25 August, 2011
Malam Al-Qadr Rahsia Allah swt
JALIN PERSAUDARAAN...amalan di bulan Ramadan bukan saja menumpukan kepada amalan khusus semata-mata tetapi apa saja perbuatan yang membawa kebaikan pasti mendapat ganjaran besar daripada Allah. RAMADAN adalah bulan keampunan untuk menghapuskan serta menyucikan diri yang selama ini banyak melakukan dosa dan maksiat.
Kita semakin menghampiri puncak Ramadan apabila sudah lebih tiga minggu menjalani ibadah puasa. Bermakna kita sudah melepasi fasa pertama iaitu rahmah (kasih sayang Allah) dan fasa kedua, Maghfirah (keampunan Allah swt).
PENUH PENGHARAPAN...perbanyakkan amalan pada sepuluh malam terakhir Ramadan untuk menemui malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
Fasa ketiga dan terakhir ini ialah umat Islam yang melakukan amalan soleh akan dibebaskan daripada api neraka. Itulah sebabnya bulan Ramadan ini boleh diibaratkan sebagai bulan jihad kerana umat Islam ‘berperang’ melawan hawa nafsu yang menjadikan mereka cekal menjaga tatatertib serta adab dalam bulan Ramadan.
Daripada Abu Hurairah ra beliau berkata Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan atas dasar keimanan dan mengharapkan keredaan Allah swt, maka dosa-dosanya yang lalu akan diampuni. Sesiapa yang melaksanakan qiyam pada bulan Ramadan atas dasar keimanan dan mengharapkan reda Allah swt, maka dosa-dosanya yang lalu akan diampuni. Sesiapa yang bangun melakukan qiyam lailatulqadar atas dasar keimanan dan mengharapkan reda Allah swt, maka dosa-dosanya yang lalu akan diampuni.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Walaupun ada melakukan kesilapan, itulah fitrah kejadian manusia dan sebab itu mereka perlu sentiasa memohon keampunan daripada ‘timbunan’ dosa-dosa silam.
Fasa terakhir Ramadan ini juga Allah swt menganugerahkan hamba-Nya malam yang penuh kemuliaan dan keberkatan iaitu lailatulqadar.
Umat Islam yang berusaha mempertingkatkan amalan mereka akan mendapat pahala berlipat kali ganda pada malam yang lebih baik daripada seribu bulan itu.
Malam-malam terakhir Ramadan digunakan dengan perkara-perkara kebaikan seperti berzikir, berdoa, beriktikaf, bertadarus al-Quran beristighfar dan melakukan qiamullail.
Itulah keistimewaan agung yang Allah swt kurniakan kepada umat Islam supaya mereka dapat menjalankan ibadah dengan penuh pengharapan.
Allah swt tidak menerangkan secara terperinci waktu kedatangan lailatulqadar supaya umat Islam sentiasa berusaha mempertingkatkan amalan ibadat mereka.
Tidak bererti 20 malam sebelumnya dibiarkan begitu saja kerana mereka yang dikurniakan lailatulqadar adalah golongan yang menggunakan sepenuhnya sebulan Ramadan dengan amalan soleh berusaha menjauhkan diri mereka daripada melakukan perbuatan maksiat.
Menariknya, lailatulqadar terjadi pada malam ganjil pada sepuluh malam terakhir. Bermakna ia mungkin pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.
Hal ini dijelaskan Rasulullah saw dalam sabda baginda: “(Iaitu) ada pada Ramadan, oleh itu, hendaklah kamu mencarinya pada 10 hari terakhir. Disebabkan ia terdapat pada hari-hari ganjil, iaitu pada malam 21, atau malam 23 atau malam 25, atau malam 27, atau malam 29 serta pada malam terakhirnya.” (Riwayat Ahmad).
Pada malam itu, Allah swt memberi kesejahteraan kepada hamba-Nya sampai terbitnya fajar. Umat Islam akan memperoleh kemuliaan, keampunan, rahmat serta mendapat balasan syurga daripada Allah swt.
Dalam hadis lain Nabi Muhammad saw bersabda yang bermaksud: “Apabila tiba malam akhir Ramadan maka menangislah langit dan bumi serta malaikat kerana musibah yang menimpa umat Muhammad saw. Sahabat bertanya: “Apakah musibah itu?” Rasulullah saw menjawab: (Musibah) kerana perginya bulan Ramadan yang mana di dalam bulan ini doa dimakbulkan, semua sedekah diterima dan semua kebaikan dilipat gandakan pahalanya serta seksaan ditolak.”
Antara amalan lain yang boleh disuburkan pada malam terakhir Ramadan ialah mengejutkan ahli keluarga untuk bersama-sama mengerjakan solat malam seperti dilakukan Rasulullah saw terhadap keluarganya.
Yang pasti, ingatlah tidak semestinya bulan agung dan istimewa ini dapat lagi kita nikmati pada tahun hadapan. Justeru pastikan kita mengambil peluang ‘semahu-mahunya’ untuk meningkatkan amalan serta memohon keampunan dari-Nya.
Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Mohd Shahrizal Nasir berkata malam al-Qadr adalah malam yang istimewa dalam bulan Ramadan yang lebih baik daripada seribu bulan.
“Allah swt menghamparkan keberkatan dan keampunan kepada umat Islam yang ikhlas beribadah kepada-Nya pada malam itu. Allah swt menjelaskan perihal malam al-Qadr ini menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadr.
Dan, apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam al-Qadr itu? Malam al-Qadr lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr, ayat 1-3)
“Timbul persoalan, bagaimana al-Quran diturunkan pada satu malam secara sekali gus, sedangkan Rasulullah saw menerima wahyu al-Quran secara berperingkat selama 23 tahun.
“Yang dimaksudkan dengan al-Quran turun pada malam al-Qadr secara sekali gus adalah penurunan al-Quran dari Luh Mahfuz ke Bait al-’Izzah iaitu yang terletak di Langat dunia. Kemudian al-Quran diturunkan secara berperingkat dari Bait al-’Izzah kepada Rasulullah saw selama 23 tahun,” katanya.
Beliau berkata waktu sebenar berlakunya malam al-Qadr menjadi rahsia daripada rahsia Allah swt kerana Sheikh Yusuf al-Qaradawi menjelaskan antara tujuan malam al-Qadr itu dirahsiakan adalah supaya umat Islam bersungguh-sungguh melakukan ibadah dan berusaha memperolehinya.
“Namun, terdapat beberapa hadis yang memberi maklumat mengenai waktu berlakunya malam al-Qadr antaranya, “Carilah malam al-Qadr pada 10 hari terakhir bulan Ramadan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
“Selain itu, “Carilah pada 10 hari terakhir, jika tidak mampu maka janganlah sampai terluput 7 hari yang selebihnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
“Walaupun terdapat beberapa hadis yang menyatakan perihal malam al-Qadr, semuanya tidak bercanggah antara satu sama lain. Justeru, sebagai langkah bijak, persediaan perlu dilipat gandakan pada 10 malam terakhir bulan Ramadan,” katanya.
Mohd Shahrizal berkata Rasulullah saw sendiri berusaha mencari malam al-Qadr dan memenuhi malam-malam terakhir Baginda dengan amal ibadah.
“Dalam sebuah hadis, dinyatakan hal ini, yang bermaksud: “Apabila masuk 10 terakhir bulan Ramadan, maka Nabi saw menghidupkan malam, mengejutkan isterinya, dan mengetatkan kainnya (tidak bersama isteri kerana sibuk dengan amal ibadah).” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
“Justeru, sebagai umat Nabi Muhammad saw perlu mempersiapkan diri sebelum tiba 10 malam terakhir Ramadan ini dan berusaha mencari malam al-Qadr,” katanya.
Beliau berkata terdapat tanda-tanda yang menunjukkan berlakunya malam al-Qadr seperti maksud hadis Rasulullah saw yang bermaksud: “Pada pagi (setelah) malam al-Qadr, matahari terbit tidak menyilaukan (tanpa sinaran terik), seakan-akan ia bejana, sehinggalah ia meninggi.” (Hadis riwayat Muslim).
“Jika diteliti hadis ini, ia menggambarkan situasi selepas berlakunya malam al-Qadr. Justeru, hadis ini tidak boleh menjadi panduan bagi umat Islam untuk mencari malam al-Qadr, kerana ia menjelaskan keadaan selepas malam al-Qadr.
“Mungkin terdapat segelintir daripada umat Islam yang diperlihatkan tanda-tanda lain pada malam itu. Namun, tanda ini tidak boleh digunakan oleh orang umum sebagai panduan mencari malam al-Qadr.
“Berkemungkinan bagi orang yang melihatnya, Allah swt sedang menyingkap hijab-Nya. Tiada nas yang menjelaskan perkara aneh seperti pokok sujud dan air menjadi beku pada malam al-Qadr dan ia seharusnya tidak disebarkan kepada orang lain,” katanya.
Mohd Shahrizal berkata perkara utama yang perlu difokuskan setiap umat Islam pada malam al-Qadr ialah sentiasa memohon keampunan dari-Nya.
“Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang menghidupkan malam al-Qadr dengan penuh keimanan dan mengharap ganjaran dari Allah, maka diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
“Hal ini juga seperti mana yang diajarkan oleh Rasulullah saw ketika Saidatina ‘Aisyah ra bertanya kepada Baginda saw: “Wahai Rasulullah saw, apa pandanganmu jika aku mengetahui malam yang mana berlakunya malam Qadr, apakah yang perlu aku ucapkan pada malam itu?” Rasulullah saw menjawab: “Ucapkanlah: Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, suka kepada pengampunan, maka ampunilah aku.”
“Kedua-dua hadis di atas jelas menyeru kita untuk memohon keampunan daripada Allah swt supaya diberikan kebaikan di dunia dan akhirat,” katanya.
Beliau berkata terdapat pendapat sesetengah pihak yang mengatakan waktu berharga untuk memohon keampunan pada malam al-Qadr hanya seketika sahaja iaitu beberapa saat atau minit sahaja.
“Pendapat ini harus diperbetulkan kerana secara jelas Allah swt menyatakan bahawa keberkatan malam al-Qadr itu adalah sepanjang malam sehingga terbit fajar keesokannya. Firman Allah swt yang bermaksud: “Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.” (Surah al-Qadr, ayat 5).
“Sewajarnya, umat Islam tidak menyempitkan erti amal ibadah dalam Islam.
Malam al-Qadr tidak semestinya dipenuhi dengan ibadah khusus semata-mata.
“Penuhilah masa 10 malam terakhir Ramadan dengan amal-amal baik seperti bercakap benar, membantu dan menghormati orang tua, bermaaf-maafan, menjamu sahabat makan sahur, malah sekalipun dengan melemparkan senyuman sesama Muslim,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment