ISLAM memandu umatnya untuk hidup di dunia ini dengan syariat yang serba lengkap meliputi keseluruhan aspek penghidupan termasuk dalam usaha mencari sumber rezeki.
Kita sebagai mukmin diminta sentiasa mengekalkan tahap usaha yang gigih dan cekal dalam mengusahakan sesuatu.
Panjatkan doa kepada Allah swt supaya dipermudahkan usaha pencarian sumber hidup.
Namun, jangan kita meremehkan pendekatan paling berkesan dan menjadi amalan umat Islam terdahulu untuk melancarkan kurniaan nikmat Allah swt kepada kita, iaitu mengamalkan solat Dhuha.
Solat Dhuha boleh menjadi senjata paling ampuh yang disediakan Allah swt buat setiap hamba-Nya menjemput rezeki.
Sebenarnya solat Dhuha adalah petunjuk yang ditinggalkan Rasulullah saw kepada umatnya.
Dikatakan baginda saw selalu melakukan solat Dhuha ketika berada di rumah mahu pun ketika dalam perjalanan. Malah, solat Dhuha boleh dilakukan di mana saja dan tidak tertakluk di masjid semata-mata.
Solat Dhuha boleh dilaksanakan dalam jumlah antara dua hingga dua belas rakaat.
Ini yang ditunjukkan Rasulullah saw dalam satu pernyataan baginda yang katanya, “ Allah swt yang Maha Mulia lagi Maha Agung menyatakan “ Wahai anak Adam. Cukuplah Aku dengan melakukan empat rakaat solat Dhuha pada pagi hari, maka Aku pasti mencukupi keperluan mu pada akhir hayatmu. ” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Ya’la) ”
Walaupun tujuan solat Dhuha didirikan adalah untuk memohon kurniaan rezeki, tetapi kita perlu bersihkan diri daripada segala daki dosa dengan bertaubat.
Bersabdaa Rasulullah saw yang bermaksud: “Solat Dhuha itu mendatangkan rezeki dan menjauhkan kemiskinan dan tidak ada orang yang memelihara solat kecuali orang yang bertaubat.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Jadi antara solat Dhuha dan taubat seseorang hamba saling berkait rapat. Lantaran itu barulah solat Dhuha boleh menjadi ‘magnet’ yang menarik rezeki kurniaan Allah swt kepada kita.
Sumber rezeki yang dilimpahi Allah swt apabila kita mendirikan solat Dhuha itu bukanlah semata-mata dalam bentuk material sebagaimana anggapan sesetengah golongan.
Rezeki kurniaan Allah swt luas ruang lingkupnya. Mungkin kita dikurniakan nikmat dalam bentuk kedamaian hidup walaupun berpendapatan kecil dan sederhana saja.
Mungkin dengan isteri yang cantik lagi solehah bersama-sama kurniaan anak yang sihat sejahtera juga adalah bentuk rezeki yang Allah swt berikan kepada kita.
Dalam satu lagi hadis Nabi saw bersabda, “Sesiapa yang mengerjakan solat Dhuha dua rakaat, dia tidak dicatat dalam kelompok orang yang lupa. Sesiapa yang mengerjakan solat Dhuha empat rakaat, dia dicatat sebagai orang yang kuat beribadah. Sesiapa yang mengerjakan solat Dhuha enam rakaat pada hari itu segala keperluannya dicukupi Allah swt. Sesiapa yang mengerjakan solat Dhuha lapan rakaat, Allah swt memasukkannya ke dalam golongan yang tunduk serta menghabiskan seluruh waktunya bagi beribadat. Sesiapa yang mengerjakan solat Dhuha dua belas rakaat, Allah swt membangunkan baginya sebuah istana indah dalam syurga. Tidak ada dalam sehari semalam kecuali Allah swt pasti memberikan anugerah serta sedekah kepada hamba-Nya.” (Hadis riwayat at-Tabrani dan Abu Daud)
Terbukti bahawa rezeki adalah satu kurniaan Allah melalui mekanisme solat Dhuha.
Ini kerana pengamalnya diberikan pelbagai dimensi rezeki dalam spektrum yang lebih membahagiakan seperti ganjaran pahala di sisi Allah swt di akhirat kelak selain Allah menjadikan kita sebagai insan soleh.
Rasulullah saw ada menerangkan kepada kita bahawa orang yang selalu mengamalkan solat Dhuha selain dimurahkan rezeki dan dilancarkan segala urusan dia juga mendapat layanan cukup istimewa ketika di akhirat nanti.
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Dalam syurga, terdapat pintu yang bernama Ad-Dhuha. Apabila hari kiamat tiba, ada seseorang menyeru, “Mana orang yang mendirikan solat Dhuha? Inilah pintu kamu. Masuklah ke dalam syurga dengan iringan rahmat Allah.” (Hadis riwayat at-Tabrani)
Sampai begitu sekali Allah swt layan hamba-Nya yang beramal dengan solat Dhuha ketika hidupnya di dunia ini. Kita mesti sedar bahawa permohonan supaya dipermudahkan rezeki Allahswt itu hendaklah disusuli dengan tindakan dan usaha kerja keras.
Solat Dhuha saja kemudian berdoa kepada Allah swt semata-mata, tidak mengubah apa-apa kepada rezeki. Ini kerana Allah swt hanya mengubah nasib seseorang apabila mereka berusaha mengubahnya terlebih dulu.
Hal ini seharusnya diamalkan secara maksimum dan usaha yang termampu. Melalui kombinasi solat Dhuha, sentiasa berdoa dan berusaha gigih, lambat-laun, Allah swt pasti mencurahkan rezeki yang melimpah ruah kepada kita.
Justeru, bekerjalah kita dengan sekuatnya untuk mencari sumber rezeki yang halal lagi diberkati di samping bertawakal dan seimbangkan dengan amalan solat Dhuha.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment