07 July, 2011

Ramai Gagal Fahami Fadilat Solat

ALLAH s.w.t berfirman bermaksud: “Bacalah apa yang diwahyukan kepadamu, iaitu Al-Kitab (al-Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadah-ibadah yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Al-Ankabut, ayat 45)

Malah, jika diimbas sejarah perjalanan Rasulullah saw ketika peristiwa Israk dan Mikraj, solat adalah salah satu perintah Allah swt yang disampaikan terus kepada Baginda saw untuk umat akhir zaman.

Namun, dalam melaksanakan ibadat ini yang terkandung sebagai Rukun Islam kedua, ramai masih gagal ‘melaksanakan’ solat dan memahami fadilat solat sebenar.

Ramai yang mendirikan solat, tetapi tidak menunjukkan contoh dan akhlak yang baik sama ada dari sudut percakapan, perlakuan dan pergaulan.

Jadi, mengapakah ini terjadi sedangkan mereka menunaikan solat seperti yang dituntut dalam Islam.

Penceramah dan perunding motivasi Human Capital Development Resources (HCDS), Ustaz Che Nordin Che Che Ibrahim, berkata kegagalan kebanyakan masyarakat hari ini khususnya remaja memahami pengertian solat menyebabkan ramai yang terjebak dengan maksiat dan kemungkaran.

Beliau berkata, mereka bukan saja gagal mengikuti rukun solat, tetapi ramai tidak tahu menjaga adab sewaktu melaksanakan solat menyebabkan solat itu sia-sia.

“Adab-adab itu termasuklah berpakaian dan kebersihan diri, memasuki masjid, mengambil wuduk, adab ketika dalam masjid dan ketika mendirikan solat.
“Apabila adab-adab ini gagal ditepati, ia mencalarkan solat apatah lagi dilakukan sekadar ikutan dan bukan solat yang sebenar.

“Paling ketara, ramai makmum yang disifatkan ‘kurang ajar’ kerana kurangnya pengetahuan dan pemahaman mengenai ibadat solat sama ada bersolat sendirian atau berjemaah,” katanya.

Katanya, antara tabiat buruk itu ialah bersembang dengan kuat ketika imam membacakan khutbah, meninggikan suara ketika dalam solat, lalu di depan orang yang bersolat, tidak memberi salam sewaktu masuk ke masjid, tidak berzikir dalam masjid, sebaliknya berbual mengenai hal keduniaan selain tidak menghabiskan solat dengan doa.

Che Nordin berkata, lantaran sikap kurang prihatin masyarakat mengenai sifat solat yang sebenar, maka ramai di kalangan masyarakat hari ini sebenarnya hanya mendirikan solat sia-sia tanpa mendapat solat yang sempurna.

Selain itu, katanya, apa yang perlu diketahui adalah pelaksanaan solat itu membabitkan dua elemen penting terdiri daripada pergerakan fizikal (badaniah) dan pergerakan dalaman (rohaniah).

Pergerakan badaniah adalah pergerakan anggota badan selaras dengan rukun 13 solat terdiri daripada takbiratul ihram, rukuk, sujud, iktidal selari dengan bacaan ditetapkan.

Manakala pergerakan rohaniah pula adalah pemusatan atau penyatuan pemikiran dan perasaan kepada Allah swt yang akhirnya mewujudkan rasa khusyuk, tawaduk dan ikhlas dalam mendirikan solat.

Apabila kedua-dua elemen ini disatukan, barulah ia mewujudkan solat yang sempurna.

Wallhu'alam

No comments:

Post a Comment