Antaranya, adakah puasa enam Syawal perlu dilaksanakan secara berturut-turut atau sebaliknya.

Menurut pandangan mazhab Shafie dan Hanafi, cara paling afdal berpuasa berturut-turut selepas Aidilfitri pertama.

Namun, ia bukan rukun atau syarat terhadap ibadat puasa enam Syawal ini malah ganjaran sunat tetap diperoleh sekalipun dilakukan berselang-seli asalkan dilakukan enam hari dalam bulan Syawal.

lni berdasarkan hadis Rasulullah saw bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, dia seolah-olah berpuasa sepanjang tahun. (Riwayat Muslim dan lain-lain)

Sabda Rasulullah saw: “Barang siapa berpuasa enam hari selepas Aidilfitri, maka dia mencukupi setahun. Barang siapa mengerjakan satu kebajikan maka baginya sepuluh kali ganda. (Riwayat Ibn Majah, al-Baihaqi, Ahmad dan lain-lain).

Berdasarkan hadis-hadis itu, mengerjakan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal seperti berpuasa sepanjang tahun.

Ini kerana sebulan puasa Ramadan itu menyamai puasa sepuluh bulan dan puasa enam pula menyamai dengan dua bulan. Jika dicampurkan sepuluh bulan dengan dua bulan, maka genaplah setahun.

Rasulullah saw bersabda: “Berpuasa sebulan (disamakan) dengan sepuluh bulan puasa, dan berpuasa enam hari selepasnya (disamakan) dengan dua bulan puasa, maka kedua-duanya itu (jika dicampurkan) genaplah setahun. (Riwayat al-Darimi).

Persoalan lain ialah mana perlu didahulukan antara puasa qada Ramadan dan puasa enam Syawal. Perlu diingatkan bahawa mengqada puasa Ramadan adalah wajib yang perlu dilunaskan.

Ia hutang manusia kepada Allah tetapi sesiapa yang uzur sehingga tidak berdaya mengerjakan puasa, mereka tidak diwajibkan mengqada puasa yang ditinggalkan itu tetapi wajib membayar fidyah sebagai ganti puasa yang ditinggalkan.

Allah swt berfirman: “Dan wajib atas orang-orang yang tidak berdaya (berpuasa kerana keuzuran dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan kepada orang miskin.” (Surah al-Baqarah: Ayat 184).

Dalam mengerjakan qada puasa Ramadan, ulama menyatakan orang yang meninggalkan puasa tanpa keuzuran, perlu menyegerakan mengqada puasa itu.

Bahkan sebahagian ulama berpendapat tidak diharuskan melakukan puasa sunat termasuk puasa enam Syawal selagi tidak selesai mengqada puasa Ramadan.

Bagaimanapun, bagi mereka yang meninggalkan puasa kerana keuzuran yang dibenarkan syarak seperti perempuan haid atau nifas, diharuskan bagi mereka mengerjakan puasa enam Syawal dahulu sekalipun mereka masih mempunyai puasa qada Ramadan.

Perkara itu mungkin berlaku disebabkan mereka berada di akhir Syawal dan mungin tidak sempat menghabiskan puasa enam Syawal.

Mengutamakan puasa qada Ramadan lebih baik jika mempunyai waktu yang cukup bagi menghabiskan puasa qada Ramadan dan puasa enam Syawal dalam bulan Syawal.

Bagi persoalan mengenai niat puasa qada dan puasa sunat secara serentak,
berlaku khilaf di kalangan ulama. Sebilangan ulama menyatakan harus diniatkan dan ditunaikan puasa qada Ramadan dan puasa sunat enam Syawal secara serentak.

Namun, kebanyakan ulama berpendapat jika dapat memisahkan puasa itu iaitu melakukan puasa qada Ramadan dan puasa enam Syawal pada hari yang berlainan adalah lebih baik berbanding berpuasa serentak.

Berikut keterangan dan langkah-langkah yang boleh dijadikan panduan mengenai puasa serentak ini:

1. Selesaikan puasa qada Ramadan dulu sebelum berpuasa enam Syawal. Ia lebih baik dengan mengutamakan puasa qada Ramadan yang wajib sebelum berpuasa sunat.

Firman Allah swt: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amalan kebaikan bagi) keampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang berbuat kebajikan.” (Surah ali-Imran ayat 133).

2. Jika tidak mampu melaksanakan puasa qada Ramadan dan puasa enam Syawal berasingan di bulan Syawal, kita harus mendahulukan puasa enam Syawal.

Ini kerana puasa enam Syawal hanya boleh dikerjakan pada bulan Syawal sedangkan puasa qada Ramadan boleh dikerjakan selepas bulan itu.

3. Jika tidak mampu melaksanakan puasa enam Syawal dan qada Ramadan secara berasingan disebabkan keuzuran, maka puasa secara serentak antara puasa enam Syawal dan qada Ramadan adalah yang terbaik.

06 September, 2011

Ikut Tertib Sambut Aidilfitri

BERSALAMAN...musim perayaan adalah peluang terbaik bagi seluruh ahli keluarga berkumpul dan saling bermaafan-maafan jika pernah melakukan kesalahan.

SYUKUR, selepas sebulan menunaikan ibadat puasa, kita meraikan Aidilfitri Selasa lalu dalam suasana penuh kenikmati dan menjadi manusia baru yang lebih bertakwa.

Aidilfitri adalah anugerah Allah swt kepada hamba-Nya yang mencapai kemenangan selepas berjaya menghindarkan diri daripada godaan nafsu.

MERIAH...berkunjung dari rumah ke rumah yang diamalkan masyarakat kampung perlu diteruskan dan dijadikan contoh golongan yang tinggal di bandar.

MARHABAN...aktiviti yang boleh dijalankan bagi mengumpulkan jiran tetangga bersama-sama dalam satu majlis untuk mengeratkan lagi permuafakatan dalam sebuah institusi.

Meskipun hak penilaian dan pemberian ganjaran itu milik Allah swt, kita pasti dapat merasakan kesannya jika amalan itu diterima.

Latihan yang dijalankan selama tempoh sebulan itu diharap diteruskan dengan harapan ia diterima Allah swt sebagai amalan soleh.

Aidilfitri perlu diraikan dengan penuh kesyukuran dan meriah namun tidaklah keterlaluan. Amalan kunjung mengunjung memang menjadi tradisi masyarakat di negara ini bagi merapatkan kembali hubungan sesama insan.

Dari Abi Hurairah ra berkata: Nabi Muhammad saw bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah swt dan hari akhirat janganlah ia menyakiti jirannya, dan barang siapa yang beriman kepada Allah swt dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barang siapa yang beriman kepada Allah swt dan hari akhirat hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Dalam suasana hari raya ini, amalan kunjung mengunjung amat digalakkan dalam Islam sebagai merapatkan hubungan ukhwah dan persaudaraan sesama umah.

Namun, amat menyedihkan kerana amalan kunjung mengunjung kurang diamalkan generasi muda yang lebih selesa memerap di rumah sama ada bermain “video game” berceloteh dalam “facebook” atau menonton televisyen.

Lebih malang, ada kurang berminat pulang ke kampung halaman kerana sudah bergelar warga kota padahal di kampung, kedatangan Syawal amat dinanti-nantikan.

Apa yang tidak kena dengan generasi muda Islam di negara ini?

Kebiasaannya, di pagi Syawal, pagi-pagi lagi anak sudah dikejutkan dari tidur. Perasaan tidak terucap tatkala mendengar seruan takbir dari masjid yang memecah hening pagi.

Di sesetengah kampung mereka lebih selesa berjalan kaki beramai-ramai dari rumah masing-masing menuju ke masjid. Apabila selesai solat sunat hari raya, sebuah demi sebuah rumah jiran tetangga dikunjungi.

Itu antara rentetan dan kenangan lama suasana berhari raya di kampung yang sentiasa membangkitkan suasana ceria dan penuh kemesraan bagi menyuburkan jalinan ukhuwah sesama masyarakat kampung.

Itulah kelebihan dan hikmah berziarah di mana Islam kerana ia memberi peluang kepada sesiapa saja sama ada keluarga, sahabat handai mahu pun jiran tetangga bertemu dan bertanya khabar.

Bagi mengembalikan semula amalan ziarah menziarahi, ibu bapa perlu menekankan pentingnya amalan kunjung mengunjung kepada anak-anak supaya mereka tidak bersikap mementingkan diri sendiri.

Pohonlah kemaafan kepada mereka yang pernah kita lukai malah sifat memaafkan kesalahan orang lain juga adalah amalan yang sangat mulia di sisi Allah swt.
Menjadi lumrah manusia, sudah pasti ada salah silapnya namun segeralah memohon kemaafan dan jangan biarkan perasaan sombong membaluti diri.

Daripada Abdullah bin Mas’ud ra daripada Nabi saw bersabda yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang terdapat di hatinya seberat zarah daripada sifat sombong.”

Justeru, kemurnian dan kesucian Aidilfitri perlu disemarakkan dengan sebaik mungkin supaya tidak timbul soal perpecahan, persengketaan dan sikap individualistik di kalangan masyarakat kita.

Pegawai Agama Masjid Putra Nilai, Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanafi, berkata bagi menambah baik amalan ziarah pada musim perayaan umat Islam perlu meneladani serta mencontohi amalan ziarah Nabi Muhammad saw.

“Kebaikan yang dilakukan pada bulan Ramadan perlu dipamerkan secara berterusan pada bulan-bulan berikutnya".

“Pada zaman kanak-kanak dulu kita sentiasa menantikan baju dan duit raya. Kini tiba pula giliran kita meraikan golongan kanak-kanak dengan cara memberi duit raya, menghadiahkan baju raya kepada ibu bapa tercinta kerana itulah bukti kita sebagai hamba Allah swt yang taat,” katanya.

Beliau berkata, beberapa faktor negatif ketika menyambut hari raya perlu dielakkan seperti pembaziran makan minum, berhias berlebihan serta menghabiskan masa menonton televisyen.

“Apabila pergi berziarah pastikan kita menjaga adab berziarah iaitu hanya bercakap hal berfaedah, tidak menyakiti hati tuan rumah serta menjaga batasan aurat".

“Perkara yang sering kita lepas pandang adalah pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Selain itu, ada juga anak muda mengambil kesempatan memperkenalkan buah hati masing-masing kepada ibu bapa mereka,” katanya.

Mohd Fakhrurrazi berkata perkara seumpama itu tidak berakhir di situ saja kerana selepas itu mereka mengambil peluang keluar berduaan ke pusat hiburan.

“Mereka sangkakan itulah di katakan hari raya. Kalau inilah anggapan masyarakat, berwaspadalah kerana itu seolah-olah meniru gaya masyarakat barat,” katanya.

Beliau berkata amat tidak wajar sekali jika ada kalangan generasi muda pada hari ini menunjukkan rasa kurang minat pulang berhari raya ke kampung.

“Jika pulang sekalipun, mereka lebih gemar menonton televisyen di rumah sepanjang hari tanpa mempedulikan saudara mara yang datang berkunjung".

“Maka ibu bapa perlu memandang serius perkembangan tidak sihat berkenaan kerana ia akan menyebabkan anak mereka nanti mengamalkan sikap mementingkan diri sendiri serta kurang mesra dengan orang ramai,” katanya.

Mohd Fakhrurrazi berkata ibu bapa perlu memaklumkan kepada anak mereka tujuan berziarah itu adalah untuk mengenali saudara mara, jiran tetangga atau sesiapa saja dengan lebih rapat lagi.

“Fahami tujuan dan kepentingan ziarah sebagaimana yang diterangkan oleh Nabi Muhammad saw iaitu apabila kita menerima tetamu mereka perlu diberi layanan mesra dan sempurna supaya dapat kita beroleh seribu rahmat dan menjauhkan dari seribu kecelakaan,” katanya.

Beliau berkata kawasan perumahan di bandar perlu menghidupkan semula amalan ziarah seperti masyarakat di kampung.

“Aktiviti seperti marhaban atau baraan boleh dijalankan bersama-sama jiran tetangga bagi melaksanakan tuntutan agama yang menuntut umatnya saling bermuafakat, mendoakan antara sesama mereka dan bermaaf-maafan.

“Nabi Muhammad saw bersabda, iman seseorang Islam itu bergantung kepada kasih sayang saudaranya yang lain. Inilah hikmah jika dapat menyemarakkan amalan kunjung mengunjung,” katanya.

Mohd Fakhrurrazi berkata mereka yang menghulurkan kemaafan dan perdamaian lebih bertakwa dan Allah swt pasti mengangkat darjat mereka.

“Kita tidak boleh memaksa orang lain menghulurkan kemaafan terlebih dahulu. Lantas doakan mereka memperoleh hidayah supaya pertelingkahan dan persengketaan itu dapat segera diselesaikan".

“Ingat pesan Nabi saw, mereka yang memutuskan silaturahim lebih dari tiga hari tidak akan menghidu bau syurga,” katanya.

Wallahu'alam

25 August, 2011

Malam Al-Qadr Rahsia Allah swt


JALIN PERSAUDARAAN...amalan di bulan Ramadan bukan saja menumpukan kepada amalan khusus semata-mata tetapi apa saja perbuatan yang membawa kebaikan pasti mendapat ganjaran besar daripada Allah. RAMADAN adalah bulan keampunan untuk menghapuskan serta menyucikan diri yang selama ini banyak melakukan dosa dan maksiat.

Kita semakin menghampiri puncak Ramadan apabila sudah lebih tiga minggu menjalani ibadah puasa. Bermakna kita sudah melepasi fasa pertama iaitu rahmah (kasih sayang Allah) dan fasa kedua, Maghfirah (keampunan Allah swt).

PENUH PENGHARAPAN...perbanyakkan amalan pada sepuluh malam terakhir Ramadan untuk menemui malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
Fasa ketiga dan terakhir ini ialah umat Islam yang melakukan amalan soleh akan dibebaskan daripada api neraka. Itulah sebabnya bulan Ramadan ini boleh diibaratkan sebagai bulan jihad kerana umat Islam ‘berperang’ melawan hawa nafsu yang menjadikan mereka cekal menjaga tatatertib serta adab dalam bulan Ramadan.

Daripada Abu Hurairah ra beliau berkata Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan atas dasar keimanan dan mengharapkan keredaan Allah swt, maka dosa-dosanya yang lalu akan diampuni. Sesiapa yang melaksanakan qiyam pada bulan Ramadan atas dasar keimanan dan mengharapkan reda Allah swt, maka dosa-dosanya yang lalu akan diampuni. Sesiapa yang bangun melakukan qiyam lailatulqadar atas dasar keimanan dan mengharapkan reda Allah swt, maka dosa-dosanya yang lalu akan diampuni.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Walaupun ada melakukan kesilapan, itulah fitrah kejadian manusia dan sebab itu mereka perlu sentiasa memohon keampunan daripada ‘timbunan’ dosa-dosa silam.

Fasa terakhir Ramadan ini juga Allah swt menganugerahkan hamba-Nya malam yang penuh kemuliaan dan keberkatan iaitu lailatulqadar.

Umat Islam yang berusaha mempertingkatkan amalan mereka akan mendapat pahala berlipat kali ganda pada malam yang lebih baik daripada seribu bulan itu.

Malam-malam terakhir Ramadan digunakan dengan perkara-perkara kebaikan seperti berzikir, berdoa, beriktikaf, bertadarus al-Quran beristighfar dan melakukan qiamullail.

Itulah keistimewaan agung yang Allah swt kurniakan kepada umat Islam supaya mereka dapat menjalankan ibadah dengan penuh pengharapan.

Allah swt tidak menerangkan secara terperinci waktu kedatangan lailatulqadar supaya umat Islam sentiasa berusaha mempertingkatkan amalan ibadat mereka.

Tidak bererti 20 malam sebelumnya dibiarkan begitu saja kerana mereka yang dikurniakan lailatulqadar adalah golongan yang menggunakan sepenuhnya sebulan Ramadan dengan amalan soleh berusaha menjauhkan diri mereka daripada melakukan perbuatan maksiat.

Menariknya, lailatulqadar terjadi pada malam ganjil pada sepuluh malam terakhir. Bermakna ia mungkin pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.

Hal ini dijelaskan Rasulullah saw dalam sabda baginda: “(Iaitu) ada pada Ramadan, oleh itu, hendaklah kamu mencarinya pada 10 hari terakhir. Disebabkan ia terdapat pada hari-hari ganjil, iaitu pada malam 21, atau malam 23 atau malam 25, atau malam 27, atau malam 29 serta pada malam terakhirnya.” (Riwayat Ahmad).

Pada malam itu, Allah swt memberi kesejahteraan kepada hamba-Nya sampai terbitnya fajar. Umat Islam akan memperoleh kemuliaan, keampunan, rahmat serta mendapat balasan syurga daripada Allah swt.

Dalam hadis lain Nabi Muhammad saw bersabda yang bermaksud: “Apabila tiba malam akhir Ramadan maka menangislah langit dan bumi serta malaikat kerana musibah yang menimpa umat Muhammad saw. Sahabat bertanya: “Apakah musibah itu?” Rasulullah saw menjawab: (Musibah) kerana perginya bulan Ramadan yang mana di dalam bulan ini doa dimakbulkan, semua sedekah diterima dan semua kebaikan dilipat gandakan pahalanya serta seksaan ditolak.”

Antara amalan lain yang boleh disuburkan pada malam terakhir Ramadan ialah mengejutkan ahli keluarga untuk bersama-sama mengerjakan solat malam seperti dilakukan Rasulullah saw terhadap keluarganya.

Yang pasti, ingatlah tidak semestinya bulan agung dan istimewa ini dapat lagi kita nikmati pada tahun hadapan. Justeru pastikan kita mengambil peluang ‘semahu-mahunya’ untuk meningkatkan amalan serta memohon keampunan dari-Nya.

Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Mohd Shahrizal Nasir berkata malam al-Qadr adalah malam yang istimewa dalam bulan Ramadan yang lebih baik daripada seribu bulan.

“Allah swt menghamparkan keberkatan dan keampunan kepada umat Islam yang ikhlas beribadah kepada-Nya pada malam itu. Allah swt menjelaskan perihal malam al-Qadr ini menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadr.

Dan, apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam al-Qadr itu? Malam al-Qadr lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr, ayat 1-3)

“Timbul persoalan, bagaimana al-Quran diturunkan pada satu malam secara sekali gus, sedangkan Rasulullah saw menerima wahyu al-Quran secara berperingkat selama 23 tahun.

“Yang dimaksudkan dengan al-Quran turun pada malam al-Qadr secara sekali gus adalah penurunan al-Quran dari Luh Mahfuz ke Bait al-’Izzah iaitu yang terletak di Langat dunia. Kemudian al-Quran diturunkan secara berperingkat dari Bait al-’Izzah kepada Rasulullah saw selama 23 tahun,” katanya.

Beliau berkata waktu sebenar berlakunya malam al-Qadr menjadi rahsia daripada rahsia Allah swt kerana Sheikh Yusuf al-Qaradawi menjelaskan antara tujuan malam al-Qadr itu dirahsiakan adalah supaya umat Islam bersungguh-sungguh melakukan ibadah dan berusaha memperolehinya.

“Namun, terdapat beberapa hadis yang memberi maklumat mengenai waktu berlakunya malam al-Qadr antaranya, “Carilah malam al-Qadr pada 10 hari terakhir bulan Ramadan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

“Selain itu, “Carilah pada 10 hari terakhir, jika tidak mampu maka janganlah sampai terluput 7 hari yang selebihnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

“Walaupun terdapat beberapa hadis yang menyatakan perihal malam al-Qadr, semuanya tidak bercanggah antara satu sama lain. Justeru, sebagai langkah bijak, persediaan perlu dilipat gandakan pada 10 malam terakhir bulan Ramadan,” katanya.

Mohd Shahrizal berkata Rasulullah saw sendiri berusaha mencari malam al-Qadr dan memenuhi malam-malam terakhir Baginda dengan amal ibadah.

“Dalam sebuah hadis, dinyatakan hal ini, yang bermaksud: “Apabila masuk 10 terakhir bulan Ramadan, maka Nabi saw menghidupkan malam, mengejutkan isterinya, dan mengetatkan kainnya (tidak bersama isteri kerana sibuk dengan amal ibadah).” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

“Justeru, sebagai umat Nabi Muhammad saw perlu mempersiapkan diri sebelum tiba 10 malam terakhir Ramadan ini dan berusaha mencari malam al-Qadr,” katanya.

Beliau berkata terdapat tanda-tanda yang menunjukkan berlakunya malam al-Qadr seperti maksud hadis Rasulullah saw yang bermaksud: “Pada pagi (setelah) malam al-Qadr, matahari terbit tidak menyilaukan (tanpa sinaran terik), seakan-akan ia bejana, sehinggalah ia meninggi.” (Hadis riwayat Muslim).

“Jika diteliti hadis ini, ia menggambarkan situasi selepas berlakunya malam al-Qadr. Justeru, hadis ini tidak boleh menjadi panduan bagi umat Islam untuk mencari malam al-Qadr, kerana ia menjelaskan keadaan selepas malam al-Qadr.

“Mungkin terdapat segelintir daripada umat Islam yang diperlihatkan tanda-tanda lain pada malam itu. Namun, tanda ini tidak boleh digunakan oleh orang umum sebagai panduan mencari malam al-Qadr.

“Berkemungkinan bagi orang yang melihatnya, Allah swt sedang menyingkap hijab-Nya. Tiada nas yang menjelaskan perkara aneh seperti pokok sujud dan air menjadi beku pada malam al-Qadr dan ia seharusnya tidak disebarkan kepada orang lain,” katanya.

Mohd Shahrizal berkata perkara utama yang perlu difokuskan setiap umat Islam pada malam al-Qadr ialah sentiasa memohon keampunan dari-Nya.

“Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang menghidupkan malam al-Qadr dengan penuh keimanan dan mengharap ganjaran dari Allah, maka diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

“Hal ini juga seperti mana yang diajarkan oleh Rasulullah saw ketika Saidatina ‘Aisyah ra bertanya kepada Baginda saw: “Wahai Rasulullah saw, apa pandanganmu jika aku mengetahui malam yang mana berlakunya malam Qadr, apakah yang perlu aku ucapkan pada malam itu?” Rasulullah saw menjawab: “Ucapkanlah: Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, suka kepada pengampunan, maka ampunilah aku.”

“Kedua-dua hadis di atas jelas menyeru kita untuk memohon keampunan daripada Allah swt supaya diberikan kebaikan di dunia dan akhirat,” katanya.

Beliau berkata terdapat pendapat sesetengah pihak yang mengatakan waktu berharga untuk memohon keampunan pada malam al-Qadr hanya seketika sahaja iaitu beberapa saat atau minit sahaja.

“Pendapat ini harus diperbetulkan kerana secara jelas Allah swt menyatakan bahawa keberkatan malam al-Qadr itu adalah sepanjang malam sehingga terbit fajar keesokannya. Firman Allah swt yang bermaksud: “Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.” (Surah al-Qadr, ayat 5).

“Sewajarnya, umat Islam tidak menyempitkan erti amal ibadah dalam Islam.
Malam al-Qadr tidak semestinya dipenuhi dengan ibadah khusus semata-mata.

“Penuhilah masa 10 malam terakhir Ramadan dengan amal-amal baik seperti bercakap benar, membantu dan menghormati orang tua, bermaaf-maafan, menjamu sahabat makan sahur, malah sekalipun dengan melemparkan senyuman sesama Muslim,” katanya.

16 August, 2011

Al-Quran Mukjizat Teragung

TADARUS....Ramadan adalah bulan Al-Quran dan umat Islam perlu mengambil peluang untuk memperbanyakkan membaca serta memperbaiki mutu bacaan mereka.
BAGAIMANA dikatakan al-Quran berjaya ‘membekas’ di dalam jiwa seseorang? Pastinya, mereka yang benar-benar menghayati al-Quran akan merasai ia begitu hampir dengan mereka.

Apabila diperdengarkan ayat mengenai azab serta seksaan di neraka, hati mereka begitu takut untuk melakukan kemungkaran. Begitu juga al-Quran menceritakan ganjaran syurga jika beramal soleh, mereka sedaya upaya memperbaiki diri dengan harapan dapat menikmati ganjaran syurga Allah di akhirat kelak.

PENUH PENGHAYATAN....ibu bapa perlu memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga dengan memastikan selepas waktu solat luangkan masa bersama anak-anak mentadabbur al-Quran.

KEBESARAN AL-QURAN....umat Islam perlu membaca, memahami serta mengamalkan isi kandungan al-Quran secara keseluruhannya.
Itulah antara penghayatan yang perlu dimiliki setiap Muslim dalam memahami serta menghayati kalam suci al-Quran. Keajaiban al-Quran yang menjadi mukjizat terbesar yang dikurniakan kepada Rasulullah saw sebagai pedoman hidup buat manusia dalam mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Mukjizat al-Quran berbeza dengan mukjizat Rasulullah saw lain kerana al-Quran tetap kekal dan boleh dilihat ke hari ini. Di dalamnya terkandung pelbagai hikmah kebenaran.

Terdapat ramai tokoh hebat pada awalnya menolak Islam, tetapi akhirnya mereka beriman kepada Allah swt selepas mendengar, membaca dan mengkaji al-Quran.

Tidak hairanlah, generasi sahabat menjadi ahli Quran apabila al-Quran merubah kehidupan umat Arab ketika itu daripada masyarakat jahiliah kepada umat bertamadun.

Keajaiban al-Quran dapat dilihat dalam sejarah Umar bin Khattab ra sehingga beliau memeluk Islam. Sebelum Islam, Umar ra seorang lelaki bengis dan kejam dan pernah berniat untuk membunuh Nabi Muhammad saw.

Detik perubahan Umar ra berlaku selepas beliau menghayati beberapa ayat dari Surah Taha ketika pergi ke rumah adiknya, Fatimah ra yang ketika itu sedang mempelajari al-Quran.

Beliau berkeyakinan apa yang didengarnya itu bukan syair Arab. Kata-katanya sangat indah yang tiada tolak bandingnya dan pada hari itu juga, Umar ra memeluk Islam.

Begitulah besarnya pengaruh mendengar bacaan al-Quran sehingga dapat mengubah peribadi Umar sehingga menjadi insan yang beriman kepada Allah swt.
Allah swt berhak memelihara kesucian kitab al-Quran daripada dicemari daripada diubah suai oleh manusia. Hal ini dijelaskan Allah swt dalam firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”. (Surah al-Hijr, ayat 9).

Tiada seorang manusia yang mampu mencipta walaupun satu ayat setanding dengan al-Quran.

Bagi mereka yang mengamalkan al-Quran dalam kehidupan seharian pastinya akan rasa bahagia. Allah swt berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya al-Quran ini menunjukkan (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan (amalan) yang soleh; sesungguhnya untuk mereka itu pahala yang besar.” (Surah al-Israk ayat 9).

Pada Ramadan yang penuh keberkatan ini kita dituntut untuk bertadarus al-Quran. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia (al-Quran) akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.” (Hadis Riwayat Muslim).

Umat Islam perlu berusaha mendalami al-Quran dan jangan sampai mereka menjadi ‘buta’ al-Quran. Sedangkan bahan bacaan santai lain boleh dihabiskan dalam tempoh tertentu tetapi kenapakah al-Quran dipinggirkan dan hanya menjadi perhiasan di rumah.

Manusia yang sering dibelenggu keresahan, gundah-gulana dan kesempitan perlu sentiasa mendampingi Al-Quran supaya mereka kembali mendapat kekuatan, semangat, kesenangan serta ketenangan di jiwa.

Itulah rahmat yang Allah diberikan kesan daripada beramal dengan mukjizat agung itu. Ibaratnya, semakin banyak membaca dan mendengar al-Quran seluruh jiwa raganya semakin terpikat dan seronok kepada al-Quran.

Malah kesannya lebih terasa jika seseorang itu mampu menguasai al-Quran dengan alunan suara yang merdu serta fasih bacaannya. Orang lain juga pasti ‘terpikat’ jika seseorang dapat mempersembahkan bacaannya begitu baik sekali.

Dalam riwayat, banyak sekali diceritakan, pengaruh bacaan al-Quran pada zaman Rasulullah saw terhadap hati orang kafir selepas mendengar ayat Al-Quran sangat berkesan.

Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, berkata perkataan mukjizat dalam bahasa Arab bermaksud perkara yang bercanggah dengan adat kebiasaan.

“Ia sesuatu perkara luar biasa yang ditentukan Allah swt dan dikurniakan kepada seseorang yang bergelar rasul sebagai tanda kebenarannya di mana dakwahnya diiringi dengan cabaran dan tiada tandingan sama sekali.

“Allah mengurniakan Nabi Muhammad saw mukjizat kandungan al-Quran yang tidak mampu ditandingi manusia terutamanya di dalam bidang ilmu pengetahuan.

“Antara mukjizat al-Quran ialah keindahan bahasanya yang tinggi dan halus, susunan bahasa yang baik, ilmu pengetahuan yang membimbing manusia ke arah kebenaran serta panduan lengkap ke arah kemaslahatan dan kemakmuran alam semesta,” katanya.

Beliau berkata al-Quran adalah mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw melalui perantaraan malaikat Jibril as secara berperingkat-peringkat selama lebih kurang 23 tahun.

“Di dalamnya mengandungi peristiwa umat terdahulu yang menyentuh aspek kehidupan manusia seperti cara hidup berkeluarga, bermasyarakat, beribadah, urusan �pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan pembangunan.

“Mukjizat al-Quran dipenuhi dengan keagungan yang tiada tolok bandingnya dengan kitab lain. Ringkasnya, al-Quran adalah bukti kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad saw sekali gus ia menjadi bukti bahawa al-Quran adalah firman Allah swt dan bukannya ucapan atau ciptaan Nabi Muhammad saw sendiri,” katanya.

Engku Ahmad Zaki berkata kandungan al-Quran penuh dengan ajaran bagi memandu manusia menjadi ummah bertamadun.

“Allah swt berfirman dalam surah Ibrahim ayat 1 yang bermaksud: “Alif, Laam, Raa’. Ini ialah Kitab (al-Quran) Kami turunkannya kepadamu (wahai Muhammad saw), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman (dengan izin tuhan mereka) ke jalan Allah swt yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.”

“Rasulullah saw menjadikan al-Quran sebagai senjata bagi menentang orang kafir Quraisy sehingga mereka tidak mampu menghadapinya padahal mereka memiliki kemahiran tinggi dari segi fasahah dan balaghahnya,” katanya.

Beliau berkata al-Quran diturunkan bukan untuk dijadikan simbol pengiktirafan Allah swt kepada Nabi Muhammad saw dan umatnya semata-mata.

“Bahkan ia mempunyai maksud yang lebih penting iaitu setiap kandungannya membawa rahmat kepada seluruh umat.

“Justeru, Rasulullah saw menggesa umatnya membaca, memahami serta mengamalkan isi kandungan al-Quran secara keseluruhannya,” katanya.

Engku Ahmad Zaki berkata golongan yang menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama pada setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah swt.

“Setiap huruf yang dibaca dikira sebagai 10 pahala sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, maka baginya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajipan seumpamanya, tidak aku katakan (alif, lam, mim) itu satu huruf, akan tetapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf. (Hadis riwayat Tirmizi).

“Sejarah membuktikan sahabat seperti Uthman ra, Zaid bin Tsabit ra, Ibnu Mas’ud ra dan Ubay bin Ka’ab ra sentiasa membaca al-Quran dan khatam pada setiap Jumaat.

“Begitu juga amalan tradisi yang dilakukan orang dahulu yang sangat menitikberatkan pendidikan al-Quran kepada anak mereka.

Anak tidak dibenarkan keluar rumah selagi tidak membaca al-Quran dan mereka mengamalkan bacaan al-Quran pada setiap malam selepas Maghrib secara beramai-ramai,” katanya.

Beliau berkata walaupun perkara itu tiada dalam syariat, ia membuktikan mereka sangat mengambil berat pendidikan al-Quran.

“Namun pada hari ini berapa ramaikah umat Islam yang membaca al-Quran serta mengambil al-Quran sebagai asas panduan hidup, asas pemikiran atau berfikir secara Qurani? Inilah persoalan yang perlu direnungi dan difikir bersama sebagai umat Islam.

“Berfikir Qurani bermaksud bagaimana sumber al-Quran dijadikan pedoman berfikir sesuatu kejadian dalam kehidupan. Berfikir menerusi jendela al-Quran menjadikan seseorang itu memiliki jiwa tadabbur (jiwa mengkaji dan menyelidik).

“Ayat Allah swt bersifat semasa dan sesuai dalam semua kehidupan. Kisah yang dirakamkan al-Quran ribuan tahun lalu bukan hanya merakamkan apa yang pernah berlaku pada masa yang lalu, tetapi berulang kembali pada masa kini dan masa depan,” katanya.

Engku Ahmad Zaki berkata Rasulullah saw pernah melahirkan kebimbangan bahawa umat Islam ramai, tetapi berkeadaan seperti buih di lautan kerana lemah dan tidak berdaya saing.

“Umat Islam mesti yakin al-Quran mampu menjadi ubat dan penawar kepada segala jenis penyakit sama ada rohani atau jasmani yang melanda masyarakat masa kini.

“Jangan hanya merujuk al-Quran pada masa-masa tertentu seperti dalam kesusahan, ketika sakit atau saat menghadapi kematian saja. Ibu bapa perlu berperanan memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga mereka. Pastikan selepas setiap waktu solat mereka bersama anak-anak berpeluang membaca, mempelajari serta mentadabbur al-Quran.

“Selain itu, ulang kaji bacaan al-Quran juga boleh dilakukan dengan cara mendengar bacaan di radio, kaset dan di media elektronik,” katanya.

29 July, 2011

ANDAI INI RAMADHAN YANG TERAKHIR KU

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu siangnya engkau sibuk berzikir
tentu engkau tak akan jemu melagukan syair rindu
mendayu..merayu...kepada-NYA Tuhan yang satu

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu solatmu kau kerjakan di awal waktu
solat yang dikerjakan...sungguh khusyuk lagi tawadhu'
tubuh dan qalbu...bersatu memperhamba diri
menghadap Rabbul Jalil... menangisi kecurangan janji
"innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin"
[sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku...
kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam]

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tidak akan kau sia siakan walau sesaat yang berlalu
setiap masa tak akan dibiarkan begitu saja
di setiap kesempatan juga masa yang terluang
alunan Al-Quran bakal kau dendang...bakal kau syairkan

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu malammu engkau sibukkan dengan
bertarawih...berqiamullail...bertahajjud...
mengadu...merintih...meminta belas kasih
"sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU
tapi...aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU"

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu dirimu tak akan melupakan mereka yang tersayang
mari kita meriahkan Ramadhan
kita buru...kita cari...suatu malam idaman
yang lebih baik dari seribu bulan

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu engkau bakal menyediakan batin dan zahir
mempersiap diri...rohani dan jasmani
menanti-nanti jemputan Izrail
di kiri dan kanan ...lorong-lorong redha Ar-Rahman

Duhai Ilahi....
andai ini Ramadhan terakhir buat kami
jadikanlah ia Ramadhan paling berarti...paling berseri...
menerangi kegelapan hati kami
menyeru ke jalan menuju ridho serta kasih sayangMu Ya Ilahi
semoga bakal mewarnai kehidupan kami di sana nanti

Namun teman...
tak akan ada manusia yang bakal mengetahui
apakah Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali bagi dirinya
yang mampu bagi seorang hamba itu hanyalah
berusaha...bersedia...meminta belas-NYA

Ramadan Rahmat Daripada Allah swt

SOLAT TARAWIH...roh dan kemeriahan solat Tarawih secara berjemaah perlu juga diteruskan dalam solat fardu di bulan-bulan lain.

BERTADARUS....penuhi setiap malam di bulan Ramadan dengan bertadarus al-Quran.

SYAABAN bakal meninggalkan kita beberapa hari saja lagi. Menanti giliran berikutnya adalah Ramadan iaitu bulan penuh rahmat, keberkatan dan keampunan daripada Allah swt kepada hamba-Nya.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Apabila datangnya Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sepanjang bulan mulia ini apakah persediaan yang perlu kita lakukan supaya Ramadan tahun ini menjadi lebih bermakna dari tahun sebelumnya?

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Berapa ramai orang yang berpuasa, mereka tidak mendapat apa-apa daripada puasa mereka kecuali lapar dan dahaga.”

Rujuklah kembali perkara berkaitan dengan puasa seperti adab, rukun, syarat sah serta perkara yang membatalkan puasa. Pastikan juga kesihatan kita berada di tahap paling baik sebelum memulakan ibadah puasa.

Jika kesihatan mengizinkan, sudah pasti ibadah puasa dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna. Makanlah makanan yang berkhasiat selain menjaga waktu tidur sebaiknya.

Ramadan juga mengajar kita bersikap murah hati iaitu memberi sumbangan dan sedekah kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Ibnu Abbas ra melaporkan Rasulullah saw seorang pemurah. Dan Baginda saw menjadi lebih pemurah ketika Ramadan. (Direkodkan Bukhari)

Terbukti Ramadan adalah madrasah kepada kita untuk melatih, mendidik serta membangunkan diri menjadi insan berdisiplin dalam menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di atas muka bumi ini.

Amalan berpuasa memang terbukti mampu menundukkan nafsu. Diharap proses ‘pengajian’ kita sepanjang Ramadan dapat berjalan sempurna.

Kesempatan berada di dalam bulan penuh berkat itu nanti, ruang masjid kembali bergema dan umat Islam mula berpusu-pusu ke masjid di kawasan masing-masing untuk bersembahyang Tarawih secara berjemaah.

Panduan terbaik untuk kekal ‘cergas’ supaya dapat melaksanakan ibadah sunat seperti solat Tarawih, bertadarus dan amalan sunat di malam harinya adalah tidak makan terlalu banyak ketika berbuka puasa.

Gunakan sepenuhnya peluang dan tawaran setahun sekali ini untuk melakukan lebih banyak perubahan diri supaya semangat dan roh Ramadan itu kekal dalam jiwa umat Islam.

Rasulullah saw menegaskan bahawa: “Seandainya manusia mengetahui keistimewaan Ramadan, nescaya mereka ingin supaya sepanjang tahun itu adalah Ramadan.”

Allah swt berfirman yang bermaksud: “Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan menjelaskan perbezaan antara benar dan salah.” (Surah Al-Baqarah ayat 185)

Persiapan perlu meliputi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Mukmin muttaqin pasti berusaha mencapai matlamat yang dijanjikan Allah swt dalam Ramadan.

Ketaatan melaksanakannya adalah ta’abbud kepada Allah swt. Jika ia dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan penghayatan maka kesannya lahirlah individu Muslim yang mempunyai jati diri kental.

Jangan kita tergolong dalam orang yang berpuasa sekadar menjalankan ia sebagai rutin tahunan semata-mata dan tidak memahami fadilat di sebaliknya.

Golongan seperti itu walaupun berpuasa, tetapi hakikatnya mereka hanya mendapat ‘pengalaman’ lapar dan dahaga saja.

Penceramah, Mohd Rani Awang Besar berkata, medan terbaik menanti persiapan Ramadan perlu bermula seawal Rejab lagi kemudian teruskan di dalam Syaaban supaya dapat melangkah ke Ramadan dalam keadaan bersedia.

“Sejak Rejab kita digalakkan berdoa seperti ‘Ya Allah, berkatilah kami pada ketika Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan penuh mulia iaitu Ramadan.’

“Kita ibarat seperti melaksanakan misi pendakian. Di sini, kita memulakan pendakian sejak Rejab dan terus mendaki pada ketika Syaaban dan akhirnya sampai ke kemuncaknya iaitu Ramadan,” katanya.

Beliau berkata Ramadan adalah penghulu bagi segala bulan dan umat Islam perlu melakukan persediaan rapi untuk menghadapinya.

“Orang Islam yang benar-benar faham madrasah Ramadan ini, pastinya mereka tidak melepaskan ia pergi begitu saja. Setiap kali berpeluang menyambut Ramadan mereka pasti menjadi orang paling gembira bagi menyucikan rohani dan jasmani.

“Sebaliknya, bagi golongan munafik mereka merasa sempit dan sudah hati kerana aktiviti mereka terbatas, terpaksa berlapar dahaga dan merasa diri mereka terkongkong,” katanya.

Mohd Rani berkata Ramadan mengingatkan umat Islam erti kesederhanaan dalam meningkatkan ketakwaan terhadap Penciptanya.

“Ramadan adalah bulan kesabaran. Allah swt menjanjikan balasan syurga kepada mereka yang bersabar.

“Umat Islam perlu sentiasa mengamalkan kesederhanaan dalam setiap perkara termasuk tidak membazir ketika makan dan tidak berbelanja secara berlebihan,” katanya.

Beliau berkata Ramadan juga medan melatih umat Islam supaya memahami masyarakat yang berada di sekeliling mereka.

“Berlapar boleh menginsafkan diri apabila melihat masih ada golongan yang lebih susah dan serba daif kehidupannya.

“Justeru, gunakan kesempatan Ramadan ini untuk membantu orang lain yang hampir dengan kita termasuk jiran tetangga, keluarga dan saudara memerlukan mengikut kemampuan diri kita,” katanya.

Mohd Rani berkata umat Islam perlu mengawasi tindak-tanduk serta adab mereka ketika menjalani ibadah puasa termasuk menjaga lidah, telinga, mata dan anggota lain.

“Berpuasa adalah benteng seorang mukmin daripada terjerumus melakukan perkara maksiat dan sia-sia yang membawa kepada dosa.

“Daripada Abu Hurairah ra berkata Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: ‘Puasa adalah perisai (memelihara daripada akhlak yang buruk). Apabila seseorang itu berpuasa, maka janganlah dia mengeluarkan kata-kata yang tidak elok (mencarut) atau kesat. Jika ada orang memakinya atau mahu membunuhnya, maka katakanlah kepadanya: ‘Sesungguhnya aku berpuasa, sesungguhnya aku berpuasa.’’

“Justeru, masjid atau surau perlu sentiasa memberi peringatan kepada umat Islam supaya mereka dapat keluar daripada belenggu kejahilan dalam usaha melaksanakan ibadah ini dengan sempurna.

“Umat Islam juga disaran merebut malam lailatul qadar pada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan di mana kelebihan malam itu adalah lebih baik daripada 1000 bulan,” katanya.

Wallahu'alam