20 April, 2010

Wajah Direnung 70 Kali Sehari

MEMANG tiada siapa pun dapat menduga bila saat kematian mereka akan tiba. Sebab itu ramai yang masih leka dan tiada persediaan 'menanti' saat kematian mereka.
Allah berfirman yang bermaksud: "Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali." (Surah al-Anbiyak ayat 35)

Alam barzakh menjadi tempat persemadian sebelum manusia dibangkitkan pada hari akhirat dan kematian adalah dugaan bagi menilai keimanan selepas berpisah dengan insan tersayang.
Tahukah kita bahawa malaikat maut sentiasa merenung serta melihat wajah seseorang itu 70 kali dalam sehari? Andainya manusia sedar hakikat itu, nescaya mereka tidak lalai mengingati mati.
Oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak dapat melihat kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan malaikat Izrail.

Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa. Maka berkata Izrail: 'Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa.'"

Justeru, tidak hairanlah, jika ramai manusia yang masih mampu lagi bergelak sakan dan bersenang-lenang seolah mereka tiada masalah yang perlu difikirkan dalam hidup. Takdirnya esok hari terakhir Allah 'pinjamkan' nyawa kepada kita untuk bernafas di muka bumi ini adakah kita sudah cukup bekalan bagi menghadapi dua fasa berikutnya iaitu alam barzakh dan alam akhirat?

Tiada seorang pun di dunia ini dapat menggambarkan bagaimana perasaan dan pengalaman mereka menghadapi saat kematian. Ajal tidak mengenal sesiapa sama ada mereka itu tua, muda, sihat, kaya atau miskin.

Rasulullah s.a.w juga menjelaskan dalam hadisnya bahawa kesakitan ketika hampir mati itu seperti ditetak 100 kali dengan pedang tajam atau seperti dikoyak kulitnya dari daging ketika hidup-hidup. Bayangkanlah betapa sakit dan dahsyatnya saat menghadapi kematian.

Maka amat beruntunglah sesiapa yang matinya dalam keadaan khusnul khatimah (kebajikan). Salman Al-Farisi meriwayatkan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: "Perhatikanlah tiga perkara kepada orang yang sudah hampir mati itu. Pertama: berpeluh pada pelipis pipinya; kedua: berlinang air matanya dan ketiga: lubang hidungnya kembang kempis.

"Manakala jika ia mengeruh seperti tercekik, air mukanya nampak gelap dan keruh dan mulutnya berbuih, menandakan menandakan azab Allah sedang menimpa dia." (Hadis riwayat Abdullah, al-Hakim dan at-Tarmizi)

Kematian 'menjemput' manusia secara perlahan-lahan atau beransur-ansur mulai daripada jasad, hujung kaki kemudian ke paha.

Bagi orang kafir pula, apabila nyawanya hendak dicabut Izrail, wajahnya akan menjadi gelap dan keruh dan dia mengeruh seperti binatang yang disembelih. Itu pula tanda azab yang diterimanya disebabkan dosa dan kekufuran mereka.

Al-Qamah bin Abdullah meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Bahawa roh orang mukmin akan ditarik oleh Izrail dari jasadnya dengan perlahan-lahan dan bersopan sementara roh orang kafir pula akan direntap dengan kasar oleh malaikat maut bagaikan mencabut nyawa seekor khimar."

Allah juga turut menimpakan seorang Muslim yang berdosa itu dengan kekasaran ketika mereka menghembuskan nafasnya yang terakhir sebagai kaffarah dosanya.

Seorang yang sedang sakit tenat, menjadi rahmat yang tinggi nilainya kerana Allah masih memberi peluang supaya mereka sedar akan kesilapan yang mereka lakukan selama hidup di dunia. Maka waktu itu mereka masih berpeluang bertaubat dari dosa dan kesilapan.
Begitu juga halnya dengan orang mati mengejut disebabkan kemalangan.
Ia memberi pengajaran dan peringatan kepada mereka yang masih hidup supaya berhati-hati dan tidak lalai berusaha untuk memperbaiki diri.

Justeru, bagi mereka yang masih diberikan nikmat kehidupan perlu sentiasa mengambil iktibar terhadap segala yang berlaku.

Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Warisan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid, berkata umat Islam dilarang mengaitkan kematian seorang Muslim itu dengan tanda tertentu.

"Itulah yang menyebabkan umat Islam semakin mundur kerana terlalu banyak mempercayai perkara khurafat dan tahyul.

"Jika ada kematian seperti kemalangan contohnya kita ditegah untuk bertanya kepada waris apakah perbuatan ganjil yang dilakukan sebelum kematiannya," katanya.

Dr Mahmood Zuhdi berkata tiada siapa pun dapat mengelak daripada mati melainkan Allah dan kematian tetap akan datang tepat pada masanya.

"Apabila sampai ajal seseorang, umat Islam digalakkan memberi nasihat kepada keluarga si mati supaya bertenang dan banyakkan bersabar.

"Islam menegah amalan keterlaluan seperti menjerit dan meratapi kematian," katanya.

Beliau berkata bagi mereka yang masih hidup peluang perlu dimanfaatkan dengan memperbaiki keadaan diri yang ternyata banyak melakukan kesilapan dan kesalahan.
"Tiada daya atau usaha yang boleh menyelamatkan kita daripada kematian.

"Kematian menjadikan hati manusia menjadi sedih serta berpisah dengan keluarga tercinta. Hanya amalan soleh saja akan membawa kita bertemu Allah," katanya.

08 April, 2010

Hidup Sihat Cara Nabi saw

Setiap manusia pasti risau dengan keadaan kesihatan mereka apabila mencapai satu tahap umur kemudian hari. Pada zaman sekarang penyakit tidak mengenal usia malah usia seawal setahun pun boleh diserang penyakit berbahaya.

Manusia sentiasa menginginkan kesihatan terbaik supaya mereka dapat menjalani kehidupan dengan sempurna. Bukan sekadar kesihatan fizikal malah menuntut kesihatan rohani dan sosial. Kesihatan yang baik akan menghasilkan badan sihat, emosi seimbang, jiwa dan rohani tenang yang menjadi penyumbang kepada kebahagiaan dan kesejahteraan hidup. Buku 365 tip sihat gaya Rasulullah ini merumuskan panduan gaya hidup sihat yang berlandas konsep kesihatan Islami yang diajar Rasulullah (saw) kepada kita 1,400 tahun dulu.

Panduan yang terkandung dalam buku ini tidak menimbulkan kesan negatif baik dalam jangka pendek mahupun panjang. Jika diamalkan, ia berupaya menghasilkan keputusan menakjubkan. Bagi mendapatkan tahap kesihatan terbaik dan awet muda, beberapa amalan penting perlu dilakukan sesuai dengan apa yang nabi anjurkan kepada kita. Ini termasuk perlunya kepada perilaku pintar, menjaga pemakanan, menjalani ibadat dengan sempurna, berdoa, melalui perubatan serta hidup dalam persekitaran sihat. Segala penerangan di dalam buku ini adalah hasil kajian daripada hadis Nabi Muhammad saw, petua pengamal perubatan Islam dan petua daripada ahli herba.

Antara tip menarik yang diutarakan di dalam naskhah ini adalah cara Nabi tidur.

Seperti yang kita ketahui nabi tidur dengan mengiring badannya ke kanan manakala tangan kanan menyokong kepala.

Dengan mengiring badan ke kiri ketika tidur dikhuatiri menekan perut yang akhirnya akan mengganggu proses pencernaan malah ia turut menekan jantung hingga mempengaruhi kemampuan jantung untuk mengepam darah.

Apabila badan jika sihat kita mampu melaksanakan segala perintah Allah dengan sempurna tanpa sebarang gangguan. Petua dalam buku ini disusun kemas tanpa penerangan yang panjang lebar. Jadi penjagaan kesihatan adalah aspek yang perlu ada dalam kehidupan seharian sebagai seorang Muslim.

>Info
Tajuk: 365 Tip Sihat Gaya Rasulullah
Penulis: Dr Mohammad Ali Toha
Penerbit: PTS Millenia Sdn Bhd
Cetakan: Pertama
Harga: RM10.90 (Semenanjung) RM12.90 (Sabah dan Sarawak)
Muka surat: 138 muka surat

31 March, 2010

Nafsu Perlu Diurus Dengan Sempurna

Oleh Mohd Fadly Samsudin

NAFSU buas dan nafsu binatang adalah sebahagian ungkapan yang kerap digunakan bagi menggambarkan betapa nafsu itu apabila gagal dikawal dengan iman maka ia pasti akan memburukkan keadaan.

MUDAH DIDAPATI...elak menonton bahan lucah kerana ia menggelapkan hati serta menyebabkan ketagihan.

GEJALA SOSIAL...elak terbabit dalam aktiviti tidak sihat.Ungkapan terbabit juga mempunyai kaitan rapat dengan perilaku seks. Benar, terlalu banyak kes seperti suami yang 'makan luar', isteri gemarkan 'pucuk muda', ustaz menodai pelajar, pensyarah paksa pelajar buat oral seks dan remaja belasan tahun ditangkap ketika asyik memadu kasih.

Amat luar biasa perkembangan itu kerana kegilaan nafsu seks semakin hebat melanda kebanyakan orang di sekeliling kita.

Demikianlah nafsu jahat, apabila berada di tahap tinggi, ia tidak lagi mengenal sesiapa di hadapannya. Apa yang pasti dia dapat melunaskan hajat jahatnya.

Nafsu yang gagal dikawal sentiasa mendesak untuk melakukan perkara yang luar biasa. Bahan lucah pula sekarang berlambak-lambak dan amat mudah didapati. Masalah suka melihat gambar dan video lucah juga antara penyumbang terbesar kepada gejolak nafsu sehingga berlakunya zina di sana sini. Pernahkah kita terfikir kenapa ramai kanak-kanak perempuan dirogol? Ini kerana golongan berkenaan amat mudah diperdaya selain membuktikan perogol berada pada tahap tidak mampu lagi melawan nafsu sehingga tergamak menodai kanak-kanak sebaya dengan adik atau anak mereka sendiri. Jelas membuktikan tahap bahaya zina sekarang sangat meruncing sehingga virus itu mampu membunuh iman. Zina, seperti perkara lain yang boleh membangkitkan syahwat seksual adalah sama dengan dadah atau kegilaan orang ramai mengejar harta benda. Ia boleh membawa seseorang menjadi lupa segala-galanya. Sebagaimana hadis Rasulullah yang bermaksud: "Sekiranya anak Adam itu mempunyai dua lembah dipenuhi emas, nescaya sudah tentu mereka akan inginkan yang ketiga, dan tidak disumbatkan ke dalam perutnya kecuali tanah (mati)". (Riwayat al-Bukhari). Dorongan ingin hidup berpasangan sememangnya naluri semula jadi yang dianugerahkan Allah kepada seluruh manusia. Namun, cara dan tindak tanduk yang tidak diiringi dengan akal dan iman boleh melunturkan pegangan apabila berdepan dengan ujian terbabit. Individu lain pula tidak boleh mendabik dada jika mereka tidak pernah diuji sedemikian rupa. Jadi berhati-hatilah dengan percakapan serta tindak tanduk kita kerana tidak mustahil Allah akan memberikan pula dugaan itu kepada kita pada bila-bila masa. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan orang yang menjaga kemaluannya kecuali terhadap isteri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela; barang siapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang yang melampaui batas. (Surah al-Mukminun ayat 5 hingga 7). Ada sesetengah mereka menerima hubungan seksual sebelum kahwin itu sebagai satu perkara biasa dalam kehidupan. Maka amat beruntung dan bertuah sekali buat remaja yang tidak pernah terjebak atau jauh sekali mendekati zina. Semua tahu berzina adalah satu dosa besar yang boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan kelak. Mereka yang kini menjadi tunangan orang sekalipun bukan tiket bagi memadu kasih kerana syaitan sentiasa akan 'menyerang' mereka sehingga tertewas. Kejahatan yang pernah dilakukan walaupun dengan 'ringan-ringan' ketika bercinta akan memberi kesan buruk selepas mereka mendirikan rumah tangga serta kepada zuriat yang bakal mereka lahirkan.

Tidak hairanlah ia berpotensi melahirkan suami curang, isteri berzina dengan lelaki di tempat kerja dan anak yang berzina.

Persoalan mengenai remaja yang berdepan dengan dilema selepas terjebak dengan kegiatan hina ini menjadi antara topik utama yang sering diterima menerusi ruangan soal jawab agama. Bahana itu menjadi tamparan hebat buat semua, tetapi fokus kepada pendidikan perlu dibuat daripada awal. Memang benar syaitan cukup bergembira dapat menewaskan manusia. Tiada jaminan khas meskipun orang itu bergelar ustaz, sudah beristeri, belajar dalam bidang agama sekalipun jika mereka gagal tewas dengan godaan yang satu itu. Bagi mencapai taubat yang sebenar, setiap individu perlu mempunyai kesedaran yang bukannya didesak dari luar kerana keinsafan itu terbit daripada ilmu dan iman. Seseorang perlu bertaubat nasuha supaya tidak mati dalam keadaan yang sangat hina dan keji. Malah pada zaman Rasulullah, datang seorang lelaki dan berbicara dengan baginda mengenai perihal keinginannya untuk berzina.

Sahabat lain ingin membunuhnya kerana sangat marah lantaran sikap kurang ajar yang dipamerkan lelaki berkenaan kepada baginda. Namun, Rasulullah tetap tenang dan bertanya kepada pemuda itu: "Sukakah kamu jika orang berzina dengan ibumu? Sukakah kamu jika orang berzina dengan adikmu? Sukakah kamu jika orang berzina dengan isterimu? Sukakah kamu jika orang berzina dengan anakmu? Pemuda itu marah dan menjawab tidak suka sama sekali. Rasulullah berkata yang bermaksud: "Begitu jugalah orang yang kamu ingin berzina itu, dia adalah seorang anak, seorang ibu, seorang adik, seorang isteri lalu Nabi letakkan tangannya yang mulia di dada lalu berdoa untuk hamba Allah berkenaan. Pemuda itu sangat terharu dengan nasihat yang diberikan Rasulullah. Sebelum itu dia sangat mahu berzina, tetapi sekarang tiada yang lebih yang dibencinya selain daripada perkara terkutuk itu. Cerita zina yang berlaku pada akhir zaman ini dianggap biasa bagi mereka yang hilang pedoman. Umat Islam sama ada lelaki atau wanita memang sedang dilanda lemah kawalan nafsu syahwat.

Dengan menyedari setiap dosa yang dilakukan nescaya hati pasti terdetik mahu bertaubat. Allah pasti membantu mereka yang membulatkan tekadnya untuk berubah. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilannya yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya ( Surah an-Nisa ayat 17). Kita perlu sentiasa benar-benar berharap Allah akan pasti mengampunkan dosa yang pernah dilakukan. Firman Allah yang bermaksud: "Hai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah az-Zumar ayat 53).

Dengan kata lain, setiap pasangan yang masih segar dalam percintaan perlu menghindarkan diri daripada apa saja keadaan yang boleh membawa kepada zina. Segera lenyapkan apa juga cara yang boleh membangkitkan perasaan berahi termasuk ingin dibelai manja, berjalan berpimpin tangan serta berpelukan. Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zain, berkata nafsu perlu diurus tadbir dengan sempurna dalam memenuhi keperluan serta kehendak manusia.

"Hawa nafsu hadir dalam dua bentuk iaitu sederhana dan memuncak. Jika ia dalam keadaan memuncak, ia tidak lagi berpaksi kepada kawalan akal, hati dan roh sebenar.

"Sebab itu, manusia tidak boleh sesekali memandang remeh terhadap pelaksanaan ibadat. Ia perlu dilakukan dengan sempurna supaya dapat menghalang daripada melakukan maksiat," katanya.

Mengulas mengenai keadaan orang melakukan ibadat namun masih melakukan maksiat, Zamihan berkata ibadat yang mereka lakukan itu tidak ubah seperti lakonan kerana ia dilakukan dengan sambil lewa.

"Solat bertujuan mencegah manusia daripada melakukan perkara mungkar, jika mereka masih 'tegar' melakukan maksiat bermakna ibadat itu tidak dihayati sepenuhnya.

"Orang yang beramal dengan sempurna sudah pasti mendapat keberkatan dan terhindar daripada melakukan maksiat. Solat itu barangkali dilakukan hanya buat tatapan orang ramai saja," katanya.

Beliau berkata, Allah memberi jaminan jika manusia mengawal selia kualiti solat dengan baik ia akan memberi kekuatan dalaman. "Jadi, setiap manusia yang pernah tersilap langkah mereka perlu kembali bertaubat dan berazam tidak mengulangi kesilapan lalu," katanya.

Zamihan berkata, manusia perlu menunjukkan tahap kesabaran tinggi jika diuji hebat untuk melakukan maksiat. "Penting kepada kita untuk menjaga kehormatan diri kerana dosa silam tidak akan padam dan sentiasa berlegar-legar di ruang minda kita.

"Tiada gunanya mengecapi 'kemanisan' maksiat kerana ia hanya bersifat sementara, tetapi kesan dosa membuatkan seluruh hidup manusia dibelenggu perasaan bersalah walaupun sudah taubat," katanya.

24 March, 2010

Manusia Hilang Moral, Masyarakat Kacau

Oleh Mohd Fadly Samsudin

JIKA dikira, sudah berapa nyawa kanak-kanak terkorban angkara 'makhluk' Allah yang memang tidak layak lagi digelar manusia kerana tergamak melakukan tindakan luar kewarasan akal.

Kes penderaan secara kejam sehingga membunuh kanak-kanak tidak berdosa sememangnya mengundang marah orang ramai apatah lagi perasaan mereka yang mempunyai pertalian darah dengan mangsa korban.

Itu belum lagi kisah seperti kes rogol, liwat dan penderaan seksual kanak-kanak oleh golongan bernafsu binatang yang pernah tercatat antara tragedi hitam angkara perbuatan 'laknat' yang sukar dimaafkan.

Penderaan meninggalkan kesan amat mendalam dalam diri mangsa, malah tiada ubat untuk merawat kesan trauma dialami mereka, tambahan pula pada usia yang masih mentah. Media massa sememangnya memandang besar isu ini dan sebab itu ia sering dilaporkan sebagai tajuk utama berita. Namun semakin luas liputan diberikan semakin menjadi-jadi pula seorang demi seorang didera. Lebih memilukan, kes penderaan yang berlaku sekarang tidak hanya meninggalkan kesan lebam, patah atau trauma semata-mata, malah kini ia lebih tragis kerana berakhir dengan kematian. Bulan lalu, kanak-kanak berusia tiga tahun, Syafiah Humairah Sahari mencatat satu lagi sejarah hitam di negara ini apabila kanak-kanak semuda itu yang barangkali masih pelat percakapannya didera sehingga meninggal dunia. Allahyarham dilaporkan mengalami pendarahan otak serta mengalami kerosakan buah pinggang, akibat dihentak dan diterajang cukup-cukup oleh manusia bertopeng syaitan itu. Hasil bedah siasat mendapati arwah mengalami kecederaan teruk pada bahagian kulit kepalanya yang terkoyak akibat dipijak. Maha Suci Allah! Semoga si pelaku mendapat ganjaran setimpal dengan apa yang dilakukannya.

Manusia semakin kejam! Tidak dapat digambarkan bagaimana kanak-kanak berkenaan dipukul dan disepak terajang. Bagaimana mereka hendak mempertahankan diri sedangkan pendera adalah seorang lelaki dewasa yang 'kuat', tetapi tewas kepada rasukan syaitan. Boleh dikatakan ibu bapa kini tidak senang duduk kerana sering risau dengan pergerakan anak mereka kerana mereka sebenarnya terancam.

Lebih memburukkan keadaan, kebanyakan kes seumpama ini dilakukan mereka yang dikenali seperti rakan emak mangsa, bapa saudara atau sepupu. Nauzhubillah! Sifat marah contohnya, jika gagal dibendung dan dibiar menguasai diri pasti akan memburukkan keadaan.

Penyakit panas baran akan membawa seseorang itu ke dunia yang penuh dengan dosa. Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: "Neraka dilapisi oleh hal yang menyenangkan (hawa nafsu manusia), sedangkan syurga dilapisi hal yang tidak disukai manusia." (Hadis riwayat Bukhari) Kemarahan akan membutakan akal sehingga mendorong seseorang memukul sesiapa saja tanpa pertimbangan yang waras yang akhirnya membawa padah seperti kematian. Dr Muhammad Qutub menyatakan jahiliah abad ke-20 atau jahiliah moden adalah sifat yang mungkin berlaku dalam masyarakat lain pada zaman apa pun apabila mereka mempunyai beberapa ciri.

Antaranya tidak ada iman kepada Allah, tiada pelaksanaan hukum menurut apa yang diturunkan Allah, hadir pelbagai perkara thaghut yang mengajak manusia tidak beribadah dan tidak taat kepada perintah Allah serta sikap menjauhkan diri daripada agama Allah sehingga penyelewengan menjurus kepada nafsu manusia. Mungkin itulah yang sedang berlaku dalam masyarakat kita yang langsung tidak mengendahkan larangan serta melanggar syariat Allah s.w.t secara jelas. Dalam suasana ibu bapa yang sibuk kerjaya masing-masing membuatkan mereka kurang masa yang berkualiti untuk dihabiskan bersama anak-anak. Namun atas faktor kesempitan dan kos sara hidup tinggi membuatkan mereka tiada pilihan selain terpaksa 'berjuang' bersama suami mencari rezeki tambahan. Walau sesibuk mana sekalipun ibu atau bapa dengan kerjaya masing-masing, anak tidak sepatutnya dipinggirkan. Mungkin sekarang ramai yang menggaji dan mengupah pengasuh untuk menjaga anak mereka, tetapi anak sebenarnya lebih memerlukan perhatian daripada kedua ibu bapa mereka sendiri.

Dunia kini sudah berubah kerana jika dulu mereka berani melepaskan anak bermain di taman permainan, tetapi keadaan itu tidak boleh lagi dilakukan kerana setiap orang yang berada di sekeliling kita boleh diragui tindak-tanduknya. Satu perkara menarik untuk dikongsi bersama adalah di United Kingdom di mana penderaan kanak-kanak memang tidak kedengaran kerana mereka cukup memandang berat isu berkenaan. Contohnya, jika kanak-kanak bawah 12 tahun ditinggalkan tanpa pengawasan orang dewasa di rumah, ia satu kesalahan yang boleh didenda.

Malah, jiran juga memainkan peranan utama sekiranya mereka terdengar tangisan kanak-kanak lain daripada biasa, mereka akan segera menghubungi polis untuk menyiasat apa yang berlaku dalam rumah berkenaan. Menurut Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (Istac) dan pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid, perangai jahiliah kembali melanda masyarakat kita dalam bentuk yang lebih moden.

"Jika dulu jahiliah diukur dengan masyarakatnya yang menyembah berhala namun kini kita masyarakat dihambat dengan kehidupan penuh dengan kebendaan.

"Memang benar perilaku golongan yang sanggup membunuh, mendera serta merogol ini melambangkan sifat kemanusiaan yang semakin menipis," katanya.

Beliau berkata akibat desakan material itu manusia hidup dalam kekacauan yang akan membawa kehancuran.

"Masalah penderaan ini adalah berpunca daripada beberapa sebab antaranya masalah anak yang tidak sah taraf menyebabkan mereka hilang rasa tanggungjawab untuk menjaganya. "Kemudian, mereka mempunyai anak sendiri namun akibat tekanan dan desakan hidup, mereka menganggap anak adalah bebanan," katanya.

Mahmood Zuhdi berkata sebagai jalan penyelesaian masyarakat perlu membangunkan kembali nilai moral yang sering dilupakan.

"Masyarakat perlu mengamalkan kesederhanaan dan tidak terlalu membayangkan nilai kebendaan yang akan memisahkan mereka jauh daripada landasan yang diredai.

"Dalam dunia yang serba pantas ini tuntutan material terlalu diagungkan sehingga melupakan adat, kesopanan yang Islam anjurkan," katanya.

Institusi kekeluargaan pastinya akan kekal luhur jika agama menjadi tunjang utama dengan mengabdikan sepenuh tanggungjawab untuk memberi kebahagiaan kepada keluarga tercinta. Selain itu, pendedahan kepada kemahiran keibubapaan perlu dipertingkatkan agar masyarakat kita sentiasa terdedah dengan program khusus serta peranan sebenar mereka dalam melahirkan rakyat yang seimbang rohani serta emosinya. Islam terbukti berjaya mengatur kehidupan umatnya dengan lengkap. Jika zaman silam kita hidup dipenuhi dengan dosa dan noda, jadi kita perlu kembali semula ke pangkal jalan dengan melakukan 'penghijrahan' kepada kehidupan baru yang lebih baik. Dengan keperibadian tinggi serta jiwa yang sihat saja dapat menghadapi segala kesulitan. Keperibadian yang memiliki roh agama pasti mampu menghadapi setiap masalah yang datang menimpa.