CIUM...dakap dan beri kucupan mesra setiap kali bertemu ibu.
MARTABAT ibu begitu tinggi dan yang kedua selepas mentaati Allah berdasarkan susunan keutamaan yang ditegaskan di dalam al-Quran.
Ibu menanggung kesakitan dengan penuh sabar sejak kita berada dalam kandungannya lagi. Selepas melahirkan, ibu mengasuh dan menjaga dengan penuh kasih sayang.
KASIH IBU MEMBAWA KE SYURGA...reda Allah datang daripada reda ibu.
KENANG JASA IBU...apabila usia ibu kian lanjut dia memerlukan perhatian penuh daripada anak-anaknya.
MUHAMMAD KHUSAIRI...ibu insan pertama corakkan seseorang manusia.
Tanggungjawab ibu yang dianugerahkan Allah untuk mengandung dan melahirkan anak tidak mampu dipikul mana-mana lelaki di dunia ini.
Ibnu Umar ra menyatakan tiada apa dapat tebus jasa mereka sekalipun sekadar hembusan nafas ketika kesakitan melahirkan. Amat malang kepada mereka yang pernah melawan dan mengasari sama ada percakapan atau perbuatan terhadap ibu mereka.
Allah swt berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu memerintahkan supaya janganlah kamu sembah kecuali Dia dan berbuat baiklah kepada ibu bapa. Jika seorang di antara kedua-duanya sudah tua atau kedua-duanya sekali, janganlah kamu katakan ‘cis’ kepada merekaa dan janganlah kamu herdik kedua-duanya serta ucapkanlah perkataan yang mulia (lemah lembut).” (Surah al-Israak ayat 23).
Abu Hurairah ra meriwayatkan: Pernah Muawiyah bin Haidah al-Qusairi bertanya kepada Rasulullah saw siapakah yang wajib ditaati? Jawab Rasulullah saw: “Ibumu.” Tiga kali Nabi saw ditanya dan itulah juga jawapan yang sama diberikan. Yang terakhir barulah baginda saw menyatakan: “Ayahmu, kemudian yang terdekat dan yang daripada kerabat.” (Sahih Muslim).
Seorang anak perlu mengenang kembali detik indah mereka ketika bersama ibu dulu. Walaupun kini sudah berumah tangga dan memiliki keluarga sendiri pastikan tidak lupa memberi perhatian kepada ibu.
Ketika kecil dulu, ibu tidak pernah sekalipun menghampakan apa saja kemahuan kita. Sedih sekali jika air mata ibu bercucuran kerana bersedih atas kebiadaban dan penderhakaan anak seperti menengking, melawan, tidak bertanya khabar ibu di kampung malah lebih teruk sanggup memukul kerana berlaku perselisihan.
Menderhaka kepada ibu bapa adalah satu dosa besar dan tidak akan mencium bau syurga meskipun mereka melakukan amal ibadat lain.
Firman Allah swt yang bermaksud: “Dan Kami wasiatkan kepada manusia terhadap ibu bapanya. Ibunya mengandungkan dengan (menderita) kelemahan di atas kelemahan dan menceraikannya daripada susuan dalam dua tahun (iaitu): Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada ibu bapamu. Kepada-Ku tempat kembali.” (Surah al-Lukman ayat 14).
Hanya Allah swt mampu membalas bakti dan jasa ibu kepada anaknya. Ibu tidak pernah mengeluh atau kecewa apabila ditimpa kesusahan demi anak tersayang.
Maka ibu adalah segala-galanya. Tidak menafikan peranan ayah, namun tingkatan dan martabat ibu itu terlalu tinggi untuk dibuat perbandingan.
Pada zaman moden ini tiada perkara yang mustahil untuk menghubungi ibu di kampung. Tiada alasan untuk membiarkan ibu tanpa sebarang berita.
Sekurang-kurangnya cuba menghubunginya sekerap mungkin supaya ibu dapat mendengar suara anak kesayangan mereka. Keadaan amat berbeza ketika kita berada dalam jagaan ibu.
Dulunya, kita adik-beradik tinggal sebumbung menjadikan suasana di dalam rumah cukup riuh-rendah. Apabila masing-masing sudah berkeluarga kenangan indah itu semakin lama semakin lenyap.
Ibu sememangnya amat rindukan suasana gelak dan tawa itu. Jadi pulanglah ke rumah ibu sementara mereka masih ada dan bagi anak lelaki yang sudah berumah tangga jangan sesekali menyisihkan ibu kerana tanggungjawab mereka tidak terhenti walaupun sudah memiliki keluarga sendiri.
Pada zaman Rasulullah saw ada seorang lelaki yang datang berjumpa baginda kemudian menyampaikan hasratnya menyertai jihad.
Baginda saw menjawab bukan seperti: “Adakah kamu handal dalam menunggang kuda?”, “Adakah kamu bijak bermain pedang”, “Adakah kamu mempunyai tubuh badan yang kuat dan sihat?”
Sebaliknya baginda saw bertanya kepada lelaki berkenaan “Adakah kamu masih mempunyai ibu dan bapa?” Kemudian lelaki itu menjawab: “Saya sudah tiada bapa, tetapi masih mempunyai ibu di rumah.”
Baginda saw berkata “Adakah ibumu tidak memerlukanmu untuk menjaganya? Lelaki berkenaan menjawab: “Semestinya dia memerlukan saya.”
Baginda saw menasihatinya: “Pulanglah kamu ke pangkuan ibu kamu kerana jika kamu berbakti kepadanya, sesungguhnya pahala yang kamu akan terima adalah sama seperti pahala jihad fisabilillah”.
Ulama menyatakan, terdapat tiga jenis perintah Allah swt yang berangkai dan tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain iaitu mendirikan solat dan mengeluarkan zakat; taat kepada Allah swt, taat kepada Rasulullah saw serta bersyukur kepada Allah swt dan berterima kasih kepada ibu bapa.
Semua perintah itu mesti serangkai dan Allah swt tidak akan menerima yang satu tanpa gandingannya. Ibu mendapat martabat yang tinggi adalah kerana peranan terbesar mereka mengandungkan kita dan ia tidak mampu dipikul mana-mana lelaki.
Sambutan Hari Ibu belum cukup untuk membalas jasa mereka selama ini. Imam Bukhari meriwayatkan sebuah kisah daripada Said bin Abi Burdah ra berkenaan seorang lelaki Yaman yang bertawaf sambil mendukung ibunya dengan penuh cermat.
Sesudah tawaf, beliau bertanya Ibnu Umar ra: Apakah dengan khidmat dan pengorbananku ini dapat membalas jasa bakti ibuku? Jawab Ibnu Umar ra: Tidak, apa yang kamu lakukan tadi tidak akan dapat menebus jasa ibumu sekalipun sekadar hembusan nafas ketika kesakitan melahirkan kamu.”
Carilah peluang untuk meluangkan masa balik kampung dan berkumpul adik-beradik dengan mengadakan majlis makan bersama sebagai meraikan ibu tercinta.
Ia menjadi ibadah apabila ibu gembira melihat anak mereka berkumpul beramai-ramai. Malah Allah swt mewajibkan anak memuliakan ibu sekalipun mereka berlainan agama.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam Muslim daripada Abu Hurairah ra: Bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah saw ditanya: Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah saw? Baginda saw menjawab: Seseorang yang mendapati kedua-dua ibu bapanya atau seorang daripada mereka sudah tua, namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka).”
Mendidik anak pada zaman moden ini cukup menguji kebijaksanaan dan kesabaran ibu bapa. Ia satu tugas sungguh mencabar dan menguji kewibawaan untuk melahirkan generasi berkeperibadian mulia.
Jadi lengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan dan terima tanggungjawab terbabit dengan penuh amanah dan pengharapan. Allah swt berfirman yang bermaksud: “Wahai orang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya daripada manusia dan batu, sedang penjaganya malaikat yang kasar lagi keras, mereka tidak menderhakai Allah swt mengenai apa-apa yang disuruhnya dan mereka membuat segala yang diperintahkan kepadanya.” (Surah at-Tahrim ayat 6).
Pegawai Pengurusan Dakwah Munirah Care, Muhammad Khusairi Abdullah, berkata anak perlu menjaga lisan dan tingkah laku mereka agar ibu tidak mudah terguris perasaannya.
“Pengorbanan ibu cukup besar dan tiada tolok bandingan. Bayangkan selama sembilan bulan ibu bersusah payah membawa kandungan ke hulu ke hilir dan pastinya saat melahirkan kita itu sakitnya tidak terperi.
“Sebab itu dikira berdosa dan menderhaka jika ada anak mengucapkan ‘ah’ sekalipun kepada ibu mereka. Maka gunakan peluang yang berbaki ini untuk menggembirakan orang tua kita,” katanya.
Beliau berkata, jangan jadikan budaya menyambut Hari Ibu saja sebagai hari untuk membuktikan ingatan terhadapnya, tetapi perlu mempamerkan kasih sayang itu sepanjang hayat.
“Cara terbaik untuk kita mengingati ibu ialah dengan memujinya, mengucapkan salam dan penghargaan kepadanya, menziarahi jika mempunyai masa terluang serta mendoakan kesejahteraannya.
“Semua itu perlu dilakukan supaya rahmat Allah sentiasa mengiringi kita. Perlu diingatkan, rahmat dan reda Allah terletak rahmat dan reda ibu kita,” katanya.
Muhammad Khusairi berkata, kejayaan terbesar bagi setiap ibu bapa di dunia ini adalah kejayaan mendidik anak sehingga berjaya menjadi insan cemerlang.
“Ibu adalah insan pertama yang mencorak serta mendidik anak mereka sebelum dihantar ke sekolah. Ibu perlu mendidik anak mereka dengan didikan Islam yang menekankan berbudi pekerti dan hormat-menghormati.
“Hubungan antara manusia dengan manusia perlu dijaga dengan sebaiknya. Secara peribadi, ibu saya pada awalnya tidak dapat menerima keputusan saya memeluk Islam,” katanya.
Beliau berkata Islam membuktikan segala-galanya cukup indah dan mengajar banyak perkara kebaikan.
“Apa yang tidak saya lakukan sebelum ini, saya lakukan selepas bergelar seorang Muslim.
“Apabila pulang menziarahi ibu, saya pamerkan rasa hormat, bercakap dengan lemah-lembut dan mencium tangan serta pipinya sehinggakan ibu kata kepada saya ‘kamu adalah anak yang terbaik.’
“Saya tetap kenang jasa dan pengorbanan ibu curahkan selama ini. Islam mengajar saya segala-galanya,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment