MELONTAR JAMRAH...dalam keadaan bersesak-sesak jemaah memerlukan kekuatan fizikal.
BERTENAGA...golongan muda disaran menunaikan haji ketika usia muda supaya dapat menjalankan kerja haji dengan lebih sempurna. MUNGKIN ramai di kalangan golongan muda merasakan kesempatan untuk menunaikan ibadah haji tidak tercapai pada usia muda dengan alasan masih tidak memiliki sumber kewangan kukuh atau memberi laluan kepada golongan tua terlebih dulu.
Semua alasan berkenaan perlu diperbetulkan kerana ketika muda inilah masa paling sesuai melaksanakan kewajipan rukun Islam yang kelima itu.
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Bersegeralah kamu menunaikan fardu haji kerana seseorang itu tidak tahu apa akan berlaku ke atasnya (mati)” (Riwayat Imam Ahmad).
Justeru, umat Islam terutama golongan muda perlu merancang sebaik-baiknya sebelum menunaikan ‘pengembaraan’ hebat mereka di Tanah Suci kelak.
Umat Islam negara ini sepatutnya berasa syukur dan bertuah sekali kerana memiliki institusi seperti Lembaga Tabung Haji (LTH) yang berpengalaman menguruskan jemaah haji setiap tahun.
Institusi berkenaan terbukti antara yang terbaik menyediakan latihan dan kursus intensif kepada bakal haji. Alasan kewangan bukan menjadi perkara utama.
Ini kerana setiap orang perlu berniat dari awal lagi untuk menunaikan ibadah haji pada usia muda melalui amalan menabung dan membuat simpanan tetap melalui sistem potongan gaji ke dalam akuan Tabung Haji.
Jangan pula kita menanggung hutang membuat pinjaman semata-mata untuk pergi mengerjakan ibadah haji atau umrah.
Perkara itu dirasakan tidak sesuai kerana memperlihatkan kelemahan kita yang terpaksa membuat pinjaman. Setiap orang perlu berazam menunaikan haji ke Tanah Suci setidak-tidaknya ketika berusia 30-an atau lebih muda lagi.
Mulai sekarang, kita perlu mempertingkatkan ilmu pengetahuan supaya ketika melaksanakan ibadah haji dalam keadaan bersedia dan berilmu bagi mendapatkan haji mabrur.
Faktor umur dijadikan ukuran utama dalam ibadah haji kerana ketika badan masih sihat, kuat dan bertenaga inilah antara perjuangan jihad kita dapat dilakukan dengan cukup sempurna.
Seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah saw, “Apakah ibadat yang paling baik. Baginda menjawab, beriman kepada Allah dan Rasul. Apa lagi kata pemuda itu, Baginda menjawab, jihad fisabilillah. Apa lagi, Rasulullah bersabda, haji yang mabrur” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Allah swt berfirman yang bermaksud: Menunaikan haji adalah kewajipan setiap manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang mampu mengadakan perjalanan menuju ke Baitullah. Dan barang siapa mengingkari (kewajipan haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam (Surah Ali’Imran ayat 97).
Sekiranya kita sudah berkemampuan menunaikan haji pada usia muda, mengapa mesti menunggu menangguhkannya? Apabila berpeluang menunaikan haji, tumpukan perhatian terhadap pelaksanaannya dengan memutuskan hubungan dengan dunia yang melalaikan.
Peliharalah hubungan baik dengan Allah swt dan menjauhkan diri daripada melakukan perkara maksiat, keji serta meningkatkan diri dengan sifat terpuji.
Imam Al-Ghazali berkata, ibadah haji adalah kemuncak ibadat dan pengabdian diri seseorang Muslim kepada Allah swt. Pengabdian itu perlu diusahakan sebaik mungkin dengan penuh bersemangat.
Penolong Pengarah Pusat al-Quran dan Ilmu Teras, Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zain berkata, kelebihan kepada golongan yang menunaikan haji ketika muda adalah mereka lebih realiti dalam menyahut seruan Allah swt dengan keadaan mampu.
“Mampu yang dinyatakan di sini adalah dari segi kekuatan jasmani kerana badan masih kuat membolehkan mereka beribadah dengan lebih selesa, tenang, tiada penyakit dan tidak terdedah kepada bahaya.
“Berbeza dengan golongan haji yang sudah tua, pergerakan mereka terbatas, menghidap beberapa penyakit, mata tidak berapa nampak dan terdedah de�ngan pergerakan fizikal seperti perlanggaran antara jemaah yang menjadi penghalang penghayatan ibadah itu,” katanya.
Zamihan berkata, beliau juga mempunyai pengalaman mengerjakan haji pada usia muda dan dapat merasai kehebatan dan kesempurnaan mengerjakan ibadah haji yang cukup luar biasa.
“Saya mengerjakan haji ketika berusia 22 tahun bersama rakan lain ketika menuntut di Jordan. Kami mengambil peluang musim cuti semester bagi melaksanakan ibadah wajib itu dengan perasaan cukup semangat dan seronok sekali.
“Tidak dinafikan, dalam usia muda sebegitu, kita sentiasa didorong dengan nafsu dan kurangnya daya tahan. Namun bagi mereka yang sudah melaksanakan ibadah haji ini sangat dihormati masyarakat, lebih-lebih lagi jika golongan muda.
“Sebab itu, jika orang muda yang sudah mempunyai kemampuan dari segi kewangan dan ilmu disarankan menunaikan haji seawal mungkin,” katanya.
Beliau berkata, antara faktor dan sebab mengapa kita menyarankan golongan muda segera menunaikan haji kerana cabaran yang perlu ditempuh jemaah haji sebenarnya cukup mencabar.
“Kerja haji seperti melontar jamrah contohnya memerlukan kekuatan fizikal kerana ketika itu jemaah saling berebut, di tambah lagi kawasan yang terhad sudah tentu menyukarkan jemaah.
“Bagi golongan muda perkara itu tidak menjadi masalah besar kerana mereka memiliki kekuatan tubuh badan yang kuat.
Sama juga halnya dengan tawaf, jemaah masing-masing bersesak-sesak dalam keadaan panas, bertembung sesama sendiri dan jika silap langkah boleh terjatuh atau rebah,” katanya.
Bagi perunding latihan dan motivasi terkenal, Ahmad Fadzli Yusof, peluang menunaikan haji pada 2001 ketika masih dalam pengajian sebagai rezeki daripada Allah swt yang ‘menjemput’ beliau menjadi tetamu-Nya.
“Ketika itu, saya berusia 23 tahun dan berada dalam tahun tiga dalam pengajian undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
“Saya terkejut mendapat panggilan telefon daripada pegawai Lembaga Tabung Haji (LTH) yang menyatakan saya terpilih untuk mengerjakan ibadah haji pada
tahun itu.
“Pegawai itu kemudian meminta saya hadir ke pejabat Tabung Haji bagi sesi taklimat sebelum berlepas sehari selepas itu. Ketika itu saya tengah menghadapi peperiksaan akhir di universiti.
“Situasi berkenaan memaksa saya menangguhkan peperiksaan dan mengambil peperiksaan khas selepas pulang dari Tanah Suci. Biarpun masa yang diberikan cukup singkat untuk membuat persediaan, namun Allah swt permudahkan segala-galanya dan saya bertekad tidak mensia-siakan peluang yang diberikan itu sebaiknya-baiknya,” katanya.
Ahmad Fadzli berkata, peluang menjadi tetamu Allah swt itu adalah jemputan kerajaan Arab Saudi bagi mengikuti persidangan belia Muslim peringkat antarabangsa di Jeddah.
“Alhamdulillah, saya bersama seorang lagi rakan yang ketika itu memimpin sebuah persatuan di UIAM (Quranic Youth Club) dipilih pihak universiti untuk menghadiri persidangan terbabit dan seterusnya melaksanakan ibadah haji.
“Selain wakil pelajar negara ini, persidangan itu turut disertai wakil dari 15 negara lain antaranya Turki, Mesir, Pakistan dan Indonesia,” katanya.
Ketika dalam penerbangan ke Jeddah, beliau bersama rakan lain tetap menelaah buku panduan haji diberikan pihak Tabung Haji sebagai persediaan.
“Biarpun mendapat jemputan secara ‘mengejut’ namun kami berusaha menggunakan kesempatan yang ada bagi membuat ulang kaji.
“Apa yang boleh dikongsi melalui ibadah yang berjaya dilaksanakan ini adalah mengenai keupayaan tenaga. Dalam usia 20-an ketika itu saya tidak memikirkan soal kesihatan kerana yakin masih diberikan kudrat yang kuat untuk melakukan ibadah.
“Peluang yang diberikan itu memberikan kesempatan kepada saya bertemu pelbagai lapisan masyarakat, selain dapat menziarahi kawasan menarik dan bersejarah di sana,” katanya.
Ahmad Fadzli berkata, bukan mustahil bagi golongan muda melaksanakan ibadah haji dalam usia muda asalkan mereka bersedia untuk menyimpan dan menabung bagi tujuan itu.
“Setiap orang muda perlu berniat mahu melaksanakan rukun Islam kelima ini lebih awal lagi di samping bersedia dari segi kewangan dan ilmu pelaksanaannya.
“Lakukan simpanan setiap bulan ke dalam akaun Tabung Haji sejak mula mendapat pekerjaan. Contohnya menyimpan sebanyak RM150 ketika umur 23 atau 24 tahun, insya-Allah berpeluang menunaikan haji ketika berumur 34 atau 35 tahun kelak,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman berjaya mengharungi pengembaraan selama lebih 30 hari di Tanah Suci itu ibarat proses kelahiran semula yang membina kekuatan dalaman, motivasi serta spiritual lebih mantap.
“Ibadah haji antara proses latihan yang menjadikan umat Islam insan bertanggungjawab, memiliki paradigma serta perspektif yang berbeza-beza kerana di sana mereka bakal menyaksikan umat Islam dari seluruh dunia.
“Dalam usia yang muda ini juga mereka berpeluang memberikan sumbangan idea, visi dan wawasan baru dalam kehidupan,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment