09 March, 2011

Kekuatan Umat Islam Teras Kestabilan

HAK EKSKLUSIF....penggunaan kalimah Allah adalah hak mutlak Islam.
SEBAGAI seorang Muslim, kita pasti mahukan Islam terus kekal terpelihara daripada ancaman yang mampu ‘menyelinap’ secara sedar atau sebaliknya.

Pluralisme agama contohnya, mempunyai kesan terhadap agama kerana fahamannya menyimpang daripada asas Islam.

ISU SENSITIF...orang ramai membanjiri pekarangan mahkamah untuk mengikuti keputusan kes Lina Joy Jailani yang mengaku murtad apabila memeluk agama Kristian Katolik.

MODAL INSAN...konsep 1Malaysia melahirkan masyarakat bersatu padu, memiliki sifat kemanusiaan, bekerjasama dalam memajukan negara.

FADHLAN...saran umat Islam mendalami al-Quran berserta terjemahannya sebagai usaha membendung serangan pemikiran pluralisme agama.

Kewujudannya adalah kesinambungan rancangan orang kafir menyesatkan umat Islam. Dalam konteks di Malaysia yang hidup berbilang agama dan bangsa, kita perlu memahami antara satu sama lain, berbincang serta berdialog dengan cara paling murni.

Itulah yang dilaksanakan sarjana Islam yang terbilang terdahulu. Prinsip Islam adalah isu yang perlu ditangani dengan ilmu bukannya bersifat fanatik atau mempunyai kepentingan politik.

Umat Islam wajib beriktikad bahawa hanya Islam diterima Allah. Ia berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mencari selain Islam sebagai agamanya, maka sama sekali tidak diterima daripadanya dan dia di akhirat nanti termasuk dalam kalangan mereka yang rugi”. (Surah Ali-’Imran, ayat 85).

Dalam konteks di Malaysia, fahaman pluralisme agama itu amat berbahaya kerana ia boleh menghakis kemurnian aqidah umat Islam dan membuka ruang kepada perbuatan syirik atau kufur.

Pluralisme agama datang secara halus serta dengan ‘imej’ Islam moden. Maka, tidak hairan ada umat Islam terpedaya dengannya tanpa menyedari ia menyesatkan.

Ia boleh membawa kacau bilau dan kesesatan jika tidak dibendung malah boleh mengakibatkan perselisihan faham yang akhirnya melemahkan umat Islam.

Dari sudut berbeza, pluralisme agama memberi kesan kepada sosio-politik umat Islam sejagat.

Tambahan pula, negara ini hidup dengan masyarakat berbilang kaum, bangsa dan agama. Apa yang pasti, kekuatan umat Islam menjadi teras utama kepada kestabilan dan keharmonian masyarakat di negara ini.

Jika ditinjau, terdapat beberapa isu yang dikaitkan dengan pluralisme agama di negara ini, antaranya isu murtad, penggunaan kalimah Allah, isu pengharaman senaman yoga serta kecenderungan pemimpin bukan Islam yang menggunakan ayat al-Quran dan hadis dalam ucapan mereka.

Walaupun masih di peringkat awal berbanding negara lain, masalah membabitkan akidah boleh menjadi barah berbahaya jika dibiarkan berleluasa.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya agama di sisi Allah, ialah Islam.” (Surah Ali-Imran ayat 19). Islam mengakui kewujudan agama lain tetapi sebagai Muslim kita perlu merasakan Islam lebih mulia.

Maksudnya, orang kafir boleh menganut agama mereka tetapi tidak sekali-kali agama mereka benar. Semua agama selain Islam tidak diterima Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Barang siapa mencari agama selain Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi” (Surah Ali-Imran ayat 85).

Konsep pluralisme agama ialah semua agama adalah sama dan ia berfungsi berdasarkan akal dan tafsiran individu dalam menentukan apa yang mereka yakini.

Perkara itu amat berbahaya kerana umat Islam bergerak dalam arus globalisasi dunia yang beranggapan semuanya perlu kepada kebebasan termasuk keyakinan beragama.

Tidak hairanlah generasi muda yang bersikap tiada asas agama dan gemar dengan konsep keterbukaan mudah terperangkap.

Konsep pluralisme yang menyatakan semua agama itu sama, bertentangan dengan akidah.

Jika keyakinan itu dipupuk, lama kelamaan ia boleh menyebabkan umat Islam secara tidak sedar mengiktiraf ajaran agama lain daripada Islam.

Islam menerima kewujudan agama lain dan hak mereka untuk berpegang dengan apa yang mereka yakin. Allah berfirman yang bermaksud: “Tiada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur)” (Surah al-Baqarah ayat 256).

Ayat berkenaan diturunkan kepada golongan Ansar yang mempunyai anak yang di yahudi dan di kristiankan. Selepas Islam datang, mereka memaksa anak mereka menganut ajaran Islam, maka Allah melarang berbuat demikian sehingga mereka sendiri membuat pilihan.

Bahkan umat Islam disaran melakukan kebaikan kepada bukan Islam dan tidak sesekali menzahirkan permusuhan kepada mereka.

Firman Allah (maksudnya): “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”. (Surah al-Mumtahanah, ayat 8-9).

Orang bukan Islam perlu diberi penerangan asas mengenai ajaran Islam yang berkaitan dengan hubungan serta interaksi antara penganut agama lain.

Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Fadhlan Mohd Othman berkata semua pihak termasuk bukan Islam perlu mengiktiraf kedudukan Islam sebagai agama rasmi dalam perlembagaan.

“Ini membuktikan Islam boleh diterima semua dan tidak perlu menerima fahaman baru dibangkitkan golongan pluralis walaupun kononnya untuk keharmonian.

“Hanya Islam agama yang diredai Allah dan tiada agama lain yang boleh mengatasinya. Bermakna, tiada agama yang lebih tinggi melainkan Islam,” katanya.

Fadhlan berkata, umat Islam perlu kembali kepada asas ajaran Islam sebenar agar mereka tidak mudah terpedaya dengan agenda bagi menyebarkan virus pemikiran yang boleh mengganggu gugat kemuliaan Islam.

“Saya menyarankan setiap orang Islam perlu memperbaiki serta mendalami al-Quran serta terjemahannya sehingga tamat sebagai usaha membendung serangan jahat itu.

“Mereka juga perlu mempelajari dan meningkatkan usaha mempelajari ilmu hadis dengan memilih sumber yang sahih terutama riwayat daripada Bukhari dan Muslim,” katanya.

Katanya, Islam menganjurkan masyarakat yang harmoni walaupun berbilang agama. Ia terbukti dengan terbentuknya piagam Madinah ketika di bawah pemerintahan Rasulullah s.a.w yang memberikan keadilan kepada semua pihak.

“Dalam mencapai tuntutan hidup, seluruh masyarakat perlu bersatu tanpa memikirkan perbezaan fahaman, kepercayaan, budaya dan keturunan.

“Hanya dalam soal akidah kita tidak boleh berkompromi dengan masyarakat bukan Islam.

“Walaupun kita mempunyai banyak perbezaan, jangan sesekali melakukan kezaliman atau penindasan kerana Allah menerima doa orang yang dizalimi tanpa hijab,” katanya.

No comments:

Post a Comment