30 March, 2011

Pembuka Pintu Berkat

GOLONGAN ASNAF...tiada yang lebih menggembirakan apabila dapat membantu golongan kurang bernasib baik.

SETIAP manusia sudah dijamin rezekinya oleh Allah swt. Ia tidak hanya dikatakan sebagai wang ringgit tetapi pengertiannya amat luas sekali merangkumi kesihatan yang baik, ketenteraman jiwa, keturunan, isteri dan anak yang baik.

Ada yang runsing dan sering mempertikaikan masalah rezeki yang dimiliki. Mereka merungut kerana sudah bertungkus-lumus mencari rezeki namun kehidupan masih tidak berubah.

BANTU KELUARGA TERDEKAT...sedekah yang dihulurkan kepada keluarga atau saudara terdekat dapat merapatkan hubungan kekeluargaan.

REZEKI...selagi mempunyai kekuatan untuk bekerja lakukan dengan tekun disamping bersyukur dengan nikmat pemberian Allah swt.

Sebagai hamba Allah swt yang beriman, anggaplah semua itu dugaan serta cabaran untuk menjadikan diri lebih kuat dan cekal berusaha.

Teruskan berusaha kerana setiap kejayaan pastinya memerlukan kerja keras tanpa berputus asa melaksanakannya.

Bersikap reda dan bertawakal supaya Allah swt memberkati segala yang kita lakukan. Sesungguhnya Allah Maha Pemberi dan Pemurah atas rezeki untuk hamba-Nya.

Semua yang berlaku atas izin-Nya. Ketika seorang hamba berprasangka buruk kepada Allah swt, maka keburukanlah yang diterima.

Jika mereka bertawakal kepada Allah swt maka Allah swt pasti mencukupkan keperluannya. Allah swt berfirman yang bermaksud:

“Barang siapa yang menyerahkan diri kepada Allah, maka Allah akan mencukupkannya (memelihara). Sesungguhnya Allah menyampaikan urusan-Nya. Sesungguhnya Allah mengadakan qadar (takdir) bagi setiap sesuatu.” (Surah at-Taalaq ayat 3).

Namun tahukah kita sikap memberi atau bersedekah mempunyai kelebihan dalam urusan pencarian harta. Malah ia membuka pintu rezeki lebih luas kepada mereka yang melakukannya.

Amalan bersedekah penyubur kebaikan serta melipat gandakan rezeki sese�orang hamba. Allah swt berfirman yang bermaksud:

“Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah, seperti sebutir benih yang tumbuh menjadi tujuh tangkai, pada tiap tangkai ada seratus biji, dan Allah melipat gandakan bagi siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (kurniaan-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Baqarah ayat 261).

Tidakkah kita merasa tertarik dengan janji Allah swt berikan itu? Tidak dinafikan, semua orang mahu hidup senang; mempunyai rumah yang luas dan selesa, berkereta mewah, memakai pakaian cantik dan bercuti ke luar negara .

Namun dalam erti kata sebenar, kehidupan kita tidak berstatus kerana ada kalanya kita berada di atas dan begitulah sebaliknya. Tujuan kita hidup bukan untuk memenuhi nafsu tetapi kita perlu melihat kekurangan dan kesengsaraan orang lain.

Jika Allah swt ‘memberi’ pinjaman kekayaan kepada kita maka gunakan kesempatan itu untuk melihat segala yang berlaku di sekeliling. Sebenarnya masih ada lagi yang memerlukan perhatian dan bantuan.

Justeru jalankan amanah kekayaan yang Allah swt kurniakan itu bagi membantu golongan memerlukan. Dalam rezeki Allah swt itu terdapat hak orang lain yang perlu dimanfaatkan.

Bersifat individualistik melambangkan seorang itu tidak berhati perut, sukar didekati dan orang ramai tidak menghormatinya. Walaupun memberi dalam kuantiti sedikit tetapi sedikit itulah keberkatannya.

Alangkah baik jika pendekatan mencari rezeki sambil menyumbang diterapkan dalam diri kita. Sabda Rasulullah saw:

“Tidaklah harta itu berkurang disebabkan oleh sedekah.” (Riwayat Muslim).

Beri setakat mana termampu dulu kerana sumbangan sekecil itu menjadi pembersih harta kita. Sedekah orang yang kurang hartanya lebih besar ganjarannya.
Rasulullah saw bersabda:

“Sedekah yang paling utama adalah menggembirakan fakir dan dikeluarkan dalam keadaan sedikit harta. (Riwayat Ahmad).

Allah swt berfirman:

“Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Surah al-Baqarah ayat 262).

Apabila bersedekah, kita mesti iringi dengan perasaan gembira dan tidak boleh menyesal. Jika tidak mampu menyumbang harta, setidak-tidaknya berusaha menyumbang tenaga dan fikiran bagi mengajak orang sekeliling melakukan kebaikan.

Rasulullah saw berbual dengan sahabat, maksudnya:

“Pada setiap Muslim tuntutan untuk bersedekah”, sahabat berkata: Bagaimana jika tidak mampu? Nabi menjawab: “Berusahalah dengan kedua tanganmu untuk hasilkan perkara bermanfaat dan bersedekahlah.

Sahabat bertanya: Bagaimana jika masih tidak mampu? Nabi menjawab: “Carilah orang yang sangat memerlukan bantuan (dan bantulah sama ada dengan tenaga atau ditunjukkan kepada yang mampu).

Sahabat bertanya: Bagaimana jika masih tidak mampu? Nabi menjawab: “Ajaklah orang lakukan perkara kebaikan dan larang mereka dari kemungkaran.

Sahabat bertanya lagi: Bagaimana jika masih tidak mampu? Nabi menjawab: “Janganlah kamu lakukan perbuatan buruk, ia juga satu sedekah (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Seelok-eloknya, galakkan diri bersedekah kepada ahli keluarga yang miskin dan memerlukan sebelum melaksanakannya kepada orang lain.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“Sedekah kepada orang miskin mendapat satu pahala, namun apabila diberi kepada yang punyai pertalian (kerabat), dua pahala iaitu satu sedekah dan satu lagi adalah merapatkan hubungan.” (Riwayat At-Tirmidzi).

Bersedekah boleh meringan�kan bebanan orang lain dan menyelamatkan kita daripada api neraka. Rasulullah saw bersabda:

“Sedekah itu menghapuskan kesalahan seperti air memadamkan api.” (Hadis Riwayat At Tirmidzi).

Justeru, beberapa perkara perlu diambil perhatian demi kesempurnaan amalan sedekah antaranya barang yang disedekahkan mestilah baik. Tidak wajar sama sekali barang yang disedekahkan itu kita sendiri tidak tergamak menggunakannya.

Allah swt melarang bersedekah dengan benda yang tidak baik kerana bersedekah adalah ibadat dan tanda mensyukuri nikmat Allah swt.

Kemudian sesuatu yang disedekahkan mesti halal.

Sunat jika bersedekah dengan benda atau barang yang disukai dan disayangi tidak kira ia banyak atau sedikit. Allah swt berfirman yang bermaksud:

“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Surah Ali-Imran ayat 92).

Jangan sesekali bersedekah kemudian mengungkit, merungut dan menyakiti hati orang yang menerima kerana perbuatan itu haram serta merosakkan amalan sedekah.
Pegawai Pengurusan Dakwah Munirah Care, Muhammad Khusairi Abdullah, berkata galakan kepada umat Islam bersedekah perlu supaya umat Islam terbela.

“Sedekah yang diberikan secara sembunyi lebih afdal. Perbuatan ini lebih dekat kepada keikhlasan kerana menjauhkan diri daripada riak hingga merosakkan amalan.

“Penumpuan perlu diberikan kepada lapan golongan asnaf yang layak menerima zakat. Mereka terdiri daripada golongan fakir, miskin, amil, muallaf, riqab (hamba yang menebus dirinya secara ansuran), al-gharimin (orang yang menanggung hutang dan tidak mampu menyelesaikannya), fisabilillah (berjuang di jalan Allah) serta ibnu sabil (musafir yang terputus bekalannya di perantauan).

“Setiap kali bersedekah pastikan niat kita ikhlas kerana Allah swt. Jika kita menderma hanya sekadar untuk mendapat pujian, nama atau pangkat ia tidak memberi sebarang makna,” katanya.

Beliau berkata, sedekah membuatkan seorang Muslim mendapat pelbagai nikmat dan kesan kehebatan sedekah itu dapat dirasai ketika berada di dunia lagi.

“Orang yang istiqamah bersedekah atau berinfak hartanya mudah menerima ilmu Allah, terhindar daripada penyakit, jiwa sentiasa tenteram dan menghapuskan sifat bakhil yang bersarang dalam diri.

“Tidak kira siapa kita sama ada kaya atau kurang hartanya mesti berusaha dan bersedia untuk bersedekah. Umpamanya jika kita mempunyai wang RM10 tidak mengapa jika bersedekah sebanyak RM1 kerana yang penting keikhlasan itu mendapat nilaian istimewa daripada Allah,” katanya.

Beliau berkata ganjaran kepada mereka yang bersedekah cukup besar kerana apa saja yang mereka infak itu pahala terus diterima secara berkekalan.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Apabila mati anak Adam maka terputuslah amalannya kecuali tiga, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya untuknya.”

“Dari hadis berkenaan membuka peluang untuk kita mendapatkan bekalan sebelum mata tutup buat selamanya. Jika kita sedekahkan al-Quran atau sejadah untuk kegunaan jemaah di masjid, selagi mana ia digunakan maka pahala tetap sampai kepada kita. Begitu juga apabila memberi makan, minum dan pakaian kepada anak yatim maka sudah tentu ganjarannya cukup besar,” katanya.

17 March, 2011

Sentiasa Mengingati Mati

MATI itu pasti menjemput manusia! Nabi Muhammad saw sendiri sering menasihatkan para sahabat supaya sentiasa mengingati mati.

Kita perlu yakin ada kehidupan kedua selepas kematian yang membuatkan kita sentiasa berusaha menyiapkan diri sebaik mungkin untuk menghadapinya.

Kematian sememangnya amat 'perkasa' sehinggakan seorang raja yang paling berkuasa sekalipun tidak terlepas daripada kematian jika tiba ketikanya.

Kematian juga bukan titik akhir bagi kehidupan tetapi ia satu perpindahan di mana bagi seorang yang banyak melakukan kebaikan ketika hayatnya kematian adalah pintu gerbang untuk memasuki hidup baru yang lebih indah.

Ramai yang melihat mati sebagai malapetaka yang merampas nikmat hidup lalu mereka memilih jalan hidup yang suka berhibur sebelum tiba saat kematian.

Ada yang mengatakan selagi masih hidup inilah masa untuk mencuba semua perkara termasuk perkara mungkar. Ada juga golongan yang Allah kurniakan memiliki usia yang panjang.

Namun pada pandangan Islam, hidup yang makmur dan berjaya adalah apabila orang itu cemerlang dalam ibadah, peribadi dan keluarga, hidup bermasyarakat, ilmu dan harta.

Itulah sebabnya orang Islam yang yang berumur panjang tetapi tidak produktif ketika hayatnya adalah sama seperti orang yang berumur pendek.

Terdapat sebuah kisah berkenaan cucu kesembilan Nabi Muhammad saw yang bernama Ai al-Hadi di mana pada satu hari, beliau melawat seorang yang sakit tenat.

Raut wajah pesakit itu jelas menunjukkan kegelisahannya. Ai al-hadi berkata kepadanya, "Sebenarnya saudara kurang jelas dengan kelebihan kematian, lalu berasa takut dengannya.

"Beritahu saya, apabila ada kotoran melekat di badan sehingga saudara berasa tidak selesa, apa tindakan saudara seterusnya? Adakah saudara akan mandi ataupun biarkan saja? Pesakit itu menjawab, "lebih baik saya mandi dan bersihkan diri."

Ali al-Hadi berkata, "ketahuilah, kematian itu seperti bilik mandi. Itu peluang terakhir kita membersihkan diri bagi menghilangkan segala kekotoran dan keburukan.

Apabila kematian menjemput saudara sekarang saudara pasti bebas daripada semua derita dan kepedihan. Saudara akan bahagia selama-lamanya selepas ini."

Selepas mendengar penjelasan Ali al-Hadi itu, pesakit berkenaan berubah menjadi ceria di mana wajahnya yang gelisah menjadi damai. Kemudian dia menutup mata dengan tenang, menyerah diri kepada kematian sambil mengharap kasih sayang Allah swt.

Justeru, selagi kita bernafas, Allah swt sentiasa membuka peluang seluas-luasnya kepada kita untuk menyucikan diri. Peluang itu wujud dalam bentuk taubat bersungguh-sungguh dengan menyesali perbuatan buruk dan berazam memperbaiki diri.

Nabi Muhammad saw mengajar kepada kita satu doa: "Ya Allah, aku memohon kepada-Mu keampunan atas dosa-dosa yang aku sedari dan dosa-dosa yang tidak ku sedari, dosa-dosa yang aku ketahui serta yang tidak ku ketahui."

Wallahu'alam

Tajuk: Indahnya Kematian
Penulis: Bisri M DJaelani
Penerbit: PTS Millenia Sdn Bhd
Cetakan: Pertama
Harga: RM17.00 (Semenanjung) RM19.00 (Sabah dan Sarawak)
Muka Surat: 212 muka surat

09 March, 2011

Kekuatan Umat Islam Teras Kestabilan

HAK EKSKLUSIF....penggunaan kalimah Allah adalah hak mutlak Islam.
SEBAGAI seorang Muslim, kita pasti mahukan Islam terus kekal terpelihara daripada ancaman yang mampu ‘menyelinap’ secara sedar atau sebaliknya.

Pluralisme agama contohnya, mempunyai kesan terhadap agama kerana fahamannya menyimpang daripada asas Islam.

ISU SENSITIF...orang ramai membanjiri pekarangan mahkamah untuk mengikuti keputusan kes Lina Joy Jailani yang mengaku murtad apabila memeluk agama Kristian Katolik.

MODAL INSAN...konsep 1Malaysia melahirkan masyarakat bersatu padu, memiliki sifat kemanusiaan, bekerjasama dalam memajukan negara.

FADHLAN...saran umat Islam mendalami al-Quran berserta terjemahannya sebagai usaha membendung serangan pemikiran pluralisme agama.

Kewujudannya adalah kesinambungan rancangan orang kafir menyesatkan umat Islam. Dalam konteks di Malaysia yang hidup berbilang agama dan bangsa, kita perlu memahami antara satu sama lain, berbincang serta berdialog dengan cara paling murni.

Itulah yang dilaksanakan sarjana Islam yang terbilang terdahulu. Prinsip Islam adalah isu yang perlu ditangani dengan ilmu bukannya bersifat fanatik atau mempunyai kepentingan politik.

Umat Islam wajib beriktikad bahawa hanya Islam diterima Allah. Ia berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mencari selain Islam sebagai agamanya, maka sama sekali tidak diterima daripadanya dan dia di akhirat nanti termasuk dalam kalangan mereka yang rugi”. (Surah Ali-’Imran, ayat 85).

Dalam konteks di Malaysia, fahaman pluralisme agama itu amat berbahaya kerana ia boleh menghakis kemurnian aqidah umat Islam dan membuka ruang kepada perbuatan syirik atau kufur.

Pluralisme agama datang secara halus serta dengan ‘imej’ Islam moden. Maka, tidak hairan ada umat Islam terpedaya dengannya tanpa menyedari ia menyesatkan.

Ia boleh membawa kacau bilau dan kesesatan jika tidak dibendung malah boleh mengakibatkan perselisihan faham yang akhirnya melemahkan umat Islam.

Dari sudut berbeza, pluralisme agama memberi kesan kepada sosio-politik umat Islam sejagat.

Tambahan pula, negara ini hidup dengan masyarakat berbilang kaum, bangsa dan agama. Apa yang pasti, kekuatan umat Islam menjadi teras utama kepada kestabilan dan keharmonian masyarakat di negara ini.

Jika ditinjau, terdapat beberapa isu yang dikaitkan dengan pluralisme agama di negara ini, antaranya isu murtad, penggunaan kalimah Allah, isu pengharaman senaman yoga serta kecenderungan pemimpin bukan Islam yang menggunakan ayat al-Quran dan hadis dalam ucapan mereka.

Walaupun masih di peringkat awal berbanding negara lain, masalah membabitkan akidah boleh menjadi barah berbahaya jika dibiarkan berleluasa.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya agama di sisi Allah, ialah Islam.” (Surah Ali-Imran ayat 19). Islam mengakui kewujudan agama lain tetapi sebagai Muslim kita perlu merasakan Islam lebih mulia.

Maksudnya, orang kafir boleh menganut agama mereka tetapi tidak sekali-kali agama mereka benar. Semua agama selain Islam tidak diterima Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Barang siapa mencari agama selain Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi” (Surah Ali-Imran ayat 85).

Konsep pluralisme agama ialah semua agama adalah sama dan ia berfungsi berdasarkan akal dan tafsiran individu dalam menentukan apa yang mereka yakini.

Perkara itu amat berbahaya kerana umat Islam bergerak dalam arus globalisasi dunia yang beranggapan semuanya perlu kepada kebebasan termasuk keyakinan beragama.

Tidak hairanlah generasi muda yang bersikap tiada asas agama dan gemar dengan konsep keterbukaan mudah terperangkap.

Konsep pluralisme yang menyatakan semua agama itu sama, bertentangan dengan akidah.

Jika keyakinan itu dipupuk, lama kelamaan ia boleh menyebabkan umat Islam secara tidak sedar mengiktiraf ajaran agama lain daripada Islam.

Islam menerima kewujudan agama lain dan hak mereka untuk berpegang dengan apa yang mereka yakin. Allah berfirman yang bermaksud: “Tiada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur)” (Surah al-Baqarah ayat 256).

Ayat berkenaan diturunkan kepada golongan Ansar yang mempunyai anak yang di yahudi dan di kristiankan. Selepas Islam datang, mereka memaksa anak mereka menganut ajaran Islam, maka Allah melarang berbuat demikian sehingga mereka sendiri membuat pilihan.

Bahkan umat Islam disaran melakukan kebaikan kepada bukan Islam dan tidak sesekali menzahirkan permusuhan kepada mereka.

Firman Allah (maksudnya): “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”. (Surah al-Mumtahanah, ayat 8-9).

Orang bukan Islam perlu diberi penerangan asas mengenai ajaran Islam yang berkaitan dengan hubungan serta interaksi antara penganut agama lain.

Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Fadhlan Mohd Othman berkata semua pihak termasuk bukan Islam perlu mengiktiraf kedudukan Islam sebagai agama rasmi dalam perlembagaan.

“Ini membuktikan Islam boleh diterima semua dan tidak perlu menerima fahaman baru dibangkitkan golongan pluralis walaupun kononnya untuk keharmonian.

“Hanya Islam agama yang diredai Allah dan tiada agama lain yang boleh mengatasinya. Bermakna, tiada agama yang lebih tinggi melainkan Islam,” katanya.

Fadhlan berkata, umat Islam perlu kembali kepada asas ajaran Islam sebenar agar mereka tidak mudah terpedaya dengan agenda bagi menyebarkan virus pemikiran yang boleh mengganggu gugat kemuliaan Islam.

“Saya menyarankan setiap orang Islam perlu memperbaiki serta mendalami al-Quran serta terjemahannya sehingga tamat sebagai usaha membendung serangan jahat itu.

“Mereka juga perlu mempelajari dan meningkatkan usaha mempelajari ilmu hadis dengan memilih sumber yang sahih terutama riwayat daripada Bukhari dan Muslim,” katanya.

Katanya, Islam menganjurkan masyarakat yang harmoni walaupun berbilang agama. Ia terbukti dengan terbentuknya piagam Madinah ketika di bawah pemerintahan Rasulullah s.a.w yang memberikan keadilan kepada semua pihak.

“Dalam mencapai tuntutan hidup, seluruh masyarakat perlu bersatu tanpa memikirkan perbezaan fahaman, kepercayaan, budaya dan keturunan.

“Hanya dalam soal akidah kita tidak boleh berkompromi dengan masyarakat bukan Islam.

“Walaupun kita mempunyai banyak perbezaan, jangan sesekali melakukan kezaliman atau penindasan kerana Allah menerima doa orang yang dizalimi tanpa hijab,” katanya.

21 February, 2011

Didik, Kasihi & Contohi Nabi saw

KITA perlu memanjatkan kesyukuran kerana menjadi umat Nabi Muhammad s.a.w. Jangan hanya berbangga nama kita Muhammad jika tidak pernah berusaha menyusuri sirah hidupnya, mengamalkan sunnah, pengorbanannya tidak pernah direnungi dan dihargai.

Setiap tahun apabila tiba Rabiulawal, umat Islam di seluruh dunia pasti mengingati tarikh kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Kelahiran Muhammad membawa rahmat kepada seluruh alam. Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai nabi, Allah mengutusmu sebagai saksi kepada umatmu, dan pembawa berita gembira kepada orang yang beriman serta pemberi amaran kepada orang yang ingkar dan juga sebagai penyeru umat manusia seluruhnya kepada agama Allah dengan taufik yang diberi-Nya dan sebagai lampu yang menerangi." (Surah al-Ahzab ayat 45-46) Muhammad umpama siraj munir (lampu yang menerangi) kerana baginda menjadi penyuluh kehidupan manusia, mengeluarkan mereka daripada kegelapan jahiliah kepada cahaya Islam.

Berbicara mengenai keindahan fizikal Nabi Muhammad, Baginda terlalu menarik dan istimewa.

Warna kulitnya digambarkan putih kemerah-merahan, wajahnya sedikit bujur sirih dengan kedudukan pipinya yang agak tinggi.

Matanya besar dan bercelak, hidung yang cantik dengan sedikit tinggi di pertengahan hidung serta tepi lubang hidung agak tirus, mulut cantik dan gigi tersusun indah dan memiliki pendengaran yang tajam.

Tapak tangan halus, besar, harum dan berkat, ketinggian sederhana, berjalan pantas, bersungguh, ke hadapan dengan langkah kecil tanpa penat, bau badan yang harum, percakapan yang fasih lancar yang ringkas, padat, penuh makna dan terang. Bersempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini kita perlu menghayati ketabahan serta kesungguhan baginda dan sahabat menegakkan syiar Islam sehingga Islam menjadi gemilang dan kita menikmati kemanisan iman. Sebagai seorang pemimpin agung baginda Rasulullah s.a.w mempunyai akal fikiran yang tajam serta semangat juang yang tinggi. Kekuatan rohaninya cukup tabah dan berani menempuh pelbagai cabaran perlu kita contohi. Kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w perlu diteladani setiap pemimpin zaman moden ini. Pemimpin bukan saja perlu memiliki hati yang bersih, tetapi akal yang cerdas dan sifat keberanian.

Dalam kesibukan Baginda menjawat pelbagai jawatan termasuk pemimpin negara, pendakwah, hakim, mufti yang memberi fatwa, ketua tentera, Nabi Muhammad s.a.w masih mampu membina keluarga yang harmoni. Bukan saja orang Muslim, malah yang bukan beragama Islam juga mengagumi kebesaran Nabi Muhammad s.a.w. Itu sebabnya ada kalangan golongan di barat memberi pujian kepada Baginda.

Baron Cara De Vaux iaitu seorang orientalis berbangsa Perancis yang juga profesor di Perguruan Tinggi Katolik Perancis antara yang memuji keperibadian Baginda.

Dalam bukunya, De Kracht van den Islam halaman 332 ada menyatakan 'Sebagai seorang filosof dan nabi, Muhammad dapat dipandang sebagai roh Ilahi, indah dan praktis, lebih tinggi daripada metafizik dalam moral." Sejarawan Inggeris, Edward Gibson menulis dalam bukunya yang bertajuk History Of The Saracen Empire, "Kejayaan hidup Muhammad yang luar biasa disebabkan oleh kekuatan akhlak semata-mata, tanpa pukulan pedang. Sementara itu, Michael H Hart dalam bukunya, 100 Tokoh yang Paling Berpengaruh Dalam Sejarah, menyatakan, "Muhammad adalah satu-satunya manusia dalam sejarah yang mencapai kejayaan luar biasa, ditilik dari ukuran agama atau ruang lingkup duniawi." Maka, sebagai umat nabi Muhammad kita patut berbangga dan menyatakan kecintaan yang cukup tinggi kepada Baginda. Kecintaan itu tidak hanya untuk orang yang beriman saja, tetapi kepada seluruh manusia.

Cinta kepada Rasulullah s.a.w memiliki kesan kepada agama, jiwa, masyarakat dan akhirat. Allah berfirman yang bermaksud: "Cinta kepada Rasulullah s.a.w harus lebih tinggi daripada cinta terhadap diri sendiri, kerana Allah menegaskan, "Nabi itu lebih utama bagi orang-orang Mukmin dan ukuran diri mereka sendiri." (Surah al-Ahzab, ayat 6) Justeru, mencintai Nabi bukan hanya manis di bibir, tetapi perlu dilaksanakan dengan tindakan bagi membuktikan kecintaan itu.

Sebagai umatnya, kita perlu sentiasa berfikir dalil kenabiannya, merasai betapa kasihnya nabi kepada umatnya, mempelajari al-Quran dan hadis yang menunjukkan hebatnya kedudukan nabi di sisi Allah, sentiasa berselawat setiap kali nama baginda disebut, selepas azan, hari Jumaat dan setiap waktu kerana besarnya pahala yang dijanjikan.

Pada peringkat keluarga dan masyarakat kita perlu mendidik anak mengasihi dan mencontohi nabi, menyimpan bahan pembelajaran berkaitan sirah nabi, mencontohi nabi ketika berkomunikasi dan berinteraksi dengan keluarga, menggalakkan anak menghafaz zikir dan doa yang datang daripada nabi serta mengamalkannya, galakkan anak membuat tabungan untuk digunakan sebagai sedekah, mengambil berat perihal anak yatim serta membantu insan yang memerlukan.

Maka, sambutan yang diraikan perlu selari dengan apa yang kita diucapkan. Bacalah selawat "Ya Allah, kurniakanlah kepujian ke atas Nabi Muhammad, ahli keluarga dan sekalian sahabat-sahabat baginda."

27 January, 2011

Pinjam Nyawa Untuk Beramal Ibadat

BERIBADAH...gunakan baki usia yang diberikan untuk mempertingkatkan amal ibadah.

MENITI USIA...kehidupan yang diberkati tidak dinilai daripada panjang atau singkat usia seseorang tetapi berdasarkan amalan kebajikan yang mereka lakukan demi agama.

INGATLAH usia umat akhir zaman terlalu singkat iaitu sekitar 60 hingga 70 tahun saja. Jika ada yang mampu hidup lebih daripada itu maka ia dikira sebagai bonus namun jumlahnya tidak ramai.

Nabi Muhammad saw bersabda yang bermaksud: "Umur umatku antara 60 hingga 70 tahun, sedikit yang melampaui itu." (Hadis Riwayat Tirmizi).


Nabi Muhammad saw sendiri wafat ketika usia baginda 63 tahun.

Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi berkata: "Manusia tidak boleh dinilai daripada banyak bilangannya atau besar ukuran tubuhnya. Maka begitu jugalah umur manusia, tidak seharusnya dipandang daripada panjangnya (hidup) kerana kadang-kadang manusia diberi umur panjang tetapi tidak ada berkatnya. Manakala ada orang yang singkat usianya tetapi dapat berbuat banyak, melakukan pelbagai kebajikan, dan malah melakukan amal yang terbaik."

Jadi gunakan sebaiknya peluang 'pinjaman' nyawa yang Allah berikan dengan bertaubat daripada kesalahan yang dilakukan hampir setiap hari. Bagaimana sekiranya nyawa dicabut ketika kita sedang melakukan dosa dan maksiat? Nauzubillah.

Sahabat Nabi saw adalah orang yang bijak memanfaatkan umur. Mereka dididik oleh Nabi Muhammad saw supaya merancang kehidupan mereka.

Setiap Muslim perlu menggunakan kesempatan yang diberikan secara bijaksana.
Perkara paling penting adalah memberi tumpuan kepada aspek ibadah dan menjauhkan diri daripada perbuatan yang menjejaskan kualiti amalan kita.

Allah swt berfirman yang bermaksud: "Dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna." (Surah al-Mukminun ayat 3).

Berdasarkan ayat di atas setiap Mukmin yang mendapat kemenangan adalah mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya, tidak bercakap perkara yang tidak berfaedah, mengeluarkan zakat hartanya, memelihara kehormatannya, amanah, menepati janji, menjaga waktu sembahyangnya.

Rasulullah saw dan sahabat seperti Saidina Abu Bakar ra dan Umar ra hidup selama 63 tahun saja tetapi mereka gunakan sepenuhnya demi memajukan serta memartabatkan Islam.

Nabi Muhammad saw sendiri memanfaatkan 23 tahun kerasulannya untuk menyebarkan Islam. Saidina Abu Bakar ra, memegang tampuk kepemimpinan kurang tiga tahun namun berjaya memerangi pendusta, mengembalikan orang yang murtad kepada Islam, bahkan berjaya menakluk kerajaan Rom dan Parsi.

Mereka hanya diberi kesempatan menikmati umur yang tidak panjang berbanding umat terdahulu tetapi dapat memberi sumbangan cukup besar hingga nama mereka kekal abadi ke hari ini.

Ganjaran pahala yang mereka perolehi akan terus sampai meskipun mereka tiada lagi di dunia ini. Nabi Nuh as contohnya mampu hidup sehingga lebih kurang 1,000 tahun dan menjalankan kerja dakwah selama hampir 950 tahun namun hanya beberapa orang saja daripada umatnya yang menerima ajarannya.

Allah menjadikan hidup dan mati bagi menguji siapa yang baik amalannya. Jadi manusia perlu berlumba-lumba melakukan amal kebajikan.

Amal kebajikan yang di maksudkan pula tidak terhad kepada amal ibadat seperti sembahyang tetapi termasuk juga memberi nafkah dengan mencari sumber halal, membangunkan masjid, rumah kebajikan malah perkara sekecil membuang duri di jalanan juga termasuk dalam amalan yang baik.

Ukuran usia yang diberkati dan memberi manfaat itu bukan terletak kepada berapa lama seseorang itu mampu hidup tetapi dinilai daripada amalan kebajikan yang tidak putus-putus dilakukan mereka.

Sahabat yang menjadi Khalifah agung seperti Abu Bakar ra, Umar ra dan Ali ra hidup sehingga umur 63 tahun saja. Manakala Anas bin Malik ra dikurniakan usia hingga mencapai 103 tahun.

Namun mereka menggunakan usia yang diberikan itu dengan penuh kebaikan. Tidak ada gunanya juga seseorang yang panjang umurnya namun menjadi bebanan kepada orang lain.

Keberkatan usia itu pastinya membawa serta mengajak kepada perkara bermanfaat. Hamba yang diberkati umurnya akan terasa usia yang dianugerahkan kepadanya tidak mencukupi dan begitu singkat untuk beribadah kepada Allah swt.

Keinginan umur panjang yang didasari cintanya kepada dunia tidak akan membawa manfaat. Allah memberi peringatan terhadap manusia yang menginginkan umur panjang namun cintanya hanya pada kehidupan dunia.

Allah swt berfirman yang bermaksud: "Dan sesungguhnya engkau dapati mereka orang paling kuat berkehendak untuk hidup (di dunia), sehingga lebih daripada orang-orang musyrik, salah seorang mereka mengkehendaki supaya hidup seribu tahun lamanya; sedangkan dia tidak jauh daripada azab, meskipun panjang usianya; dan Allah Maha Melihat apa-apa yang mereka kerjakan." (Surah al-Baqarah ayat 96).

Cukup mendukacitakan apabila seorang itu menginginkan umur panjang tetapi umur itu digunakan untuk tujuan maksiat kepada Allah.

Perunding motivasi Human Touch Consultant, Datuk Mohd Zawawi Yusoh, berkata umur seseorang itu sama ada panjang atau singkat adalah dalam rahsia Allah swt.

"Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik manusia, yang panjang usianya dan baik amalnya. Bermakna, ada orang yang singkat umurnya tetapi dari segi kualiti amalannya cukup baik.

"Begitu juga Allah swt kurniakan orang yang panjang umurnya tetapi sepanjang usianya dia bergelumang dengan maksiat dan sudah pasti umur itu tidak diberkati," katanya.

Beliau berkata setiap Muslim perlu sematkan dalam diri tujuan utama mereka hidup di dunia adalah semata-mata untuk beribadat dan terus meningkatkan amalan kepada Allah swt.

"Kesempatan hidup di muka bumi ini hanya bersifat sementara. Cukup bererti sekali jika meninggalkan dunia ini nanti nama kita akan sentiasa dikenang dan diingati atas sumbangan dan pengorbanan yang dilakukan demi agama.

"Bagi mendapatkan keberkatan umur panjang, seseorang itu perlu menjaga kualiti ibadatnya, menjaga hubungan silaturahim sesama manusia dan banyakkan bersedekah jariah dan meninggalkan khazanah ilmu dan anak yang soleh" katanya.

Mohd Zawawi berkata bagi melengkapkan sisa kehidupan seseorang itu perlu mengatur dengan baik kehidupan seharian mereka berdasarkan fitrah kejadian manusia.

"Setiap hari yang dilalui perlu diimbangi dan dibahagi sebaiknya. Masa perlu diperuntukkan untuk melaksanakan ibadat, bersama keluarga, berehat dan berlibur mengikut aturan yang ditetapkan.

"Allah swt memperuntukkan waktu siang untuk kita keluar mencari rezeki manakala malamnya adalah waktu untuk beribadat kepada Allah swt," katanya.

Beliau berkata kesempatan hidup perlu dimanfaatkan dengan amalan yang membawa kebaikan dan kemuliaan.

"Melaksanakan solat tahajud juga adalah rahsia kejayaan bagi seorang Muslim. Solat tahajud yang dilakukan secara rutin dan khusyuk dapat menghapuskan dosa silam.

"Tidur juga perlu diberi perhatian. Tidur yang berkualiti dalam sehari lebih kurang empat jam saja dan jika tidur secara berlebihan ia akan mendatangkan pelbagai penyakit," katanya.