20 October, 2011

Imbang Ilmu Dunia & Akhirat

GEDUNG ILMU...IQ melahirkan ramai ilmuan dan ulama di Malaysia. MELAHIRKAN masyarakat yang berpegang kepada al-Quran melalui pembudayaan ilmu antara agenda utama membawa kepada penubuhan Institut al-Quran (IQ) Terengganu kira-kira 27 tahun lalu.

Bermula sebagai Maahad Tahfiz al-Quran (MTAQ) pada 1984 dengan hanya 15 pelajar yang dibimbing lima tenaga pengajar, ia berkembang dan menjadi pilihan utama rakyat Darul Iman yang mahu mendalami al-Quran sebelum dinaikkan taraf kepada IQ Terengganu pada 2Januari 2007.

UJI MINDA...selain ilmu al-Quran, IQ turut memberi tumpuan kepada pengajian akademik.

TEKUN...IQ mendapat bimbingan pelbagai pensyarah berpengalaman termasuk dari luar negara.
Antara tokoh pernah berkhidmat di pusat pengajian ini ialah Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad yang menjadi pengasas dan pengetua pertama MTAQ dari 1984 hingga 1993.

Pengarahnya, Dr Ahmad Bazli Shafie, berkata kenaikan taraf MTAQ kepada IQ menunjukkan kerajaan negeri Terengganu memberikan sokongan padu kepada usaha murni pusat pengajian itu bagi melahirkan generasi yang berpegang kepada al-Quran.

“IQ Terengganu memulakan operasi di kampusnya sekarang di Padang Midin, Marang pada 1 Januari 2008 dengan diketuai seorang pengarah dan 65 kakitangan. Ketika itu, seramai 70 peratus kakitangan akademiknya adalah lulusan luar negara.

“Tidak dinafikan setiap tahun IQ Terengganu menerima banyak permohonan daripada mereka yang berminat untuk menuntut ilmu namun ia terpaksa ditapis kerana kemudahan yang terhad.

“Setiap tahun kita mempunyai 246 pelajar sepenuh masa merangkumi pelajar persijilan dan diploma tahfiz serta 1,500 pelajar sambilan yang mengikuti kelas pada setiap hujung minggu,” katanya ketika ditemui di pusat pengajian berkenaan, baru-baru ini.

Menyentuh mengenai program pengajian di IQ Terengganu, Dr Ahmad Bazli berkata, terdapat tiga program ditawarkan iaitu program Persijilan Syahadah, Pengajian Diploma Tahfiz wal Qiraat dan Pengajian al-Furqaan.

Bagi program Persijilan Syahadah, ia terbuka kepada pelajar lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan permohonan terbuka kepada rakyat Terengganu dan luar yang menuntut dalam aliran bahasa Arab.

Dalam program selama empat tahun ini, pelajar bukan saja memperoleh sijil melalui program Syahadah seperti Sijil Tahfiz al-Quran, Sijil Khatam dan Sijil Hafazan al-Quran, tetapi mereka juga akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia.

Melalui program ini, pelajar berpeluang melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi tempatan seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains dan Islam Malaysia (Usim), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selain luar negara antaranya Universiti Al-Azhar, Ummu al-Quran Universiti Makkah dan Universiti Madinah.

Pengajian Diploma Tahfiz wal Qiraat adalah satu pengajian untuk lepasan SPM yang dijalankan mengikut sistem semester selama tiga tahun dan mendapat kerjasama daripada Darul Quran, Kuala Kubu Bharu, Selangor yang terletak di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Dalam pengajian ini, pelajar akan dibimbing menjadi seorang hafiz dan hafizah yang mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran dengan pengambilan pertama bermula pada 1998.

Selain didedahkan dengan beberapa subjek al-Quran, pelajar juga didedahkan dengan pengajian Islam dan bahasa Arab secara sistematik.

Bagi pengajian al-Furqaan yang terbuka kepada umum, IQ Terengganu menawarkan program pengajian berterusan seperti Ulum al-Quran, tarannum, tafsir al-Quran, qiraat, bahasa Arab dan asas al-Quran selama setahun.

“Jangan terkejut jika mendapati ada antara pelajar pengajian al-Furqaan ini terdiri daripada golongan profesional termasuk guru, peguam, ahli perniagaan dan kakitangan kerajaan yang ingin menambah dan memperbaiki ilmu dalam bidang al-Quran,” katanya.

Menurut Dr Ahmad Bazli, seramai 721 pelajar berjaya memperoleh sijil tahfiz sejak pusat pengajian berkenaan beroperasi selain 300 lulusan diploma.

“Ibu bapa tidak perlu bimbang mengenai hala tuju pelajar yang menuntut di IQ Terengganu. Peluang untuk menyambung pelajaran dan kerjaya sentiasa ada yang mana ia terpulang bagaimana seseorang itu untuk merebut peluang yang ada.

“Ada antara pelajar IQ Terengganu melanjutkan pengajian mereka di institusi pengajian tinggi dalam bidang syariah, al-Quran dan Usuluddin sama ada dalam dan luar negara seperti UKM, UIAM, Usim dan Universiti al-Azhar, Mesir sebaik saja tamat pengajian di sini.

“Kebanyakan pelajar lulusan IQ Terengganu menyambung pengajian mereka dalam tiga bidang berkenaan dengan sebahagian besarnya menjadi tenaga pengajar dan imam di masjid.

“Apa yang membanggakan, ada antara pelajar ini kembali mencurahkan bakti di IQ Terengganu sebaik menamatkan pengajian mereka,” katanya sambil memaklumkan IQ Terengganu sedang mengambil beberapa langkah positif dalam usaha melahirkan tenaga akademik dan kepakaran dalam bidang pengajian al-Quran.

Menurutnya, kakitangan dan pelajar IQ Terengganu turut menjadi pilihan masyarakat untuk mengepalai majlis keagamaan terutama solat Tarawih sebagai imam dan ceramah di sekitar Terengganu.

“Permintaan itu menunjukkan pelajar IQ Terengganu mendapat kepercayaan masyarakat walaupun mereka masih dalam proses pembelajaran.

“Bagi pihak pengurusan, jemputan seumpama itu mampu melatih pelajar ini untuk menjadi lebih bertanggungjawab dan persediaan awal sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan kelak.

“Dengan jemputan berkenaan, mereka dapat mempraktikkan ilmu dipelajari dan memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya.

Pelajar program Persijilan Tahfiz, Mohd Hanafiah Abdullah, 18, berkata minat mendalam dalam bidang al-Quran menjadi puncanya memilih IQ Terengganu sebagai tempat menuntut ilmu.

“Saya selesa belajar di sini. IQ Terengganu bukan saja menekankan ilmu al-Quran semata-mata, tetapi turut memandang serius bidang akademik lain,” katanya yang menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian di Mesir dalam bidang syariah.

Rakannya, Maryam Hamidah Zulkifli, 18, pula berkata, walaupun sibuk dengan program Persijilan Tahfiz, dia masih mampu mencapai keputusan cemerlang dalam SPM apabila memperoleh 9A tahun lalu.

“Setiap hari, kami perlu menghadiri kelas hafazan al-Quran selama dua jam sebelum mengikuti pembelajaran kelas akademik lain.

“Jika dilihat secara kasar, masa yang kami ada amat terhad, tetapi ia bukan alasan untuk kita meraihkan kejayaan.

“Apa yang menariknya di IQ Terengganu adalah suasana pembelajarannya yang mesra bukan saja antara guru, tetapi sesama pelajar juga,” kata anak kedua daripada enam beradik.

Selain menyediakan program pengajian berteraskan al-Quran, IQ Terengganu tidak melupakan seni kaligrafi al-Quran.

Ditubuhkan pada 1 November 2007, Unit Kaligrafi ini diletakkan di bawah Jabatan Penyelidikan dan Penerbitan al-Quran Terengganu diketuai Penolong Pengarah Penyelidikan dan Penerbitan, Mohd Zaini Mohd Nor dengan dibantu tujuh kakitangan.

Fungsi utama unit itu ialah menyalin dan menghasilkan mushaf.

Mohd Zaini berkata, idea untuk menubuhkan unit kaligrafi timbul kerana pihaknya tidak mahu keindahan dan kehalusan seni berkenaan hilang begitu saja.

“Masyarakat terutama generasi muda kurang berminat dalam penghasilan kaligrafi yang sering kali dikaitkan dengan generasi lama atau berusia.

“Namun, siapa sangka masih ada anak muda yang mempunyai minat mendalam dalam bidang ini dan sewajarnya bakat yang mereka ada tidak dipersia-siakan.

“Mengenai perancangan unit kaligrafi ketika ini, kita berhasrat menjalankan projek menerbitkan dan mencetak Surah al-Luqman iaitu kesinambungan daripada siri Miftaah al-Furqaan sebelum ini iaitu Surah Yasin (Miftaah al-Furqaan siri ke-2) yang dilancarkan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Terengganu, Datuk Wan Ahamad Wan Muda pada 9 Julai lalu.

“Sebelum ini, kita menghasilkan Juz Amma pada 2009 dan surah Yasin pada 2010 menggunakan tenaga kerja anak muda Terengganu yang kini digunakan sebagai rujukan pelajar IQ Terengganu sendiri selain jabatan kerajaan di negeri ini,” katanya.

Mereka yang berminat untuk menimba ilmu di IQ Terengganu boleh berbuat demikian dengan menghubungi pusat pengajian itu di talian IQ Terengganu 09-6193302.

No comments:

Post a Comment