15 December, 2009

HSBB Percubaan

Kira-kira 122 kediaman di Bangsar, Taman Tun Dr. Ismail, Subang Jaya dan Shah Alam kini terlibat di dalam percubaan perkhidmatan runcit HSBB, yang merupakan sebahagian daripada rancangan progresif Syarikat kita untuk menawarkan perkhidmatan komersial jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) di empat kawasan ini sebelum akhir suku pertama 2010.
Percubaan perkhidmatan ini akan memberi peluang kepada TM untuk menguji sistem, proses, metodologi pemasangan gentian dan sebagainya dengan perancangan untuk menawarkan pengalaman perkhidmatan pelanggan yang dipertingkatan apabila perkhidmatan komersial ditawarkan pada akhir suku tahun pertama 2010. Para penguji beta tersebut sedang mengalami dan menikmati akses rangkaian berkelajuan 15Mbps yang disertakan dengan perkhidmatan tiga serangkai (‘triple play’) merangkumi Suara, Video dan Data yang berkaitan yang bakal digabungkan bagi melengkapi pakej runcit komersial HSBB yang akan diumumkan oleh TM tidak lama sebelum tarikh pelancarannya nanti. Baru-baru ini, TM juga telah selesai menjalankan dua kajian pengguna untuk menentukan komposisi dan harga pakej runcit HSBB yang terbaik yang akan merangkumi perkhidmatan asas dan tambah nilai.
Menurut Dato’ Zam Isa, “Saya ingin memberi jaminan kepada kesemua pelanggan awal yang berminat bahawa pakej runcit HSBB yang akan diperkenalkan tidak lama lagi adalah menarik dari segi nilai dan pada harga yang berpatutan. Ini kerana kami ingin menggalakkan seramai mungkin pelanggan awal di keempat-empat kawasan tersebut untuk melanggani perkhidmatan ini. Kami berharap pengalaman positif mereka akan menjadi pengesahan kepada seluruh negara apabila HSBB ditawarkan di kawasan mereka kelak.”
HSBB menjanjikan kelajuan akses rangkaian (kelajuan port) yang lebih pantas dari kelajuan terpantas Jalur Lebar untuk Masyarakat Umum (BBGP) yang kini ditawarkan pada kelajuan sehingga 4Mbps oleh perkhidmatan sedia ada TM, Streamyx. HSBB juga mensasarkan prestasi rangkaian yang menyeluruh dan unggul, termasuk lebar jalur antarabangsa – berdasarkan pelaburan TM dalam pelbagai sambungan dasar laut, termasuk rangkaian kabel Asia-America Gateway (AAG), yang baru diaktifkan pada 10 November 2009.
“Memandangkan bahawa pemasangan infrastuktur gentian sambungan akhir di Malaysia masih baru diperkenalkan dan keadaan sensitif semasa pemasangan gentian ke rumah (Fiber-to-the-Home – FTTH) yang memerlukan darjah ketepatan yang tinggi, masa pemasangan di premis dianggarkan memakan masa dari 6 hingga 8 jam kerana ia melibatkan kajian tapak, penggerudian, kerja-kerja jerejak, pemasangan paip, kerja-kerja elektrik dan akhirnya konfigurasi peralatan. Ini pengalaman biasa yang dilalui oleh semua syarikat telekomunikasi di seluruh dunia yang terlibat dalam perlaksanaan FTTH,” jelas Dato’ Zam.
Sehingga kini, TM telah memasang infrastruktur persediaaan HSBB untuk 143,000 premis dengan sasaran melengkapkan sejumlah 150,000 premis sebelum akhir 2009. Sebelum akhir 2009, TM juga menjangka akan melengkapkan kerja-kerja naik-taraf fizikal sepenuhnya di empat ibu sawat utama di Taman Tun Dr Ismail, Subang Jaya, Shah Alam dan Bangsar. Kerja-kerja akses gentian fizikal kini sedang berlangsung di 44 daripada 95 ibu sawat di seluruh negara yang dirancang untuk diliputi oleh perlaksanaan perkhidmatan awal HSBB.
Sehingga akhir 2012 – berdasarkan kelengkapan fasa pertama projek nasional HSBB yang dipersetujui dengan Kerajaan – kira-kira 1.3 juta premis di seluruh negara akan mendapat akses ke perkhidmatan HSBB. Kawasan-kawasan tersebut yang dipilih sebagai Zon 1, yang akan diberi perkhidmatan tersebut termasuklah Lembah Klang, Iskandar Malaysia dan kawasan industri yang penting di seluruh negara.
Sehingga kini, perbelanjaan modal TM dari suku keempat 2008 sehingga 30 Oktober 2009 adalah RM1.4 bilion, merangkumi akses sambungan akhir, perlaksanaan IP teras dan penambahan kapasiti rangkaian antarabangsa. TM telah menerima pembayaran balik kerajaan untuk kerja-kerja ini, yang selari dengan komitmen yang dinyatakan di bawah perjanjian PPP.

No comments:

Post a Comment