KIBLAT UMAT ISLAM...kaabah dibina oleh Nabi Adam as dengan bantuan malaikat dan umat Islam mempercayai Kaabah berada betul-betul di bawah singgahsana Allah swt.
Bulan Rejab mencatat dua peristiwa sedih dalam sejarah perjalanan hidup Rasulullah saw (juga dikenali sebagai ‘Aam al Huzni).
Dua peristiwa sedih itu ialah kematian isteri kesayangan, Siti Khadijah ra dan bapa saudaranya, Abu Talib.
Khadijah ra banyak berkorban harta benda dan wang ringgit bagi membantu berdakwah mengembangkan syiar Islam. Selepas Siti Khadijah ra meninggal dunia disusuli pula kematian Abu Talib yang begitu rapat dengan Baginda saw.
Abu Talib adalah orang yang sangat dihormati dan disegani di kalangan bangsa Arab menyebabkan orang kafir Quraisy tidak berani mengganggu Rasulullah saw.
Pemergian dua insan yang disayangi itu amat dirasakan Baginda saw. Selepas itu, pergerakan dakwah baginda saw di kota Makkah sering mendapat gangguan daripada orang kafir Quraisy.
Baginda saw mendapat tentangan, ejekan serta mendapat ancaman. Rasulullah saw akhirnya memutuskan untuk berhijrah ke Taif, tetapi malangnya di Taif juga Rasulullah saw turut menerima ejekan dan cacian daripada penduduk di sana.
Maka Rasulullah saw kembali semula ke Makkah. Penderitaan ditanggung Rasulullah saw ketika itu cukup berat dan melihatkan keadaan Baginda saw itu, Allah swt memerintahkan Jibril as membawanya menjalani peristiwa Israk Mikraj.
Peristiwa menakjubkan itu berlaku pada malam 27 Rejab tahun ke-11 kerasulan Baginda saw. Ia memberi hikmah dan pelajaran kepada Baginda saw, sekali gus menjadi cerminan buat umatnya pada masa akan datang.
Sememangnya peristiwa Israk dan Mikraj amat sukar dimengertikan. Namun ia membuktikan keagungan dan kekuasaan Allah swt yang menguasai seluruh alam ini termasuk langit dan bumi.
Hikmah yang terkandung di dalamnya perlu direnungi dengan teliti agar dapat memberi nilai tambah dalam kehidupan umat Islam untuk meningkatkan ketakwaan dan peningkatan ibadah kepada Allah swt.
Peristiwa itu dicatatkan di dalam al-Quran Surah Al-Isra’ ayat 1 yang bermaksud: “Maha Suci Allah yang menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Menurut ulama, Israk dan Mikraj Nabi Muhammad saw itu adalah pergerakan roh dan jasadnya sekali. Ia bukannya satu mimpi, tetapi realiti di mana perkara berkenaan termasuk salah satu daripada mukjizat yang Allah swt kurniakan kepada Baginda saw.
Justeru, tidak mustahil bagi Allah swt untuk ‘membenarkan’ tubuh badan Rasulullah saw ‘menembusi’ tempat yang terlalu jauh di langit dengan melainkan dengan kehendak-Nya.
Israk bermakna perjalanan Nabi Muhammad saw pada suatu malam dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin dalam tempoh semalaman saja.
Jelas dengan kekuasaan Allah swt, Dia berkuasa ‘membenarkan’ Baginda saw diangkat ke langit untuk bertemu-Nya dalam masa yang teramat singkat.
Sebelum itu, dada Rasulullah saw dibedah oleh malaikat Jibrail as dan Mika’il as. Hati Baginda saw dicuci dengan air zamzam kemudian dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya.
Selepas pembedahan itu, bermulalah Israk Baginda saw dengan menaiki sejenis binatang iaitu yang dinamakan Buraq.
Menurut sarjana, kecepatan Buraq itu membolehkan Nabi Muhammad saw pergi antara dua tempat hanya dengan sekelip mata.
Dalam sebuah hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra katanya: Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Aku didatangi Buraq iaitu seekor binatang yang berwarna putih rupanya, panjang (tinggi) lebih besar dari keldai, tetapi lebih kecil dari baghal. Ia merendahkan tubuhnya sehinggalah perut Buraq mencecah bumi.”
Baginda saw bersabda lagi: “Tanpa membuang masa, aku terus menunggangnya, ia melangkah kakinya dengan cepat sejauh penghabisan mata memandang sehinggalah sampai ke Baitulmaqdis.”
Semasa perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa itu, Rasulullah saw diiringi Malaikat Jibrail as dan Israfil as.
Apabila tiba di tempat tertentu iaitu tempat yang mulia dan bersejarah, malaikat Jibril as mengarahkan Rasulullah saw bersolat dua rakaat antaranya di Thaibah (Madinah) iaitu tempat Rasulullah saw melakukan hijrah, Bukit Tursina serta Baitul-Laham yakni tempat Nabi Isa as dilahirkan.
Selepas itu, Rasulullah saw turun ke langit dunia semula seterusnya ke Baitulmaqdis dengan menunggang Buraq pulang ke Makkah pada malam yang sama.
Baginda saw kemudian naik pula ke langit sampai ke Sidratul Muntaha sehingga ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah swt dengan melalui tujuh lapis langit.
Selepas itu Baginda saw kembali semula ke Makkah. Bagi umat Islam, peristiwa terbabit membawa misi penting iaitu bermulalah kewajipan melaksanakan perintah menunaikan solat.
Ia menjadi permulaan mukjizat Rasulullah saw yang menjadi salah satu Rukun Islam.
Daripada Anas katanya: “Nabi Muhammad saw bersabda yang bermaksud: “...(Selain dari apa yang aku saksikan semasa aku dibawa Israk dan Mikraj pada malam itu), maka Allah swt fardukan (atasku) dan atas umatku lima puluh sembahyang... lalu aku memohon kepada-Nya (supaya dikurangkan lagi bilangan sembahyang itu yang telah pun dikurangkan sehingga tinggal lima sahaja); maka Allah swt berfirman yang bermaksud: ‘Sembahyang fardu (sehari semalam) itu tetap lima (dari segi bilangannya) dan ia juga tetap lima puluh (dari segi pahalanya); keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti.’” (Hadis riwayat Bukhari)
Dalam ‘pengembaraan’ luar biasa itu juga Rasulullah saw menyaksikan banyak perkara dahsyat terutama balasan yang diterima manusia akibat melakukan kemungkaran di dunia.
Antaranya Nabi Muhammad saw melihat wanita digantung dengan rambutnya dan otak di kepalanya mendidih kerana tidak mahu melindungi rambutnya daripada dilihat lelaki lain.
Wanita yang digantung dengan lidahnya dan tangannya dikeluarkan daripada punggung, minyak panas dituangkan ke dalam kerongkong kerana mereka suka menyakiti hati suami.
Ada wanita digantung buah dadanya dari arah punggung dan air pokok zakum dituang ke dalam kerongkongnya kerana perempuan itu menyusui anak orang lain tanpa keizinan suaminya.
Kemudian, wanita yang memotong badannya sendiri dengan gunting dari neraka akibat mereka suka memasyurkan diri supaya orang melihat perhiasannya.
Begitulah antara seksaan yang menimpa wanita ketika peristiwa Nabi Muhammad saw melakukan Israk dan Mikraj. Ia membuatkan Rasulullah saw berasa sangat sedih setiap kali mengenangkan peristiwa berkenaan.
Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Md Saad, berkata sebelum Nabi Muhmmad saw melakukan Israk dan Mikraj hati Baginda saw dibersihkan menunjukkan bahawa hati adalah elemen penting dalam kehidupan manusia.
“Untuk menerima satu tanggungjawab besar seseorang itu perlu memiliki hati yang bersih dan bersemangat kental.
“Pembentukan individu hebat tidak cukup sekadar membabitkan pengetahuan, kemahiran, fizikal semata-mata, tetapi memerlukan kepada pembentukan hati yakni jiwa dan rohani,” katanya.
Beliau berkata kehilangan dua insan yang menjadi tulang belakang kepada Baginda saw sudah tentu memberi kesan psikologi yang mendalam.
“Pada tahun ke-11 kerasulan Nabi Muhammad saw, Baginda saw menghadapi dua musibah akibat kehilangan dua insan paling berjasa dan disayanginya.
“Dalam melalui kehidupan apatah lagi melaksanakan pelbagai amanah dan tanggungjawab bermacam dugaan terpaksa dihadapi.
“Melalui peristiwa Israk dan Mikraj, ia bukan sekadar perjalanan untuk berlibur, tetapi Rasulullah saw menerima satu tanggungjawab besar untuk dilaksanakan Baginda saw dan umatnya iaitu fardu solat,” katanya.
Rahimi berkata secara analoginya perjalanan itu boleh dikatakan sebagai satu bentuk lawatan sambil belajar yang dilalui Baginda saw.
“Sesuatu perjalanan tidak dinafikan boleh membangkitkan kegembiraan dalam jiwa seseorang.
“Tetapi apa yang dilalui baginda saw ialah setiap langkah dalam perjalanan itu mengandungi unsur pengajaran, pemberitahuan bahkan petunjuk kepada baginda saw melaksanakan amanah dakwah,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan riwayat permohonan untuk mengurangkan kuantiti solat yang diwajibkan ke atas umat ini bukanlah dilakukan berdasarkan kehendak Baginda saw sendiri, tetapi berdasarkan nasihat beberapa orang rasul terdahulu.
“Nasihat itu mungkin timbul daripada kesedaran mereka mengenai karakter umat akhir zaman ini dan Baginda saw sendiri dapat menjangkakan keadaan umatnya sendiri.
“Jadi, permohonan itu adalah tanda kasih sayang Baginda saw kepada kita sebagai umatnya. Jika Baginda saw tidak memohon kelonggaran itu sudah tentu ramai kalangan umat Baginda saw berhadapan dengan kemurkaan Allah swt disebabkan gagal memenuhi kewajipan yang menjadi tiang agama itu,” katanya.
Rahimi berkata peristiwa Israk dan Mikraj menguji umat Islam sama ada percaya atau tidak kepada Baginda saw.
“Ujian seumpama ini melahirkan dua kelompok manusia iaitu kelompok pertama yang beriman dengan Rasulullah saw setelah mereka yakin terhadap kebenaran peristiwa yang berlaku selepas mereka mengemukakan persoalan bertujuan mengukuhkan fakta yang disampaikan kepada mereka.
“Kelompok kedua pula ialah mereka yang semakin jauh dalam kesesatan apabila mendustakan perkhabaran yang disampaikan kepada mereka oleh Nabi Muhammad saw,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment