17 March, 2011

Sentiasa Mengingati Mati

MATI itu pasti menjemput manusia! Nabi Muhammad saw sendiri sering menasihatkan para sahabat supaya sentiasa mengingati mati.

Kita perlu yakin ada kehidupan kedua selepas kematian yang membuatkan kita sentiasa berusaha menyiapkan diri sebaik mungkin untuk menghadapinya.

Kematian sememangnya amat 'perkasa' sehinggakan seorang raja yang paling berkuasa sekalipun tidak terlepas daripada kematian jika tiba ketikanya.

Kematian juga bukan titik akhir bagi kehidupan tetapi ia satu perpindahan di mana bagi seorang yang banyak melakukan kebaikan ketika hayatnya kematian adalah pintu gerbang untuk memasuki hidup baru yang lebih indah.

Ramai yang melihat mati sebagai malapetaka yang merampas nikmat hidup lalu mereka memilih jalan hidup yang suka berhibur sebelum tiba saat kematian.

Ada yang mengatakan selagi masih hidup inilah masa untuk mencuba semua perkara termasuk perkara mungkar. Ada juga golongan yang Allah kurniakan memiliki usia yang panjang.

Namun pada pandangan Islam, hidup yang makmur dan berjaya adalah apabila orang itu cemerlang dalam ibadah, peribadi dan keluarga, hidup bermasyarakat, ilmu dan harta.

Itulah sebabnya orang Islam yang yang berumur panjang tetapi tidak produktif ketika hayatnya adalah sama seperti orang yang berumur pendek.

Terdapat sebuah kisah berkenaan cucu kesembilan Nabi Muhammad saw yang bernama Ai al-Hadi di mana pada satu hari, beliau melawat seorang yang sakit tenat.

Raut wajah pesakit itu jelas menunjukkan kegelisahannya. Ai al-hadi berkata kepadanya, "Sebenarnya saudara kurang jelas dengan kelebihan kematian, lalu berasa takut dengannya.

"Beritahu saya, apabila ada kotoran melekat di badan sehingga saudara berasa tidak selesa, apa tindakan saudara seterusnya? Adakah saudara akan mandi ataupun biarkan saja? Pesakit itu menjawab, "lebih baik saya mandi dan bersihkan diri."

Ali al-Hadi berkata, "ketahuilah, kematian itu seperti bilik mandi. Itu peluang terakhir kita membersihkan diri bagi menghilangkan segala kekotoran dan keburukan.

Apabila kematian menjemput saudara sekarang saudara pasti bebas daripada semua derita dan kepedihan. Saudara akan bahagia selama-lamanya selepas ini."

Selepas mendengar penjelasan Ali al-Hadi itu, pesakit berkenaan berubah menjadi ceria di mana wajahnya yang gelisah menjadi damai. Kemudian dia menutup mata dengan tenang, menyerah diri kepada kematian sambil mengharap kasih sayang Allah swt.

Justeru, selagi kita bernafas, Allah swt sentiasa membuka peluang seluas-luasnya kepada kita untuk menyucikan diri. Peluang itu wujud dalam bentuk taubat bersungguh-sungguh dengan menyesali perbuatan buruk dan berazam memperbaiki diri.

Nabi Muhammad saw mengajar kepada kita satu doa: "Ya Allah, aku memohon kepada-Mu keampunan atas dosa-dosa yang aku sedari dan dosa-dosa yang tidak ku sedari, dosa-dosa yang aku ketahui serta yang tidak ku ketahui."

Wallahu'alam

Tajuk: Indahnya Kematian
Penulis: Bisri M DJaelani
Penerbit: PTS Millenia Sdn Bhd
Cetakan: Pertama
Harga: RM17.00 (Semenanjung) RM19.00 (Sabah dan Sarawak)
Muka Surat: 212 muka surat

No comments:

Post a Comment