15 July, 2011

Sabar Hadapi Dugaan

SEBELUM ini saya lalai dalam urusan akhirat tetapi akhir-akhir ini hati saya terbuka untuk menyembah Yang Maha Esa. Tetapi selepas mengerjakan solat lima waktu, saya kini bagaikan diuji pelbagai dugaan.

Apa yang harus saya lakukan. Adakah terdapat doa yang boleh diamalkan untuk menguatkan hati menghadapi ujian daripada Allah swt untuk menikmati kehidupan tenang seperti biasa?

SEORANG Muslim hendaklah sentiasa bersabar dalam menghadapi segala ujian kehidupan. Ini jelas apabila Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Wahai sekalian orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan peperangan)...” (Surah Al ‘lmran (3): 200).

Ujian bertujuan untuk mengetahui orang yang terbaik dalam menjalani kehidupan duniawi. Allah swt juga berfirman dengan maksud:

“Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu), untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat).” (Surah al-Mulk (67): 1-2).

Kita juga hendaklah mengubah persepsi bahawa segala yang berlaku ada kebaikannya sama ada buruk atau baik. Ini jelas apabila Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Amat menghairankan sekali keadaan orang mukmin itu, sesungguhnya semua keadaannya itu adalah kebaikan baginya dan kebaikan yang sedemikian itu tidak akan ada lagi seseorang pun melainkan hanya untuk orang mukmin itu belaka, iaitu apabila ia mendapatkan kelapangan hidup, ia pun bersyukurlah, maka hal itu adalah kebaikan baginya, sedang apabila ia ditimpa oleh kesukaran - yakni bencana - ia pun bersabar dan hal ini pun adalah kebaikan baginya.” (Riwayat Muslim).

Kita hendaklah bersabar dan sentiasa mengingati Allah swt dengan penuh keimanan. Hanya Allah swt yang dapat menjauhkan kita daripada ujian berat.

Anda boleh mengamalkan membaca ayat al-Kursi iaitu ayat 255 dan ayat 285 sehingga 286 dalam Surah al-Baqarah yang dibaca sebagai wirid selepas solat dengan penuh yakin kepada Allah.

Seterusnya, anda juga boleh mengamalkannya dengan meminta pertolongan Allah daripada Syaitan, iaitu ‘a’udhu bi’llah minal-shaytan al-rajim’ dan membaca basmalah dalam setiap tindakan.

No comments:

Post a Comment