01 September, 2010

Al-Quran Panduan Lengkap Manusia

SEORANG guru yang mengajar di sebuah sekolah rendah memberitahu dia terkejut apabila mendapati ramai muridnya tidak tahu membaca al-Quran.

Malah, dalam beberapa kes, ada murid yang tidak tahu membaca al-Fatihah pun. Apabila diminta mengikut apa yang dibaca, ia mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menghabiskan surah berkenaan.

Ketandusan atau buta al-Quran di kalangan generasi muda bukan lagi satu rahsia kerana mereka lebih mengagungkan perkara lain berbanding kitab suci itu.

Ramai remaja boleh menghabiskan bacaan novel percintaan atau romantik karya penulis terkenal dalam tempoh beberapa hari, tetapi mengambil masa bertahun menghabiskan 30 juzuk al-Quran. Lebih malang, ada yang tidak menghabiskan sehingga usia menginjak dewasa. Apabila berkahwin dan mempunyai anak-anak, lahirkan generasi buta al-Quran. Bayangkan jika fenomena ini berterusan, apa yang akan terjadi kepada generasi akan datang. Sesuatu perlu dilakukan bagi menyelesaikan kekalutan ini kerana al-Quran adalah kalam Allah yang memberi panduan untuk dunia dan akhirat.

Sempena Ramadan ini, penuhkan waktu yang kosong dengan membaca al-Quran atau belajar daripada mereka yang mahir supaya jiwa tidak kosong dan gersang.

Al-Quran bukan bacaan biasa kerana di dalamnya terhimpun pelbagai 'khasiat' dan terapi yang boleh menjadikan seseorang itu tenang kerana lidah tidak sunyi memuji Allah. Bulan ini, al-Quran diturunkan kepada umat manusia sebagai panduan untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi Muhammad s.a.w.

Al-Quran diturunkan secara berperingkat selama 23 tahun sehingga menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad. Al-Quran adalah bukti kenabian Nabi Muhammad dan menjadi bukti ia bukannya ucapan atau ciptaan Nabi Muhammad sendiri. Allah berfirman yang bermaksud: "Orang-orang yang Kami turunkan Kitab kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itulah yang beriman dengan Kitab itu; dan sesiapa yang mengingkarinya, mereka itulah orang yang rugi." (Surah al-Baqarah ayat 121) Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad dalam pelbagai bentuk. Nabi Muhammad diwahyukan melalui mimpi yang benar (al-Rukya al-Sadiqah). Malaikat memasukkan wahyu itu ke dalam hatinya. Nabi tidak melihat sesuatu pun, tetapi merasa bahawa ia sudah berada di dadanya.

Kemudian malaikat menjelmakan dirinya kepada Nabi menyerupai seorang lelaki yang mengucapkan kata-kata kepadanya. Selain itu, wahyu juga turun kepada Nabi dalam satu keadaan seperti bunyi loceng (Salsalah al-jaras). Cara itulah yang amat berat Nabi rasakan. Kadang kala kening Nabi berpeluh walaupun wahyu itu turun pada musim dingin. Malah, unta baginda juga terpaksa berhenti dan duduk kerana berasa amat berat. Zaid bin Tsabit meriwayatkan: "Aku adalah penulis wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah. Aku lihat Rasulullah ketika turunnya wahyu itu seakan-akan diserang demam yang kuat dan peluhnya bercucuran seperti permata. Selepas turunnya wahyu, barulah Baginda kembali seperti biasa." Bagi yang mengamalkan al-Quran, kehidupan mereka pasti bahagia.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya al-Quran ini menunjukkan (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan (amalan) yang soleh; sesungguhnya untuk mereka itu pahala yang besar." (Surah al-Israk ayat 9) Al-Quran mengandungi pelbagai mukzijat jika difahami sepenuhnya. Tidak hairanlah, generasi sahabat menjadi ahli Quran.

Al-Quran merubah kehidupan umat Arab ketika itu daripada jahiliah kepada bertamadun. Sebagai contoh, Saidina Umar al-Khattab yang bengis dan membenci Rasulullah, menerima Islam apabila dibacakan ayat al-Quran.

Justeru, dalam bulan Ramadan ini kita dituntut untuk bertadarus al-Quran bagi menghayati pengajaran dan kesuciannya. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya." Pensyarah Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Saupi Man, berkata nuzul Quran yang diraikan setiap tahun itu sebenarnya sejarah penurunan al-Quran yang Allah turunkan sekali gus ke Luh Mahfuz.

"Penurunan al-Quran sekali gus ke Luh Mahfuz itu hanya Allah saja mengetahui tempatnya. "Manakala sejarah penurunan al-Quran kepada Nabi Muhammad dilakukan secara beransur-ansur selama 23 tahun supaya umat Islam ketika itu lebih memahami. "Selain itu, Nabi Muhammad dapat mengajak umatnya mengikuti segala perintah al-Quran sedikit demi sedikit berdasarkan peristiwa yang berlaku," katanya.

Beliau berkata amat tidak wajar ada kalangan umat Islam terus membiarkan diri mereka tidak berusaha mendalami al-Quran.

"Tidak patut sama sekali ada yang boleh menghabiskan bahan bacaan santai seperti novel berulang kali, tetapi enggan atau tidak tahu membaca al-Quran sehingga membiarkan diri mereka 'buta al-Quran.' "Sifat sedemikian patut diubah dalam usaha membina umat yang dalam semua lapangan kehidupan berpandukan al-Quran," katanya.

No comments:

Post a Comment